Isnin, 8 November 2010

DCJ32


“Awak buat apa?”
Soalan pertama yang ditanya sebaik sahaja aku menerima panggilannya.
“Sedang kemas pakaian.”
Memang benar. Saat dia menelefonku itu, aku sedang memilih pakaian yang akan ku bawa pulang.
“Hendak ke mana?”
“Balik kampung. Ayah Cu nak kahwin.”
“Ooo, tak kahwin lagi. Ingatkan dah beranak pinak.”
Ada nada sindiran di hujung talian. Aku diam. Malas nak membalas sendirannya. Bukan aku yang hendak bercakap dengannya.
“Pukul berapa bas bertolak?”
Eh! Mana dia tahu aku nak balik naik bas?
“Bila masa Min beritahu Luq, Min nak balik dengan bas?”
Lelaki itu terdiam. Lama. Aku pasti, mesti ada seseorang telah memberitahu tentang diriku.
“Kalau Luq tak ada apa nak cakap, Min nak letak. Ada banyak kerja lagi yang perlu diselesai.”
“Maaf.”
Perkataan maaf yang sangat sukar aku dengar daripada mulutnya.
“Huh? Kenapa?”
“Tentang kejadian hari tu? Luq tak bermaksud nak sakitkan hati Min.”
“Ohh... Min tak mahu bincang lagi tentang perkara itu. Lupakanlah. Buat serabut kepala otak sahaja.”
“Tapi Luq nak cakap tentang itu.”
“Apa lagi yang Luq nak cakap? Kan Min dah cakap tadi, Min tak mahu bincang lagi pasal hal ni.”
“Luq tak mahu Min fikir yang bukan-bukan tentang hubungan Luq dengan setiausaha Tan Sri.”
Aku menghela nafas.
“Kalau ada apa-apa pun, apa kena-mengena dengan Min?”
Lelaki itu diam lagi.
“Pukul berapa nak ke stesen bas esok?”
Ternyata dia cuba mengubah topik.
“Tak jadi balik naik bas.”
“Kenapa pula?”
“Babah suruh balik dengan abang Nain.”
“Nain lagi. Asyik-asyik Nain. Asyik-asyik Nain. Kata nak balik dengan bas, kenapa tiba-tiba tukar fikiran balik dengan dia pula?”
Ada nada tidak puas hati di hujung suaranya.
“Bukan Min yang nak, tapi babah yang suruh.”
“Min boleh tolak, kan?”
Aku mengeluh.
“Kenapa Luq pula yang sibuk pasal Min? Suka hati Min lah nak balik dengan apa dan dengan siapa pun.”
“Sebab Luq pun dah beli tiket bas yang sama dengan Min.”
Aku tersentak.
“Kenapa?”
Banyak sungguh perkataan kenapa dalam perbualan kami.
“Sebab nak balik kampung dengan Min.”
Wajahku diserbu rasa panas. Dia beli tiket bas semata-mata nak balik kampung dengan aku.
“Tak ada kerja ke? Asyik nak berkepit dengan orang.”
“Habis tu, takkan nak biar Min berkepit dengan anak Tan Sri tu?”
Sekali lagi terasa darahku tersirap. Istilah berkepit yang digunakannya seolah-olah ingin menuduhku sebagai seorang wanita liar.
“Bila masa Min berkepit dengan abang Nain? Boleh tak jangan buat spekulasi yang bukan-bukan?”
“Spekulasi apanya. Memang dah terang lagi bersuluh.”
“Min nak keluar dengan sesiapa pun, apa kena-mengena dengan Luq? Min tak pernah ambil kisah pun dengan siapa Luq keluar.”
“Betul ke Min tak kisah?”
Aku terdiam. Betulkah aku tak kisah? Kenapa pula aku kena ambil kisah? Aku bukannya penting padanya. Sekadar kawan lama zaman persekolahan.
“Luq dengan Ferisha...”
“Min tak nak dengar. Itu hal peribadi Luq, Min tak nak masuk campur.”
Kedengaran lelaki itu mengeluh panjang.
“Luq nak terang sesuatu pada Min.”
“Lain kali sahaja. Min dah letih, Luq. Penat sangat.”
“Dengan Abang Nain awak, tak pernah penat pun. Tapi kalau dengan Luq..”
“Awak kalau nak bercakap sekadar nak menyakitkan hati, baik tak payah telefon langsung,” marahku seraya terus mematikan telefon.
Entah kenapa, tiba-tiba terasa dadaku sakit. Marah yang membuak-buak apabila setiap kali dia mengaitkan namaku dengan abang Nain. Kenapa dia suka menyakitkan hatiku? Aku memandang ke arah jam yang tergantung di dinding. Pukul 2 pagi. Lamanya kami bercakap. Baru terasa telingaku kepanasan. Tangan juga terasa lenguh. 
Beberapa minit kemudian, Luqman menghantar SMS pula.
: Awak tengah datang bulan, ya? Cakap sikit dah marah-marah. Selalu tak macam ni pun.
Burr...sekali lagi terasa darah panas menyerbu ke muka. Aku pantas mencapai kalendar di atas meja. Ohh..minggu PMS. Patutlah aku rasa tak selesa dan perasaan marahku asyik membuak-buak. Pandai pula lelaki ini meneka.
: Kita jumpa di kampung ya.
Tak habis lagi memujuk. Aku membiarkan pesanan itu tanpa balasan.
:Saya ada hal nak cakap dengan awak.
Telefon bimbitku kembali berlagu nyanyian ‘Yang Terindah’. Lama. Aku biarkan sahaja. Beberapa ketika kemudian, ia berbunyi tanda ada pesanan ringkas.
:Angkatlah. Janganlah marah. Merajuk ke?
Sekali lagi telefon itu berbunyi. Aku mencapai kembali telefon bimbit yang terletak di sebelahku.
“Hello.”
“Jasmin.”
“Cakap sekarang. Min dengar,” ujarku separuh tegas.
“Min, janganlah marah-marah. Saya susah hati.”
Huh! Lain pula nadanya kali ni. Hanya dalam beberapa minit, intonasinya sudah bertukar rentak.
“Apa kena-mengena Min marah dengan susah hati awak, Luq?”
“Sebab Luq tak mahu Min tidur dengan air mata. Menangis, sampai bengkak mata.”
“Huh! Siapa cakap Min menangis?”
“Ya ka tak menangis? Mmm...tak apalah. Luq nak beritahu sesuatu pada Min. Tapi, malam ni tak boleh. Luq takut Min masih belum bersedia.”
Aku mengeluh. Apalah yang tak kena dengan lelaki ini? Sekejap nak cakap, sekejap tak nak pula.
“Apa-apa ajalah, Luq. Min nak tidur ni. Dah lewat sangat. Esok mengantuk pula.”
“Alah, bukannya Min bawa kereta pun.”
“Luq... please..stop it.”
Yeah, as you wish, my dear. Good night, love.”
Talian di hujung sana dimatikan. Aku termanggu seketika. My dear? Love?
Betulkah apa yang aku dengar? Aku menghela nafas panjang sambil meletak telefon bimbitku di hujung kepala katil. Aku terus merebahkan tubuhku ke atas katil. Cuba memejamkan mata. Malas hendak memikirkan maksud butir bicara Luqman.
****
Kereta Vios milik abang Nain meluncur laju di atas lebuhraya. Beberapa kali juga aku mendengar lelaki di sebelahku itu berdehem. Aku buat-buat tak dengar sahaja. Walaupun terasa sangat mengantuk gara-gara tidak dapat tidur semalam, tapi mataku masih juga melayan pemandangan di luar tingkap. Meskipun sudah biasa menaiki kenderaannya, perasaan segan pada Abang Nain masih tetap terasa kerana bagiku adalah tidak wajar aku sedap-sedap tidur di sebelahnya dan membiarkan dia memandu berseorangan. Serasanya inilah kali pertama aku menaiki kereta dengannya dalam perjalanan jarak jauh.
“Kalau Min mengantuk, tidurlah. Jangan ditahan mata tu.”
Aku tersentak.
“Mana abang Nain tau Min mengantuk?”
“Habis tu, dah berkali-kali abang tengok asyik menguap sahaja, tak mengantukkah namanya?”
Huh! Sempat lagi dia memerhati tingkahlakuku semasa memandu.
“Tak cukup tidurkah semalam? Rasanya tuan haji bagitahu abang tadi, Min cuti semalam. Tak ke kedai. Kenapa pula hari ni nampak macam letih sahaja?”
Aku tersenyum kelat.
“Tak ada apalah. Semalam asyik kemas barang sampai terlupa terlajak waktu tidur. Sebab itulah letih sikit.”
Alasan. Sebenarnya aku bercakap dengan Luqman sehingga pukul 2 pagi. Bukan bercakap sebenarnya. Lebih kepada bertekak mulut dan sindir-menyindir. Aku pun tak tahu kenapa? Kesudahannya aku sukar untuk tidur memikirkan kata-katanya. Menjelang subuh baru aku dapa melelapkan mata. Mujur juga tidak terbabas solat subuh.
“Itulah, lain kali siap awal-awal. Tidaklah kelam kabut. Lagi satu, kan abang Nain dah bagitau, kalau nak ubah waktu perjalanan, maklumkan sahaja. Kenapa Min tak cakap?”
“Tak apalah kita bertolak pagi. Sampai awal sikit. Kalau bertolak lewat, sampai malam pula nanti. Lagipun, bukannya Min yang memandu. Min hanya duduk kat sebelah ni dan rehat sepanjang jalan.”
“Ada-ada sahajalah Min tu. Tidurlah. Ambil bantal kecil di bahagian tempat duduk belakang tu untuk dibuat peluk.”
“Nanti dah sampai, abang Nain jangan lupa kejutkan ya.”
“Hmm..ok.”
***
Sewaktu aku keluar dari kamar, kelihatan ummi sedang melipat pakaian di ruang tamu. Aku menghampirinya.
“Ha..dah bangun pun. Dah solat asar ke belum?” soal ummi sambil menolak pakaian yang telah dilipat ke tepi, memberi ruang untuk aku bersimpuh di sebelahnya.
“Dah. Ayah Long mana?”
“Ke kebun. Tengok lembu yang baru sampai pagi tadi.”
“Berapa ekor ayah Long beli untuk kenduri ayah cu ni?”
“Dua ekor.”
“Banyaknya.”
“Nak jemput ramai. Kawan-kawan ayah cu kamu, adik-beradik kita, orang kampung. Lagipun saiz lembu tu kecil sahaja.”
“Ooo..”
Aku melingas. Sunyi sepi.
“Cari siapa?”
Seperti tahu-tahu sahaja segala tindak tandukku.
“Hah! Err..ummi nampak Abang Nain?”
“Dia ikut ayah cu kamu ke pekan.”
“Ohh..tak habis lagi membeli barang?”
“Ayah Cu kamu minta dia jadi pengapit. Tu yang bawa ke pekan, beli pakaian yang sama dengan pengapit perempuan.”
“Hah! Ayah Cu minta Abang Nain jadi pengapit dia? Ayah Cu tak ada pengapit lagi ke?”
“Hmm, tak adalah kot. Sebab tu dia suruh si Nain tu yang jadi.”
Aku terdiam. Aku akan jadi pengapit Nadheera dan Abang Nain pula kan jadi pengapit  Ayah Cu. Aduh! Dugaan apakah ini? Aku bingkas ke kamarku semula.
“Nak ke mana tu? Baru bangun tidur, nak tidur balik ke?”
“Taklah, ummi. Min nak call ayah cu kejap.”
“Nak buat apa? Biar aja lah si Nain tu jadi pengapit. Ummi nampak dia serasi jadi pengapit ayah cu. Dari tadi menolong ayah long dengan ayah cu kamu tak berhenti.”
Aku mengetap bibir.
“Ummi, Min dah jadi pengapit Nad. Takkan nak suruh dia jadi pengapit ayah cu pula?” Ummi Long mengerutkan dahinya, kehairanan.
“Apa salahnya? Ada masalah ke kalau dia yang jadi pengapit ayah cu?”
“Tak sesuailah, ummi. Kenapa ayah cu tak suruh kawan-kawan dia sahaja yang jadi pengapit? Teruklah ayah cu ni.”
“Jangan merungut, Min. Kenapa ni, bangun tidur nak marah-marah? Ayah cu tahulah kerja dia. Ni lagi satu, Nadheera tu akan berkahwin dengan ayah cu, cuba biasa-biasakan diri panggil mak su.  Ini dok panggil Nad..Nad..sakit telinga ummi mendengarnya.”
Aku memuncung mendengar kata-kata ummi.
“Min tahulah. Nanti ayah cu dah kahwin, Min panggilah dia mak su. Min ke rumah dia sekejaplah, ummi. Nak tengok baju Min.”
“Hmm, jalan elok-elok. Jangan melencong ke anak sungai. Banyak lagi kerja kat rumah ni, nak kena buat.”
“Alah... baru cadang pergi tadi. Dah lama tak ke sana. Entah-entah dah jadi semak. Boleh lah, ummi?” pintaku separuh memujuk.
“Tak berubah-ubah perangai tu. Pergilah. Tapi jangan lama-lama. Dah petang ni. Nanti senja, gelap kawasan tu. Bahaya.”
Aku tersenyum mendengar jawapannya.
“Sayang, ummi,” ujarku sambil tunduk mencium pipinya.
“Pandailah dia tu.”
Aku tertawa kecil seraya menapak ke pintu utama. Sewaktu aku berjalan menyusuri jalan kecil yang berturap tar menuju ke rumah Nadeera, kelihatan sebuah kereta Honda meluncur laju menuju ke pekan. Luqman!
***
“Kenapa monyok ja muka tu? Masalah apa pula,Min?”
“Mana ada. Memandai sahaja kau ni.”
“Elleh, muka macam siput retak seribu, tak mengaku lagi ada masalah.”
Cis! Ada ke patut disamakan aku dengan siput retak seribu. Tak guna punya kawan.
Aku mencebik.
“Ayah cu bagi Abang Nain jadi pengapit dia. Mimpi apalah dia malam semalam? Tiba-tiba sahaja nak pakai pengapit pula. Padahal bukannya dia kenal sangat pun Abang Nain tu,” aduku sambil menyusun kotak bunga telur di dalam bekas khas.
“Ler, kau ni! Aku ingatkan besar sangat masalah tu. Rupa-rupanya hal pengapit yang kau ungkitkan. Kenapa? Kau takut orang gandingkan kau dengan dia?”
Aku menjeling apabila mendengar soalan berbisa darinya.
“Kau tak suka kahwin dengan anak Tan Sri ke? Aku tak nampak kekurangan pada lelaki itu. Semua ada. Rupa. Harta. Budi pekerti. Lengkap pakejnya.”
“Aku tak pernah fikir hingga ke situ.”
“Kau nak tunggu apa lagi, Min? Kau nak tunggu bulan jatuh ke riba atau tunggu sehingga kucing bertanduk? Kau pernah tanya Luqman perasaan dia kepada kau?”
“Pernah.”
“Bila?”
“Dua belas tahun dulu,” jawabku perlahan.
“Ceh! Cinta budak hingusan. Aku maksudkan, sekarang ni. Setelah kau berjumpa semula dengan dia. Bukannya zaman persekolahan dahulu.”
Aku tersengih. 
“Ish, budak ni. Oang tanya betul-betul, dia main-main pula.”
“Betullah tu. Takkan aku nak terhegeh-hegeh pergi tanya kat dia pula. Gila ke? Macam perigi cari timba pula.”
Nadheera mencebir mulutnya.
“Kau ni. Macam perempuan Melayu terakhir pula.”
Sekali lagi aku tersengih. Ayat yang sama disebut Munir.
“Iyalah tu.”
“Huh?”
Nadhheera kehairanan. Pelik barangkali kerana aku langsung tidak melawan kata-katanya.
Perempuan Melayu Terakhir, hmmm...

2 ulasan:

IVORYGINGER berkata...

Alahai nk Liuqman ngan Jasmin gak.
Abg Nain tlg ek bg laluan bt Luqman. Biar Luqman jd pengapit pengantin lelaki ya. hehehe... ;D

sakila's craft berkata...

LUQMAN nih pun 1 bila nak luahkan perasaan nya pun...