Jumaat, 5 November 2010

DCJ 25

“Min nak kayuh basikal?”

Aku mengangguk apabila mendengar soalannya. Lelaki itu berkerut.

“Kita jalan sajalah. Cepat sikit berpeluh.”

“Tak mahu. Min malas nak jalan. Lagipun, Giant Anthem dan Shimano babah tu tersadai jer, tak berusik pun. Alah, berbasikal pun berpeluh juga nanti.”

Lelaki itu mengeluh.

“Suka hati Min lah.”

Aku tersenyum. Berjaya juga memujuknya untuk berbasikal di tasik petang itu. Dia terlalu sibuk dengan kerja seminggu dua ini, langsung tiada peluang untuk keluar bersama. Apabila dia tiba-tiba muncul di depan pagar rumahku lewat tengahari tu, aku terus mengajaknya berbasikal di tasik hadapan taman perumahan.

“Kita nak bawa pakai apa?”

“Kembara ibu ada carrier. Nanti Min tanya ibu nak pakai ke tak petang ni?”

“Min, Abang Nain tak ada baju yang sesuai la untuk berbasikal.”

Aku tertawa kecil.

“Jangan nak kelentong. Min pernah tengok gambar abang dengan arwah brother Izzat.”

Wajahnya mula berkerut. Cuba mengingati sesuatu.

“Gambar?”

“Iyer. Gambar. Gambar abang naik basikal atas bukit dan arwah berdiri di sebelah abang. Masa tu kan abang pakai pakaian untuk berbasikal. Lengkap satu sut, topi dan kasut.”

“Kat mana Min tengok?”

“Dalam album kat dalam bilik abang lah. Kat mana lagi.”

“Min masuk bilik abang?”

Sekali lagi wajahnya berkerut. Alamak!

“Opss, alamak terpecah rahsia.”

“Bila Min masuk? Abang tak tahu pun.”

Aku tersengih.

“Min pergi tanya ibu ya. Nanti ibu keluar tak sempat pula.”

Aku bingkas ke atas. Cuba melarikan diri daripada disoal siasat lebih lanjut.

“Min..”

Langkahku terhenti. Aku menoleh ke belakang semula. Wajah Abang Nain kelihatan serius dan tegang.

“Err, Min minta maaf. Min bukan saja-saja nak masuk tanpa kebenaran. Hari tu, mummy yang suruh Min ambil kunci kereta di bilik abang Nain. Bila Min ketuk, tak berjawab. Tapi pintu tak berkunci. Abang tengah mandi. Jadi Min masuk ambil sendiri. Masa Min nak ambil kunci atas meja, Min terpandang album yang terbuka atas meja. Maaf kalau Min dah mengganggu privacy abang.”

Terangku panjang lebar. Lelaki itu masih mendiamkan diri. Besar sangatkah salahku sampaikan dia langsung tidak bersuara? Lelaki itu menapak keluar tiba-tiba menuju ke kereta yang terpangkir di luar halaman rumah. Aku bingkas mengejarnya.

“Abang Nain, Min minta maaf kalau Min salah. Takkan kerana hal sekecil ini, abang nak bermasam muka dengan Min. Min dah minta maaf, kan? Abang!”

“Abang tak dapat nak maafkan Min.”

What? But why? Janganlah jadi macam budak-budak. Untuk hal yang sekecil ini, abang...abang!”

Aku cuba menahan tetapi lelaki itu terus melangkah masuk ke dalam keretanya. Dia menghidupkan enjin kereta dan terus memandu pergi. Aku mengeluh. Kenapa dia terlalu emosional? Tiba-tiba menjadi sangat sensitif.

Aku kembali semula ke dalam rumah. Mencapai telefon bimbit yang berada di atas meja ruang tamu. Mendail nombor Abang Nain. Tidak berjawab. Aku mencuba lagi. Masuk mesin pesanan suara. Sekali lagi aku mengeluh.

“Tak nak ikut, tak apalah. Bukan aku tak boleh pergi seorang diri. Merajuk konon. Mengada-ngada. Malas lah nak layan,” gerutu hatiku dangkal dengan sikap Abang Nain.

*** 
Suasana semakin gelap. Bunyi unggas semakin kuat kedengaran. Udara sejuk mula terasa menyegat di tubuhku. Aku terus mengesat luka yang mengalir di betis kaki kiriku.

“Ouch! Arghh...sakitnya.”

Mana semua orang pergi? Kenapa tak ada siapa pun yang angkat panggilan aku? Aku dah rasa macam nak menangis. Nak bangun berjalan, sudah tak berupaya. Betisku tersiat sepanjang dua inci di ranting tajam tatkala terjatuh dari basikal tadi. Lukanya masih meleleh walaupun tidak selaju tadi. Tanganku pula calar-balar sewaktu hendak mengelak kepala ku daripada terhantuk ke batu yang ada di sepanjang tebing curam itu. Shimano tersadai di sebalik pokok di sebelahku. Tayarnya bengkok. Brake disc nya patah.

Tiba-tiba telefonku berbunyi. Luqman!

“Luq!” aku bersuara sudah seperti nak menangis.

“Kenapa Min? Luq mesyuarat tadi tak dapat angkat call.”
Aku sememangnya tiada pilihan lain. Hendak tak hendak aku terpaksa meminta pertolongan daripada lelaki itu juga.

“Tolong, Min jatuh.”

“Jatuh? Min kat mana, Luq datang sekarang.”

“Tasik. Min naik bas...”  Senyap.

“Luq, Luq. Dengar tak?”

Aku memandang telefon. Telefonku mati. Bateri telefon habis.

Arghhh....

Aku benar-benar menangis kali ni. Tak sangka, akibat kelalaianku yang tidak gemar mengecas bateri telefon bimbit. Aku tak sempat nak beritahu Luqman lokasi aku berada. Tentu dia tak dapat mencariku. Aku terus menyembamkan wajahku ke tanah. Pasti aku terpaksa bermalam di sini.

***
“Jasmin.”

Terasa seperti tubuhku dikalih. Aku membuka mata. Pedih apabila pandanganku terpanah dengan cahaya lampu suluh. Rupa-rupanya aku tertidur.

“Luq?”

“Ya.”

“Luq.”

Aku terus menangis semahu-mahunya.

“Syy..jangan menangis. Luq ada ni. Boleh jalan tak?”

Aku menggelengkan kepala.

“Sakit. Kaki Min tertoreh ranting kayu,” ujarku sambil menahan tangis yang masih bersisa.

“Pegang kuat-kuat, Luq dukung.”

Lelaki itu terus memangku tubuhku dan bergerak menuju ke kawasan meletak kereta. Ini kali kedua aku didukung Luqman. Sepantas itu, membuatkan aku terkenang kembali di zaman persekolahan kami.

“Basikal Min?” aku menoleh mencari basikal yang berada di sebelahku tadi.

“Luq datang dengan Faizal tadi. Dia dah ambilkan. Lagipun kereta Luq tak ada carrier. Apa Min buat kat sini?”

Aku memandang wajahnya. Tanganku erat melingkari tengkuknya.

“Min nak testing bawa basikal. Tak sangka brake disc basikal tu rosak. Terus jatuh menjunam kat tebing tajam tu. Macam mana Luq boleh jumpa Min di sini?”

“Luq pakai GPRS. Luq tak sempat dengar apa Min cakap, jadi agak-agak saja sebab kat taman perumahan ni mana ada bas lalu, semua orang dah pakai kereta. Kenapa datang seorang? Sunyi tempat ni.”

“Min ajak Abang Nain. Tapi..”

Lelaki itu mendengus.

“Nain lagi. Mana dia? Takkan dia tinggal Min seorang diri kat sini?”

Aku menggeleng sambil memandang wajahnya. Wajahnya tegang bila mendengar nama Nain keluar dari mulut ku. Aku sendiri tidak faham dengan tingkahlaku Abang Nain. Kenapa dia tiba-tiba marah dan terlalu emosional?

“Dia tak ikut pun. Min datang sendirian.”

“What? Dari rumah? Kayuh basikal?”

Aku mengangguk.

“Jauhnya. Kenapa tak ajak orang lain temankan?”

“Semua orang sibuk. Min bosan lah duduk seorang kat rumah. Babah dan ibu, dua puluh empat jam di pejabat. Kadang-kadang lewat pagi baru balik.”

Lelaki itu tersentak. Tangannya pantas membuka pintu kereta dan meletak tubuhku di tempat duduk depan. Kemudian dia membaringkan kerusi tersebut

“Kami tengah sibuk dengan projek pertengahan tahun. Luq hantar Min ke klinik. Kaki Min tu perlu dirawat. Takut ada jangkitan kuman. Min rehatlah, nanti dah sampai,Luq kejutkan,” ujarnya perlahan.
Aku mengangguk seraya memejamkan mata. Luqman menghidupkan enjin kereta.

Tiada ulasan: