Ahad, 12 Januari 2014

DCJ 44 : Merajuk Sayang...

Pelanggan yang berada di hadapanku menghulurkan tiga keping not lima puluh ringgit. Aku terus membuka mesin wang dan mengembalikan baki beberapa keping wang seringgit kepadanya semula.

“Terima kasih, selamat membaca dan sila datang lagi,” ucapku sambil tersenyum.

“Ya, sama-sama,” balas wanita muda itu sambil tersenyum dan berjalan ke pintu keluar.

Aku menjenguk ke dalam pejabat. Munir sedang sibuk mengeluarkan buku-buku yang baru sampai dari kotak.

“Moon, kau tolong tengok kaunter. Aku nak sambung susun buku kat rak,” pintaku.

“Ok, nanti aku keluar. Ada lagi pelanggan kat luar?”

“Emm, tak ada dah. Moon, petang nanti aku balik rumah terus ya,” pintaku sambil tersengih.

“Ooo, projek kahwin dengan your mum ya?”

Aku tertawa mendengarnya menyebut perkataan “projek kahwin”. 

Ada-ada sahaja si Munir ni.

“Seronok aku tengok wajah kau sekarang. Semakin berseri-seri. Bercahaya bagai bintang di langit,” puji Munir sambil berjalan menghampiriku. 
Aku tertawa kecil mendengar kata-katanya.

“Kau ni pun, nak puji tu agak-agaklah sikit. Bagai bintang di langit…hahaha”

“Eh, oklah tu aku sebut kau macam bintang. Kalau aku sebut bulan, kau kata bulan tu tak cantik sebab banyak kawah.”

Hah! Kawah? Munir sudah tergelak terbahak-bahak. Agaknya dia pun sudah membayangkan diriku seperti bulan yang ada banyak kawah. Kurang asam punya kawan!

“Eh, dah tetap tarikh nikah dan kenduri?”

Senyumanku mati apabila mendengar soalan itu.

“Itulah, hari tu dia cakap sebulan dari tarikh kami bertunang. Tapi sekarang ni dia sibuk pula dengan projek kat Dubai tu. Mungkin tangguh lagi beberapa bulan. Lagi pun ini projek sulung dia. Biarlah dia selesaikan dahulu kerja dia. Selepas ni, aku tak perlu susah hati tengok dia tak senang duduk dengan kerjanya itu.”

“Habis tu, kau tak kisah ke?”

“Gila kau, aku tak kisah! Aku lagi susah hati. Lagi lama bertunang, dah tentu lagi banyak dugaan. Tapi nak buat macam mana. Dia kerja ni pun untuk aku juga.”

“Kau ikut dia ke Dubai?”

“Hish! Nak buat apa ikut? Lagipun dia pergi kerja kan.”

Kting! Kami berdua berpandangan seketika.

“Kau pergilah… Aku nak kira stok bagi habis ni. Ada sedikit lagi. Please…..

Aku mencebik.

Munir tertawa tanda berjaya memujukku agar melayani pelanggan yang baru masuk sebentar tadi.

“Kau hutang aku kerja yer,” ugutku sambil bergerak ke depan.

Sewaktu aku kembali ke ruang depan, Luqman sudah bertenggek di tepi kaunter.

“Apa abang buat kat sini?” soalku sedikit kehairanan.

“Aik? Abang tak boleh datang tengok tunang abang ke?”

“Err, tak maksud Min, abang kan sibuk. Tak payahlah susahkan diri, bazirkan masa datang ke sini.”

“Jumpa bakal isteri abang tak pernah menjadi sesuatu yang menyusahkan abang. You’re my inspiration,” jawabnya pantas sambil menjeling.

Aku tersengih.

“Nak ajak Min dating ke?”

“Hmm, jom teman abang. Abang ada janji dengan klien abang dekat-dekat sini.”

Alah, dia nak jumpa klien. Bukannya sebab nak jumpa aku. Perasannya kau Mi, getus hatiku.

“Emm, tak apalah. Min tak nak ganggu abang,” tolakku lembut. Selebihnya aku malas nak menunggu dia selesai kerja. Sudah tentu aku akan bosan menunggu.

“Abang janji, tak lama. Lagi pun abang ingat nak bawa Min pilih baju kahwin,” pujuknya tak mahu berputus asa. Aku berfikir sejenak.

“Hmm, oklah. Tunggu sekejap. Min beritahu Munir.”

Luqman tersenyum senang.
***
Aku memerhati Luqman bersama dua orang lelaki dan seorang wanita muda. Yeah, sengaja aku pilih untuk duduk di meja yang berasingan. Malas henadak mendengar istilah-istilah yang aku tidak faham. Daripada aku memperbodohkan diriku, lebih baik aku duduk sendirian. Bunyi macam orang bengang sahaja. Huh! Siapa yang tak bengang apabila terpaksa melihat pandangan wanita muda yang datang bersama dua orang lelaki itu. Asyik memandang ke arah Luqman tanpa memandang ke arah lain. Perempuan tu seperti terlebih gedik. Luqman pula kulihat baik pula melayan tingkah perempuan itu. Sakit hati aku melihatnya.

Treett….

Aku memandang telefon bimbitku. Aku tersenyum. Abang Nain!

: Min kat mana? Abang ke kedai, Min tak ada.
: Min kat Delin’s. Datanglah sini.
: Eh, Min dengan siapa?
: Min dengan Luq. Datanglah!
: Eh, takkan abang nak ganggu Min tengah dating?
: Eh, tak. Abang Nain tak ganggu. Datanglah. Min bukan sedang dating. Min cuma teman Luq jumpa klien.
: Ok, lagi 5 minit abang sampai.

Aku tersenyum. Sekurang-kurangnya aku ada teman berbual.

Tepat lima minit abang Nain dah berada di hadapan pintu Delin’s. Aku melambai ke arahnya apabila melihat dia masih tercangak di situ. Abang Nain menghampiriku.

“Mana Luqman?”

Aku memuncungkan bibirku ke arah Luqman yang berada selang beberapa buah meja.

“Kenapa ni? Macam orang stress.”

“Cerhh! Rasa nak balik pun ada ni. Perempuan di sebelah tu tak toleh ke lain, asyik sungguh tengok Luqman. Macam tengok bidadara.”

Abang Nain tertawa.

“Dah tahu dia nak buat kerja, kenapa ikut?”

“Bukan Min yang nak ikut. Luq yang ajak.”

“Habis tu, kenapa ikut?”

“Dia cakap nak tunjuk kedai baju untuk perkahwinan.”

Abang Nain tertawa lagi. Lucu benar bila mendengar jawapanku.

“Memang nampak muka macam bosan pun. Baca buku apa?” soalnya kembali sambil membelek buku di tanganku.
“Novel. Mujur bawa ni, boleh juga baca. Kalau tidak tentu muka Min macam cicak berak kapur,” ujarku tertawa dan kata-kataku disambut dengan deraian tawa Abang Nain.

“Seronok nampak!” sergah Luqman.

Kami menoleh. Bila masa Luqman datang menghampiri kami? Aku menoleh ke arah meja Luqman bersama kliennya. Kliennya masih di situ.

“Abang dah selesai berbincang?”

“Min pun dah selesai berbincang?”

Wajahku berubah. Ada nada kurang senang dalam soalannya.

“Apa maksud abang?”

“Yalah, nampak seronok benar bergelak tawa…”

Aku memandang ke arah Abang Nain. Aku seperti kenal nada itu. Nada orang cemburu.

“Abang Nain kebetulan datang kedai, Min pelawa datang sini sementara abang...”

“Kebetulan…” pintasnya kembali memandang lelaki yang duduk di sebelahku.

“Luq, aku tahu kau sibuk dengan projek Dubai tu. Tapi aku rasa kau tak patut suruh Jasmin tunggu kau di sini. Tentulah dia bosan menunggu. Aku pun biasa jumpa klien. Aku tahu setiap perjumpaan itu  mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan.”

Aku menarik hujung baju Abang Nain sambil memberi isyarat jangan campur tangan dengan menggelengkan kepala. Luqman memandangku tajam.

“Aku cuma minta Min tunggu sahajalah. Bukannya apa pun. Lagipun dia bawa buku. Kalau dia bosan, dia boleh balik ke kedainya. Bukannya jauh sangat. Selang beberapa buah kedai sahaja.”

Darahku tiba-tiba tersirap. Apa ni? Setelah hampir 2 jam aku menunggunya, ini yang aku dapat? Tiba-tiba klien wanita yang berada di meja perbincangan tadi datang menghampiri kami. Tangannya pantas memaut lengan Luqman. Aku tersentak melihat situasi tersebut. Wanita itu begitu mesra sekali dan tiada perasaan malu walaupun di hadapan aku dan Abang Nain.

“Hai Dzulkarnain. I tak tahu you pun ada di sini. Maaf mengganggu ya. I nak tanya Man tentang tiket kapal terbang. You dah booking tiket kapal terbang ke Dubai? Kalau belum, kami boleh tempahkan sekali. Boleh kita pergi ke Dubai bersama-sama nanti.”

Pergi bersama-sama?

“Err, sudah. Saya dah tempah tiket kapal terbang.”

“Oh, ya ka? Bila tu? Boleh I tempah hari yang sama dengan you.”

“Saya tak pasti sebab semua setiausaha syarikat yang uruskan. Nanti saya maklumkan kemudian.”

“Oh, ok. Jangan lupa ya beritahu nanti,” ujarnya sambil berlalu ke meja perbincangan mereka.

Aku memandang wajah Luqman. Riak wajahnya berubah.

Dia memang sengaja mencari pasal. Aku pantas berdiri. Aku tak boleh lagi berada di situ. Hatiku semakin panas dengan tingkahnya. Ditambah pula dengan pemandangan yang menyakitkan hati.

Luqman dan Abang Nain memandang ke arahku serentak.

“Nak ke mana?” soal Abang Nain kehairanan.

“Balik.”

Aku menolak tubuh Luqman yang cuba menghalang laluanku. Luqman cuba memegang lenganku. Aku memandang ke wajahnya.

Aku ingin mengatakan sesuatu, tetapi merasakan tidak wajar aku hanya berlalu pergi tanpa berkata apa-apa pun.

***
Dzulkarnain merenung ke arah Luqman. Dalam.

“Apa?” soal Luqman sambil memandang Dzulkarnain.

“Puas hati?”

“Apa yang puas hatinya?”

“Huh! Boleh tak kau berfikiran matang sedikit? Man, aku yang lelaki ni pun boleh rasa geram melihat wanita yang duduk di sebelah kau tu. Ini kan pula Jasmin, tunang kau. Lepas tu kau biarkan dia sendirian, melihat tingkah perempuan itu selama 2 jam. Kau ingat Jasmin tak ada perasaan cemburu? Ada tak dia serang kau seperti kau serang kami tadi? Lagipun kau berdua dah bertunang, buat apa kau nak cemburukan kami. Fikir-fikirkanlah.”

Luqman termanggu memandang Dzulkarnain pergi. Sekarang perasaan bersalah mula menerpa dalam hati. Jasmin! Dia merasakan dia perlu lakukan sesuatu.

Luqman kembali ke meja tadi.

“Encik Fendy, Encik Halim, Cik Sara, maafkan saya. Boleh kita hentikan perbincangan kita setakat ini dahulu? Saya ada hal yang perlu diuruskan segera. Saya akan hubungi anda semua esok untuk tetapkan janji temu sekali lagi,” pesannya sambil mengemas kertas-kertas yang berselerakan di atas meja.

“Hmm, baiklah Encik Luqman. Ini pun dah melepasi waktu pejabat. Nanti saya sendiri akan hubungi Encik Luqman,” ujar lelaki yan bernama Fendy sambil bersalaman dengan Luqman.

“Sara, di mana you letak kereta? Nak balik bersama-sama kami?” pelawa Halim sambil memandang wanita cantik itu.

“Mmm, tak apa. I boleh balik sendiri,” tolaknya lembut sambil mengerling ke arah Luqman.

Beberapa ketika kemudian kedua-dua lelaki tersebut beredar meninggalkan tempat tersebut.

“Luqman, bila kita boleh berjumpa lagi?”soal Sara sambil memegang tangan kiri Luqman. 

Luqman terkejut dengan tindakan wanita itu. Namun dengan hormat dia melepaskan pautan wanita itu dengan perlahan.

“Cik Sara, seperti yang saya kata tadi. Sila hubungi setiausaha syarikat untuk janji temu sekali lagi. Terima kasih. Saya perlu berjumpa dengan tunang saya.”

“Tunang?”

“Ya, tunang. Cik Sara ada masalah ke dengan itu?”

“Errr, tak. Maafkan saya.”

***
Telefon aku berdering lagi. Aku mengeluh memandang nama yang terpapar di skrin telefon. Malas aku nak mengangkatnya. Biarlah hatiku sejuk sedikit sebelum aku bercakap dengannya. Aku risau kalau aku angkat dan bercakap dengannya, aku akan bercakap dalam nada yang marah.

Pergaduhan pertama selepas bergelar tunang. Huh! Pelik benar bunyinya. Tetapi ia kenyataan. Err, bukan ke Luqman memang kuat cemburu. Aku tersenyum mengenangkan peristiwa dia jatuh dari pokok rambutan di kampung. Itu sifat cemburu yang paling ketara aku nampak. Tapi semasa itu, aku belum pasti dia benar-benar sukakan aku. Sekarang dengan ikatan kami sebagai tunang, perlukah lagi perasaan cemburu itu? Tambahan pula dengan Abang Nain. Aku sendiri pernah katakan Abang Nain itu ibarat abang kandungku sementelah aku tiada adik beradik lain.

: Min, ada di mana? Semua orang sedang cari Min.

Pesanan ringkas Abang Nain. Aku membiarkannya sahaja tanpa membalas pesanan ringkas tersebut. Lagipun bateri telefonku hanya tinggal satu bar. Beberapa minit lagi ia pasti akan terpadam sendiri.

: Min, babah call, kenapa tak angkat?

Babah.

: Jasmin Alia, please pick up your phone!

Munir.

Luqman? Huh, lelaki ego! Mungkin berasa putus asa kerana aku langsung tidak mengangkat talian telefonnya.

Bip! Aku memandang semula telefon bimbitku. Lampu skrin terpadam terus. Baterinya benar-benar dah habis. Aku mengeluh. Sekarang tak ada siapa yang akan dapat menghubungi aku lagi. Aku melabuhkan punggung di atas pangkin pokok. Dah lama aku tidak duduk di sini. Jelaslah aku dah lama tidak merajuk. Hanya orang yang mengenali diriku sahaja yang tahu di mana aku selalu berada sekiranya aku merajuk. Ayah cu. Ya, ayah cu yang selalu datang mencariku di sini. Kalau dulu, zaman persekolahan aku sering duduk di situ. Di situlah tempat aku memujuk hatiku sendiri. Berjam-jam merajuk kerana babah yang langsung tidak pedulikan aku dan sering meninggalkan aku di rumah ayah long. Merajuk dalam erti kata, langsung tak balik rumah ayah long untuk makan, minum dan mandi. Tetapi siang hari sahaja aku berani duduk di situ. Menjelang maghrib aku akan mencicit lari balik ke rumah juga. Gilalah aku kalau duduk di situ malam-malam. Buatnya disergah hantu pokok ketapang yang besar dua pemeluk aku tu, mau demam aku seminggu tak kebah-kebah. Kebiasaannya ayah cu akan datang pujukku selepas asar. Dia akan bawa sebekas kuih bekal dari ummi long untuk aku alas perut kerana langsung tidak menyentuh makanan dari tengahari. Apabila ayah cu sambung belajar di luar negara, Nadheera pula menggantikannya untuk datang memujukku. Sekarang… hmmm… aku mengeluh lagi. Rindu pula aku dengan zaman persekolahanku.

Dua jam yang lalu aku tiba di rumah ayah long. Kosong. Mungkin ayah long dan ummi long keluar. Salahku juga kerana tidak memberitahu sesiapa yang aku datang ke sini. Semua pintu berkunci lalu aku sekadar meninggalkan beg galasku di luar berandah dan berjalan menuju ke tempat yang aku berada sekarang. Pangkin di bawah pokok ketapang, yang berada sepuluh meter di hadapan rumah ayah long. Tak jauh pun tempat aku merajuk. Depan rumah ayah long sahaja. Tetapi tempatnya agak tersorok kerana pokok ketapang itu sangat besar sehinggakan tiada siapa yang akan tahu ada pangkin di situ sekiranya tidak biasa di situ.

Sebaik aku keluar dari Delin’s tengahari semalam, aku terus mengambil teksi dan meminta pemandunya menghantar aku ke kampung. Melayang not seratusku membayar tambang teksi tadi. Aku langsung tidak menghubungi sesiapa termasuklah babah. Jadinya tiada sesiapa yang tahu aku berada di sini. Cenggeng kan aku ni? Untuk perkara-perkara yang remeh, aku sanggup merajuk sehingga ke sini. Eh, aku merajuk ke? Teringat kembali peristiwa awal tengahari tadi di Delin’s membuatkan hatiku sakit tiba-tiba.

Sunyi sungguh suasana petang ni. Sesekali terasa juga semilir yang menghembus ke wajah. Sejuk dan naman. Aku menginjak ke tepi pangkin. Membiarkan kakiku terjuntai di bawah. Memang pangkin ini tinggi. Jarak kakiku dua jengkal dari tanah membolehkan aku menghayunkan kedua-dua belah kakiku perlahan-lahan. Aku tersenyum sendirian.

“Tak baik anak dara merajuk lama-lama. Lagi-lagi kalau dah bertunang. Darah manis tu.”

Kuss, semangat! Terkejut aku mendengar suara ayah cu dari belakang. Mahu tak terkejut. Aku pantas menoleh. Ayah cu tersenyum dan di tangannya ada sebiji bekas makanan. Aku mengetap bibir. Ada rasa terharu dalam dada. Lantas aku berdiri dan menyalami tangannya. Sama keadaan seperti dulu. Dialah tempat aku mengadu. Tempat aku melepaskan rasa tidak puas hatiku.

“Cenggeng sungguh! Langsung tidak berubah. Kenapa datang sini tak beritahu sesiapa? Kenapa matikan telefon? Tahu tak semua orang cari Min,” marah Ayah Cu sambil mencubit pipiku tanpa sempat mengelak. Aduh, sakitlah!

Aku mengusap-usap pipiku. Sengal. Ayah Cu ni kalau cubit orang memang tak tahu nak cubit lembut.

“Bila Ayah cu sampai? Macam mana ayah cu tahu Min ada kat sini?”

“Kalau dah semua tempat orang cari, Min tiada. Di mana lagi kalau bukan di sini? Tekaan ayah Cu memang tepat, Min ada di sini. Min tahu tak semua orang risaukan Min, susah hati kerana Min. Luqman datang rumah babah Min. Babah cari Min di rumah Dzulkarnain. Dia call  Munir tanyakan Min. Munir pula telefon Nad di rumah. Bila Ayah Long dan Ummi Long dengar semua ni, mereka susah hati. Nak duduk di rumah ayah Cu pun dah rasa tak tenang. Kami terus bertolak balik ke sini mengharapkan Min memang pulang ke sini. Kenapa ni Min? Takkan kerana merajuk kepada Luqman, Min sanggup membiarkan semua orang mencari Min. Ayah Cu tak pernah ajar Min berperangai seperti ini.”

“Ayah Long dan Ummi Long pergi rumah ayah cu ke? Kenapa ayah cu tak cakap, kalau tidak boleh Min pergi ke sana. Achu Nad balik sekali tak? Baby Aina ada sama ke?” soalku keriangan. Membiarkan pertanyaan ayah cu tidak berjawab.

“Min, ayah cu tanya ni…”

“Min tak nak bincang hal ini. Min harap ayah cu faham. Jom ayah cu, kita balik. Min nak jumpa baby Aina,” ajakku pantas menarik tangannya menuju ke rumah.

Namun baru beberapa langkah menghampiri halaman rumah ayah long, aku terperasan ada kereta Luqman dalam deretan kereta yang terparkir. Langkahku terhenti.

Dia pun datang juga. Eh, biarlah dia datang. Ini pun kampung dia juga. Rumah mak dia di hujung kampung ni sahaja. Tapi aku tak mahu berjumpa dengannya lagi. Marah? Tak juga. Aku bukan marah padanya. Cuma aku terasa hati sahaja dan hatiku kuat merasakan aku masih belum bersedia untuk berjumpa dengannya.

“Anak bertuah! Jasmin Alia! Min tahu tak apa yang Min dah buat?”

Aku tercengang mendegar jerkahan babah di atas berandah. Ibu Darlynna kelihatan mencuit-cuit lengan babah. Cuba menenangkan babah yang sudah berwajah garang. Aku tidak pernah melihat babah marah sampai begitu sekali. Ini kali pertama dalam hidupku, aku dimarahinya.

“Cubalah berfikiran matang. Min tahu tak semua orang susah hati kerana Min. Luqman ni dah risau dengan kehilangan Min. Ke sana sini dia mencari Min. Telefon, tak berangkat,” sambung babah lagi.

“Iskandar, cuba bawa bersabar. Panggil dahulu Jasmin masuk dalam rumah. Jangan dimarahi di luar rumah ni. Ramai orang yang nampak. Malu dia nanti,” sahut ayah long dari pintu rumah.

“Biarlah abang long. Jasmin ni dah terlalu melampau. Dah dewasa tetapi perangai masih tidak berubah. Cengeng tak bertempat. Ada telefon, ditutupnya. Merajuk seperti budak-budak!”

Aku tersentap. Tidak pernah aku dimarahi seperti itu. Di hadapan semua orang termasuk Luqman. Kiranya tindakan aku kali ini telah menaikkan amarah babah. Aku terasa kesal. Tetapi aku bukan sengaja tidak mahu menjawab panggilan telefon. Tetapi telefon aku memang sudah kehabisan bateri. Aku memandang wajah Luqman sambil mengetap bibir. Lama aku mendiamkan diri. Lama juga semua orang memandang aku. Aku bagaikan pesalah yang besar di pandangan mata mereka. Ada air panas yang mula mengalir di pipiku. Aku pantas mengesatnya. Tidak mahu menunjukkan diriku lemah. Namun air panas ini terus-terusan mengalir. Ibu Darlynna pantas turun menghampiriku dan terus memeluk tubuhku. Aku terus menangis tersedu-sedu.

“Syhhh, jangan menangis. Jom ikut ibu masuk dalam rumah,” ibu Darlynna menarik aku masuk ke dalam rumah. Kepalaku tunduk ke bawah. Tidak berani memandang babah.

****

“Dah lah tu, Iskandar... Kamu ni pun, nak marahkan anak biarlah dengan cara yang elok. Bukan dengan cara memalukannya di depan semua orang. Dia pun ada maruah ada air muka. Cuba bawa berbincang elok-elok.”

Suara ayah long kedengaran lembut di luar bilikku.

“Kalau dia tahu dia ada maruah, dia jaga air muka saya, abang long. Bukan dengan melarikan diri macam ni.”

“Iskandar, aku tahu perangai Jasmin. Dia bukan sehari dua duduk dengan kami. Bertahun sepanjang kamu berkerja di luar negara. Kalau perangainya begitu, kamu tak fikirkah bahawa perangainya itu adalah warisan dari kamu? Merajuk bertahun-tahun, bawa diri ke luar negara.”
Diam. Sunyi.

“Ke mana kuah akan tumpah kalau tidak ke nasi. Anak dengan bapa sama sahaja perangainya. Kak long bukan hendak memulang paku buah keras tetapi kaklong sekadar hendak mengingatkan. Sebelum engkau mengambil dia, kak long dan abang long kau yang menjaganya. Kau tanya cu, berapa kali dia merajuk kerana sikap engkau yang tidak mengendahkan dia? Cu yang banyak memujuk dia. ”

Kedengaran suara ummi long pula menyambung. Babah ditegur lagi. Dan aku langsung tidak mendengar suara babah melainkan keluhannya.

“Hal orang muda, biarlah mereka berdua yang selesaikan sendiri. Kamu tak perlulah terlampau keras dengan dia. Aku tahu, bila dia begitu mesti ada sebab dan dia tidak akan melakukan perkara yang akan memalukan kita sebagai orang tuanya. Aku dan kak long kau dah beri lebih didikan agama kepadanya. Aku yakin dia tahu batasannya sebagai seorang anak.”

Aku menghela nafas lega. Syukur aku ada ibu dan bapa saudara yang sangat-sangat memahamiku. Pelahan-lahan aku merebahkan tubuhku di atas katil. Kejadian hari ini, banyak mengajar aku agar lebih berfikiran rasional dan bukannya mengikut perasaan. Aku tak marahkan babah. Aku tidak kecil hati dengan tindakan babah. Aku tahu dia risaukan diriku. Aku tahu dia memang sangat sayangkan diriku kerana dia hanya ada aku, anaknya dan aku hanya ada dia sebagai bapa kandungku. Tiada yang lain.

***

Terasa ada air panas yang menitik ke dahiku. Kemudian terasa pula ada kucupan panas di dahiku. Aku menggosok mata yang sedikit pedih. Mungkin juga sebab terlalu banyak menangis. Aku membuka mata. Babah!

“Maafkan babah, Min,” ucap babah lirih. Hatiku sayu.

Sebenarnya aku memang hendak berjumpa dengannya semalam. Tetapi ibu Darlynna cakap babah ke surau dengan ayah long. Selepas makan malam semalam aku terus masuk ke bilik dan tidak perasan waktu bila aku terlelap.

Aku bingkas memeluk tubuhnya.

“Babah tak salah. Min yang salah. Min terlalu ikutkan perasaan Min,” ujarku sebak.

“Luqman dah ceritakan segalanya. Babah tak sepatutnya marahkan Min melulu. Tetapi babah memang sangat risaukan Min bila tiada seorang pun boleh menghubungi Min. Babah takut sesuatu yang buruk berlaku pada Min. Babah tidak akan dapat maafkan diri babah sekiranya benda buruk berlaku pada Min. Babah harap Min faham perasaan babah.”

Aku melepaskan pelukannya. Dengan perlahan aku mengusap pipinya yang sudah ada sedikit kedutan sambil tersenyum.

“Min faham babah. Min tak marahkan babah. Cuma… Min nak jelaskan yang Min bukan sengaja tidak mahu menjawab panggilan telefon, tetapi bateri telefon Min memang betul-betul habis. Maafkan Min babah.”

Lelaki di hadapanku ini mengeluh.

“Ambil pengajaran tentang perkara ini. Selepas ni babah tak mahu Min lalai lagi. Caj bateri telefon setiap hari. Faham?”

Aku mengangguk tanda mengerti.

“Yes, bos!” ujarku sambil mengangkat tabik hormat kepadanya.


Babah tertawa sambil mengusap ubun-ubunku. Alhamdulillah, selesai satu bab. Tinggal bab aku dengan Luqman pula.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Best..da lme tertgu2..:)

nurr bayu berkata...

akhirnya.....(Y)

mona berkata...

mmng pn,lma sngt tnggu n3 bru,tq TT,smbg lg na

baby mio berkata...

best nak lagi.

Tanpa Nama berkata...

waaa best dh lama tgu n3 ni hampir2 lupa jln cita dia