Rabu, 4 Jun 2014

Viannia dan Gabak : Prolog - Bebaskan aku!

Mataku masih terkebil-kebil memerhati siling rumah. Entah mengapa, cerita-cerita mak asyik melayar di fikiran membuatkan kantukku hilang. Aku berpusing ke kiri. Beberapa ketika kemudian aku mengiring pula ke kanan. Aduh! Tidak boleh jadi ni! Susah benar hendak melelapkan mata. Hatiku mengeluh. Perlahan-lahan aku menginjak turun dari katil dan keluar dari kamar. Cahaya bulan memantul dari cermin yang menjadi dinding rumah. Aku memandang ke luar. Kelam dan tiada sesiapa di luar. Sambil menghela nafas panjang, aku melabuhkan punggungku di anak tangga. Kedua-dua belah kakiku biarkan terjuntai ke bawah. Tiba-tiba aku terperasankan parut panjang pada betis kaki kiriku. Aku menarik sedikit kain labuh yang menutupi kakiku. Sekilas, teringat kembali cerita mak siang tadi.

"Kalau Via nak tahu, parut panjang di kaki Via tu adalah disebabkan torehan ranting kayu. Via jatuh dari celahan pokok.  Jatuh ke tanah bersama-sama Zais yang cedera terkena anak panah pengawal Kampung Seri Andas. Akibat kecederaan itu, dia tak dapat bertahan untuk terus mendukung Via. Lalu jatuh ke tanah ketika melompat dari pokok ke pokok yang lain. Zais jatuh dan pengsan kerana kehilangan banyak darah. Manakala, Via jatuh, kepala terhantuk ke batu dan kaki Via tercerucuk dengan ranting kayu. Luka itu sangat dalam, hampir-hampir terkenan pada otot betis. Sebab itu, ia meninggalkan parut termasuklah kecederaan di dahi Via itu."

"Jadi, tuan muda Zais lah yang menculik Via? Menjadikan Via sebagai anak yatim piatu? Tetapi, kenapa?"

Mak mengeluh.

"Via tahukan bagaimana sejarah Kampung Fendral pada dua puluh tahun yang lalu?"

"Tentang kes penculikan anak-anak gadis untuk dijadikan pasangan hidup? Jenayah menculik anak orang yang dijadikan sebagai pesta mencari pasangan. Itu Via tahu dan sejarah itu sangat tidak masuk dek akal."

"Tetapi ia memang berlaku. Dua puluh tahun yang lalu. Namun akibat dari peristiwa hitam itu, tok ketua terus  memansuhkan pesta mencari pasangan itu serta-merta."

"Itu balasan untuk manusia yang melanggar hukum tuhan. Dia mengambil anak orang, akhirnya anak dia juga yang hilang. Bukan setakat hilang tetapi juga hilang nyawa. Mak, Via masih kanak-kanak pada ketika itu. Kenapa Via pula yang jadi mangsa? Via tak faham."

"Ini kerana Zais menculik Via bukan untuk dirinya. Tetapi untuk orang lain. Untuk orang yang sangat dia sayang dan orang itulah yang menanggung hidup Via dari kecil sehingga sekarang. Orang itulah juga yang menjaga keselamatan Via. Pada malam pesta itu berlangsung, Zais telah berjanji dengan orang itu untuk mendapatkan Via kerana Zais mendapat tahu yang adiknya itu selalu memerhatikan Via bermain di halaman rumah keluarga Via."

"Tetapi, bukankah sepatutnya lelaki yang hendak mencari pasangan itu yang perlu melakukan penculikan itu sendiri dan bukannya orang lain?"

"Iya, tetapi mereka boleh menculik pasangan bagi pihak adik atau abang mereka."

Aku mendengus. Pesta Gila!

Kala itu, terbayang tuan muda Zais yang bertubuh sasa mengelepar kesakitan ditusuk anak panah. Aku? Aku masih dapat melihat bayang seseorang yang datang menghampiri dan memangku tubuhku sebelum aku tidak sedarkan diri.

Adik Zais? Hah! Aku terpempan. Ada sesuatu yang mak cuba sampaikan siang tadi dan baru kini aku dapat fahaminya. Adik Zais adalah tuan muda Gabak. Ini bermakna Gabak tahu di mana rumah keluargaku yang sebenar. Arghhh! Kenapa aku tidak perasan semuanya yang berlaku selama ini? Aku pantas berlari semula ke dalam kamar untuk mengambil kunci rumah. Sewaktu aku menuruni anak tangga, aku seperti ternampak kelibat seseorang di hadapan rumah melalui cermin dinding rumah. Aku menoleh ke kiri. Gabak! Tetapi sebaik sahaja dia perasan yang aku memandang ke arahnya, dia terus mengalihkan tubuhnya dan bergerak keluar dari halaman rumah. Aku pantas berlari menuruni anak tangga dan membuka pintu rumah. Bayang tubuh gabak semakin menjauh. Aku berlari-lari anak mengejarnya.

"Tuan muda! Tuan muda! Tunggu! Tunggu!"

Lelaki itu langsung tidak berhenti mahupun berkalih ke belakang. Kenapa dengannya? Adakah dia tidak mendengar jeritanku? Atau buat-buat tidak dengar? Aku mengah. Terasa dadaku tiada ruang kosong untuk aliran udara. Sendat. Langkahku semakin perlahan dan akhirnya terhenti apabila kelibat tubuh lelaki itu hilang dari penglihatanku. Aku terduduk di atas tanah. Tidak mampu lagi untuk melangkah.

Di saat itu, terasa hatiku tersangat pedih. Lebih pedih dan sakit dari peristiwa dihina oleh Adurra dan rakan-rakannya.

Hatiku merintih sayu. Kenapa? Kenapa dia buat aku begini? Kenapa dia layan aku seperti aku tiada makna dalam hidupnya? Bukan salahku, abangnya meninggal.

Tiba-tiba kedengaran derapan tapak kaki di sebelahku. Tubuhku dibayangi oleh seseorang. 
Peach!

"Peach..."

"Dia tidak pernah menyimpan dendam pada Cik Via. Dia langsung tidak benci pada Cik Via. Dia terbeban dengan rasa bersalah. Bersalah kerana perasaannya pada Cik Via. Bersalah kerana perasaannya itu telah menyebabkan dia kehilangan seluruh keluarganya dalam usia yang muda," terang Peach seperti seolah-olah tahu persoalan yang bermain di fikiranku.

"Tetapi dia seperti menghukum Via."

Diam.

"Peach... tolong bawa Via balik."

"Mari Cik Via..."

Peach menunduk untuk mengangkat tubuhku. Aku menggelengkan kepala.

"Bukan. Bukan rumah mak. Rumah keluarga Via. Rumah keluarga sebenar Via."

Tindakan Peach terhenti. Matanya merenung wajahku tajam.

"Mustahil, Cik Via! Aku tak boleh bawa kau ke sana. Kau pun tahu, undang-undang pesta mencari pasangan. Tiada wanita yang akan dapat kembali kepada keluarga asalnya kecuali..."

"Tubuh wanita yang telah mati," pintasku lemah.

Peach tersentak! Mulutnya ternganga. Mungkin tidak menyangka aku akan mengatakan begitu. Aku tahu, walaupun undang-undang itu telah dimansuhkan. Golongan lelaki yang terlibat pada tahun akhir pesta itu masih terikat dengan undang-undang tersebut. Semua kampung-kampung lain yang mengetahui tentang pesta itu turut maklum dengan undang-undangnya. Namun tiada sesiapa yang sanggup membantahnya. Cuma ahli keluarga atau penduduk kampung yang terlibat masih boleh mendapatkan hak mereka. Pertama, ahli keluarga boleh menghadiri majlis perkahwinan anak mereka dan kedua, mereka masih boleh mendapatkan kembali anak mereka sekiranya mereka bermati-matian mengejar lelaki yang menculik anak gadis mereka. Tetapi tidak sama bagi kisahku. Kisahku berbeza kerana usiaku. Aku tahu, keluargaku melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mengejar Zais. Tetapi mereka tidak mendapat undangan perkahwinan kerana umurku ketika itu masih kecil. Aku masih kanak-kanak. Undang-undang pesta mencari pasangan melarang perkhwinan di bawah umur.  Bagaimana mereka akan tahu yang aku masih hidup? Hak ketiga adalah keluarga asal akan dapat menuntut semula anak gadis mereka. Itu pun selepas anak gadis mereka meninggal dunia. Maknanya tubuh yang telah bercerai nyawa. Undang-undang pesta yang sangat pelik dan menjengkelkan hidupku!

Aku diibaratkan hidup antara bumi dan langit. Tidak jejak ke tanah dan tidak juga dapat menggengam awan di langit.

"Peach!"

Peach bergerak beberapa langkah ke belakang sambil duduk mencangkung dan tunduk memandang ke tanah.

Gabak! Tubuhku bergetar apabila mendengar suara itu.

"Maafkan aku tuan muda. Aku tidak menjalankan tugasku dengan baik. Sila beri hukuman."

"Peach, bawa Cik Via balik. Aku tak mahu dia berembun di tengah malam. Tentang hukuman itu, kita bincang kemudian," ujar Gabak seraya terus berlalu. 

Langsung tidak memandang ke arahku.

Kulihat wajah Peach berkerut. Tetapi Peach langsung tidak membantah. Dia menghampiriku dan terus mencempung tubuhku. Tubuhku letih. Fikiranku juga letih. Beberapa hari ini, aku terlampau banyak berfikir. Pandanganku makin kelam. Tetapi aku sempat membisikkan sesuatu di telinganya.

"Peach, beritahu Gabak. Via sukakan seseorang. Kau tahukan lelaki yang bertopeng yang selalu menemani aku sewaktu mandi di kolam setiap malam Isnin. Aku tahu kau pun kenal lelaki itu. Aku tahu Gabak juga kenal lelaki itu kerana lelaki itu adalah Gabak. Isnin depan, aku akan mandi di kolam. Selepas itu aku nak Gabak hantar aku kembali ke rumah keluarga sebenarku kerana mulai sekarang aku juga adalah seperti mayat gadis yang telah mati. Bezanya tubuhku masih bernyawa tetapi jiwaku telah mati."

"Tidak, Via! Bangun, Via! Via! Via!"

 p/s: cereka - cerita rekaan dan sains fiksyen

Ada idea nak letak tajuk apa? Mungkinkah cerita baru menggantikan DUNIA CINTA JASMIN. Hehehe...

3 ulasan:

meeka42 berkata...

Best.bru first time bca kt sni.hihi

Unknown berkata...

Assalamualaikum,
saya adalah salah seorang pembaca novel di blog ini. Berminat tak untuk menerbitkan sendiri novel dalam bentuk ebook, untuk dijual terus kepada pembaca?
Jika berminat sila hubungi penulis@appnovella.com untuk penjelasan lanjut

Tanpa Nama berkata...

best la....