“Masuklah. Bilik ni, babah yang designkan. Khas untuk Min. Kalau nak apa-apa, panggil ja Mak Piah kat bawah, ok?” 
Aku  mengangguk sambil memerhati persekitaran bilik tersebut yang 2 kali  ganda lebih besar dari bilikku di rumah Ayah Long. Ada sebuah bilik  mandi di sebelah kiri dan bersebelahan pintu bilik mandi ada pintu yang  menghubungkan bilikku dengan berandah. Di kananku terdapat sebuah meja  yang lengkap dengan komputer. Katilku disusun bersebelahan tingkap.  Bertentangnya pula terdapat televisyen kecil lengkap dengan pemain dvd.  Aku memandang babah. 
“Terima kasih, bah.” 
Lelaki itu tersenyum. 
“Lepas mandi nanti turun bawah ya, kita makan sama-sama,” ujar babah sebelum menutup pintu kamar. 
Aku  merebahkan diri di atas katil. Aku memandang sekeliling kamar tersebut.  Cantik. Ada sekeping gambar berbingkai emas digantung di dinding. Aku  bingkas, menghampirinya. Sepasang remaja sedang tersenyum. Sebelah  tangan si lelaki memeluk pinggang pasangannya sambil sebelah lagi  mengusap pipi bayi yang dikendong si remaja perempuan. Aku terpegun. 
Hah!  Ini gambar babah, mama dan aku semasa kecil. Tak sangka babah masih  menyimpan gambar lama kami. Aku masih dapat mengecamnya kerana aku  pernah melihatnya sekali semasa mama masih hidup dahulu. Teringatkan  mama membuatkan aku mengeluh panjang. Mama, Min rindu sangat kat mama.
Selesai  membersihkan diri, aku menuruni tangga. Menapak ke ruang makan.  Kelihatan Mak Piah sedang sibuk menghidangkan makanan. Wanita separuh  usia itu menoleh ke arahku. Aku terus menghampiri wanita itu dan  memeluknya. Erat. Terasa seperti terlerai rindu sekian lama.
“Allahuakbar! Dah besar rupanya anak mak ni. Lama Jasmin tak balik sini, rindu benar Mak Piah.”
“Min pun rindukan Mak Piah. Mak Piah sihat?”
“Sihat. Semenjak babah Min tinggal di luar negara, Mak Piah ada di kampung. Kenapa Min tak datang kampung Mak Piah?”
“Min tak ingatlah Mak Piah. Lagipun masa Min ke sana dulu, Min kan masih kecil. Min pergi pun babah yang hantarkan.”
“Ya tak ya juga. Mak piah pun terlupa. Hmm, marilah duduk makan.”
Tangannya  pantas menceduk nasi ke dalam pinggan makan. Aku mengalihkan pandangan  ke arah ruang tamu. Kosong. Hanya kedengaran suara pembaca berita dari  televisyen yang terpasang.
“Err, Mak Piah, Babah mana?”
Wanita itu menoleh ke arahku seketika sebelum menyambung semula kerjanya menuang air ke dalam gelas.
“Oo, Babah Min tak ada. Dia pergi solat di masjid.”
Aku memerhati kembali hidangan yang tersedia di atas meja. Masih berasap. 
“Kalau macam tu, emm..tak apa lah Mak Piah. Min tunggu babah balik. Nak makan dengan babah.”
“Min tak lapar ke? Babah Min memang ada pesan dengan Mak Piah tadi suruh Min makan dulu.”
“Tak apa, Mak Piah. Min masih kenyang lagi. Lagipun, dah lama Min tak makan dengan babah.”
“Hmm, baiklah. Mak piah tutup dahulu hidangan ni. Pergilah Min duduk berehat di ruang tamu.”
Aku  mengangguk seraya berlalu ke ruang tamu. Aku melabuhkan punggung di  atas sofa. Aku menarik sebuah majalah perniagaan yang bertaburan di atas  meja. Muka depan majalah tersebut menarik perhatianku. Model seorang  lelaki yang berpakaian sut. Aku membaca tajuk utama yang terpapar di  muka depan majalah tersebut.
Mohd Luqman Hakeem, jurutera muda syarikat terkemuka.
“Luq?”
***
“Min, min..”
Terasa seperti bahuku disentuh lembut. Aku membuka mata. Babah tersenyum di sisiku. 
“Babah dah balik?”
“Kenapa tidur di sini?”
Aku  sendiri tidak sedar bagaimana aku boleh tertidur di situ. Majalah yang  ku pegang tadi sudah jatuh di lantai. Aku menggosok-gosok mata yang  masih terasa pedih.
“Min tunggu babah. Nak makan sama-sama. Tak sedar, tertidur.”
“Ye ke? Babah dah pesan kat Mak Piah suruh Min makan dahulu. Kenapa tak makan dulu?”
“Tadi tak lapar lagi.”
“Hmm, sekarang dah lapar ke?”
“Mengantuk lah, babah.”
Ujarku separuh merengek. Aku berkira-kira mahu terus menyambung tidur semula apabila babah terus menarik tanganku.
“Eh, jom makan dulu. Dah lewat ni. Nanti perut masuk angin,”
***
“Esok malam, babah ada majlis di rumah kawan babah. Min ikut ya.”
Aku? Ikut babah ke majlis? Ish, biar betul babah ni? Aku menghentikan suapan. 
“Tak apa ke Min ikut? Ish, seganlah Min. Min tak biasalah ke majlis-majlis macam tu.”
Babah tertawa kecil.
“Bukannya  majlis besar. Kawan babah buat jamuan kecil je. Makan-makan. Nak  meraikan kontrak baru babah dengan syarikat Germuda Holdings.”
“Bunyi macam protokol je pun.”
“Ala,  tak payah segan-segan. Satu hari Min akan lalui juga perkara protokol  macam ni. Lagipun, babah nak perkenalkan seseorang. Dia nak sangat jumpa  dengan Min.”
Jumpa aku? Bunyi macam ada sesuatu. Aku merenung wajah babah. 
“Siapa kawan babah tu?”
“Adalah. Nak tahu, kenalah ikut babah nanti,” jawab babah tanpa memperduli renunganku.
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan