Selasa, 1 Julai 2014

Viannia dan Gabak : Misteri Rambut Putih!

“Makkkkk!!!”

Aku berlari menuruni anak tangga. Dalam masa yang sama, mak terkocoh-kocoh keluar dari dapur.

“Makkkk!!!” jeritku lagi.

“Ya! Kenapa?” soal mak, menjerit juga.

Wajahnya kerisauan. Aku berdiri di hadapannya dalam keadaan termengah-mengah. Mengah kerana aku melangkah 3 anak tangga serentak semasa berlari turun.

“Peach... Peach mana?”

“Peach tak ada. Dia keluar dari pagi tadi. Kenapa yang terjerit-jerit ni?”

“Mak... tengoklah rambut Via ni. Kenapa rambut Via jadi putih macam ni? Banyak pula tu.”

“Ohhh!!”

Wanita separuh abad itu kelihatan sangat terkejut. Tangannya ditutup di mulut.

“Mak... tengoklah ni. Kenapa kawasan putih ni jadi kat kawasan ni sahaja? Tapi dia putih dari akar rambut. “

“Kawasan lain ada tak?” soal mak masih gugup. Tangannya terketar-ketar menyentuh di bahagian kanan rambut depanku yang telah bertukar warna.

Aku menggelengkan kepala. Pelik, hanya di bahagian itu sahaja yang berubah warna sehingga ke pangkal rambut.

Aku beredar ke ruang depan apabila kedengaran derapan tapak kaki dan deheman Peach. Lelaki itu kelihatan terkejut melihatku. Pandangannya terarah ke rambutku. Aku memandang wajahnya sayu. Wajahnya langsung tiada riak terkejut. Hanya kerutan kerisauan. Tak tahu kenapa, tiba-tiba terasa hati sangat sedih.

“Via?”

Pandanganku kalih ke tubuh yang berdiri di belakang Peach. Gabak! Kenapa lelaki itu datang ke sini? Lelaki itu menghela nafas panjang. Pandangannya tajam memandangku.

“Ia benar-benar terjadi,” ucapnya sambil mengalih pandangan ke arah Peach di sebelahnya. Kedua-dua lelaki itu saling berpandangan sebelum kedua-duanya memandang aku semula. Aku gugup seketika.

Peach menghampiriku. Tangannya menarik lenganku dan mangarahku agar mengikutnya duduk di meja makan. Mujur hari ini cuti. Mak tak perlu kelam kabut buka kedai. Sebaik sahaja aku melabuhkan punggung, Gabak manarik satu lagi kerusi dan duduk bertentangan denganku. Terkebil-kebil aku memandang wajahnya.

“Semalam... Via pergi mana?” dia mula menyoalku dengan wajahnya serius. Pandangannya tajam menusuk ke anak mataku.

Aku melarikan pandangan ke arah Peach yang duduk bersebelahannya.

“Pandang saya, Via. Awak tak perlu tengok ke arah Peach. Bukan jawapan dia yang yang saya hendak tahu.”

Aku mengetap bibir. Nampak sangat aku selalu bergantung kepada Peach. Tetapi bukan salahku kalau aku sudah dididik sebegitu semenjak dari kecil. Peach umpama dinding yang menampan dan melindungi aku ketika aku menghadapi masalah atau dalam keadaan bahaya. Dialah pengawal, dialah kawan dan dialah abang yang sentiasa menjagaku.

“Via ke tasik,” jawabku perlahan

“Selepas itu?”

“Via di tasik. Mandi. Seperti selalu menjelang bulan mengambang. Via tak ke mana-mana pun. Tapi Via tak ingat apa yang dah berlaku selepas itu. Kenapa?”

Gabak mengeluh.

“Via ada nampak apa-apa benda yang pelik tak?”

Aku hanya menggelengkan kepala.

“Betul Via tak ada nampak apa-apa yang pelik?”

Bersungguh-sunguh lelaki di hadapanku ini cuba mendapatkan kepastian. Aku mengangguk pula.

“Via ingat tak apa yang berlaku pada Via semalam, maksud saya selepas Via mandi di tasik?”
Aku menggeleng sekali lagi.

Ingatanku hanya setakat aku terjun ke dalam air tasik yang sejuk dan biru. Selepas aku menguak naik ke permukaan dan selepas aku mendengar suara seperti memanggilku dari arah Timur tasik. Selepas itu aku dah tak ingat apa-apa.
Hah, suara!

“Peach, kita bincang di luar,” arah Gabak seraya bingkas ke arah pintu keluar. Peach membuntutinya tanpa sempat aku menahannya. Kedua-dua wajah lelaki itu nampak seperi tertekan. Apa yang telah berlaku semalam? Apa pula salahku kali ini? Aku menunduk sambil meraup wajahku. Tiba-tiba helaian rambut hadapanku yang berwarna putih jatuh ke dahi. Aku mengirainya perlahan-lahan. Cuba mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang bermain di kepala. Perlukah aku apa yang aku dengar semalam? Hatiku berbolak-balik. Pasti sesuatu telah berlaku sehinggakan Gabak sanggup datang berjumpa denganku. Adalah sesuatu yang mustahil bagi lelaki itu untuk datang mencariku kalau tanpa sebarang sebab.

“Gabak!” panggilku. 

Aku juga bingkas menuruti kedua-dua lelaki itu yang sudah berada di luar kedai mak.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sgt menarik...sila la updet slalu ya...