Rabu, 25 September 2013

DCJ 43

Aku buka mata. Sunyi. Aku pusing ke kanan, memandang ke arah pintu. Kelihatan babah tertidur di tepi katil. Aku bangun perlahan-lahan dan duduk di kepala katil.  Aku menyentuh tangan babah yang menjadi lapik kepalanya. Babah terjaga.

“Min, dah sedar?” soal babah dalam riak terkejut.

“Min ganggu tidur babah? Maafkan, Min,” jawabku sungul.

“Tak apa. Babah pun baru sahaja tertidur.”

“Tak, bukan itu maksud Min. Min minta maaf tentang kejadian tadi.”

“Eh, kenapa nak minta maaf? Min tak salah apa-apa.”

“Min malukan babah. Min malukan ayah long. Min malukan semua adik beradik.”

Babah tersenyum. Tangannya mengusap pipiku lembut.

“Min tertekan. Ibu dah cerita pada babah tentang keadaan Min. Jangan risau. Tak ada sesiapa pun yang salahkan Min. Semua orang risaukan keadaan Min. Termasuklah jejaka idaman Malaya Min,” ujar babah sambil tersenyum.

Jejaka idaman Malaya? Siapa? Luqman? Cepatnya dia sampai kat kampung? Atau…

“Babah, Luq ada kat kampung ke?”

“Tentulah ada. Kan tadi majlis pertunangan Min dengan Luqman. Sepetang tadi dia menolong babah di pasang khemah. Takkan Min tak perasan? Kalau tak silap tiga empat kali dia cari Min,” terang babah panjang lebar.

“Oh, jadi Luq memang balik kampung? Tapi dia cakap, dia… Ooo, dia tipu aku rupanya,” gerutuku antara dengar dan tidak. Eii, geramnya!

Bertuah punya lelaki! Eh, silap! Bertuah punya tunang! Dia balik tetapi dia tipu aku kata tak balik. Dia cari aku tetapi kenapa aku tak nampak dia? Hah! Jangan-jangan dia sembunyi-sembunyi tengok aku lagi? Aku mengetap bibir. Teruk angau dia, lagi teruk dari angau aku zaman sekolah dulu. Tetapi kenapa aku tak perasan kehadirannya? Ke aku yang terlebih angau? Huhu..

Babah bingkas.

“Babah nak ke mana?”

“Nak keluar. Min dah sedar. Tak perlulah babah tunggu lagi. Kenapa?”

“Min dahaga,” ujarku dalam nada mengada-ngada.

“Ada-ada sahaja. Abah suruh Luq bawakan, boleh?”

“Hah! Dia ada kat sini ke?” soalku separuh terkejut.

“Ada kat luar tu. Dari tadi asyik bertanyakan keadaan Min. Risau sangat dia. Kalau boleh tu sampai dalam bilik dia nak temankan Min. Sayang sungguh dia kat Min.”

Huh! Sayang tetapi suka mengenakan orang. Buat sakit hati sahaja. Dari dulu sampai sekarang, anak babah ni asyik kena buli sahaja, gerutu hatiku.

“Min nak minum dulu. Kering sangat tekak ni.”

“Tak nak jumpa tunang ke?”

Aku mencebik mendengar soalan babah itu. Sengaja menduga hatiku sedangkan dia baru sahaja memaklumkan tentang lelaki itu yang masih berada di rumah ayah long itu.

“Min tak ada mood nak jumpa dia,”jawabku malas-malas.

“Amboi, nak jumpa pun kena ada mood ke?” soalnya tersengih-sengih.

Tak habis lagi mengusik.

“Babahhh…”

“Ok, ok. Bangunlah. Ikut babah keluar. Min belum makan lagi kan?”

“Min dah makan, tapi rasanya macam lapar semula,” jawabku seraya memegang perutku yang tiba-tiba berkeroncong.

 Aku bingkas dan terus memegang tangan babah.

“Eh, kenapa ni?”

“Saja. Kat luar tu ramai. Min malu kalau ada orang tanya kenapa Min pengsan,” jawabku lurus.

“Haha, anak cenggeng. Dah tak ada siapa kat luar tu. Tinggal adik beradik kita sahaja.”

“Oh, ya ka?”

Aku tersengih. Tapi adik beradik pun tentu akan bertanya juga kan? Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Melihat babah sudah memegang tombol pintu, aku pantas mengambil tudung yang diletak di atas meja solek dan terus membuntuti babah ke luar bilik. Memang dah sunyi. Keriuhan hanya terdengar dari arah luar rumah. Suara kanak-kanah riuh bermain di luar meskipun dah agak lewat malam. Babah menuju ke ruang tamu. Manakala aku terus melangkah ke arah dapur.

“Ha…dah sihat?” soal ummi long sebaik sahaja ternampak aku di dapur. Aku sekadar mengangguk sambil melabuhkan punggung di kerusi meja makan.

“Hai lah anak dara seorang ni. Bertunang pun boleh pengsan,” seloroh ummi lang sambil menepuk bahuku. Aku tersengih.

“Apa yang kau fikir sampai boleh pengsan, Min?”

Aku terkebil-kebil memandang ummi lang. Perlukah aku menjawab soalan wanita yang berpangkat ibu saudaraku itu?

“Kamu ni, Lang. Tak ada sesiapa yang beritahu dia tentang majlis malam ni. Tentulah dia terkejut. Kamu tu yang membawa mulut tentang belanja kahwin tu, ada kamu fikir tentang perasaan Iskandar dan Darlynna?” Ummi Long bersuara.

“Alaa.. kak long ni. Saya hanya nak menyuarakan pendapat sahaja. Dah kata si Luqman tu kerja jurutera. Gaji besar. Takkan lapan ribu sahaja nak beri kepada Jasmin ni,” jawab ummi lang, masih tidak puas hati.

“Aku bukan nak jual anak, alang. Macam kau jual anak kau si Izzah tu. Aku nak bagi mereka berkahwin, berkeluarga sehingga akhir hayat. Bukan kahwin hari ni, esok lusa dah bercerai berai. Bukannya berkeluarga tapi menanggung hutang. Mas kahwin dan belanja waktu nikah ni sahaja. Selepas ni, apa yang Jasmin minta, aku yakin Luqman tu boleh beri apa-apa sahaja selepas mereka bekeluarga nanti,” bela ummi panjang lebar.

Ummi lang mencebik.

“Kak long ni, apa yang saya cakap, semua tak kena,” bentak ummi lang sambil bingkas keluar dari dapur. Mungkin juga malu, mungkin juga marah dengan jawapan ummi long itu tadi.

Aku tersenyum. Terima kasih ummi kerana memahami diriku. Baru aku tahu bahawa aku mewarisi sikap ummi long. Didikan ummi long benar-benar memberi kesan dalam hidupku.

“Ummi long taknak makan sama,” pelawaku setelah lama mendiamkan diri.

“Min makanlah dulu. Ummi nak tengok ayah long kamu. Katanya tadi nak bincang tentang kenduri kamu,” ujar ummi long seraya berdar ke ruang depan.

Aku mengangguk.

Sedang enak mengunyah nasi kenduri, tiba-tiba terasa diriku dibayangi seseorang. Aku mendongak.

“Amboi, sedapnya makan. Tak ajak tunang makan pun. Luq kat luar asyik lah risaukan keadaan dia. Dia sedap-sedap makan nasi di dapur,” tegur lelaki itu.
Mujur tak tersedak. Wajahku memerah. Malu.

“Luq nak makan ke? Min ambilkan nasi,” pelawaku bingkas berdiri dan mencapai pinggan kosong di atas rak pinggan berhampiran dengan sinki. Kemudian aku ceduk nasi dari mangkuk tambah ke dalam pinggan tersebut.

“Ibu kata Min stress. Betul ke?”

Tindakanku terhenti. Aku memandang ke arah Luqman. Matanya merah. Tajam memandang ke arahku. Pandangan yang sama seperti 13 tahun yang lalu. Kemudiannya dia melarikan pandangannya ke jariku. Alamak!

“Mana cincin?”

Aku memandang jari di tangan kiriku.

“Err…ada. Tadi Min buka sebab nak..”

“Mungkin semua ini agak mengejutkan bagi Min. Tapi Luq kan dah beritahu perasaan Luq pada Min. Luq harap semua ni bukan disebabkan oleh perasaan Min yang berbelah bagi antara Luq dan orang lain. Kalau Min rasa masih belum bersedia, kita boleh tangguhkan perkahwinan kita. Luq akan tunggu sehingga Min benar-benar bersedia jadi isteri Luq.”

Aku tersentak. Tangguhkan? Dia kecil hati ke?

“Min tak maksudkan…”

Luqman bingkas sebelum aku sempat berkata apa-apa.

“Luq!”
Luqman terus berjalan menuju ke ruang depan.

“Luq!” sekali lagi aku memanggil.

Lelaki itu terus berjalan pantas dan langsung tidak berpaling. Hatiku tersentap. Jangan dia tinggalkan aku lagi. Hatiku sudah cukup terluka apabila dia tidak mengendahkan aku dulu. Aku pantas meletak kembali pinggan berisi nasi tadi di atas meja. Dengan pantas aku juga berjalan menuju ke ruang depan.

“Jasmin! Kenapa?” soal ibu Darlynna di ruang tamu. Aku memandang sekeliling. Luqman tiada di situ. Ayah long, ummi long, babah, ayah ngah dan ayah lang memandang ke arahku.

“Ibu nampak Luqman?”

“Ha, tadi dia kata nak makan nasi. Sekejapnya dia makan. Alih-alih dah keluar. Katanya nak balik, ada hal.”

“Kamu ni kenapa, Min?” soal umi long pula. Aku tidak menjawab soalan ummi itu sebaliknya aku memandang ke arah pintu utama. Ternampak kelibat Luqman di antara keriuhan beberapa orang anak-anak ayah ngah dan ayah lang.

Balik! Aku terus berlari keluar rumah. Luqman langsung tidak mengalihkan pandangannya. Aku terus menyarungkan selipar dan cuba untuk mengejar lelaki itu.

“Luq!”laungku.
Terkejut adik-adik sepupku yang bermain di laman rumah apabila mendengar suaraku itu. Aku menghampiri adik–adik sepupuku yang sedang bermain.

“Iqa… Adli, abang Luqman ada beritahu dia nak ke mana tak?”

Kedua-dua mereka menggelengkan kepala. Aku mengeluh. Macam mana ni?

“Kak chik, warna baju kak chik sama dengan warna baju abang luqman,” tegur gadis berusia lapan tahun itu. Aku melihat bajuku. Baru aku perasan sesuatu. Aku memandang Luqman yang semakin menghampiri titi menuju ke jalan utama. Kenapa dia langsung tidak mahu berhenti? Aku perlu buat sesuatu. Aku menarik nafas dalam.

“Abang!”

Serentak itu, langkah Luqman terhenti. Tidak jadi menyeberangi titi kecil yang merintangi tali air di sebelah rumah ayah long. Yes, berjaya! Aku terus memantaskan langkah menghampirinya. Sebaik aku berdiri di belakangnya, aku menghela nafas.

“Abang…”

Luqman berpaling. Dia tersenyum. Yeay!

“Abang? Min panggil Luq abang?”

Aku tersengih. Aku tahu dia nak sangat aku panggil dia dengan panggilan tu.

“Dah tak merajuk dah? Dah tak marah Min dah?”

“Merajuk? Siapa yang merajuk? Marah pun tidak.”

Eh, tak nak mengaku pula. Luqman melangkah beberapa tapak ke depan. Berdiri betul-betul di hadapanku. Matanya merenungku. Dalam. Terasa bau wangian yang dipakai oleh Luqman menusuk hidungku. Aku menguis hidungku beberapa kali.
Sekali lagi aku menarik nafas dalam. Cuba mengumpul kekuatan untuk memulakan percakapanku.

“Min minta maaf dengan kelakuan Min. Min mungkin tak sedar apa yang cuba abang tunjukkan pada Min. Betul cakap abang. Min terlalu berfikir tentang perasaan Min sehinggakan Min lupa apa yang abang rasa terhadap Min. Min terlalu mengikut perasaan. Min asyik terasa semua tak sayangkan Min, tak perlukan Min sedangkan semua orang di sekeliling Min sangat-sangat sayang pada Min. Banyak petunjuk yang abang berikan tetapi apa yang Min nampak adalah sebaliknya. Macam rantai tangan ni dan cincin yang ada di jari Min ni…” ujarku sambil mengunjukkan satu persatu barang yang diberikan kepadaku yang mempunyai setiap maksudnya yang tersendiri. Mujur aku sempat ambil dan sarungkan cincin yang aku buka ketika hendak membasuh pinggan tadi.

Aku cuba untuk bertenang. Luqman masih diam. Oh, mana boleh aku menahan debar sekiranya renungannya langsung tidak lepas dari terus memandangku. 

“Abang tahu tentang kelemahan Min. Tetapi kenapa abang tak berterus terang sahaja. Buatlah sesuatu secara berhadapan. Bukannya dengan sembunyi-sembunyi. Min kan jenis yang tidak fokus…” kata-kataku terhenti apabila Luqman tiba-tiba terus memelukku.

Erk! Aku terpana. Jantungku terasa seakan-akan berhenti berdegup.

“Luq sayangkan Min. Abang cintakan Min.”

Dua ayat yang benar-benar menghantar rasa gentar dan debar dalam hatiku. Ayat yang sangat-sangat ingin aku dengar dari mulutnya selama ini. Indahnya perasaan yang kurasakan ini. Hangatnya pelukan darinya. Satu, dua, tiga, empat, lima… err..tak lama sangat ke pelukan ini?

“Err….”

“Luqman! Jangan lama sangat peluk anak dara orang. Kamu berdua tu baru bertunang. Nanti tak sempat kahwin dah hilang manis tu nanti,” laung suara seseorang dari dalam rumah rumah ayah long. Mesti suara ayah ngah.

Buurrr! Wajahku membahang.

Kedengaran deraian tawa pecah dari arah yang sama. Sepantas kilat aku menolak tubuh Luqman dari terus memelukku.

“Apa?” soal Luqman mengerut dahi.

Aku pantas menampar dadanya. Luqman mengaduh. Dia mengusap dadanya.    

“Ni semua salah abang. Tengok semua orang nampak kita tengah peluk,” marahku sambil memaling wajah membelakangkan rumah ayah long. Eii, malunya. Mesti semua orang yang berada di atas rumah sudah melihat perbuatan kami.

“Alaa.. biarlah. Bukannya ibu Min marah kita. Mana tahan bila dengar suara manja Min tu asyik sebut abang..abang..”

Burr, sekali lagi wajahku membahang. Mujur aku berdiri membelakangkan cahaya. Luqman tidak dapat melihat wajahku yang merah menahan malu. Teringat kembali kejadian bagaimana aku terjatuh dalam pelukannya ketika di dalam bas dan kejadian dia memelukku ketika ditangkap sedang bergaduh di belakang sekolah. Luqman tertawa kecil.

“Lagipun abang dah lama tak peluk Min, semenjak zaman sekolah dulu. Dulu masih gadis sekarang dah lain sebab sekarang dah jadi wanita,” sambungnya lagi.

Hah! Terbeliak aku mendengar kata-katanya. Itu yang dia fikirkan? Gatalnya!

“Jangan ingat kita dah bertunang, abang dah ada tiket untuk peluk Min sesuka hati,” ujarku dalam nada tegas.

“Ala, baru tiga kali abang peluk Min…”

Apa? Dia kira? Eii, geramnya bila dengar jawapannya itu!

Aku terus memusingkan tubuhku 180 darjah. Namun tangan Luqman lebih pantas menarik lenganku. Menahanku dari terus melangkah kembali ke rumah.

“Eh, nak ke mana?”

“Naik ke rumah. Kat sini ada banyak nyamuk. Gatal!”

Luqman tertawa.

“Amboi, perli abang ya? Bukan tadi Min datang nak pujuk abang ke?”

Aku termanggu seketika. A’a lah, aku memang nak pujuk dia tapi tindakannya menyebabkan aku terlupa dengan niatku itu. Aku menoleh ke arahnya. Matanya bercahaya disuluh lampu yang datang dari halaman rumah ayah long.

“Abang masih nak tangguhkan perkahwinan kita?” soalku cuba melupakan tindakan refleks darinya tadi.

“Min dah bersedia ke? Dah boleh terima kenyataan?”

“Tapi seminggu, apa yang Min sempat buat?”

Luqman tercengang.

“Siapa cakap seminggu?”

“Hari tu abang cakap, tak nak bertunang lama-lama. Selepas seminggu nak terus kahwin.”

“Aduhai, tunang abang ni. Abang melawak sahajalah. Takkan itu pun Min dah ambil berat?”

Lah! Kenapa tak cakap? Menakutkan orang sahaja. Mujur aku tak sakit jantung, hanya lemah semangat sahaja, gerutu hatiku.

“Itulah, lain kali beritahu betul-betul bila tarikh kita nak bertunang. Semua nak berahsia dengan Min. Semua nak buat surprise. Bila Min pengsan tahu pula kecut perut,” bebelku kembali.

“Amboi, Min nak bercinta rahsia boleh. Tapi bila abang nak bercinta rahsia tak boleh pula ya,” bidasnya kembali.

Aku mencebik.

“Habis tu bila tarikh perkahwinan kita?”

“Min tak tanya babah ke tadi?”

Aku menggeleng kepala.

“Kenapa tak tanya?”

“Min tak tanya sebab Min ingat tempohnya seminggu. Buat apa Min nak tanya lagi? Abang nak beritahu ke tak?”

“Kita kahwin esok.”

Hah!

“Abang ni betul-betullah. Suka tau buat Min lemah semangat,” marahku sambil mencubit pinggangnya.

Luqman tertawa sambil mengaduh.

“Saja, abang nak usik Min. Abang suka tengok muka Min bila terkejut,” jawabnya sambil tertawa lagi.

“Sebulan dari sekarang, boleh?” soalnya apabila melihat aku terus mendiamkan diri.

Aku menguis-nguis pasir di kaki. Segan pula nak menjawab.

“Boleh tak? Ke Min nak abang tangguh lagi setahun?” soalnya lagi.

Aku terpanggung sambil memasamkan muka. Luqman tergelak lagi. Suka sungguh dia mengusik aku malam ni. Aku tersenyum. Bahagia sungguh melihat senyuman dan tawa yang tak lekang dari wajahnya. Aku menapak ke kerusi kayu di bawah pokok asam dan melabuhkan punggungku di situ. Luqman membuntut dari belakang.

“Min suka tengok abang tersenyum dan ketawa,” pujiku.

“Iya? Ni puji ke perli?”

Aku mengerling.

“Puji. Dulu, Min susah nak tengok abang tersenyum. Muka asyik serius sahaja. Takut Min,” komenku lagi.

“Iya? Hmm, abang suka tengok Min takut. Muka Min kiut sangat masa tu,” balasnya pula sambil memandang ke arahku. Aku tergelak kecil.

“Muka takut pun kiut ke?”

“Muka Min macam mana pun, akan sentiasa kiut di mata abang,” pujinya lagi.

Aku tersengih. Rasa kembang setaman pula bila dipuji tunang sendiri. Tiba-tiba Luqman menarik tangan kananku dan menggenggamnya erat. Aku tersenyum.

“Tak nak masuk dalam ke? Ibu cakap ada orang tu kelaparan sebab tunggu orang pengsan sedar,” soalku sambil cuba menarik kembali tanganku. Luqman menjeling.

“Sekejap lagilah. Tak puas nak duduk bersembang dengan tunang kesayangan,” jawab Luqman sambil melarikan tanganku ke dalam pelukannya. Secara mendadak menyebabkan tubuhku terdorong mendekati tubuhnya. Mukaku terasa membahang. Aku terus menolak tubuhnya menjauhiku dan terus menarik tanganku dari genggamannya.

“Boleh tolong sabar sikit tak? Kita baru sahaja bertunang,” tegasku kembali mengingatinya. Lelaki itu tersentak dengan tindakanku, namun kemudiannya dia tersenyum.


“Yalah, yalah. Abang mengalah. Jom naik atas. Terasa lapar pula,” ajaknya sambil menarik kembali tanganku. Aduhai, lelaki ini, getus hatiku sambil mengikut langkahnya.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Nak lagi... Dan lagi.... Dan lagi.....

Aneesa Nuraim berkata...

nak min ngan luq..nakmo ada org lain masuk line plak...cpt2 ler diaorg nikah tu

baby mio berkata...

best sambung ya tq.

IVORYGINGER berkata...

baik nikah ja esk Luq klu asyik nk pegang Min. Nikah dl, majlis kmudian ok what. ;D