Ahad, 9 September 2012

DCJ 36


Selang beberapa minit kemudian kelihatan abang Nain datang menghampiri.
"Kenapa Min terpacak di sini? Kata nak lepak kat pangkin."
Aku mengunjuk ke arah Luqman yang sedang memanjat pokok. Abang Nain terkejut apabila memandang ke atas.
"Tak ada kerengga ke?"
"Entahlah. Harap-harap tak ada. Kalau ada pun mungkin semut hitam kot," teka ku tanpa kepastian.
"Eh, Man! Turunlah. Kita guna galah panjang sahaja. Banyak ranting reput tu," jerit abang Nain.
Luqman terus memandang ke bawah sebaik sahaja mendengar suara abang Nain. Kelihatan wajahnya berubah.
"Tak payah. Aku boleh buat. Aku orang kampung. Bukan macam kau orang bandar. Pokok buah macam ni pun kalau tak reti panjat, lebih baik duduk rumah diam-diam."
Hatiku tersentap mendengar jawapannya. Lain benar nada suaranya berbanding tadi. Aku kemudiannya memandang pula ke arah abang Nain. Wajahnya tersenyum kelat. Mungkin terasa dengan sindiran Luqman itu tadi. 
“Luqman! Turun lah! Nanti jatuh.” Jeritku. Lelaki itu terus memanjat pokok rambutan tanpa menghiraukan jeritanku di bawah. Tinggi egonya! Tidak pernah berubah! Aku mengalih pandangan ke arah Abang Nain. Dia melongo. Masih terkejut dengan tindakan Luqman yang seolang-olah cuba mencari gaduh dengannya. Dia tidak berani berkata apa-apa lagi. Semalam kerana cuba meleraikan pertelingkahan mulut antara aku dan Luqman, sikunya bercalar mencium tanah.
“Abang Nain, tolonglah.”
“Sorry, Min. Abang Nain tak berani masuk campur. Luq seperti tak suka kita...”
Gedebuk! Ada sesuatu yang jatuh dari pokok rambutan di hadapan kami. Luqman!
 ***
“Padan muka! Ego! Kenapa tak patah jer kaki tu? Senang sikit,” omelku sambil mencampakkan kain pelikat di hadapan Luqman. Lelaki itu memandangku sayu. Kemarahanku sudah ke tahap tidak mengira sesiapa lagi yang berada di hadapanku.
“Min...Jaga sikit mulut tu,” Tegur babah. Aku memandang babah yang duduk bersebelahan Abang Nain. Abang Nain pula langsung tidak bersuara semenjak dari kejadian tadi.
“Kenapa dengan kamu berdua ni? Sehari dua ni ayah Long tengok asyik nak bertekak sahaja. Kamu berdua ni pantang berjumpa. Ada sahaja benda yang nak dilawan bertengkar. Ingatkan dah besar panjang, dah berubah. Tapi, rupa-rupanya masih sama. Sekali-sekala cuba lah bercakap elok-elok sikit,” ujar Ayah long pula sambil menggeleng-gelengkan kepala. Aku menjeling ke arah Luqman.
“Nasib baik pokok yang Luqman panjat tu tak ada kerengga cuma banyak dahannya yang dah reput,” ujar Ummi Long dari dapur. Di tangannya ada sebotol minyak gamat.
“Hah, Luqman. Pergi tukar seluar tu. Nanti Ummi Long nak tengok luka kat betis tu.”
“Tak payah, Ummi Long. Luka ni sikit ja.”
Huh, ego! Gerutu hatiku semakin jengkel.
"Orang dah nak tolong tu, buat sahajalah apa yang disuruh. Tak payah lah nak menunjuk lagak tu lagi. Belajar sampai Jepun pun perangai tak pernah berubah."
Bebelku antara dengar dan tidak.
"Jasmin. Sudahlah tu. Kamu ni pun satu, belum jadi isteri orang lagi dah suka membebel," sampuk ummi long. Aku tersentak. Bibir Luqman terukir senyuman. Sakit-sakit pun ada hati lagi nak senyum sindir padaku. Nak tunjuk kemenangan lah tu sebab ada orang sokong, gerutu hatiku lagi. Sambil menjeling aku terus beredar ke bilik. Malas nak ambil tahu lagi pasal lelaki itu. 
Aku melepaskan lelah di atas katil. Separuh hari di dusun begitu memenatkan walaupun bukan aku yang mencari dan mengutip durian. Ayah cu dan Nadheera balik ke rumah keluarga Nadheera selepas menghantar kami pulang. Sepanjang jalan aku membebel melepaskan kegeraman. Habis semua orang dalam kereta menjadi mangsa termasuk ayah cu dan Nadheera. Di rumah ayah long pula aku sambung lagi membebel pada Luqman pula. Abang Nain pun terkena tempiasnya juga. Yang peliknya tiada sesiapa pun yang menyampuk atau menegur sikapku kecuali babah, ayah long dan ummi Long sahaja.  Bila difikir-fikirkan balik, terasa malu pun ada. Mesti ada yang perasan dengan perubahan sikapku ini. Setiap bulan ia pasti berlaku, walaupun kadang-kadang tidak seteruk mana. Tetapi kali ini anginku ini seperti puting beliung. Kesabaranku sangat nipis untuk mengawal api kemarahanku. Teringat kembali ketika zaman belajarku dahulu. Babah akan menjadi mangsa bebelanku tatkala aku bercakap dengannya melalui telefon. Bila aku bereaksi sedemikian babah lebih banyak mendengar dan selepas aku penat membebel, babah pasti akan memujukku. Secara automatik hatiku akan menjadi tenang semula. Simptom PMS. Atau simptom anak cengeng yang memerlukan perhatian. Huh!
Tiba-tiba telefon bimbitku berlagu nyaring. Aku mencapai telefon yang berada tidak jauh dari tempat pembaringanku.
Abang Nain!
"Hello Min."
"Ya."
"Abang dah on the way balik ke Shah Alam. Dah masuk lebuhraya pun ni."
Aku terkejut dan terus bingkas melihat ke luar tingkap. Vios miliknya sudah tiada di halaman rumah ayah Long. Kenapa dia tak beritahu aku nak balik hari ini?
"Kenapa tak panggil Min sebelum bertolak? Abang Nain tak beritahu Min pun nak balik hari ni."
"Abang ada emergency call dari pejabat tadi. Tak apalah. Min nampak letih dan stress. Abang tak mahu ganggu Min. Min perlu banyak berehat dan jangan terlalu memikirkan sangat apa jua masalah yang Min lalui sekarang."
"Hmm, baiklah. Terima kasih, abang Nain kerana tumpangkan Min balik ke kampung."
"Sama-sama, Min. Jaga diri."
"Ok. Abang Nain pun, hati-hati bawa kereta."
"Baik. Terima kasih. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Aku mengeluh. Pandanganku lepas kembali ke luar tingkap. Kelihatan babah dan ibu Darlynna sedang bersantai di atas pangkin  halaman rumah ayah Long.
Tatkala itu juga kedengaran ketukan di pintu kamarku.
"Jasmin," panggil ummi Long di luar kamar. Aku bingkas membuka pintu.
"Ya, ummi," jawabku sambil menjengulkan kepala.
"Tolong tengokkan Luqman di ruang tamu. Tanya pada dia nak air minuman atau tidak. Dari tadi dia berehat di sofa tu."
Aku mengangguk. Masuk kembali ke dalam kamar dan mengenakan semula tudung di kepala. Selepas itu aku menapak ke ruang tamu dengan perlahan. Tiada sesiapa melainkan lelaki itu yang terbaring di sofa. Tangan kanannya menutupi dahi dan separuh wajahnya. Aku tersengih seketika apabila melihat dia berkain pelikat. Aku melangkah ke dapur untuk membancuh seteko air teh dan kemudiannya menuangkan secawan untuk diberi kepada Luqman. Apabila aku sampai di ruang tamu, kelihatan Luqman masih terbaring seperti tadi. Kasihan pula apabila melihat luka di betisnya. Aku meletak cawan berisi air teh panas di atas meja kecil di hadapan sofa. Dengan perlahan aku mencuit bahunya.
"Luq, awak dahaga tak? Nak minum air tak?" 
Lelaki itu mula menggerakkan badannya. Tangannya dijatuhkan sisi dan kelopak matanya terbuka.
"Seronoknya bila buka mata sahaja dapat melihat sesuatu yang cantik dan indah."
Hah! Manisnya mulut.
"Perli ke puji?"
"Puji lah tu. Takkan Luq nak perli pula."
Aku mencebik.
"Puji ada makna."
"Makna apa pula?"
"Sebab Min bawakan air."
"Luq ikhlas, sungguh," ujarnya sambil mengangkat tangan paras bahu seperti berakujanji.
"Yalah. Ni bangunlah. Macam mana nak minum sambil baring? Tumpah airnya nanti."
"Min tolonglah suapkan.'
Ish, mengada-adanya!
"Jangan nak mengada-ada boleh tak? Cubit kat betis tu baru tau. Bangunlah duduk."
"Yelah, yelah. Garanglah Min ni," ujarnya seraya bingkas dari pembaringan.
"Hati-hati sikit. Air ni panas lagi," nasihatku sambil menghulurkan cawan berisi teh panas dan membiarkan dia menghirup air tersebut perlahan-lahan.
“Kenapa marah-marah ni? Datang bulan ek?”
Sempat lagi dia mengusik. Aku menjelingnya tajam.
“Bukan tadi kat dusun ada orang tu marah-marah ke? Siap kata lagi orang kampung pandai panjat pokok. Orang bandar tak pandai panjat pokok. Kesudahannya,yang mengaku diri tu orang kampung jatuh macam nangka busuk.”
Giliran Luqman pula menjeling padaku. Mukanya tersenyum kelat.
“Amboi, pulang paku buah keras lah ni ya?”
“Siapa makan cili, dia terasa pedas.”
“Ok, ok. Luq minta maaf. Luq terlalu emosional tadi.”
Hmm, pandai pula meminta maaf. Ingatkan dah lupa cara nak berbudi bahasa.
“Emosional ya. Hmm,Luq datang bulan ke?” soalku kembali.
“Amboi, pandai ya dia kenakan Luq balik. Cium mulut tu,baru tau.”
Aku terdiam. Lelaki! Kalau bercakap tak melibat benda yang tak senonoh,tak boleh ke?
Luqman terus meneguk air yang masih berbaki dalam cawan. Nampak seperti dahaga betul.
“Nak air lagi ke? Min ambilkan.”
Lelaki itu menggelengkan kepala.
“Tak payah. Luq nak baring sekejap. Tiba-tiba rasa pening kepala.”
“Hmm, ok. Rehatlah,” ujarku seraya mengangkat cawan. Kesian pula aku melihat dirinya. Aku bingkas hendak menuju ke dapur.
“Nak ke mana?”
Langkahku terhenti. Aku menoleh ke arahnya.
“Nak ke dapur. Hantar cawan ni.”
“Nantilah hantar cawan tu. Biarkan ia kat situ. Min temankan Luq. Seganlah nak baring kat sini seorang.”
“Kalau segan pergilah tidur kat dalam.”
“Kat dalam? Bilik Min ke?”
Aku menjegilkan mata. Sakit-sakit pun masih ada hati lagi nak menggatal.
“Bilik tamu. Bilik yang abang nain tidur semalam.”
“Uh, tak mahu lah. Ada bau lelaki. Lebih baik tidur kat sini. Lagipun kalau dalam bilik, susah.”
“Apa yang susahnya? Dalam bilik lagi selesa. Ada katil. Tak sakit badan.”
“Yelah, kat sini pun selesa juga. Ada Min. Min boleh temankan. Dalam bilik, Min tak boleh teman. Bahaya.”
Hish! Macam-macam ulah mamat seorang ni.
“Takkan Min nak tercongok jer kat sini. Lebih baik Min ke dapur boleh juga tolong umi long kat dapur.”
“Alah, nanti-nanti pun boleh tolong. Min tunggu orang sakit ni, boleh dapat pahala tau,” ujarnya seraya menelentangkan tubuhnya di sofa.
Aku mencebik. Sakit sedikit sudah mengada-ada.

Tiada ulasan: