Ahad, 2 Mac 2014

DCJ 45 : Merisik khabar...

Ibu Darlynna mengalih-alihkan pisang goreng di dalam kuali. Tersenyum simpul dia apabila melihat babah bawa balik dua sikat pisang awak tengahari tadi. Aku memotong beberapa keping pisang yang masih berbaki di atas meja.

“Min, tolong bancuh tepung lagi. Kita buat bagi habis. Tak payah simpanlah. Kalau simpan pun nanti ia akan buruk sahaja,” pinta ibu Darlynnaa sambil menghulurkan bekas berisi tepung bancuh.

Aku bingkas dari meja makan dan mengambil bekas tersebut.

“Tak banyak sangat ke ni? Macam nak hidang bagi tetamu sahaja. Ada orang nak datang ke?” soalku sambil tangan pantas menceduk beberapa sudu tepung dan dicampur dengan sedikit air.

Ibu Darlynna tersenyum lagi.

“Orang dekat sahaja. Bukannya jauh pun,” jawabnya ringkas.

Aku mengerut dahi.

“Orang dekat?”

“Dah siap? Bak sini bekas tu. Ibu nak gaul dengan pisang. Minyak ni cepat panas. Nanti hangit pula pisang goreng ni.”

Ibu Darlynna mengelak dari pertanyaanku. Terkebil-kebil aku memerhati gelagatnya.

“Kalau dah tak ada apa-apa, Min nak masuk bilik sekejap,” pintaku sambil membasuh tangan yang berlumur dengan tepung.

Ibu Darlynna sekadar mengangguk. Pelik!

Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik,  aku pantas mencapai telefon bimbit yang berada di atas meja tulis. Bateri habis lagi. Aku pantas mencucuk charger telefon dan menghidupkan semula telefon bimbit yang terpadam kerana kehabisan bateri. Beberapa ketika selepas dihidupkan, berderu-deru pesanan ringkas masuk. Terbeliak aku melihat lebih dari tiga puluh pesanan ringkas masuk dan lebih dari lima puluh panggilan yang tidak berangkat. Aku membuka satu persatu panggilan tersebut. Semuanya dari Luqman dan ada beberapa panggilan dari Nadheera dan Munir. Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Sewaktu baru berkira-kira hendak menelefon Luqman kembali, kedengaran suara orang dari luar. Ada tetamu? Aku pantas menyarungkan tudung. Perlahan-lahan aku melangkah keluar dari bilik. Kelihatan beberapa orang wanita dan lelaki yang baru masuk dalam rumah.

“Hah! Buat apa kat sini? Pergi ke dapur, siapkan makan minum petang untuk tetamu,” sergah ummi long.

“Siapa yang datang ummi?”

Ummi long menjegilkan matanya. Aku tersengih melihat isyarat matanya. Aku memusing tubuhku 180 darjah dan berjalan menuju ke dapur. Ibu Darlynna tersenyum apabila melihatku menghampirinya.

“Min tolong masukkan gula dalam air teh tu. Rasanya serbuk teh tu dah kembang dan airnya pun dah merah.”

“Siapa yang datang ibu?”

Ibu Darlynna mengerling.

“Min tak kenal ke?”

“Min tak sempat tengok pun, ummi long dah sergah.”

“Hmm, kacau cepat air tu. Ibu nak hantar kuih ni ke depan.”

Aku pantas mengatur beberapa biji cawan dan piring di atas talam.

“Ehem..!”

Aku tersentak. Mujur tak terlepas cawan di tangan. Aku menoleh ke belakang. Luqman!

“Abang ni buat terkejut Min sahaja. Kusss..semangat. Mujur tak terlepas cawan ni,” ujarku sambil mengurut dada.

“Kenapa tak angkat telefon?”

“Telefon Min…”

“Tak ada bateri,” pintasnya sambil menarik kerusi meja makan di sebelahku. Aku mengetap bibir. Mungkin juga masih marah dengan tindakanku dua tiga hari lepas.

“Abang masih tak kerja lagi ke? Berapa hari abang bercuti?”

“Seminggu..”

Masih marah lagi ke? Atau merajuk?

“Maaf la tentang hari tu…”

“Hmm…”

Macam tu saja? Macam tak ikhlas sahaja. Lelaki itu terus mencapai goreng pisang yang masih panas di atas pinggan.

“Aduh! Aduh! Panas….”

Kuih pisang di tangan jatuh semula ke dalam pinggan. Aku pantas menarik tangannya dan menghembus jemarinya yang mula memerah sehingga beberapa saat.

Ketika aku melepaskan jemarinya, baru aku perasan Luqman masih memandang tingkahku. Tindakan refleksku. Pipiku memerah. Malu dengan tindak balasku apabila melihat dia kesakitan.

“Pisang tu baru sahaja digoreng. Panas lagi. Kalau abang nak makan Min ambilkan piring asing,” ujarku seraya berlalu ke singki.

Cuba menyembunyikan perasaan malu kerana tindakan refleksku. Aku mengambil sebiji piring yang ditiarap atas para di tepi singki dan meletakkannya di hadapan Luqman. Menggunakan dua garpu, aku mengambil sepotong pisang goreng dan meletakkannya di atas piring tadi. Kemudian aku memotong pisang goreng tersebut kepada beberapa bahagian denga kedua-dua garpu tersebut. Untuk beberapa ketika asap dari bahagian dalam kuih pisang itu keluar.

“Hmm, yang ni dah sejuk. Makanlah,” pelawaku.

Luqman masih memandangku.

“Min sayangkan abang ya?”

Soalannya membuatkan wajahku membahang semula. Aku mengalih mengadap meja makan semula. Pura-pura menyusun kembali cawan dan piring di atas talam. Namun dengan perlahan Luqman memegang tanganku supaya menghentikan perbuatanku.

“Min ingat tak sewaktu abang main futsal di sekolah dulu? Min meluru turun ke gelanggang apabila melihat abang ditumbuk pihak lawan dan hidung abang berdarah ketika itu.”
Aku tersentak. Dia masih ingat kejadian itu?

“Tangan ni yang mengesat darah yang mengalir dari hidung abang. Wajah Min risau sangat sama seperti wajah Min tadi, ketika tangan abang melecup kepanasan. Tetapi abang langsung tak berterima kasih pada Min, sebaliknya abang marah Min pula. Min tahu tak kenapa abang marah?”

Aku sekadar menggelengkan kepala. Mengingati kejadian itu akan membuatkan aku sedih kerana dimarahi Luqman bersungguh-sungguh di hadapan semua pemain di padang dan penonton yang datang untuk melihat perlawanan.

“Min cuma tak tahan melihat darah yang keluar dari hidung abang. Min tak boleh lihat abang sakit. Itu sahaja. Min bukan nak ganggu game abang.”

“Ya, abang tahu niat Min. Untuk pengetahuan Min, abang marah sebab abang risau Min ada dalam gelanggang dan pada ketika itu game tu masih berlangsung. Bahaya sangat. Abang tak mahu Min tercedera kena bola. Min dah rasakan bagaimana sakitnya kena bola futsal? Tetapi itu perlahan sahaja sebab abang yang sepak. Kalau kuat mau bengong kepala Min seminggu.”

***
“Maaf, maaf. Itu sahaja yang awak tahu. Kalau dah tahu ini kawasan orang main bola, janganlah lalu di sini. Tak pasal-pasal kena bola.”

“Tapi saya berada jauh dari padang. Lagipun saya bukannya duduk di sini. Saya lalu sahaja.”

“Habis tu kau nak salahkan aku sebab tendang bola ni kena pada kepala kau?”

“Eh, tak! Saya tak kata pun macam tu. Saya tak ada niat pun nak tuduh awak macam tu. Saya cuma…”

“Eh, kau ni kan kalau tak lalu di sini tak boleh ke? Macamlah laluan ni sahaja yang ada untuk awak pergi ke kantin,” marahnya lagi.

Aku mengetap bibir. Semua rakan-rakannya yang bermain bersama memandang ke arah kami berdua. Memang suaranya kuat sehinggakan boleh didengari seluruh padang futsal itu. Aku pelik memandang padang futsal yang berada dalam net, tetapi bagaimana bola yang ditendang oleh Luqman boleh terkeluar dan mengena kepalaku? Aku menghampirinya sebab nak bagi bola itu kepadanya. Bukannya terima kasih yang aku dapat sebaliknya aku ditengking di hadapan kawan-kawannya. Aku pantas melemparkan bola futsal yang masih berada di tanganku kepadanya.
***

Aku tersenyum. Kenangan lama. Walaupun pedih dibuli Luqman, tetapi manis disayangi Luqman lebih mengusai dan menutup segala pedih yang ada dalam hati ini.

“Hmm, lepas kena marah tu, Min terus balik. Sebenarnya Nad dah larang Min turun. Tapi Min ni degil dan memang tiba-tiba, entah dari mana kekuatan tu datang Min pun tak tahu. Min nekad juga turun apabila terpandang hidung abang yang berdarah pada masa tu.”

Luqman tersenyum.

“Abang tak main sampai habis pun dalam game tu…”
“Eh, kenapa? Bukan abang masuk padang balik ke?” soalaku kehairanan. Situasi yang aku tidak tahu kerana aku telah dihalau balik.

“Abang minta jurulatih keluarkan abang dan tempat abang diganti pemain lain. Min nak tahu tak abang ke mana?”

“Abang ke klinik?”

Luqman menggelengkan kepala.

“Tak. Abang cari Min.”

Aku terkesima. Aku teringatkan sesuatu yang mula bermain kembali di fikiranku. Aku pernah suarakan kepada Nadheera yang aku ada terpandang kelibat Luqman. Tapi adalah mustahil Luqman yang aku nampak sebab dia masih di padang. Tak sangka apa yang aku nampak itu betul. Kami berdua sudah dapat merasa isi hati masing-masing sejak dahulu lagi. Mungkinkah ini dikatakan jodoh?

“Tapi kenapa masa abang jatuh pokok rambutan, Min boleh tahan tengok abang cedera?”

“Tak tahanlah. Rasa nak nangis. Sebab tu Min masuk dalam bilik. Tapi mungkin juaga sebab marah lebih menguasai perasaan,” jawabku sambil tersenyum.

Luqman mengambil sebahagian kecil pisang goreng yang telah dipotong tadi dan dimasukkan ke dalam mulutnya.

“Hmm, sedap. Min masak?”

“Tak. Ibu yang gorengkan. Min tolong potong sahaja,” jawabku sambil bingkas ke singki kembali. Mengambil mangkuk yang diisi dengan air untuk dibuat tempat basuh tangan.

“Min tak tahu masak ke? Hmm, abang nak isteri abang pandai masak tau,” pesannya sambil mulut masih mengunyah pisang goreng yang masih berbaki.

“Abang jangan risaulah tentang tu. Min ni orang perempuan. Kalau Min tak pandai masak, tak adanya Min nak terima pinangan abang.”

“Oh, iya? Baik. Nanti abang nak Min masakkan untuk abang, abang nak rasa. Kiranya ujian sebelum kita berkahwin.”

Aku tergelak kecil. Dia tak tahu rupanya yang selama ini, dia datang ke rumah babah dan dia makan hasil air tanganku.

“Ya Allah, anak bertuah! Kita ni menunggu dia datang. Rupa-rupanya dah ada di dapur. Bila yang kamu sampai, Man?” tingkah Mak Usu Arwa di pintu dapur. Ibu Darlynna berdiri di belakang wanita yang cantik berbaju kurung itu.

Aku pantas menyalami tangan Mak Usu Arwa. Rupa-rupanya, tetamu di ruang tamu adalah ahli keluarga Luqman.

“Lama dah sampai. Ni, dah habis sepiring pisang goreng Man makan,” jawab Luqman sambil tersengih.

“Kamu datang dengan apa? Mak tak dengar bunyi kereta pun.”

Oh, mereka berasingan!

“Man jalan kaki. Man nampak Min kat dapur sebab tu Man terus masuk melalui pintu dapur. Hehehe..”

“Anak bertuah! Kita nak bincang tentang hal perkahwinan dia, boleh pula dia duduk di dapur ni macam anak dara. Sudah! Jangan nak buat onar pula di sini. Jom ke depan.”

Luqman bingkas. Sebelum beredar ke ruang tamu, dia sempat menoleh dan mengenyitkan matanya kepadaku. Aku mendengus. Macam-macam perangainya. Mujur Mak Usu Arwa tak membebel panjang. Kalau tidak, mesti dengan aku juga terlibat sama.

“Min, cepat bawa cawan-cawan tu. Tetamu dah lama tunggu di depan tu,” pesan Ibu Darlynna sekali lagi.

Aku pantas mencapai dulang yang telah siap disusun. Dadaku mula merasa debar. Dengan lafaz Bismillah, aku mengatur langkah ke ruang tamu.

“Haa, dah sampai pun airnya.”

“Amboi, siap ada goreng pisang.”

Aku meletakkan satu persatu hidangan di atas meja makan. Mataku sempat menangkap kelibat tubuh Luqman yang duduk agak jauh dari tetamu lain. Kakinya dibiarkan terjuntai di birai pintu rumah. Wajahnya kelihatan menggelisah. Kenapa?

“Tengahari tadi, Si Iskandar ni ke baruh, singgah di pekan belikan pisang. Darlynna ni dah mengidam nak makan pisang goreng,” terang ummi long sambil tersenyum.

“Oh, kamu mengandung Lynna? Alhamdulillah rezeki. Tak lama lagi, Jasmin dapat adik lah yer,” ucap Mak Usu Arwa sambil mengusap bahu Ibu Darlynna. Ibu Darlynna stersenyum senang.

Hah! Adik? Aku nak dapat adik? Kenapa aku tak tahu pun tentang perkara ini. Patutlah semua orang dalam rumah ni berkelakuan pelik sejak dari semalam. Babah yang marah-marah. Ibu Darlynna yang tersenyum sendirian.

“Malu saya kak. Dah tua-tua ni, nak boleh lagi seorang.”

“Tak apa, Iskandar. Anak tu kan rezeki. Selepas ni, boleh cucu pula,” sambung lelaki di sebelah ayah long pula. Bergema tawa semua orang di ruang tamu itu.

Wajahku membahang lagi. Ummi long memberi isyarat agar aku duduk di sebelahnya.

“Ni ha, kami datang ni sebenarnya membawa hajat pihak lelaki. Semua pun dah tahu, Luqman akan ke Dubai bulan depan. Jadinya, kami nak cadangkan agar tarikh pernikahan dipercepatkan dari perancangan yang telah ditetapkan dahulu. Kalau nak pihak perempuan rasa tidak sempat buat persiapan, kita buat akad nikah dahulu. Si Luqman ni ha… risau nak tinggalkan Jasmin. Dia nak bawa Jasmin bersama ke Dubai. Boleh ke?”

Semua orang memandang ke arah Luqman yang tersengih.

“Ohh, pihak pengantin perempuan tak ada masalah. Lagipun semua persiapan sebenarnya sudah dibuat. Menantikan phak pengantin lelaki memberi isyarat sahaja.”

“Hmm, kalau begitu dah jawapannya, apa kata kita buat akad nikah seminggu sebelum mereka berangkat?”

Semua orang memandang ke arahku pula. Eh, kenapa semua orang pandang aku?
Ummi long mencuit pahaku. Aku mengerut dahi.

“Min, macam mana? Setuju ke kita cepatkan tarikh?” soal babah setelah melihat aku masih tercengang-cengang.

Burrr…

Wajahku membahang lagi. Namun beberapa ketika, aku tersenyum simpul dan terus bingkas masuk ke dalam.

“Orang perempuan, senyum tu setujulah maknanya,” balas ayah long pula.

Sekali lagi ruang tamu riuh dan berderai dengan tawa semua orang.



2 ulasan:

baby mio berkata...

Best.

Sue berkata...

Che Suhana,
rasanyer sya dah penah baca citer nie dulu tp tak igt url blog Che Suhana...
jd baca from the start.. buat marathon.. habis gak dlm masa 3 hari! huhuhu...
lama sya tunggu tau..sambung lagi yer Che Suhana...

dah nk tamat ker ksah DCJ nie Che Suhana?