Khamis, 12 Julai 2018

JANJI KASIH (7)


Hari kesepuluh…

Sebaik sahaja aku memasukkan kad sim ke dalam telefon dan membukanya, bertalu-talu mesej masuk.

Phew! 138 mesej! 240 miss called!

Ya, selepas 6 hari telefon bimbit tersebut dibeli, baru hari ni aku membukanya. Hampir seminggu aku cuti yang betul-betul cuti. Cuti dari dunia luar. Cuti dari melihat media sosial. Cuti yang sesunguh-sungguhnya. Agaknya boleh pecah Guiness World Book of Record!

Aku meneliti setiap miss call. Huh! Mummy Indah.

Aku terus mendail nombor wanita itu.

“Khadeeja sayang… Khadeeja pergi mana? Banyak hari Mummy call tapi tak dapat. Mummy rindu tau.”

Aku tersengih. Wanita ini… aura keibuannya memang meruntun hatiku.

“Sorry Mummy. Telefon Eja rosak. Ni baru dapat beli baru. Mummy sihat?”

Gila aku nak beritahu cerita sebenar.

“Laaa, ya ke? Nanti Mummy minta Rahman masukkan dalam senarai hantaran untuk Khadeeja ya. Jangan pakai telefon murah, nanti cepat rosak.”

“Eh, tak apalah Mummy. Telefon yang baru ni memang yang latest punya.”

“Tak apa. Biar sahaja, duit Rahman duit Khadeeja juga. Lagipun buat apa dia nak simpan duit tu kalau bukan untuk Khadeeja, kan?”

Haaa, ambik kau! Duit kau, duit aku. Duit aku, duit aku. Hah! Perasanlah kau Khadeeja.

“Err, Mummy. Alang-alang dah cakap ni, boleh Khadeeja nak bagitahu Mummy sesuatu?”

“Hai… lain macam sahaja bunyinya. Tak sedap hati pula Mummy dengar. Khadeeja ada masalah ke?”

***

Selepas cubaan untuk menelefon kali yang ke-50, baru aku mengangkatnya.

“Khadeeja…”

“Nak apa?”

Wow! Kiranya dasyatlah aku boleh cakap macam ni pada Habib.

“Betul ke apa yang Mummy beritahu abang ni?”

Abang? Hati tolong jangan cair!

“Mummy beritahu apa?”

“Mummy cakap Eja nak minta tangguh tarikh pernikahan kita.”

“Tak betul.”

“Alhamdulillah. Abang ingatkan betul tadi. Kiranya Eja saja nak prank Mummy ke?”

“Taklah.”

“Habis tu?”

“Mungkin bukan tangguh. Tapi nak minta putus.”

“Hah! Apa…apa yang Eja cakap ni?”

"Eja nak kita putuskan pertunangan kita. Saya dah tak nampak hala tuju hubungan kita. Awak dan saya memang tak serasi."
Dengan sekali nafas. Aku menghela lega selepas dapat meluahkan apa yg terbuku dalam dada ini.
Entah mana datangnya kekuatan untuk aku meluahkan perkara yang telah terpendam selama dua minggu ini. Bagus juga dia telefon. Itupun selepas sepuluh hari tanpa khabar berita. Selepas sepuluh hari dia baru nak telefon tanya khabarku. Memang mendapatlah kan...
"Khadeeja! Apa yang sayang cakap ni?" Jerit Habib di hujung talian.
Sayang! Eh..eh... Tak pernah-pernah nak panggil aku sayang. Selalunya kau aku sahaja. Kalau baik sikit awak saya. Ayat cliche sangat.
"Dah dengarkan? Ok, bye."
Aku terus mematikan talian. Bukan boleh lama-lama bercakap dengannya. Aku takut hati ini mudah cair waima hanya mendengar suaranya. Tapi mana datang kekuatan ini? Tekadkah aku? Habis hilangkah semua cintaku padanya? Aku merengus. Pastinya tidak. Hish!!! Aku tak suka bila berada dalam keadaan ini.
Telefon bimbitku berbunyi. Ya, Habib. Pastinya dia tidak puas hati dengan kata-kataku yang tiba-tiba minta putus.
Aku biarkan. Malas nak melayan.
N : Angkatlah...
E : Taknak!
N : Abang rindu sayang
Huh! Manis la tu. Aku takkan mudah cair lagi. Iya ka tak cair? Sedangkan tengah pahit pun aku dah cair, inikan pula tiba-tiba jadi manis. Betul ke manisnya? Atau ada maksud lain?
N : Abang mengaku salah. Maafkan abang. Bagi abang peluang untuk terangkan perkara yang sebenar.
Poyo! Dia tahu ke apa salahnya? Aku menggenggam telefon bimbitku, erat.
"Ha...jangan nak baling pula telefon tu."
Aku menjeling. Sibuk ja lelaki ni.
"Khadeeja memang kalau marah, suka baling telefon ya? Baran juga ya?"
Aku merenung dia. Baru seminggu kami berjumpa, dah macam-macam dia tahu tentang aku. Aku? Tak ingat langsung apa-apa tentang dirinya.
"Bukan baran. Tapi cuba untuk jadi kuat."
Memang betul pun. Aku bukan seorang yang mudah marah.
"Tapi masih sayangkan tunang Eja tu kan?"
Betul jugak. Aku melarikan pandangan ke arah lain.
"Kalau sayang, kenapa nak putus? Larikan diri sampai ke sini."
"Kalau tepuk sebelah tangan, mana nak datang bunyi...."
Gumamku antara dengar dan tidak.
"Eja dah tanya ke apa perasaan dia pada Eja?"
Aku menunduk. Satu persatu abang Umar cuba korek dariku.
"Tak sempat nak tanya pun. Hari pertama kami bertunang, dia dah beri kata dua. Habib langsung tak beri peluang pada hubungan kami. Lagipun, dia dah ada orang lain yang dia sayang."
Ada sendu di hujung ayat. Mataku mula berkaca. Teringat kembali gambar FB dia bersama seorang perempuan cantik. Mereka nampak mesra sangat.
"Habib?"
"Aaa...namanya Habiburrahman. Eja panggil Habib."
"Bukan semua orang panggil Rahman ke? Rasanya abang Umar dengar Abi dan Ummi panggil Rahman."
"Itu orang lain. Takkan nak sebut panggilan yang sama, walaupun itu namanya juga. Dah tunang sendiri, panggil lah lain sikit. Barulah unik. Kalau boleh, Eja nak panggil Habibi maksudnya kekasihku. Tapi nanti ketara sangat pula. So, panggil Habis sahaja."
Abang Umar tergelak.
"Ok. Abang Umar nampak sayang Eja tu."
Huh! Nampak macam mana? Aku mengerut dahi.
"Kalau dah bercerita tu, mata sampai bersinar-sinar seolah-olah tak ada cahaya lain dari luar, takkan tak nampak lagi. Tu senyum tu, ketara sangat kot bila sebut nama Habib."
Aku merubah riak. Ketara sangat ek?
"Eh, dah la. Malas nak layan. Eja nak pergi mandi kat sungai."
Cuba mengubah topik bab-bab hati ni. Abang Umar tersenyum.
"Nak abang Umar ajar berenang lagi ka hari ni?"
"Abang tak sibuk ka?"
"Untuk adik abang, bila-bila pun boleh."
Tangannya pantas mencuit hidungku. Memang tak sempat nak elak. Aku tersengih malu.