Khamis, 26 Ogos 2010

DCJ8

Aku memandang sepi kad kecil yang berlatar belakangkan negara Eropah.
Maaf sayang. Babah tak dapat pulang cuti musim panas ni. Ke Beijing. Ada seminar. Jumpa nanti.
Aku mengeluh. Kad itu baru kuterima dari pejabat sekolah. Babah berjanji dengan ku dua bulan lepas. Dia akan pulang sebelum aku menduduki peperiksaan SPM. Tapi babah mungkir lagi. Tiba-tiba serasa air panas menakung di kelopak mata. Hatiku sebak.
“Kenapa ni? Termenung sorang-sorang kat sini?” aku terkejut. Dengan pantas aku mengesat airmata yang baru mula mengalir dengan hujung lengan baju kurung sekolahku.
“Awak menangis?” aku menggeleng. Masih menunduk ke tanah. Tidak mahu dia melihat wajahku yang sembab menahan tangis.
“Nah, sapu tangan awak hari tu. Kesat hingus tu. Jangan menangis lah. Tak comel.”
Aku tersentak. Dia masih menyimpan sapu tangan yang kuberi padanya sewaktu mulutnya berdarah ditumbuk Adib dan konco-konconya.
“Ambil lah. Saya dah cuci sapu tangan ni. Bersih.” Ujarnya lagi setelah melihat aku masih ragu-ragu untuk menyambutnya.
“Bukan macam tu lah maksud saya. Anyway, terima kasih.”
“Amalina ada cari awak?” aku mengerut dahi. Kemudiannya menggelengkan kepala. Tiba-tiba terlintas di fikiranku peristiwa di tandas pelajar pagi tadi. Perlu kah aku beritahu? Perasaan sedih sebentar tadi hilang apabila nama perempuan gedik itu keluar dari mulut lelaki itu.
“Betul dia tak kacau awak?”
“Dia tak kenal Min. Lagipun, Min ni bukan ratu cantik macam dia, terkenal satu sekolah.”
“Ooo.”
“Kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Cuma risau.”
“Risau? Kenapa?” sekali lagi aku kehairanan. Lelaki itu menghela nafas panjang.
“Dia mengamuk. Marah-marahkan saya.”
“Kenapa tiba-tiba nak mengamuk pula? Apa lagi yang tak kena? Kata dah putus. Kenapa sambung balik ke? Ish, tak paham saya dengan orang yang kemaruk bercinta ni.” Rungut hatiku, bebal. Selebihnya hatiku masih marah dengan tindakan babah yang memungkiri janjinya. Lelaki itu merenungku tajam.
“Memang dia ada datang minta sambung balik perhubungan dahulu. Tapi saya tolak. Saya tak nak fikir lagi perkara-perkara yang melalaikan hidup saya.” Ringkas jawapannya. Aku terpempan. Bercinta tu melalaikankah?
Dia sudah berubah. Ya, ketika itu kata-kata Nadeera 2 hari yang lalu mula bermain-main di fikiranku.
“Kau tak perasan ke?”
“Perasan apa?”
“Yelah, semenjak kau terseliuh di surau tempoh hari, dia sudah semakin rapat dengan kau.”
“Alah, kalau setakat senyum dan bertegur sapa ketika bertembung, rapat apanya Nad?”
“Lagi satu, kita pun dah jarang nampak dia melepak kat tebing simpang sekolah tu kan? Takkan kau tak perasan? Hubungannya dengan minah gedik tu pun sudah semakin renggang. Aku pernah ternampak Si Amalina gedik tu keluar dating dengan Azroyi kat pekan.”
“Min, saya nak mohon sambung belajar ke Jepun. Nanti Min tolong saya isi borang ya. “
Lamunanku terputus. Aku tersentak. Di hadapanku kini bukan Nadeera, sahabat karibku tetapi Mohd Luqman Hakeem, pelajar tingkatan 6 yang terkenal dengan perangai gengsternya. Aroma minyak wangi yang dipakainya menusuk hidungku. Aku menguis-nguis hidungku yang kegatalan. Sensitif dengan bau-bauan. Kenapa Jepun? Tempat yang sama aku ingin pergi.
“Min? Kenapa ni? Macam terkejut saja?”
“Err..tak. Alah, Luq isi lah sendiri. Takkan lah itu pun nak min tolong isi,” Jawab ku.
Lelaki itu menggaru-garu kepalanya. Rambutnya sudah dipotong pendek. Kemas. Tiada lagi lebihan rambut yang terlindung di sebalik kolar baju sekolahnya.
“Tulisan Luq tak elok. Tulisan Min elok. Luq pernah nampak Min tulis surat. Comel. Bulat-bulat. Macam Min. Boleh lah ye?” pujuknya sambil memuji.
Oh, dia perasan tentang tulisan ku?
“Hmm.. ok lah. Tingginya puji. Kembang min.”
“Oo, ye ke? Kembang kat mana tu?” soalnya sambil memandangku dari atas ke bawah berulang kali.
“Hei! Jangan nak mengarut, “ jerit ku geram sambil memukulnya dengan fail yang ku pegang.
“Aduh, sakitlah!” dia mengusap-usap bahunya.
“Padan muka! Sudah la. Min nak balik. Dah lewat. Nanti Ayah Long cari.”
“Kita balik sama-sama lah. Rumah kita kan satu jalan juga “
“Motor awak mana?”
“Kat bengkel lagi.”
“ Dari hari tu, asyik kat bengkel. Belilah yang baru.”
“Mana ada duit. Mak Luq cuma kerja jual kuih sahaja. Manalah mampu nak pakai motorsikal baru. Lainlan kalau Min. Abah Min kerja besar.”
Huh! Aku tersilap cakap ke?
“Kalau Luq terasa, Min minta maaf. Tapi hidup Luq lebih beruntung. Luq ada abah, ada mak, ada mak tiri dan adik-beradik tiri yang kat Melaka tu. Min ni, apa yang ada? Mak min dah meninggal. Babah Min, nak jumpa sebulan sekali pun susah. Apa guna mewah harta, kalau kurang kasih sayang?”
Lelaki itu tersentak. Dahinya berkerut-kerut.
“Min kurang kasih sayang? Tak cukup lagi ke kasih sayang Ayah Long, Ayah Lang, Ayah Cu dan keluarga-keluarga Min yang lain? Min pun rapat dengan mereka kan? Kenapa? Min ada masalah ke?”
Aku mengeluh. Benar kata-kata Luq itu. Tak cukup lagi ke kasih sayang daripada bapa-bapa saudaraku dan keluarga mereka? Bagiku, kasih sayang yang dicurahkan memang melimpah ruah. Melebihi kasih sayang daripada babahku sendiri. Tapi mana nak sama kasih sayang itu dengan perhatian daripada babah.
“Jomlah,” ujarku seraya berdiri.
Malas mahu memikirkan tentang hubunganku dengan babah. Aku menepuk-nepuk belakang pakaian ku yang dilekati rumput-rumput kering.
“Jasmin..”
Aku menoleh.
“Kenapa?”
“Ni kad ni. Tak mau simpan ke?” soalnya seraya menghulurkan kad kiriman babah yang ku baca tadi.
Aku mengeluh berat. Mungkin terjatuh ketika aku bangun berdiri tadi. Tiba-tiba, perasaan sayu menyelubungi hati. Perasaan rindu yang amat sangat berkumpul kembali. Babah! Getus hatiku. Aku mengambil kad tersebut dan memasukkannya ke dalam beg sekolahku.
“Min, kenapa?”
“Min ok. “
“Tak. Min tak ok. Kenapa Min tiba-tiba sedih?”
Langkahku terhenti. Aku memandang ke arahnya. Tiba-tiba perasaan sebak semakin mencengkam dadaku. Terasa seperti mataku sudah menakung air mata. Aku mengalihkan pandanganku. Malu bertentangan mata dengan lelaki yang berusia 4 tahun lebih tua dariku. Aku tak pandai menyimpan rahsia. Jasmin yang manja. Jasmin yang sensitif. Jasmin yang cenggeng.
“Hei, kenapa ni? Kad ini ke yang menyebabkan Min termenung tadi?”
“Min..” panggilnya lagi setelah aku masih mendiamkan diri. Kolam mataku pecah. Sendu semakin jelas kedengaran.
“Babah...babah dah tak sayang Min lagi...” ujarku tersekat-sekat dalam sendu. 
Tiba-tiba terasa jari jemarinya menyapu lembut air mataku yang semakin laju mengalir dan aku hanya membiarkannya. Ada getar di hujung hatiku, mengalun satu rasa seperti dilindungi.

Tiada ulasan: