Ahad, 7 Oktober 2012

DCJ 37



“Min.”
Lelaki itu mengiringkan tubuhnya mengadapku.
“Hmm..”
“Kenapa Min macam nak menjauhkan diri sahaja dari Luq? Min marah-marah. Min dah tak pandang Luq. Langsung tak pandang Luq seolah-olah Luq tak ada di depan Min.”
“Mana ada Min jauhkan diri dari Luq. Ni kan Min ada dekat sini.”
“Cara Min macam cara Min buat dulu kat Luq. Sama macam masa kita sekolah dulu. Ingat tak? Pameran Tulisan Khat. Perangai yang sama Luq lihat sekarang. Seperti ada sesuatu yang dah Luq buat. Min ada terasa hati ke? Kalau tentang setiausaha…”
“Boleh tak kita jangan bercakap tentang hal ni? Min tak ada apa-apa. Min ok.”
“Tak, Min tak ok. Luq kenal Min bukan sehari dua. Luq tahu, Min ada sesuatu yang disembunyikan.”
“Kalau Luq kenal Min, Luq tentu dah boleh teka apa yang bermain di fikiran Min. Betulkan?”
Lelaki itu mengeluh. Sesekali dia memicit dahinya. Dia mengalihkan kembali tubuhnya, menelentang seperti tadi. Suasana sepi beberapa ketika.
“Betul ke Dzulkarnain beri cincin kepada Min?”
Aku tersentak. Dia tahu?
“Mana Luq tahu?”
“Mana Luq tahu, tak penting. Jadi betul cerita ni?”
Lelaki itu memusingkan kepalanya. Merenung terus ke wajahku. Aku gugup seketika. Lama suasana itu dibiarkan sepi. Perlu ke aku ungkitkan hubungan ini? Dia sepatutnya lebih tahu dan dia sepatutnya lebih perlu berterus terang.
“Jasmin Alia.”
Sekali lagi aku tersentak. Luqman sudah bangun dari pembaringannya. Badannya bersandar santai ke belakang. Sesekali tangannya meraup ubun-ubun kepala dan memicit dahinya seperti menahan kesakitan.
“Err..ya?”
Lelaki itu mengeluh.
“Mengelamun ya? Luq tanya ni, betul ke Dzulkarnain melamar Min?”
“Kalau betul pun, apa yang Luq nak buat?”
Gedebuk! Lelaki itu tiba-tiba jatuh ke lantai. Eh! Kenapa ni?
“Luqman! Kenapa ni? Awak ok tak?” jeritku kerisauan.
Aku meluru ke arahnya. Cuba memapah tubuhnya yang tiba-tiba lembik. Ughh, beratnya!
“Luqman! Bangunlah. Awak dengar suara saya tak?” soalku sambil menampar pipinya perlahan. Matanya terpejam rapat. Dadanya bernafas kencang. Ya Allah! Kenapa dengan awak ni Luq? Apa yang perlu aku buat ni? Panggil babah? Panggil ayah Long?

Tiba-tiba kedua-dua tangannya memaut bahuku. Keadaan itu mengingatkan aku dengan kejadian zaman persekolahan 12 tahun lepas. Badanku mengeras seketika. Masih terkejut dengan tindak balasnya. Seminit, dua minit, tiga minit…
“Min..”
Aku mendongak memandang wajahnya. Matanya terbuka sedikit. Wajahnya pucat seperti mayat. Aku menghela nafas lega. Dia masih sedar rupanya.
“Luq, bertahan yer. Min panggil babah,” ujarku sambil meleraikan pautan tangannya. Aku cuba membaringkan tubuhnya semula di atas sofa.
“Tak payah. Min tunggu sini,” pergelangan lenganku diraih dan dipegang kuat. Aku terduduk di sisinya.
“Betul ke Min?”
“Betul apa?”
“Tentang lamaran tu?”
“Ya Allah Luq. Sebab itu ke awak nak pitam ni?”
“Please, Min. Luq nak tahu.”
Aku menghela nafas panjang.
“Hari tu, memang abang Nain ada bertanya tentang hubungan kami.”
“Hubungan apa?”
“Err.. Dia minta hubungan kami  jadi lebih dari yang sedia ada sekarang.”
“Maksud Min?”
“Dia cakap dia suka Min. Dia cakap dia dah jatuh hati pada Min, cintakan Min.”
Tiba-tiba, Luqman terbatuk-batuk. Luqman menukar posisi tidurnya ke sisi. Dengan pantas, tanpa aku sedari tanganku terus menepuk dan mengusap-usap belakang badannya.
“Luq, Min panggil babah ya. Kenapa awak makin teruk ni? Kita tak sepatutnya bercakap hal ni sekarang.”
“Kita perlu cakap hal ini. Kita perlu berbincang tentang hal ini.”
“Tapi Min tak mahu. Luq tak nampak ke apa yang Luq alami sekarang ini? Awak membuatkan keadaan semakin teruk.”
“Sebab tu Luq cuba nak perbetulkan keadaan.”
“Dengan keadaan Luq yang begini. Min rasa Luq perlu berehat. Atau pun Min perlu bawa Luq ke klinik. Muka Luq betul-betul pucat. Min risau lah.”
“Min… Min terima lamaran tu?”
Aku mengeluh.
“Kan tadi Min dah kata, Min tak mahu bincang hal ini lagi.”
“Luq nak tahu juga,” ujarnya berkeras.
Degil. Keras kepala. Gerutu hatiku kegeraman.
“Min sendiri pun tak pernah nampak cincin tersebut. Macam mana Min nak terima lamaran dia? Satu-satunya barang kemas yang Min terima hanya daripad Luq seorang. Seutas rantai emas dari Luq yang Luq katakan hadiah sebagai seorang “kawan”. Itupun dah hilang. Jadi, apa lagi kebenaran yang Luq nak tahu?”
Lelaki itu terkebil-kebil memandangku..
“Habis tu, tadi bukan Min cakap Dzulkarnain cintakan Min ke?”
“Dia yang cintakan Min. Bukannya Min cintakan dia. Min tak ada apa-apa pun. Jadi apa yang disusahkan sangat.”
“Oh, ya ka? habis tu, Min cintakan siapa?”
Aku tersentak mendengar soalan itu dari mulutnya. Patutkah aku berterus-terang?
"Dengan siapa Min bercinta, perlu ke Min beritahu kepada Luq? Penting sangat ke sampai sakit-sakit ni pun nak bercakap juga hal ini?"
"Perlu dan penting."
Aku terasa semakin bengang dengan asakan darinya.
"Min tak mahu cakap." 
"Min kena cakap juga."
"Min tak mahu. Min tak mahulah. Kenapa Luq ni degil sangat? Suka nak paksa-paksa. Dari dulu suka nak arah-arah Min. Min bukan orang suruhan Luq. Kalau dulu Luq boleh buli Min. Sekarang, no way!"
"Kenapa pula dulu Luq boleh buli Min? Kenapa pula sekarang tak boleh?"
"Sebab dulu Min ni bodoh."
"Kenapa pula mengaku diri sendiri bodoh?
"Sebab terlalu ikut perasaan gila masa remaja. Orang bercinta, Min pun nak bercinta juga. Mengikut membuta tuli. Tak berfikir panjang."
"Oh, ya? Min bercinta dengan siapa?"
Aik, tak habis lagi soal jawab? Tetapi, takkan dia lupa dengan peristiwa 12 tahun lalu? Aku terus mendiamkan diri.

Ahad, 9 September 2012

DCJ 36


Selang beberapa minit kemudian kelihatan abang Nain datang menghampiri.
"Kenapa Min terpacak di sini? Kata nak lepak kat pangkin."
Aku mengunjuk ke arah Luqman yang sedang memanjat pokok. Abang Nain terkejut apabila memandang ke atas.
"Tak ada kerengga ke?"
"Entahlah. Harap-harap tak ada. Kalau ada pun mungkin semut hitam kot," teka ku tanpa kepastian.
"Eh, Man! Turunlah. Kita guna galah panjang sahaja. Banyak ranting reput tu," jerit abang Nain.
Luqman terus memandang ke bawah sebaik sahaja mendengar suara abang Nain. Kelihatan wajahnya berubah.
"Tak payah. Aku boleh buat. Aku orang kampung. Bukan macam kau orang bandar. Pokok buah macam ni pun kalau tak reti panjat, lebih baik duduk rumah diam-diam."
Hatiku tersentap mendengar jawapannya. Lain benar nada suaranya berbanding tadi. Aku kemudiannya memandang pula ke arah abang Nain. Wajahnya tersenyum kelat. Mungkin terasa dengan sindiran Luqman itu tadi. 
“Luqman! Turun lah! Nanti jatuh.” Jeritku. Lelaki itu terus memanjat pokok rambutan tanpa menghiraukan jeritanku di bawah. Tinggi egonya! Tidak pernah berubah! Aku mengalih pandangan ke arah Abang Nain. Dia melongo. Masih terkejut dengan tindakan Luqman yang seolang-olah cuba mencari gaduh dengannya. Dia tidak berani berkata apa-apa lagi. Semalam kerana cuba meleraikan pertelingkahan mulut antara aku dan Luqman, sikunya bercalar mencium tanah.
“Abang Nain, tolonglah.”
“Sorry, Min. Abang Nain tak berani masuk campur. Luq seperti tak suka kita...”
Gedebuk! Ada sesuatu yang jatuh dari pokok rambutan di hadapan kami. Luqman!
 ***
“Padan muka! Ego! Kenapa tak patah jer kaki tu? Senang sikit,” omelku sambil mencampakkan kain pelikat di hadapan Luqman. Lelaki itu memandangku sayu. Kemarahanku sudah ke tahap tidak mengira sesiapa lagi yang berada di hadapanku.
“Min...Jaga sikit mulut tu,” Tegur babah. Aku memandang babah yang duduk bersebelahan Abang Nain. Abang Nain pula langsung tidak bersuara semenjak dari kejadian tadi.
“Kenapa dengan kamu berdua ni? Sehari dua ni ayah Long tengok asyik nak bertekak sahaja. Kamu berdua ni pantang berjumpa. Ada sahaja benda yang nak dilawan bertengkar. Ingatkan dah besar panjang, dah berubah. Tapi, rupa-rupanya masih sama. Sekali-sekala cuba lah bercakap elok-elok sikit,” ujar Ayah long pula sambil menggeleng-gelengkan kepala. Aku menjeling ke arah Luqman.
“Nasib baik pokok yang Luqman panjat tu tak ada kerengga cuma banyak dahannya yang dah reput,” ujar Ummi Long dari dapur. Di tangannya ada sebotol minyak gamat.
“Hah, Luqman. Pergi tukar seluar tu. Nanti Ummi Long nak tengok luka kat betis tu.”
“Tak payah, Ummi Long. Luka ni sikit ja.”
Huh, ego! Gerutu hatiku semakin jengkel.
"Orang dah nak tolong tu, buat sahajalah apa yang disuruh. Tak payah lah nak menunjuk lagak tu lagi. Belajar sampai Jepun pun perangai tak pernah berubah."
Bebelku antara dengar dan tidak.
"Jasmin. Sudahlah tu. Kamu ni pun satu, belum jadi isteri orang lagi dah suka membebel," sampuk ummi long. Aku tersentak. Bibir Luqman terukir senyuman. Sakit-sakit pun ada hati lagi nak senyum sindir padaku. Nak tunjuk kemenangan lah tu sebab ada orang sokong, gerutu hatiku lagi. Sambil menjeling aku terus beredar ke bilik. Malas nak ambil tahu lagi pasal lelaki itu. 
Aku melepaskan lelah di atas katil. Separuh hari di dusun begitu memenatkan walaupun bukan aku yang mencari dan mengutip durian. Ayah cu dan Nadheera balik ke rumah keluarga Nadheera selepas menghantar kami pulang. Sepanjang jalan aku membebel melepaskan kegeraman. Habis semua orang dalam kereta menjadi mangsa termasuk ayah cu dan Nadheera. Di rumah ayah long pula aku sambung lagi membebel pada Luqman pula. Abang Nain pun terkena tempiasnya juga. Yang peliknya tiada sesiapa pun yang menyampuk atau menegur sikapku kecuali babah, ayah long dan ummi Long sahaja.  Bila difikir-fikirkan balik, terasa malu pun ada. Mesti ada yang perasan dengan perubahan sikapku ini. Setiap bulan ia pasti berlaku, walaupun kadang-kadang tidak seteruk mana. Tetapi kali ini anginku ini seperti puting beliung. Kesabaranku sangat nipis untuk mengawal api kemarahanku. Teringat kembali ketika zaman belajarku dahulu. Babah akan menjadi mangsa bebelanku tatkala aku bercakap dengannya melalui telefon. Bila aku bereaksi sedemikian babah lebih banyak mendengar dan selepas aku penat membebel, babah pasti akan memujukku. Secara automatik hatiku akan menjadi tenang semula. Simptom PMS. Atau simptom anak cengeng yang memerlukan perhatian. Huh!
Tiba-tiba telefon bimbitku berlagu nyaring. Aku mencapai telefon yang berada tidak jauh dari tempat pembaringanku.
Abang Nain!
"Hello Min."
"Ya."
"Abang dah on the way balik ke Shah Alam. Dah masuk lebuhraya pun ni."
Aku terkejut dan terus bingkas melihat ke luar tingkap. Vios miliknya sudah tiada di halaman rumah ayah Long. Kenapa dia tak beritahu aku nak balik hari ini?
"Kenapa tak panggil Min sebelum bertolak? Abang Nain tak beritahu Min pun nak balik hari ni."
"Abang ada emergency call dari pejabat tadi. Tak apalah. Min nampak letih dan stress. Abang tak mahu ganggu Min. Min perlu banyak berehat dan jangan terlalu memikirkan sangat apa jua masalah yang Min lalui sekarang."
"Hmm, baiklah. Terima kasih, abang Nain kerana tumpangkan Min balik ke kampung."
"Sama-sama, Min. Jaga diri."
"Ok. Abang Nain pun, hati-hati bawa kereta."
"Baik. Terima kasih. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Aku mengeluh. Pandanganku lepas kembali ke luar tingkap. Kelihatan babah dan ibu Darlynna sedang bersantai di atas pangkin  halaman rumah ayah Long.
Tatkala itu juga kedengaran ketukan di pintu kamarku.
"Jasmin," panggil ummi Long di luar kamar. Aku bingkas membuka pintu.
"Ya, ummi," jawabku sambil menjengulkan kepala.
"Tolong tengokkan Luqman di ruang tamu. Tanya pada dia nak air minuman atau tidak. Dari tadi dia berehat di sofa tu."
Aku mengangguk. Masuk kembali ke dalam kamar dan mengenakan semula tudung di kepala. Selepas itu aku menapak ke ruang tamu dengan perlahan. Tiada sesiapa melainkan lelaki itu yang terbaring di sofa. Tangan kanannya menutupi dahi dan separuh wajahnya. Aku tersengih seketika apabila melihat dia berkain pelikat. Aku melangkah ke dapur untuk membancuh seteko air teh dan kemudiannya menuangkan secawan untuk diberi kepada Luqman. Apabila aku sampai di ruang tamu, kelihatan Luqman masih terbaring seperti tadi. Kasihan pula apabila melihat luka di betisnya. Aku meletak cawan berisi air teh panas di atas meja kecil di hadapan sofa. Dengan perlahan aku mencuit bahunya.
"Luq, awak dahaga tak? Nak minum air tak?" 
Lelaki itu mula menggerakkan badannya. Tangannya dijatuhkan sisi dan kelopak matanya terbuka.
"Seronoknya bila buka mata sahaja dapat melihat sesuatu yang cantik dan indah."
Hah! Manisnya mulut.
"Perli ke puji?"
"Puji lah tu. Takkan Luq nak perli pula."
Aku mencebik.
"Puji ada makna."
"Makna apa pula?"
"Sebab Min bawakan air."
"Luq ikhlas, sungguh," ujarnya sambil mengangkat tangan paras bahu seperti berakujanji.
"Yalah. Ni bangunlah. Macam mana nak minum sambil baring? Tumpah airnya nanti."
"Min tolonglah suapkan.'
Ish, mengada-adanya!
"Jangan nak mengada-ada boleh tak? Cubit kat betis tu baru tau. Bangunlah duduk."
"Yelah, yelah. Garanglah Min ni," ujarnya seraya bingkas dari pembaringan.
"Hati-hati sikit. Air ni panas lagi," nasihatku sambil menghulurkan cawan berisi teh panas dan membiarkan dia menghirup air tersebut perlahan-lahan.
“Kenapa marah-marah ni? Datang bulan ek?”
Sempat lagi dia mengusik. Aku menjelingnya tajam.
“Bukan tadi kat dusun ada orang tu marah-marah ke? Siap kata lagi orang kampung pandai panjat pokok. Orang bandar tak pandai panjat pokok. Kesudahannya,yang mengaku diri tu orang kampung jatuh macam nangka busuk.”
Giliran Luqman pula menjeling padaku. Mukanya tersenyum kelat.
“Amboi, pulang paku buah keras lah ni ya?”
“Siapa makan cili, dia terasa pedas.”
“Ok, ok. Luq minta maaf. Luq terlalu emosional tadi.”
Hmm, pandai pula meminta maaf. Ingatkan dah lupa cara nak berbudi bahasa.
“Emosional ya. Hmm,Luq datang bulan ke?” soalku kembali.
“Amboi, pandai ya dia kenakan Luq balik. Cium mulut tu,baru tau.”
Aku terdiam. Lelaki! Kalau bercakap tak melibat benda yang tak senonoh,tak boleh ke?
Luqman terus meneguk air yang masih berbaki dalam cawan. Nampak seperti dahaga betul.
“Nak air lagi ke? Min ambilkan.”
Lelaki itu menggelengkan kepala.
“Tak payah. Luq nak baring sekejap. Tiba-tiba rasa pening kepala.”
“Hmm, ok. Rehatlah,” ujarku seraya mengangkat cawan. Kesian pula aku melihat dirinya. Aku bingkas hendak menuju ke dapur.
“Nak ke mana?”
Langkahku terhenti. Aku menoleh ke arahnya.
“Nak ke dapur. Hantar cawan ni.”
“Nantilah hantar cawan tu. Biarkan ia kat situ. Min temankan Luq. Seganlah nak baring kat sini seorang.”
“Kalau segan pergilah tidur kat dalam.”
“Kat dalam? Bilik Min ke?”
Aku menjegilkan mata. Sakit-sakit pun masih ada hati lagi nak menggatal.
“Bilik tamu. Bilik yang abang nain tidur semalam.”
“Uh, tak mahu lah. Ada bau lelaki. Lebih baik tidur kat sini. Lagipun kalau dalam bilik, susah.”
“Apa yang susahnya? Dalam bilik lagi selesa. Ada katil. Tak sakit badan.”
“Yelah, kat sini pun selesa juga. Ada Min. Min boleh temankan. Dalam bilik, Min tak boleh teman. Bahaya.”
Hish! Macam-macam ulah mamat seorang ni.
“Takkan Min nak tercongok jer kat sini. Lebih baik Min ke dapur boleh juga tolong umi long kat dapur.”
“Alah, nanti-nanti pun boleh tolong. Min tunggu orang sakit ni, boleh dapat pahala tau,” ujarnya seraya menelentangkan tubuhnya di sofa.
Aku mencebik. Sakit sedikit sudah mengada-ada.