Ahad, 7 November 2010

DCJ 31

Sudah dua minggu peristiwa itu berlalu. Dua minggu juga Luqman langsung tidak menghubungiku. Begitu juga dengan Abang Nain. Tetapi ada juga dia menitipkan salam melalui ibu. Sekadar itu sahaja. Aku juga malas untuk menghubungi mereka. Bagiku lebih baik begitu daripada dituduh yang bukan-bukan sehingga menyakitkan hati. Aku tak mahu dikatakan seperti perigi mencari timba. Bukan prinsipku untuk terhegeh-hegeh menggoda lelaki untuk mendapat pasangan hidup. Bagiku, biarlah jodoh itu datang sendiri sekiranya ia sudah ditakdirkan untukku.
Kting!
Pintu kedai terbuka separuh. Aku memanjangkan leher memandang ke luar. Kelihatan seperti Munir bercakap-cakap dengan seseorang dan kemudiannya kedengaran suaranya mengucapkan terima kasih bersambung dengan tawa kecil.
“Eh, perempuan! Awal kau sampai? Mimpi apa semalam?”
Aku menjeling. Panggil orang seperti tiada nama, gerutu hatiku.
“Aku perlu bermimpi dahulukah untuk datang awal di waktu pagi?” soalku kembali sambil menyambung semula tugasku di kaunter yang terhenti seketika tadi. Munir tertawa.
“Aku rasa kau bermimpi nak dapat bunga hari ini. Betul tak?”
“Bunga?”
Aku terus memanggung kembali kepala. Memandang ke arah Munir yang masih tersengih-sengih seperti kerang busuk di hadapan kaunter bayaran.
“A’ah. Ada kad lagi,” sambung lelaki itu lagi sambil mengunjukkan kepadaku sejambang carnations berwarna merah hati lembut dan putih. Di sebalik 12 kuntuman carnations yang kembang mekar itu terselit sekeping yang berwarna putih.
“Untuk aku ke?”
“Habis tu? Takkan untuk aku pula.”
Aku menggaru kepala yang tak gatal sambil menyambut sedozen kuntuman carnations daripada tangan Munir. Harumannya menyucuk deria bau. Wangi. Siapa pula yang begitu romantik menghadiahkan aku jambangan bunga ni?
Aku membuka dan membaca tulisan yang tertulis pada kad putih tersebut.
Love you, Miss you... soo much!
Huh! Itu sahaja. Siapa pengirim misteri ni? Pelik!
“Luqman kot?” Munir cuba berteka-teki. Aku mencebik.
Huh! Tak ada orang lain ke si Munir ni nak teka? Nama si Luqman tu pula yang terlintas di fikirannya. Tak logik langsung.
“Cubalah kau telefon dia.”
“Ish! Tak naklah aku. Nanti dikatanya aku tergedik-gedik lagi. Serik aku.”
“Huh, kolot!” sindir Munir.
Mulut tak ada insuran, sungguh. Kata ikut sedap hati sahaja.
Aku menjeling tajam ke arahnya. Munir berlalu ke dalam biliknya tanpa menghiraukan jelinganku.
“Min!”
“Ya.” Aku menyahut panggilan Munir tanpa memandang ke arahnya.
“Bila si Nad nak kahwin?”
“Hujung bulan ni. Kenapa?”
“Maknanya lagi dua minggu. Habis tu kau tak balik kampung?”
“Balik. Siapa kata aku tak balik? Mengamuk pula si Nad tu nanti.”
“Balik dengan siapa?”
Pelik sekali nada soalan. Tanganku yang lincah menampal harga pada buku-buku yang baru dikeluarkan dari kotak tadi terhenti. Aku menoleh ke arah lelaki yang hampir sebaya denganku itu.
“Kenapa kau banyak tanya ni? Ada apa-apa ke?”
Lelaki itu terus menggelengkan kepalanya dan mula buat-buat sibuk di kaunter bayaran.
“Saja jer. Aku nak tanya. Aku kan kawan kau yang prihatin. Takkan itu pun tak boleh.”
“Ooo, prihatin yer? Mm, untuk pengetahuan kau, aku balik sendiri. Naik bas. Puas hati?”
“Kenapa kau tak balik dengan babah kau? Ibu dan babah kau tak balik ke?”
“Balik. Cuma mereka balik lewat sedikit. Aku tak mahu terlalu lewat. Nanti Nad bising. Lagipun kena juga tolong ummi Long apa-apa yang patut sebelum kenduri tu kan. Nanti apa pula kata orang, aku balik semata-mata nak makan kenduri sahaja.”
“Ooo, kebetulan pula ya,” ujar Munir antara dengar dengan tidak.
“Apa yang kebetulan?” soalku kembali.
“Tak ada apa-apalah,” jawabnya pantas.
Malas aku hendak bertanya lebih lanjut tentang kata-katanya. Tanganku pantas kembali menyambung kerja yang sedikit terganggu sebentar tadi.
“Moon, tadi Hajar dari Popular call. Dia cakap buku yang kau pesan hari tu dah sampai. Kau nak pergi ambil sendirikah atau kau nak aku yang ambilkan?” soalku padanya setelah teringat kembali panggilan telefon yang aku terima sebelum Munir tiba di kedai. Munir menepuk dahi.
“Ohh, aku hampir terlupa tentang buku Pakcik Arshad tu. Tapi aku tak boleh pergi ambil petang ni. Ada janji dengan mak aku nak bawa dia ke Jakel.”
“Huh, anak manja mak! Berkepit celah ketiak mak 24 jam,” sindirku semula, memulangkan paku buah keras.
“Hei, cik kak. Baik-baik sikit ek. Syurga bawah tapak kaki ibu tau.”
Aku mencebik.
“Yelah. Petang ni aku pergi. Selepas tu aku terus balik ya. Ingat nak terus beli tiket bas. Alang-alang dah ke Kuala Lumpur. Kau hutang dengan aku satu tau,” ujarku sambil mengusiknya.
“Eleh, itu pun nak berkira.”
Aku tertawa melihat mukanya yang sudah masam mencuka. Munir... Munir.

Malam itu, sebelum aku turun makan malam di bawah bersama-sama babah dan ibu Darlynna, aku sempat bercakap-cakap dengan Nadheera melalui telefon. Suaranya kedengaran riang sangat. Aku dapat bayangkan sinar matanya yang bercahaya penuh bahagia.
“Aku nak hadiah yang paling besar tau,” pinta Nadheera di hujung talian. Aku mencebir.
“Nak hadiah besar, mintalah daripada Ayah Cu. Apa hal pula minta kat aku?”
Nadheera tertawa, nyaring. Gelak macam pontianak. Heee...
“Ada maksud tersirat tu.”
Ish! Ke situ pula fikirnya si Nad ni. Semakin hampir dengan majlis, semakin merapu pula akalnya. Mengalahkan Luqman. Hmm, Luqman lagi.
“Engkau ni. Aku nak manja-manja pun tak boleh. Lagipun, dengan siapa lagi aku nak melawak, kalau tidak dengan anak buah sendiri.”
Aku mencebir sekali lagi.
“Kau nak balik dengan siapa ni?” soalnya tiba-tiba menyebabkan aku termanggu seketika.
“Dengan siapa?” soalku kembali, kurang faham dengan maksudnya.
“Yalah. Dengan Dzulkarnain ke atau dengan Luqman?”
Ohh!
“Tak ada dengan siapa-siapa. Aku balik dengan bas. Sendirian,” jawabku bernada separuh tegas.
“Hmm, bunyi macam merajuk sahaja. Ada masalah ke?”
Itulah Nadheera yang aku kenal. Prihatin sungguh dengan sikapku.
“Mana ada. Min ok lah.”
“Ada masalah dengan Luqman, ya?”
Bijak dia.
“Tak ada apa-apa. Aku ok. Luqman pun ok,” aku berbohong lagi.
“Oklah kalau macam tu. Aku tak akan paksa kau untuk bercerita. Tapi bila-bila kau perlukan seseorang untuk bercerita, aku sedia mendengar.”
Aku terkelu seketika. Dahulu dialah tempat aku meluahkan perasaan. Tiada rahsia antara kami. Tetapi kenapa sekarang aku semakin berahsia? Aku mula merasakan ada perkara yang patut aku luahkan dan sesetengah yang lain aku perlu simpan untuk diriku sendiri sahaja. Adakah dia berkecil hati?
“Min, kita sambung cerita lain kali yer. Aku nak tolong mak aku kat dapur. Kakak aku dah bising kat luar tu.”
“Ok. Jumpa di kampung nanti.”
“Jangan lupa, hadiah kahwin aku tau.”
Perempuan ni. Sempat lagi nak melawak.
“Yelah. Aku tak lupa hadiah kau. Hei, kau nak tak kalau aku bagi kau hadiah buku akademik sahaja? Kau dah tak payah beli lagi nanti untuk pengajian kau. Lagi mahal harganya kerana semuanya buku luar negara.”
“Cis, kurang asam kau, Min!”
Giliran aku pula tertawa panjang sebelum kami menamatkan perbualan.

Ibu Darlynna tersenyum tatkala aku menapak menghampirinya. Pasti dia sedang menunggu babah pulang dari surau. Aku melabuhkan punggung di atas sofa, bersebelahannya.
“Kenapa nampak seperti tak bermaya sahaja. Anak ibu tak sihatkah?”
Aku tersenyum sambil menggelengkan kepala.
“Ibu belum makan lagi?”
“Em, belum. Ibu tunggu babah. Kalau Min lapar, pergilah makan dahulu.”
“Tak apa. Min belum lapar lagi.”
Aku melarikan pandangan ke arah kaca televisyen yang terpasang. Ibu pula kembali menyambung pembacaanya yang terhenti kerana kehadiranku. Suasana diam seketika dan hanya kedengaran suara televisyen memenuhi ruang tamu. Hatiku sedikit terusik. Perlukah aku bercerita dengan ibu Darlynna? Aku menghela nafas panjang.
“Ibu, ibu rasa Min ni macam mana?” soalku perlahan. Ibu Darlynna menoleh seraya mengerutkan dahinya. Semenjak ibu Darlyyna berkahwin dengan babah, aku lebih gemar bercakap bab-bab yang melibatkan perasaan dengannya. Mungkin juga kami sama-sama perempuan, saling faham-memahami.
“Macam mana apa, Min?”
“Ya lah, pada pandangan ibu, perangai dan tingkahlaku Min ni macam mana? Teruk sangatkah? Sosial sangat ke?”
“Huh! Ibu tak pernah nampak teruk Min di mana. Jasmin Alia yang ibu kenal adalah anak yang baik dan pandai menjaga diri. Kenapa Min tanya macam tu? Ada orang marahkan Min sehingga Min boleh terfikir sampai ke situ?”
Aku mengeluh. Patutkah aku memberitahu peristiwa semalam. Sememangnya aku sedih dengan tuduhan Luqman itu. Tersangat sedih. Mungkin sekiranya aku dituduh dan dihina orang lain aku tidak terlalu terasa seperti sekarang.
“Ada orang sakitkan hati Min ya?”
“Entahlah, ibu. Cuma adalah orang tu, kata Min ni suka keluar dengan macam-macam lelaki. Sebenarnya kata-katanya itu tidaklah seteruk mana cuma sampai sekarang hati Min masih terasa sakit. Rasa seperti hendak marah tapi tak boleh. Tak tahu kenapa.”
“Min ada perasaan kot pada dia?”
Wajahku merona. Pandai sungguh Ibu Darlynna menyerkap jarang.
“Ish, perasaan apanya? Min tak ada apa-apa perasaan pun pada dia. Ibu ni...”
Ibu Darlynna tertawa kecil.
“Awak tu dah hampir umur 30 tahun, sayang. Takkan tak mahu fikir tentang kahwin lagi?”
“Alaaa, ibu ni. Ke situ pula alihnya,” jawabku pura-pura merajuk.
“Nak kahwin dengan siapa? Bukannya ada orang hendakkan kita,” keluhku antara dengar dengan tidak.
“Aikk! Tak ada ke lelaki yang minat pada anak ibu ni? Pelik!” soalnya sambil tangan kirinya melingkari pinggangku dan jemari tangan kanannya mengusap-usap dagunya.
“Tak ada. Mana ada.”
“Ya ka? Jurutera syarikat ibu tu macam mana?”
“Luqman?”
“A’ah, Luqman. Bukan kamu berdua bercinta, ke?”
“Siapa yang cakap? Min tak pernah bercintalah, ibu.”
“Maksu Min. Dia cakap Min sukakan Luqman.”
Nadheera! Wajah kawan karib merangkap bakal ibu saudaraku terbayang di mata. Hiii...geramnya. Dia beritahu rahsia kami.
“Itu dulu. Sekarang tak. Lagipun, Min seorang sahaja yang minat. Dia tak tahu pun.”
“Oo, ye ke? Kiranya secret admirer ya?”
“Hmm, lebih kurang macam tu lah kot,” ujarku agak perlahan.
Tatkala itu teringat kembali perbualan Luqman dengan Ferisha dan tuduhan Luqman. Tiba-tiba serasa seperti pilu kembali. Aku... melukut di tepi gantang, ibarat hidung yang tak mancung tapi pipi tersorong-sorong.
“Hmm, then Dzulkarnain macam mana pula?”
Aku tersentak. Abang Nain?
“Hah! Abang Nain? Mana boleh, ibu. Dia dah macam abang pada Min.”
Wajah ibu Darlynna berubah seketika.
“Errr? Betul ke? Habis tu kenapa dia bagi...” soalan ibu tergantung. Dia terdiam seperti memikirkan sesuatu.
“Bagi apa, ibu?” soalku kembali. Ibu Darlynna bingkas.
“Errr..emm, tak ada apa-apa. Eh, mana babah Min ni? Dah dekat 9.30 malam ni, takkan ada orang berceramah di surau malam ni? Kalau Min lapar, makanlah dahulu. Biar ibu sahaja tunggu babah Min tu. Agaknya ada ceramah di surau,” dalih ibu Darlynna sambil berjalan perlahan ke muka pintu utama meninggalkan aku yang masih termanggu-manggu. Apa yang Abang Nain bagi pada ibu?

Sebaik sahaja selesai makan malam bersama babah dan ibu Darlynna, aku terus ke luar rumah. Mengambil angin malam di atas buaian besi di halaman rumah sambil sesekali aku berbalas pesanan ringkas dengan Munir. Tiba-tiba serasa seperti diriku dibayangi seseorang. Aku mendongak. Babah!
“Babah ni, terkejut Min. Ingatkan siapa tadi?” Babah tersenyum seraya melabuhkan punggungnya di sebelahku. Aku mengesot sedikit ke sebelah kiri bagi memberi ruang kepadanya.
“Anak babah buat apa di sini? Sendirian pula.”
“Saja. Ambil angin. Lagipun sedang memikirkan, hadiah yang sesuai untuk Ayah Cu.”
“Oo. Emm, jadi Min balik kampung hari khamis ni?”
Aku mengangguk sambil tersenyum.
“Ibu Min tu risau, biarkan Min balik berseorangan.”
Aku dah agak. Pasti ada sesuatu yang membimbangkannya sehingga dia sanggup mencariku di luar.
“Ibu ke yang risaukan Min atau babah yang risaukan Min?”
Babah tersenyum.
“Kami berdua sama-sama risaukan Min. Babah lebih-lebih lagi bimbangkan tentang Min. Yelah, Min dah lama tak balik kampung sendirian. Naik bas pula tu,” tambah babah lagi.
Aku memandang pada wajah lelaki berusia lewat 50an itu. Walau pun sudah semakin berusia, tetapi wajahnya langsung tiada garis kedutan tua.
“Min bukan budak sekolah lagi, babah. Umur Min dah nak masuk 30 tahun. Takkan selamanya Min nak bergantung pada babah dan ibu?”
“Sebab Min dah besarlah lagi membimbangkan babah dan ibu.”
Aku mengerutkan dahi. Kurang faham dengan maksud kata-katanya. Babah tersenyum.
“Min tak payahlah naik bas, yer? Apa kata babah minta Dzulkarnain yang hantarkan Min balik ke kampung.”
Huh! Strategi apa pula yang babah cuba lakukan ni?
“Eh, nak buat apa susahkan dia? Lagipun Min dah beli tiket siang tadi. Membazir jer nanti. Tak apalah, bah. Min boleh balik naik bas sahaja.”
“Alah, duit tiket, babah ganti balik nanti. Yang penting babah ada jaminan, sepanjang perjalanan itu nanti, Min selamat di sisi orang yang babah boleh percayai. Ok. Sudahlah. Jangan fikirkan lagi. Pergilah masuk tidur. Tentang hadiah tu, jangan risau. Ibu dah sediakan semuanya untuk Min berikan pada Ayah Cu nanti. Babah masuk dalam dulu. Selamat malam,” ujar babah seraya menepuk belakang bahuku. 
Aku terkedu dan termanggu seketika. Melihat babah bingkas masuk ke dalam rumah. Nampak gayanya terpaksalah aku membatalkan niat aku menaiki bas untuk pulang ke kampung.

Tiada ulasan: