Khamis, 26 Ogos 2010

DCJ14

Dari sehari ke sehari, hubunganku dengan Abang Nain semakin rapat dan mesra. Dia pandai ambil hati. Ramah. Sentiasa ada sahaja topik yang nak dibicarakan. Lain benar kisah yang kudengar daripada Aunty Darlina. Kata Aunty, Dzulkarnain seorang lelaki yang degil dan keras kepala. Tingkahlakunya sering menyakitkan hati kedua orang tuanya. Hmm..entahlah. Aku malas nak beri komen lebih-lebih tentang orang yang baru aku kenali. Hubungan aku dengan ibu bapanya juga agak mesra. Babah pun macam tak kisah. Kata babah, eloklah ada teman. Pada Tan Sri Khairilzan, aku disuruh panggil Uncle Jan manakala ibunya Puan Sri Roziah, aku panggil mummy. Selalunya alasan untuk kami berjumpa adalah kerana mummy nak jumpa, mummy bosan ada di rumah seorang diri. Tapi dari apa yang aku nampak, wanita itu tidak bersendirian. Sebaliknya, ada ramai pembantu berada di rumah agam mereka termasuklah Abang Nain sendiri yang akan bertenggek dan mengekori sahaja ke mana aku pergi. Kadangkala, bapanya juga ada bersama. Kalau tak ke rumahnya, Abang Nain akan bawa aku keluar berjalan-jalan. Nak tunjuk suasana Shah Alam, katanya. Macamlah aku ni kampung sangat sampai tak kenal Shah Alam tu. Tapi kadang-kadang, aku ikut keluar juga. Bosan tinggal sendirian di rumah. Sejak akhir-akhir ni, babah semakin sibuk. Ada projek baru dengan syarikat Tan Sri Khairilzan, katanya. Tapi aku pelik. Abang Nain tak terlibat ke? Bukan ke dia pun bekerja di syarikat abahnya? Takkan babah saja-saja nak bagi aku peluang keluar dengan Abang Nain? Ataupun babah ada agenda lain dengan Aunty Darlina? Ish, Jasmin! Tak baik kau berburuk sangka dengan bapa sendiri. sahaja. Mesra kan? Mana taknya, hampir setiap minggu juga dia akan mengajak aku ke rumahnya, alasannya
***
Tok..tok..bunyi pintu bilikku diketuk perlahan. Kemudian pintu bilikku terkuak sedikit. Aku menarik selimut yang menutupi mukaku. Babah menjengul kepalanya.
“Ya, bah?”
“Tidur lagi? Min dah bangun solat subuh ka belum?”
“Dah. Sambung tidur balik. Ngantuk. Semalam lewat tidur.”
“Ok. Babah nak ke Tasik. Lepas tu nak singgah breakfast kat rumah Tan Sri. Ada hal. Nak ikut tak?”
Aku mengeliat malas sambil menggelengkan kepala. Mataku masih berat untuk dibuka luas.
“Bah, tolong beli roti canai ya balik nanti.”
“Ok.”
Pintu bilik ditutup semula. Aku terus merebahkan kembali kepala. Mataku terus terpejam rapat.
Tiba-tiba, telefon bimbitku berbunyi nyaring. Aku bingkas malas dari katil. Mengambil telefon yang kuletak di meja solek. Nombor asing.
“Hello.”
“Assalamualaikum. Dah bangun ke belum? Abang Nain ada kat bawah ni. Babah Min suruh hantar roti canai.”
Hah! Aku terus berlari ke tingkap bilik. Benar. Kereta Perdana miliknya terpangkir di hadapan halaman rumahku. Aku berlari semula ke meja solek. Memandang wajahku yang sembab.
“Min nak Abang Nain hantar ke bilik ke atau...?”
“Eh..jangan...Min turun bawah. Sekejap..bagi Min masa 10 minit. Nak basuh muka.”
Apa hal pula, babah suruh Abang Nain yang hantar sarapan untuk aku? Sewaktu aku menuruni anak tangga lelaki itu sudah berada di ruang tamu. Dia tersenyum tatkala memandangku. Pasti kelihatan melucukan melihat aku masih berbaju tidur pijama sahaja. Malas aku nak tukar. Bukan dia tak biasa melihat aku berpakaian sedemikian. Cuma aku masih menjaga maruahku sebagai wanita bukan muhrim dengannya. Aku menutupi kepala dengan tudung. Lagipun, pijama rona hijau lumut yang kupakai, longgar dan agak gelap warnanya. Langsung tidak kelihatan seperti baju tidur.
“Mak Piah mana?” soalku, bimbang ditinggal berdua di dalam rumah .
“Ada kat dapur. Dia buatkan air.”
Beberapa saat kemudian, Mak Piah menatang dulang berisi seteko air dan beberapa biji cawan.
“Haa...Jasmin dah bangun. Mari minum. Dzulkarnain bawa banyak bihun goreng,” ujar Mak Piah dari meja makan.
Bihun goreng? Aku berjalan menghampiri meja makan. Betul. Ada semangkuk besar bihun goreng di atas meja. Masih berasap lagi.
“Mana roti canai? Min nak makan roti canai.”
“Roti canai? Ish, Min ni. Puan Sri dah hantar bihun goreng pun masih tak bersyukur.”
“Abang Nain tipu Min? Kenapa mummy bagi bihun pulak?”
Dzulkarnain terkekeh-kekeh. Ketawa kecil. Mak Piah mengerut dahinya, semakin pelik dengan tingkah laku lelaki itu.
“Sebenarnya, mummy jemput Min dan Uncle Is breakfast kat umah. Abang Nain yang suruh ummi masak bihun goreng. Mak Piah kata Min suka makan bihun goreng. Abang Nain tunggu Min. Tapi yang datang cuma Uncle Is seorang. Sebab tu Abang Nain datang sini.”
“Abang Nain ni buang tabiat ke pagi-pagi ni?”
“Hei...hello...sekarang dah dekat tengahari. Ni dah betul-betul bangun ke..masih mimpi ni?”
Tak semena-mena lelaki itu terus mencubit pipiku. Aduh!
“Sakit la!” marahku sambil mengusap pipi ku yang pasti sudah kemerahan.
Lelaki terus tertawa.
“Tak lawak la, Abang Nain. Jangan lah cubit-cubit orang. Sakit tau,” marahku lagi sambil menampar bahunya. Geram melihat tingkahlakunya yang semakin galak ketawa.
“Memang la Min tak buat lawak, tapi pipi min tu dah merah macam badut.”
"Mahunya tak merah cubit orang macam cubit ketam. Kasar lah Abang Nain ni!"
“Oklah..ok..Abang Nain minta maaf. Abang Nain melawak saja lah.”
Ucapnya masih dalam nada tawa.
Aku memuncungkan mulut tanda protes. Namun, tanganku sudah ligat mencedok bihun goreng ke dalam piring di hadapanku. Rugi tolak rezeki.
“Jasmin.”
Aku menoleh ke arahnya. Dia mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya dan meletaknya di tepi pinggan makan ku. Tiket.
“Kawan abang ada beri 2 tiket ke pameran ni. Abang tak ada kawan nak ajak. Apa kata Min temankan abang hujung minggu ni?”
“Pameran apa?”
“Pameran Kesenian Islam. Ahad ni upacara perasmian pembukaan. Boleh ya?”
Lelaki itu memandangku, penuh mengharap.
“Err...nantilah. Min perlu tanya babah juga.”
“Abang dah tanya. Babah Min dah bagi green light,” pintasnya dengan senyuman lebar.
“Hah!”
Babah ni!
Eii...aku dah tak ada alasan nak mengelak lagi.

Tiada ulasan: