Aku
baru selesai menyiapkan susunan bunga telur di dalam bekasnya apabila
kedengaran ketukan di pintu kamar ayah cu. Aku mendongak. Ayah cu
tersenyum di sebalik pintu. Aku membalas senyumannya.
“Min dah makan? Min buat apa?”
“Dah.
Min dah makan dengan ummi selepas maghrib tadi. Min tengah susun bunga
telur ni dalam bekas. Ayah cu baru sampai dari pekan ke? Abang Nain
mana?”
“Amboi, risau benar dia kat abang Nain dia. Ada kat depan tu, dengan ayah long.”
Aku
mencebir. Ayah cu menapak masuk dan melabuhkan punggungnya di sisiku.
Ada lagi beberapa kuntum bunga lagi yang masih bertaburan di atas
lantai. Sengaja aku menyusunnya di dalam bekas berbentuk pasu bunga agar
mudah kerja-kerja memasukkan telur nanti.
“Ayah cu janganlah fikir yang bukan-bukan. Min dengan Abang Nain tak ada apa-apalah. Min dah anggap dia macam abang Min.”
“Sebab tu tak mahu dia jadi pengapit ayah cu?”
Aku
tersentak. Siapa yang beritahu. Bekas bunga telur yang sudah tersusun
indah berselang seli putih dan hijau muda, warna tema pilihan ayah cu,
aku alihkan ke tepi dinding kamar pengantin.
“Ummi Long beritahu. Nadheera pun beritahu hal yang sama. Does this decision give the problem to you?”
Aku memandang ke arahnya. Ayah cu juga turut memandangku. Aku menggelengkan kepala, perlahan.
“Err.. bukan macam tu maksud Min. Err..”
“Habis tu? Apa maksud Min sebenarnya? Are you not happy about this?”
Bagaimana
hendak ku terangkan kepadanya? Aku membetulkan dudukku mengadap ke
arahnya. Wajahnya kelihatan agak tegang sedikit. Marah barangkali.
“Ayah Cu marah?”
Lelaki itu tertawa tiba-tiba. Eh, pelikya!
“Kenapa ketawa pula?”
“Cenggeng!
Dari dulu sampai sekarang, tak pernah berubah. Mujurlah kamu tu,
seorang jer. Kalau ada adik-beradik, entah bagaimana agaknya? Umur dah
masuk 30 puluh tahun pun, perangai masih tak matang.”
Huh!
“Apa maksud ayah cu?”
“Ayah Cu jumpa Luqman kat pekan tadi.”
Aku tersentak. Baru siang tadi aku ternampak keretanya menuju ke jalan besar. Agaknya benarlah sangkaanku, dia menuju ke pekan.
“Min suka dia?”
“Siapa?”
“Mohd Luqman Haqeem.”
Burrrr...terasa darah panas menyerbu ke muka.
“Kan Min dah cakap, Min dengan dia kawan sahaja. Berapa kali nak beritahu?”
“Tapi dia sukakan Min, betul?”
Sekali lagi aku tergamam mendengar soalan cepu emas ayah cu.
“Err...entah. Min tak tahu. Min tak pernah tanya dia.”
“Kenapa tak tanya?”
“Ish! Ayah cu ni hilang akal ke? Tanya soalan macam tu pada Min.”
Aku
bingkas menuju ke arah meja solek. Pura-pura mengemas di situ sedangkan
kawasan itu sudah ku kemas tadi. Tindakan spontan itu lebih kepada
mengurangkan perasaan gementarku.
“Habis tu, takkan dia tak pernah bagi hint apa-apa?”
Aku
memandang ayah cu melalui imejnya di cermin meja solek. Bapa saudaraku
itu bergerak menuju ke katil pengantin. Dia kemudiannya melabuhkan
punggungnya di birai katil.
“Hint? Hint apa? Kenapa ayah cu tanya macam-macam pada Min ni? Min tak ada apa-apa lah dengan dia.”
“Tapi
ayah cu rasa, ada sesuatu antara kamu berdua. Cara dia pandang Min.
Cara dia layan Min dan cara tindak balas Min padanya tak sama dengan
tindak balas Min pada Dzulkarnain.”
Ayah cu berdehem beberapa kali.
“Min
tahu tak Dzulkarnain dah hantar cincin lamaran kepada babah kamu?
Katanya, dia pernah melamar Min dahulu tetapi Min hanya mendiamkan
diri. Dia menganggap Min bersetuju tetapi tidak berani memberitahu
kepada babah dan ibu Darlynna untuk meminta persetujuan.”
Hah!
Terasa seperti seketul batu yang amat besar menghempap ke kepalaku. Ya
Allah! Betulkah apa yang aku dengar ini? Tetapi kenapa babah dan ibu
Darlynna tidak pernah memberitahu hal ini kepadaku. Tiba-tiba terlintas
sesuatu di kotak fikiranku. Tingkah laku mereka selepas pulang dari Sibu
agak pelik. Dan ibu Darlynna ada juga terlepas cakap tentang sesuatu
yang diberi oleh Abang Nain. Adakah sesuatu itu adalah cincin lamaran
yang ayah cu maksudkan?
Aku segera menghampiri ayah cu.
“Babah terima ke lamaran itu?”
“Min dah tengok cincin tu? Cantik. Lebih cantik daripada yang ayah cu berikan kepada Nadheera. Mesti mahal.”
“Ayah cu... Min tak pandang semua tu. Bukan duit yang Min kejar.”
“Min beri harapan kepadanya.”
“Min tak pernah beri apa-apa harapan pun.”
“Kalau Min tak cintakan dia, Min cintakan siapa? Luqman?”
Aku terdiam. Mataku mula berkaca. Kata-kata Luqman 12 tahu lalu mula terngiang-ngiang di fikiranku.
“Dia tak mungkin cintakan Min. Dia pernah cakap, dia anggap kami sebagai sahabat.”
“Bila?”
12
tahun yang lalu, jawapan yang hanya tersekat di kerongkong. Aku tak
mampu lagi nak bersuara. Tangisanku mula pecah. Kehidupanku sudah
ditentukan. Selepas ini, aku sudah tiada pilihan lagi untuk memilih cara
hidupku sendiri. Hatiku semakin sebak. Sedih meruntun dan sangat pilu.
“Laa.. menangis pula dia. Hei, kenapa ni?”
Ayah
cu terus memaut dan memeluk tubuhku seperti dulu. Tak sangka, bila dah
berusia begini aku masih memerlukan bahunya untuk aku melampiaskan rasa
sedihku.
Badanku
sudah terhinggut-hinggut menahan tangis. Tetapi, hatiku tersangat
sedih. Sakit rupanya perasaan ini. Sakit yang bukan sedikit. Aku
menangis semahu-mahunya di bahu ayah cu.
***
“Tak nak angkat dia tidur di kamar ke?”
“Tak payahlah, Long. Biarkan sahaja dia tidur di situ. Mungkin letih sangat tu.”
“Ish,
kenapa dia menangis teruk sangat? Si Dzulkarnain tu tiga, empat kali
menjenguk ke bilik. Risau sungguh dia bila kami yang duduk di ruang
tamu, terdengar tangisan Jasmin tadi.”
“Tak
ada apa-apa, Long. Dia dah luahkan segala yang dia pendamkan selama
ini. Bukannya Long tak kenal budak seorang tu, ada masalah, pendam
seorang. Bila susah hati, stress, monyok muka, selepas tu tak lalu
makan. Mana tak sakit. Jangan risaulah. Insyaallah, selepas ni baiklah
tu. Pergilah Long tidur. Dah lewat ni. Dzulkarnain tu di mana?”
“Ada di biliknya, Long dah suruh dia masuk tidur dahulu. ”
“Ha,
eloklah tu. Apa-apa hal, esoklah kita cuba selesaikan. Saya pun dah
letih ni. Seharian di pekan. Ingatkan dapat lah nak rehat sekejap di
bilik tu. Ini nampak gayanya, si Jasmin yang merasmikannya dahulu.”
Sayup-sayup
kedengaran suara tawa ayah cu dan ummi long mula menjauh di sebalik
kamar. Aku membuka mata. Kelam. Sunyi. Sepi. Sesepi hatiku, barangkali.
Perlahan-lahan aku bingkas dari katil. Entah berapa lama aku menangis
dan entah bila aku tertidur, tidak pula aku sedar. Aku memandang ke luar
kamar melalui tingkap yang berdekatan dengan katil pengantin. Dengan
perlahan, aku melepas keluhan.
Aku
terlalu mengharap dan aku sentiasa berharap. Entah kenapa aku masih
mengharapkannya? Sedangkan aku tahu tiada tempat untuk aku di sisinya.
Sedangkan aku sudah tahu jawapannya 12 tahun yang lalu. Baru aku sedar
kini, aku dah lama mengharap daripadanya. 12 tahun, bukan tempoh masa
yang singkat. Dan kini harapanku dah tipis. Peluang itu sudah mula
tertutup sedikit demi sedikit. Sekali lagi aku mengeluh. Dunia cintaku
tak seindah seperti yang aku harapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan