Rabu, 13 Jun 2018

JANJI KASIH (2)


Tahun 2018

Aku suka lelaki itu. Aku jatuh cinta pada lelaki itu apabila pertama kali dia datang bersama keluarganya ke rumahku. Raut wajahnya, senyumannya dan tingkahlakunya mengingatkan aku kepada seseorang. Itu kali pertama hatiku terpaut padanya. Itu juga kali pertama aku jatuh cinta. Aku terima pinangan dia kerana menyangkakan ada cinta dalam hatinya. Aku terima pinangannya kerana menyangkakan dia mahu membina rumahtangga denganku. Tetapi aku silap. Dalam hatinya sudah ada orang lain.

Aku cuba untuk berfikiran positif. Cuba untuk bersangka baik. Tetapi hati tak mampu lagi menipu. Mungkin sudah tiba masanya untuk aku mengundur diri. Betul kata-kata lelaki itu pada hari pertama kami bertunang, cinta dia bukan untukku. Aku mengeluh sambil mengesat air mata yang mula berjurai.

Aku cuba untuk melupakannya. Tetapi kenapa hatiku masih tidak boleh melupakannya? Kenapa hatiku masih teringat padanya? Tatkala aku ternampak seorang wanita berambut ikal mayang memegang erat lengannya di hadapan bangunan pejabatnya empat hari yang lalu, hatiku seperti diramas-ramas. Serasa separuh semangatku hilang.

Tiga hari aku demam, tetapi aku gagah juga ke tempat kerja. Tiada siapa pun tahu waima papa dan Mummy Amanda. Habib lagilah tidak pernah hendak menelefon bertanyakan khabarku. Selalunya aku sahaja yang menghubunginya. Ya, namanya Habib, nama penuhnya Habiburrahman. Unik namanya, seunik namaku. Habiburrahman – Khadeeja. Aku tersenyum melihat ikatan nama yang aku lakar di atas kad dengan dakwat berwarna emas. Kad itu aku tampal di dinding bilikku.

Semalam adalah kemuncak keletihan tubuh dan fikiranku apabila aku jatuh terduduk di lantai dapur apabila kepalaku tiba-tiba rasa berpinar. Terkejut papa dan mummy melihat keadaanku. Tubuhku dipapah berehat ke bilik.

“Eja ada masalah ke? Kenapa dua tiga hari ni papa tengok Eja macam tidak bermaya sahaja? Ceritalah pada papa,” soal papa di sisiku.

Mummy Amanda sudah beredar ke dapur. Aku pandang papa. Eja nak putuskan pertunangan ini papa. Habib tidak cintakan Eja. Tetapi ayat itu seperti tersekat di kerongkongku. Kesian papa. Dia yang mengharapkan aku untuk berumahtangga kerana akulah satu-satunya anaknya. 

Aku cuba mengukir senyum.

“Papa…”

Aku menarik tangannya. Menggenggam dan mengelus lembut tangan yang sudah berkedut itu.

Perlahan-lahan aku menghela nafas. Cuba mencari ruang untuk meluahkan isi hatiku.

 “Eja nak minta izin balik kampung, papa. Fikiran Eja berserabut. Eja perlukan ruang untuk diri Eja.”

Wajah papa berkerut kehairanan.

“Kenapa perlu balik kampung? Eja ada masalah dengan Habib ke?” soal papa sambil tangan kanannya mengusap kepalaku.

Aku menggeleng sambil tersenyum kelat.

“Eja tak ada masalah dengan Habib. Tapi Eja ada masalah dengan diri Eja sendiri. Eja harap sangat papa faham.”

Aku masih belum bersedia untuk memberitahu perkara sebenar tentang hubungan kami.

“Eja seperti sembunyikan sesuatu daripada papa dan Mummy Amanda. Papa tahu, Eja mesti ada masalah dengan Habib. Selepas bertunang, Papa tak pernah nampak Habib datang ke sini dan Eja sendiri tak pernah minta keluar untuk berjumpa dengan Habib.”

Aku mengeluh. Mesti Papa perasan kelainan pada perhubungan kami berdua.

“Kalau Eja ada masalah dengan Habib, beritahulah. Papa akan berbincang hal ini dengan Habib.”

“Tak perlu Papa. Eja Cuma perlukan masa untuk bersendirian sekarang ni.”

Papa menghela nafas panjang.

“Baiklah kalau itu kehendak Eja. Papa benarkan.”

“Err…Papa, Eja bukan nak balik kampung kita di Perak. Tapi Eja nak balik kampung mama.”
Papa tersentak. Air mukanya berubah tegang.

“Maksud Eja, Kampung Serendak?”

Aku mengangguk.

“Kenapa perlu pulang ke sana? Tidak! Papa tak benarkan. Jangan sesekali jejak kaki Eja ke sana.”

Aku dah agak itu jawapan Papa. Aku tahu apa yang Papa risaukan.

Please, Papa … Eja perlu balik ke sana. Ada sesuatu yang Eja perlu selesaikan. Lagipun, Eja rindu sangat nak balik tengok kubur arwah mama. Tolong benarkan Eja pergi. Eja janji, Eja takkan susahkan Long Hadi dan Ummi Samirah. Eja takkan susahkan sesiapa.” pujukku sambil menarik kedua-dua tangan Papa dan mencium dengan lembut.

Papa melepaskan keluhan berat. Aku tahu dia susah untuk membuat keputusan. Tapi aku nak sangat ke sana. Aku perlu ke sana. Tak tahu kenapa. Tetapi hatiku kuat menarik untuk ke sana.

“Khadeeja… keputusan Papa muktamad. Ada sebab kenapa Eja tak boleh ke sana. Tolong faham dan ingat pesanan papa. Jangan sesekali balik ke sana,” tegas jawapannya meskipun aku cuba memujuknya.

Aku mengetap bibir. Hampa.


Tiada ulasan: