Khamis, 26 Ogos 2010

JK4

“Khadeeja sakit apa, Ayah Cu?”
“Kenapa Mohd Umar datang ke sini? Mohd Umar nak melawan perintah ayah ke?” ada nada tegas di hujung suara Ammar.
“Umar nak jumpa Khadeeja. Umar rindukan Khadeeja. Tolonglah Ayah Cu. Berilah Umar peluang.”
“Mohd Umar tidak boleh menyimpan rindu itu kepada Khadeeja. Mohd Umar sudah ada kehidupan sendiri. Sudah anak dan isteri di bawah tanggungjawab kamu. Khadeeja juga sudah ada kehidupannya sendiri.”
“Itu saya tahu, Ayah Cu. Umar tidak bermaksud nak mengenepikan keluarga Umar sendiri. Berilah Umar peluang menyayangi Khadeeja seperti sayang seorang abang kepada adik.”
Ammar mengeluh.
“Mohd Umar tidak boleh berjumpa Khadeeja. Kan dulu ayah Mohd Umar sudah berpesan. Kalau datuk Mohd Umar tahu perkara ini, hidup Khadeeja akan ...”
“Apa bezanya kehidupan Khadeeja sekarang? Umar tahu Khadeeja sakit. Umar dapat rasakan semuanya berkaitan dengan Umar. Tolonglah Ayah Cu. Berilah Umar peluang untuk mengubati Khadeeja.”
“Siapa cakap Khadeeja sakit? Dia tidak sakit, “ tegas Ayah Cu.
“Umar dah jumpa dengan dia. Melihat pada matanya sahaja, Umar dah tahu yang dia sakit. Wajahnya pucat, matanya tidak bersinar seperti semangatnya hilang. Jauh.”
“Sakit Khadeeja tak ada kena mengena dengan Mohd Umar. Dia hanya boleh sembuh atas keupayaan dan kesungguhan dirinya sendiri.”
“Benarkah? Tapi apa puncanya?”
Ammar terdiam. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menerangkan keadaan anak saudaranya kepada lelaki muda itu. Lelaki muda itu juga anak saudaranya. Tetapi kewujudannya dari dunia yang berbeza membataskan perhubungan persaudaraan itu. Malah semakin sukar apabila ia melibatkan pertalian darah dan perhubungan perasaan antara mereka.
***
1980
“Kenapa Umar tidak boleh berkawan dengan Khadeeja? Diakan sepupu Umar.”
“Ayah tak benarkan.”
“Tetapi kenapa? Umar tak faham.”
“Umar akan faham nanti.”
“Umar tak boleh terima tindakan ayah. Ayah tak berhak halang Umar berjumpa dengan Khadeeja.”
Tiba-tiba kelihatan cahaya menyimbahi ruang tamu.
“Tak baik melawan arahan ayah, Mohd Umar. Ibu tak ajar Umar untuk bersikap biadap dengan ayah.”
“Tapi Ibu…ayah juga seperti Khadeeja. Kenapa Ibu boleh berkahwin dengan ayah? Kenapa Umar tidak boleh?”
“Mohd Umar! Jangan jadi biadap!” Ahmad Badarudin menjerkah. Suasana sepi. Mohd Umar terus melangkah pergi. Sri mengeluh. Perasaan kesal semakin bersarang dalam hati.
“Maafkan saya. Saya tak sepatutnya membiarkan Umar berjumpa dengan Khadeeja.”
“Tak apa, Sri. Bukan salah Sri. Salah abang. Abang tak sepatutnya bawa Khadeeja ke tempat Sri.”
“Sri faham, abang. Biarlah Sri pujuk Umar. Insyallah, dia akan faham.”
“Abang juga berharap begitu.”
“Sampaikan salam Sri kepada Kak Samirah. Assalamualaikum.”
“Insyallah. Waalaikumussalam.”
Ruang tamu bercahaya lagi. Perlahan-lahan cahaya itu hilang. Keadaan gelap seketika. Ahmad Badarudin menghela nafas panjang. Dia amat berharap Mohd Umar tidak menyimpan dendam padanya. Mana mungkin dia membiarkan sekelumit perasaan pun antara Khadeeja dan Mohd Umar. Khadeeja masih muda. Baru berusia 10 tahun. Mereka juga tidak boleh bersama. Mereka dari dua dunia yang amat berbeza. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah sekali dia melakukan kesilapan dahulu. Dia tidak mahu Mohd Umar melakukan kesilapan yang sama dan terpaksa menanggung perasaan bersalah sepanjang hayatnya.

Tiada ulasan: