Selasa, 7 September 2010

DCJ20

12 tahun lalu ...
“Hai, apa hal nak jumpa Min kat sini?”
Lelaki itu tersenyum memandangku. Dia menghulurkan sepucuk surat
“Saya dapat tawaran ke Jepun. Mungkin 3 bulan lagi akan bertolak ke sana.”
Hatiku tiba-tiba menjadi beku. Dada mula terasa sendu. Aku tersenyum kelat. Aku yang berusaha bagai nak rak, kenapa aku tak dapat tawaran tu? Kenapa Cikgu Ramli beri tawaran tu kepada Luqman. Sambil melabuhkan punggung di atas batu sungai, aku menjulurkan kaki agar mencecah ke permukaan air. Manakala, Luqman lebih selesa berdiri sahaja di sebelahku. Aku mengutip beberapa biji batu kecil dan membalingnya ke dasar sungai. Cuba membuang kekecewaanku yang mula membuak-buak.
“Hujung minggu ni dah nak bertolak ke Kuala Lumpur. Min ikut hantar Luq ke stesen ya.”
“Kuala Lumpur? Nak buat apa?” soalku sambil memanggungkan kepala, memandang ke arahnya.
“Kursus intensif bahasa Jepun. Persediaan sebelum berangkat ke sana. Takkan tak ingat kot? Kan Min banyak buat kajian sebelum apply dulu.”
***
“Sesiapa yang berminat, sila isi borang dengan lengkap. Kepilkan salinan keputusan peperiksaan SPM atau STPM serta sijil-sijil ko-kurikulum kamu dan serahkan kepada saya selewat-lewatnya 26 April ni.”
Ramai-ramai yang berebut mengambil borang yang dihulurkan oleh Cikgu Ramli. Aku, Nadeera dan Luqman pun turut serta dalam kumpulan itu. Berminggu-minggu aku membuat bacaan tentang universiti-universiti yang terbaik dan bersesuaian dengan kursus yang aku minta termasuklah universiti luar negara. Aku yakin, aku dapat melanjutkan pelajaranku ke luar negara seperti babah.
***
“Min nak babah tolong ke? Babah ada kawan dalam Kementerian Pendidikan.” Suara babah kedengaran jelas di hujung corong telefon.
“Tak payah. Min usaha sendiri. Lagipun tak seronok kalau menang tanpa bertanding” jawabku yakin.
Babah tertawa sambil memuji-muji sikap anaknya ini. Aku tidak perlu mengambil kesempatan di atas kelebihan yang dimiliki babah. Berkat keyakinan aku yang terlampau tinggi ini juga menyebabkan aku kecewa teramat sangat apabila namaku tidak tersenarai dalam 2 orang yang terpilih melanjutkan pelajaran ke luar negara.
***
“Bukan Jasmin tak layak. Nama Jasmin berada paling atas dalam senarai yang saya hantar kepada pihak Kementerian. Tetapi mereka mengutamakan pelajar yang berkelulusan STPM yang lebih layak. Mereka lebih matang untuk menghadapi cabaran di negara orang.”
Aku terhenyak. Alasan yang benar tidak munasabah. Akhirnya aku terpaksa akur dengan keputusan pihak sekolah. Tak guna kalau aku merayu lagi. Surat sudah pun dikeluarkan oleh pihak kementerian.
***
“Min dah lupa ke?” Lamunanku putus. Ingatanku pada saat-saat mula mengisi borang, perbualan dengan babah dan yang terakhir rayuanku semasa berjumpa dengan Cikgu Ramli. Aku tahu dua orang pelajar STPM yang tersenarai melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tetapi aku tidak tahu salah seorangnya adalah Mohd Luqman Hakeem.
“Awak tak payahlah nak perli saya. Saya tau lah saya ni tak pandai,” ujarku antara dengar dan tidak.
“Perli? Apa maksud Min? Luq tak perli Min. Luq cuma nak ...”
“Nak menyakitkan hati Min? Begitu?” potongku.
Serasa ada air yang mula bertakung di kelopak mataku. Aku yang menolongnya mengisi borang, tetapi kenapa dia yang dapat? Kenapa bukan aku?
Kalaulah dia tahu kekecewaanku. Kalau lah dia faham. Matanya mencerlung memandangku.
Aku bingkas. Sambil mengibas-ngibas punggung yang dilekati pasir aku menyarung selipar.
“Min! Jasmin!” langkahku terhenti. Aku cuba menahan air mata yang bila-bila masa sahaja akan gugur.
“Luq cuma nak Min ada ketika berangkat nanti. Kita tentu tak akan berjumpa dalam tempoh yang lama. Tapi kalau boleh Luq nak Min jadi orang pertama yang Luq akan jumpa bila pulang nanti.”
“Luq pergi sajalah. Nak buat apa Min hantar? Bukan Min yang dapat tawaran tu.”
Lelaki itu mengeluh.
“Min tak boleh salahkan takdir. Mungkin rezeki Min di sini dan rezeki Luq di sana. Percayalah pada qada dan qadar. Rezeki, jodoh,ajal dan maut semuanya di tangan tuhan. Kita hanya mampu merancang. Tapi yang Esa penentu segalanya. Berusahalah lagi, Min.”
Lembut suaranya menegur sikapku yang terus-terusan menyalahkan takdir. Sesaat itu juga air mata ku mula berlinangan. Aku terus mengesat air mata yang masih berjuraian. Tiba-tiba Luqman menghulurkan sehelai sapu tangan berwarna biru lembut kepadaku. Dia sudah berdiri mengadapku. Tubuhnya begitu hampir sehinggakan aku dapat merasa kehangatan tubuhnya. Wajahnya berkerut kehairanan. Aku menyambut sapu tangan itu tanpa mengucapkan terima kasih.
“Habis tu, Min macam mana?” ujarku dalam tangisan yang masih bersisa.
“Macam biasalah. Tiada apa yang akan berubah. Luq yakin Min akan jadi lebih bijak dan pandai berdikari. Jangan salahkan orang lain. Jangan salahkan babah Min. Dan yang utama jangan salahkan diri Min. ”
Aku terkedu mendengar jawapannya. Sekali lagi aku mengesat air mata dengan belakang tapak tanganku.
“Luq tak sayang Min? Luq tak ..sukakan Min?” lelaki itu terpempan.
Terkejut dengan soalanku itu, tapi aku pasti dia tahu perasaanku. Aku dah tak mampu berselindung lagi. Namun kemudiannya dia tersenyum.
“Luq kenal Min. Bukan sehari dua. Bukan setahun dua. Tapi daripada Min mula-mula datang ke sini.”
Luq tahu? Jadi Luq tahulah selama ni Min selalu curi pandang Luq? Selalu memerhati tingkhlakunya?
Lelaki itu mengusap sisa air mata yang masih melekat di pipiku.
“Luq tahu apa yang Min buat selama ini. Luq juga tahu, Min tak sayangkan Luq. Min cuma keliru.”
“Keliru? Min tak faham?”
Lelaki itu tersenyum.
“Min dengar sini.”
Serentak itu dia memegang kedua-dua belah bahuku. Mata kami bertentangan.
“Min gadis yang polos. Lurus. Min anak yang kekurangan kasih sayang ayah dan ibu. Min gadis yang comel. Bijak. Min tidak seperti remaja lain. Min tidak memilih Azid, ketua pelajar merangkap jaguh sukan sekolah. Min juga tidak memandang Azroyi, jaguh pidato kebangsaan. Tapi Min pilih Mohd Luqman Hakeem, ketua gengster merangkap pembawa masalah kepada sekolah sebagai idola Min. Jiwa remaja Min memberontak, inginkan belaian, kasih sayang. Tapi mujur, hasil didikan Ayah Long dan Ummi, Min membesar sebagai anak yang tidak pandai berdendam, anak yang baik. Min memendam rasa hati sehinggakan Min keliru, tidak tahu membezakan antara kasih dan sayang. Buka mata hati Min itu dahulu. Baru Min ikut apa kata hati Min. Luq sayang Min sama seperti Min sayangkan Luq. Jeeb beri sepenuh perhatian kepada Min kerana Luq tak mahu Min rasa kekurangan kasih sayang. Jeeb nak Min rasa, diri Min adalah anak yang bertuah. Jangan salah sangka dengan kasih sayang yang Luq berikan kepada Min. “
Aku memejamkan mata seketika. Membiarkan air mata yang bertakung mengalir ke pipi. Ada rasa sedih berkumpul di hati. Selama ini, hanya aku sahaja berperasaan padanya. Kenapa tidak dia? Atau memang benar kata-katanya? Aku salah faham dengan cara layanannya. Gadis mana yang tak akan jatuh hati kalau diberi layanan sepenuh perhatian, terutamanya lelaki sebaik dirinya.
“Jangan menangis lagi Min. Min mesti kuat. Min perlu tabah. Min masih muda. Baru 17 tahun. Di sini Min cuma nampak Luq sebagai idola. Nanti bila Min sudah semakin dewasa, Min belajar di tempat lain, Min akan bergaul dengan lebih ramai orang. Min akan lebih kenal ramai lelaki lain. Hati dan cinta Min bukan milik Luq. Min akan jumpa lelaki yang lebih baik dari Luq. Percayalah!”
Aku membuka kelopak mataku kembali. Memandang sekeliling bilik ku. Sunyi. Terngiang-ngiang suara Luqman di telinga ku. Desah nafasnya ketika berada dekat di hadapanku. Jasmin, akurlah pada diri. Ya, aku harus tabah. Hidup mesti diteruskan.
***
Terkebil-kebil mataku memandang ke arah siling bilik. Kenangan 12 tahun lepas melintas di fikiranku. Aku pasti aku tidak silap mendengar apa yang dikatakannya. Aku pasti aku faham maksud yang cuba disampaikannya. Mana mungkin dia ada perasaan terhadapku setelah apa yang diucapkan dahulu. Hati dan cinta aku bukan miliknya. Kata-kata itu seolah-olah aku tak layak langsung untuk dirinya. Akalku mula mencerakin semula kata-kata yang pernah diluahkan Luqman 12 tahun lalu.
***
“Manusia boleh berubah Cik Jasmin oii. Lagipun setahu aku, tiada istilah persahabatan antara lelaki dan perempuan. Aku pasti dia cuma berbohong pada pada kau. Ye lah, masa tu kau pun baru 17 tahun. Muda lagi. Takkan itu pun kau tak faham.”
“Kalau tak ada istilah persahabatan antara golongan lelaki dan perempuan, habis tu kau dan aku ni kira apa?”
“Ish, kau bukan sahabat aku. Kau tu musuh nombor satu aku.”
“Kurang asam punya kawan. Nah, ambil ni..”
Aku membaling sebuah buku nipis ke arah Munir. Tepat mengena bahunya. Lelaki terjerit kecil sambil berlalu ke kaunter bayaran. Aku tertawa. Padan muka!
“Terimalah kenyataan, yang kau pun masih sayangkan dia, Min.”
Jerit Munir sambil tertawa.
Aku menoleh ke arahnya.
“Habis tu, kat mana aku nak letak Abang Nain?”
“Kau cintakan dia ke?”
Aku termanggu mendengar soalan Munir. Aku sendiri tak pasti perasaanku terhadap Abang Nain. Tapi aku yakin ia tak sama seperti ketika aku bersama Luqman. Satu perasaan yang berbeza. Abang Nain dan Luqman juga berbeza jika bersamaku. Abang Nain lebih berterus terang menyatakan perasaannya. Dia begitu mengambil berat tentang diriku sehinggakan aku merasakan bila bersamanya aku seperti seorang adik padanya. Bukan seorang kekasih atau teman istimewa. Luqman pula sebaliknya. Dalam setiap kata-katanya, dia lebih banyak berkias sehinggakan aku selalu sukar mentafsir maksud dan perasaannya. Tingkahlakunya lebih mencabar perasaanku. Sama seperti zaman sekolahku dahulu.

Tiada ulasan: