Khamis, 26 Ogos 2010

DCJ9

“Hello, assalamualaikum.”
Mendengar suara babah di hujung corong telefon menyebabkan dadaku sebak tiba-tiba. Terasa seperti air panas mula bertakung di bibir mata.
“Babah!”
“Jasmin! Babah ingatkan siapa tadi. Min sihat?”
“Sihat. Babah..”
Esakan ku mula pecah.
“Kenapa Min? Min nangis ya?”
Air mataku terus mengalir. Aku mula tersedu-sedu.
“Jasmin... Kenapa ni? Min sakit ya? Jangan menangis sayang. Macam mana nak bercakap kalau Min menangis.”
“Kenapa babah tak balik? Hujung bulan ni Min dah nak exam. Min rindu. Sampai hati babah. Babah tak sayang Min ke?”
Ngongoiku dalam esakan. Terdengar keluhan berat di sebelah sana.
“Jasmin.. Babah kerja, sayang. Babah bukan sengaja tak mahu balik. Bila semuanya dah selesai, babah janji akan ambil Min tinggal dengan babah.”
“Dari dulu babah asyik berjanji sahaja. Tapi babah mungkir juga. Babah memang tak sayang Min. Babah sengaja nak mengelak daripada Min kan?”
“Jasmin.. Janganlah berperangai macam ni.”
“Babah, Min bukan budak kecil lagi. Min dah 17 tahun. Min dah tahu kenapa babah ke Jepun. Min dah dengar semuanya dari Ayah Long. Bukan salah Ayah Long. Tapi Min terdengar semasa Ayah Long bercakap dengan Ayah Cu.”
“Min curi dengar ya? Kan babah cakap jangan mencuri dengar cakap orang tua. Tak baik.”
Pintas babah tegas.
“Babah tak payah nak bersembunyi lagi. Babah tak perlu lagi memberi seribu satu alasan pada Min. Sampai hati babah sisihkan Min dari hidup babah. Min benci babah! Min benci!”
Jeritku agak kuat. Mujur tiada siapa di rumah. Ayah long dan mak long ke baruh/ sawah. Aku terus meletakkan ganggang telefon. Seketika kemudian kedengaran telefon bimbitku berdering dari dalam bilik. Aku bergegas ke dalam. Babah! Aku terus membiarkan ia berdering sehingga ia berhenti sendiri. Sampai hati babah! Aku terus melabuhkan punggung di birai katil. Terasa seperti percakapan Ayah Long semalam terngiang-ngiang di telingaku.
“Bila angah nak balik bang long?”
“Entahlah. Along pun tak tahu. Marah benar dia pada kami. Dia tu marah sungguh bila along tak beritahu tentang kematian Farhana. Si Jasmin tu pula bila semakin besar saling tak tumpah macam mamanya.”
“Hmm, betul. Kalau saya tengok si Jamin tu, teringat saya kat arwah Kak Ngah.”
Aku memejamkan mata. Terus membiarkan air mata mengalir. Kerana wajahku seperti mama, babah terus menjauhi dirinya daripadaku. Itukah alasannya selama ini? Membiarkan aku terus tertunggu-tunggu menanti kepulangannya. Kejamnya babah! Tapi betapa aku cuba berkata aku benci babah tetapi hatiku tetap menyayanginya. Dia ayah kandungku. Mana mungkin aku membencinya. Mustahil! Mama, babah dah tak sayangkan Min! Aku terus menyembamkan wajahku ke katil.
Tak lama selepas itu, telefon bimbitku berbunyi lagi. Pesanan ringkas. Aku membelek nama pengirim. Babah!
: Babah bukan tak mahu bawa Min tinggal dengan babah. Tapi babah takut Min sunyi tinggal seorang. Babah bukannya selalu ada di rumah. Kerja babah menuntut untuk babah sentiasa ke luar wilayah. Babah harap Min faham dengan situasi babah.
Aku tertunduk mendengar penjelasan babah. Aku lah yang berdosa, sentiasa buruk sangka terhadapnya.
: Maafkan Min, babah. Min tak patut marah babah. Tapi, tak boleh ke babah tukar kerja lain sahaja? Kerja yang boleh membuatkan babah bekerja di Malaysia sahaja. Lagipun, sampai bila babah nak travel sahaja. Tak teringin ke babah menginap tetap di satu tempat sahaja?
Diam. Tiada sebarang balasan. Lama. Aku resah. Babah terasakah dengan kata-kataku?
: Maafkan Min kerana menyinggung perasaan babah. Min dah sakitkan hati babah. Min tak patut minta yang bukan-bukan. Maafkan Min, babah. Min tak akan cakap lagi tentang perkara ini.
Diam. Tiada sebarang balasan.
: Babah, jawab lah. Kenapa diam? Babah marahkan Min ke?
Aku hampir-hampir kecewa apabila tiba-tiba telefonku berbunyi menanda ada panggilan masuk. Babah!
“Hello, babah?”
“Jasmin, babah tak mahu bermesej-mesej dengan anak babah. Babah nak dengar suara anak babah. Jasmin, min tak salah. Apa yang Min cakap tu betul. Itu hak Min. Sabar. Itu sahaja yang mampu babah kata sekarang. Babah harap Min bersabar. Boleh?”
Aku mengangguk lemah. Aku tak mampu bersuara lagi.
“Baiklah. Min akan bersabar. Min tak akan ungkit lagi perkara ni,” ujarku dalam nada sebak.
“Syukur, alhamdulillah. Sabar, ya sayang. Babah akan tunaikan janji babah. Min berilah babah masa, antara lambat dengan cepat. Sesuatu yang kita dapat akan lebih bermakna setelah kita banyak bersabar semasa berusaha untuk memilikinya. Ok?”
“Ok, bah. Min akan tunggu hari itu.”

Tiada ulasan: