Hari ini Abang Nain mengajak aku makan tengahari di luar. Dia menawarkan diri untuk mengambilku di Muss Read Shop, tetapi aku menolak kerana tidak mahu menyusahkannya berulang-alik mengambil dan menghantarku. Aku ke pejabatnya dengan menaiki teksi. Setiba di Germuda Holdings, aku terus menaiki lif ke tingkat 12. Abang Nain sudah meninggalkan pesan ringkas agar menunggu di biliknya. Ini kali kedua aku ke sini. Sebelum ini aku pernah juga naik ke pejabat ini tetapi hanya setakat tingkat 10, di bilik pejabat ibu Darlynna. Itu pun setelah dipaksa ikut oleh ibu Darlynna. Aku sebenarnya segan untuk ke sana kerana aku bukan siapa-siapa dan langsung tiada urusan yang berkaitan untuk ke sana. Tetapi setelah babah dan ibu Darlynna berkahwin, hampir semua kakitangan Germuda Holdings mengenaliku sebagai anak tiri ibu Darlynna. Hatiku agak gementar juga sewaktu melangkah masuk ke ruang pejabat yang agak lengang. Sewaktu aku masih berdiri di kaunter hadapan ruang pejabat, terasa seperti ada seseorang menghampiriku.
“Kak Min!”
Aku menoleh apabila namaku dipanggil. Berasa sedikit lega sebaik sahaja terpandang Fina, setiausaha ibu Darlynna. Gadis berusia awal dua puluhan itu menapak menghampiriku.
“Fin buat apa kat tingkat ni? Mengelat ya? Mentang-mentanglah ibu cuti,” usikku kerana mengetahui sikapnya yang ramah itu.
“Eh, eh. Tidaklah. Fin naik atas sebab nak jumpa dengan Kak Maria. Puan Darlynna ada pesan semalam untuk ambil fail akaun di pejabat Encik Dzulkarnain. Ni failnya. Tak baik tau Kak Min ni, tuduh Fin macam tu,” ujarnya seraya memuncungkan mulut. Tangannya mengunjukkan kepadaku bukti fail yang diambil. Aku tertawa kecil.
“Alah, Kak Min melawak sahaja. Takkan itu pun nak berasa hati?” soalku sambil tersenyum. Aku tahu dia bukan gadis yang cepat terasa. Sebab itu aku berani mengusiknya.
“Tahu tak apa.”
“Amboi, sensitiflah pula.”
“Kak Min buat apa kat sini? Nak minta kerja ke?”
Fina sudah mengalih topik. Betul seperti yang aku agak, dia bukan seorang yang cepat terasa.
“Ish, buat apa nak kerja di sini. Kedai kat Min tu, siapa nak tolong jaga?”
Giliran gadis itu pula yang tertawa.
“Abang Moon ada? Lama Fin tak jumpa dia. Banyak stok buku cerita baru tak?”
Amboi! Dalam diam, Munir sudah ada peminat.
“Ada, kalau Fin nak tahu, kenalah ke sana. Oklah Fin. Kak Min sebenarnya ada janji dengan Encik Dzulkarnain. Takut dia tertunggu pula.”
“Ooo, dating ya?”
“Ish, mana ada.”
“Eleh, sudah gaharu, cendana pula. Eh, tapi tadi kak Maria ada cakap Encik Dzulkarnain sedang meeting sekarang ni.”
“Tahu. Sengaja datang awal.”
“Ooo, sekejap yer. Fin panggil kak Maria. Dia ada pantry tadi selepas Fin jumpa dia. Mungkin dia boleh beri Kak Min tunggu dalam pejabat Encik Dzulkarnain.”
“Ok. Terima kasih Fin.”
“Sama-sama. Small matter.”
Aku memerhati gadis itu berlalu ke dalam bahagian pejabat. Sedang asyik meninjau nama-nama yang tertera di pintu pejabat, aku terpandang nama Luqman di pintu bilik sebelah kanan. Bilik dia di tingkat yang sama dengan bilik Abang Nain? Tidak pula aku tahu tentang perkara ini. Sementelah pula, abang Nain mahupun Luqman tidak pernah menceritakan tentang ruang pejabat mereka. Tanpa kusedari, kakiku telah melangkah dan berdiri di hadapan pintu biliknya. Aku berkira-kira untuk mengetuk pintu yang sedikit terbuka tersebut apabila kedengaran seperti suara seorang perempuan dan lelaki sedang bertelingkah.
“You dah janji dengan I. Takkan you buat-buat lupa pula. You tahu tak my mom dah bising-bising tentang hubungan kita.”
Aku tersentak. Hubungan?
“Bila masa pula I pernah berjanji dengan you? I tak pernah berjanji apa-apa pun dengan you. Boleh tak kalau you jangan mereka-reka cerita?”
Itu suara Luqman. Apa hubungan Luqman dengan perempuan yang menuntut janji itu?
“Habis tu, apa yang you anggap tentang hubungan kita? Takkan selama kita keluar dan kedatangan you ke rumah I ni, you langsung tak ada apa-apa perasaan terhadap I?”
“Look, Ferisha. You jangan salah anggap dan jangan nak mereka-reka. You dengan I tak ada apa-apa hubungan. I keluar dengan you hanya sebagai seorang kawan sepejabat. Tak lebih dari itu dan kehadiran I ke rumah you pun sekadar memenuhi jemputan you meraikan kepulangan adik you yang baru pulang dari United Kingdom. Itu pun baru sekali I ke sana. Apa pun hubungan yang you ciptakan di hadapan keluarga you, tak ada kena mengena dengan I kerana I tak pernah berjanji atau memberi apa-apa harapan pada you.”
“What? Man, you ni kan...”
“Min! Min buat apa di sini?”
Aku terkejut seraya menoleh ke sebelah. Abang Nain memandangku dengan pandangan kehairanan. Di sebelahnya pula berdiri kak Maria dan Fina yang berwajah gusar.
“Puas kami cari kak Min tadi. Fin ingatkan Kak Min dah balik.”
Serasa wajahku bertukar pucat. Ditoreh pun tidak berdarah barangkali. Perasaan bersalah mula bergumpal di hatiku. Aku sepatutnya tidak berada di situ. Aku tidak sepatutnya terus mendengar perkara yang bukan menjadi urusanku. Tapi mengapa, kakiku terus terpaku di situ sehingga tidak menyedari kehadiran mereka di sebelahku.
“Maaf, Min...tadi...tapi ingat nak...tak sangka...err..” terketar-ketar aku cuba memberi penjelasan kepada Abang Nain.
“Apa ni?”
Pintu bilik Luqman terbuka luas. Aku, Abang Nain, kak Maria dan Fina sama-sama menoleh ke arah bilik Luqman. Di hadapan kami kini, berdiri Luqman dengan wajah kehairanan dan Ferisha yang berwajah masam kelat.
“Wah! Tak sangka, tak cukup dengan wartawan bebas dalam pejabat ni yang suka menjaja cerita peribadi orang, ada pula wartawan part time nak cari berita sensasi dalam bangunan ni. Import dari luar pula tu. Tak sangka I,” sindir Ferisha sambil memeluk tubuh dan bersandar di birai pintu pejabat Luqman. Wanita itu kelihatan sangat seksi dengan blouse merah yang agak jarang dan skirt pendek di atas paras lutut. Aku terkebil-kebil melihat tingkahlakunya yang agak berani di hadapan Luqman dan Abang Nain. Kak Maria dan Fina terus berlalu dari situ sebaik sahaja menerima isyarat mata daripada Abang Nain.
“Min buat apa di sini?” soal Luqman dengan pandangan mata yang tajam.
“Buat apa lagi? Nak jadi spy lah tu? Jaga tepi kain orang. Macam orang tak ada pelajaran, curi dengar perbualan orang.”
Aku tersentap. Begitu sekali aku dituduh. Besar sangatkah salahku? Aku memandang ke arah Luqman. Ternyata dia tidak membantah juga tidak mengiya kata-kata Ferisha itu.
“Min buat apa di sini?” sekali lagi aku disoalnya.
“Saya yang suruh dia datang. Kami nak keluar makan tengahari,” pintas Abang Nain pula tanpa sempat aku menjawabnya.
Luqman memandang pula ke arah Abang Nain. Pandangan mereka beradu beberapa ketika sebelum Abang Nain berbalas pandang dengan Ferisha pula.
“Cik Ferisha, awak tak ada kerjakah? Asyik menempek di pejabat orang ketika waktu bekerja? Tadi Tan Sri merungut di hadapan saya, fail yang diminta untuk meeting pukul 10 pagi tak sampai ke tangannya. Awak cari fail atau buat fail di bilik ni?”
Ternyata giliran wanita itu pula tersentak. Wanita itu memandang ke arah Luqman, mungkin meminta sokongan. Tetapi Luqman masih diam, beku. Pandangannya juga masih tidak berganjak memandang ke arahku. Setelah beberapa saat, Luqman tidak membalas pandangannya, dia mendengus keras. Dengan mimik muka tidak puas hati dia melangkah pergi sambil menghentak tumit tingginya seolah-olah memprotes dengan teguran Abang Nain itu tadi. Aku terkebil-kebil memandang tingkahlaku tersebut. Tidakkah wanita itu berasa malu memperlihatkan kelakuannya di hadapan kedua lelaki yang berpangkat tinggi di dalam syarikat ini?
“Min, jom,” pelawa Abang Nain seraya membuka langkah menuju ke arah pintu keluar. Aku mengangguk.
“Jasmin Alia.”
Langkahku yang baru beberapa tapak ke hadapan, terhenti. Aku menoleh kembali ke arahnya yang masih berdiri di hadapan pintu biliknya.
“Awak ni wanita jenis apa, ya?”
Hah! Apa maksudnya?
“Min tak faham. Apa maksud Luq?”
“Tak faham atau buat-buat tak faham. Malam keluar dengan lelaki lain, siang keluar dengan lelaki lain. Awak ni suka pasang spare tyre, ya? Sekejap dengan Luq, sekejap dengan abang Nain awak, sekejap dengan Munir pulak. Orang ni tak boleh keluar, awak keluar dengan lelaki lain. ”
Burrrr..... Wah, ini sudah lebih! Adakah dia bermaksud aku ni gila lelaki? Suka dikelek ke sana ke mari.
“Munir is my business partner. Dalam hal keluar-keluar ni, apa kena mengena Min dengan Luq? Suka hati Min lah dengan siapa pun Min nak keluar. ”
“Ok. Munir is your business partner. Then, what about me and your abang Nain? Tak macam spare tyre ke? Kalau dia tak ada, Min keluar dengan Luq. Kalau Luq sibuk, Min keluar pula dengan dia. Apa ni?”
Apa ni? Hatiku semakin mendidih. Lagi lama aku di situ, lagi sakit hatiku dibuatnya. Kalau diikutkan kata hati, memang aku akan membalas kata-katanya. Tapi kedudukan kami yang berada di dalam kawasan pejabat, pasti akan membangkitkan spekulasi. Paling kurang, berita ini pasti sampai ke telinga ibu dan seterusnya ke pengetahuan babah. Aku tak mahu perkara ini terjadi.
“Apa pun yang Luq rasa, Min tak pernah ada niat seperti itu. Terpulanglah pada Luq nak fikirkan Min ni seperti apa pun. Min dah penat. Min dah letih. Maaf kerana terdengar perbualan Luq dengan Cik Ferisha tadi. Min tak bermaksud nak jadi kaki penyibuk. Min cuma ingat nak menjenguk Luq di pejabat. Tapi ini pula yang terjadi. Min minta maaf sekali lagi.” ucapku sambil melangkah laju menuruti Abang Nain yang sudah hilang di balik pintu utama. Tatkala kaki melangkah, hatiku terasa sangat pilu. Marah, geram, sedih dan sayu berkumpul menjadi satu. Abang Nain sudah menanti di pintu lif. Aku membuntutnya melangkah masuk ke dalam sebaik sahaja pintu lif terbuka.
“Jangan ambil hati dengan ulah si Ferisha tadi. Dasar anak manja. Dia tu anak Datuk Fazil. Sebab tu dengan sesiapa pun dia bersikap begitu. Dia ingat ayah dia pemegang saham syarikat, dia boleh buat sesuka hati. Geram juga bila melihat kelakuannya itu. Abang Nain nak tunggu masa yang sesuai sahaja untuk mencadangkan pemecatannya itu. Min macam mana? Ok ke?”
“Hmm, tak apa Abang Nain. Min ok.”
Aku mengangguk sambil tersenyum nipis. Aku berbohong. Tak mahu dia melihat keadaanku yang serasa seperti hendak tumbang, dengan perlahan-lahan aku berundur ke belakang. Menyandarkan tubuhku yang terasa seperti hendak rebah. Tangan dan kakiku terasa seperti mengigil tanpa henti. Marah sangatkah aku sampai terasa seperti hendak memuntahkannya kembali? Tapi aku cuba juga untuk bertahan. Ketika lif bergerak turun, terkenang kembali perbualan antara Luqman dengan Ferisha dan tuduhan Luqman terhadapku bersilih ganti. Aku hanya memandang ke lantai.
“Min dah sampai.”
Aku tersentak seketika. Dah sampai mana?
“Min, ok ke? Muka Min pucat?”
Diam. Serasa ada air panas yang mula bertakung di tubir mata. Sampai hati Luq tuduh Min macam tu?
“Abang Nain, Min letih. Boleh hantar Min balik rumah?”
Lelaki itu mengangguk laju. Dia langsung tidak bertanya apa-apa lagi. Sepanjang perjalanan, aku hanya diam. Begitu juga dengan Abang Nain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan