Selasa, 24 September 2013

DCJ 42

Luqman menghulurkan kotak yang berisi seutas rantai dan gelang tangan manakala dia menyimpan kotak berisi cincin.

“Kenapa beri kotak ni pada Min?”

“Kan itu barang yang Min minta. Itu hadiah Luq untuk Min. Kenapa pula Luq nak simpan?”

“Oh, Min ingat Luq nak beri dalam bentuk hantaran.”

“Itu namanya nak menunjuk.”

“Menunjuk? Menunjuk apa pula? Ia sekadar hantaran sahaja. Ramai yang buat begitu,” soalku kembali.

Luqman tersenyum.

“Biarlah… itu orang lain. Cara kita lain. Luq tak mahu didik Min dengan cara mereka. Kita tak perlu menunjuk kepada orang. Luq harap Min faham,”terangnya sambil merenungku.

Aku tersenyum. Bahagia mendengar kata-katanya.

“Luq, terima kasih dengan hadiah ni. Hari tu dah dapat rantai. Hari ni dapat lagi. Nanti jangan kata Min ni mata duitan pula,” ujarku memperingatinya.

Luqman tersenyum.

“Hadiah yang diberi ni, bagi Luq hanya pemberian kecil kepada bakal isteri Luq. Tak sabar nak tunggu hadiah yang besar dari Min pula,”ujarnya sambil merenungku dalam.

Aku mengerut dahi. Hadiah besar? Hadiah apa?

“Tak apalah, nanti-nanti Min akan faham juga. So, esok bertolak pukul berapa?”

Huh! Boleh pula macam tu?

“Awal pagi kot. Kenapa?”

“Saja tanya. Nak ambil tahu. Tak mahu kejadian seperti hari ini berlaku lagi.”

“Kejadian apa? Apa yang berlaku hari ini?” soalku semakin hairan.

“Kejadian Luq tak tahu di mana Min berada,” jawabnya pendek.

Huh! Aku menghela nafas panjang.

“Luq, Min dah besar panjang. Min dah dewasa. Min bukan budak kecil lagi yang masih berhingus. Kenapa semua orang terlampau bersikap cuba nak melindungi Min? Seolah-olah Min tak mampu nak atasi sebarang  masalah. Semua orang seperti tak yakin pada Min. Macam mana Min nak berdikari kalau semua orang terlalu melindungi Min? Lagi satu, perlu ke Min beritahu segala aktiviti Min kepada Luq?” soalku bertubi-tubi. Terasa sedikit bengang kerana berasa asyik dikongkong waima aku bersamanya.

“Luq hanya tak mahu hati Min terluka.”

Aku menoleh memandangnya. Min lebih terluka bila Luq tidak berterus terang. Sentiasa berahsia dan berpura-pura tidak menyintai Min, getus hatiku.

“Min, dah siap kemas barang?” lamunan ku terputus. Ibu Darlynna tersenyum di hadapan pintu kamarku. Aku mengangguk.

“Bawalah barang-barang masuk dalam bonet kereta. Babah dah ada kat bawah tu.”

“Hmm, nanti Min turun.”

“Dah beli cincin tunang?” soal ibu lagi setelah melihat aku masih termanggu di atas katil.

“Dah. Luq yang pilih,” jawabku acuh tak acuh.

“Luq yang pilih? Kenapa Min tak pilih sendiri?”

“Entahlah. Min tak pandai pilih cincin sebab Min tak pernah pakai cincin.”

“Hmm, macam tak suka jer. Kenapa ni? Bergaduh dengan Luq, ya?”soal ibu Darlynna lagi. Aku mengjungkit bahu.

“Tak lah ibu. Min tak bergaduh dengan Luq. Entahlah. Mungkin hati Min masih ragu-ragu lagi. Min dah kurang yakin dengan hubungan ini.”

Wajah ibu Darlynna berubah. Dia bergerak menghampiri dan melabuhkan punggungnya di sebelahku.

“Minn… ibu rasa ibu tahu apa yang Min alami sekarang. Min masih dalam dilema. Mungkin juga sebab Min terlalu lama mengharapkan Luqman sehinggakan sampai satu tahap Min dah mula hilang keyakinan terhadap perasaan cinta tersebut sedikit demi sedikit. Min tak salah. Luqman juga tak salah. Buatlah istikharah. Mohon petunjuk kepada keputusan yang terbaik dalam hidup Min. Mungkin Allah nak tunjukkan sesuatu yang lebih baik untuk kamu berdua.”

Kelopak mataku mula berair apabila mendengar kata-katanya. Aku memeluk ibu Darlynna.

“Terima kasih ibu. Terima kasih kerana menjadi ibu yang terbaik untuk Min.”

Ibu Darlynna tersenyum sambil mengesat air mata yang mula mengalir di pipiku.

“Ibu sayangkan Min. Babah sayangkan Min. Buatlah keputusan yang terbaik. Siapa pun pilihan hati Min, kami tidak akan menolak dan kami tidak akan memaksa Min untuk menerima lelaki yang Min tidak cintai. Min cuma perlu lebih yakin dengan pilihan Min. Itu sahaja.”

Aku tersenyum dalam tangisan.

Syukur tuhan. Sekali lagi aku mendapat restu daripada kedua orang tuaku. Rupa-rupanya akulah yang tersalah tafsir. Aku menyangkakan yang mereka akan memaksa aku untuk menerima abang Nain. Tetapi akulah tidak betah meluahkan perasaanku. Aku suka memendam rasa sehinggakan menyakitkan hatiku sendiri. Mungkin itulah sebabnya mereka yang berada di sekelilingku bersikap ‘protective’ atau terlalu melindungi aku agar aku tidak mudah berkecil hati.

Sebaik sahaja selesai berkemas dan memasukkan barang ke dalam kereta. Kami segera bergerak pulang menuju ke kampung. Alhamdulillah, selepas 5 jam dalam kereta akhirnya kami tiba di kampung dengan selamat. Rumah ayah long sudah mula dipenuhi adik-beradik yang lain serta orang-orang kampung yang datang menolong melancarkan majlis kenduri doa selamat kali ini. Meriah sungguh suasana. Lebih meriah dari kenduri ayah cu. Aku terasa sedikit pelik. Aku dilarang untuk tidur di bilikku sendiri sebaliknya ummi long memaksa aku menggunakan bilik ayah cu. Bila ditanya, alasannya bilikku besar lebih baik diberi kepada keluarga yang datang dari jauh untuk menggunanya. Walaupun hanya ada katil bujang. Lantainya luas dan boleh dihampar dengan lebihan tilam bagi memberi ruang anak-anak ayah lang dari Pahang yang seramai tiga orang untuk tidur dan berehat. Akhirnya aku akur dengan saranan ummi long itu. Kalau difikirkan memang bilik itu besar sedikit dari bilik ayah cu ketika kahwin. Aku memindahkan beberapa kelengkapanku yang masih tersimpan rapi di bilik ke bilik ayah cu. Sewaktu aku sedang mengemas baju-bajuku ke dalam almari, ummi long melangkah masuk menghampiriku.

“Ada apa, ummi?”

“Jasmin, baju ni ummi buat khas untuk Min pakai semasa kenduri malam ni. Dah siap seterika. Tak perlu lagi nak susah-susah.”

“Oh, baguslah. Min pun tak ada baju. Baru ingat nak pakai baju raya tahun lepas yang Min tinggalkan kat sini. Tapi… min tak ada tudung warna hijau pucuk pisang ni.”

“Emm, ummi rasa dalam almari baju ayah cu kamu tu ada tudung Nadheera. Cuba Min tengok. Manalah tau kalau ada yang sepadan.”

“Hmm, baiklah. Nanti Min cari. Terima kasih ummi,” ujarku sambil mencium pipinya.

“Sama-sama, Min,” jawab ummi sambil terkebil-kebil. Eh, ummi menangis?

Aku baru ingin menegur namun ummi terlebih dahulu bingkas dan keluar dari bilik ayah cu. Terpinga-pinga aku melihat reaksinya. Kenapa ummi long menangis?

Beberapa ketika kemudian telefon bimbitku bergema. Aku pantas mencapainya di atas katil. Luqman. Aku tersenyum.

“Buat apa?” soalnya selepas memberi salam.

“Sedang kemas baju dalam almari. Dah makan?”

“Dah, tengahari ni makan masakan orang rumah. Sedap sangat makan sampai tersandar kekenyangan.”

“Masakan orang rumah?” soalku kehairanan. Siapa pula yang dimaksudkan dengan orang rumah?

Lelaki itu tergelak kecil di hujung talian. Hmm, apa-apa sahajalah Luqman Hakeem.

“Rumah kenduri makan lauk apa tengahari ni?”

“Emm, lauk biasa-biasa sahaja. Masakan kampung. Ikan cencaru sambal belah belakang, masak lemak tempoyak, gulai kepala ikan, ulam-ulaman,” jawabku berbasa basi.

“Amboi, sedapnya. Mesti Min jadi mem besar, duduk makan sahaja.”

“Eh, kenapa pula? Tak mainlah jadi mem besar. Ummi long tunggu Min sampai semata-mata nak Min buat ikan cencaru sambal tau,” balasku semula. Mengharapkan dia akan terliur apabila mendengar menu masakanku di kampung. Padan muka! Orang ajak balik, sombong sangat, getus hatiku puas.

“Eleh.. tak hairanlah kalau setakat cencaru sambal Min tu, Luq petik jari jer dah boleh rasa,” usik dia lagi.

Aku mencebik. Amboi, berlagaknya!

“Min nak letak ni. Dah nak masuk solat maghrib. Nak bersiap-siap untuk majlis malam ni. Bye,”

“Ok, bye. Jaga diri.”

Talian telefon dimatikan. Aku berjalan menuju ke almari baju ayah cu. Pintu almari dibuka. Kelihatan beberapa helai tudung tergantung rapi di tepi pintu almari. Hmm, ada pun warna yang seakan-akan baju yang diberi ummi long.

Selesai solat maghrib aku terus bersiap-siap mengenakan baju yang diberi ummi long dan tudung Nadheera yang aku pinjam. Apabila aku melihat semula diriku di cermin , baru aku perasan baju yang pakai itu begitu meriah dengan manik dan labuci. Aku tersenyum sendiri. Pandai pula ummi long pilih baju untukku, getus hatiku. Selepas berpuas hati dengan penampilanku, aku bergerak keluar dari kamar. Meriahnya. Terpegun aku seketika apabila melihat begitu ramai adik-beradik yang datang pada malam ini.
Ibu Darlynna yang cantik berkebaya kuning langsat tersenyum riang melayan tetamu. Aku menghampirinya.

“Kenapa lambat siap? Pergi makan dulu di dapur. Selepas majlis tahlil ni,  jangan ke mana-mana,” pesan ibu Darlynna. Aku kehairanan. Kenapa ibu berpesan agar aku tidak ke mana-mana? Walau bagaimanapun aku hanya menuruti katanya.

“Min, tolong ummi ngah cuci gelas di dalam sinki tu. Ummi rasa macam tak cukup saja untuk diberi minum kepada tetamu yang datang tahlil malam ni,” pinta ummi ngah sambil mencuit bahuku.

Aku mengangguk dan bingkas ke dapur. Sewaktu aku sedang mencuci gelas-gelas tersebut di singki, kedengaran derapan tapak kaki seseorang menghampiri dapur.

“Hah, dah habis tahlil di hadapan?” soal ummi ngah kepada seseorang. Aku tidak berkalih.

“Ya, nak angkat dulang ni ke?”

Erk! Seperti kenal sahaja suara itu.

“Eloklah. Bawa dulang tu ke depan. Nanti Ngah hulurkan jag air ni,” sahut ummi ngah kembali.

“Hmm.. ehem,” lelaki itu berdehem.

Aku meletak gelas yang sudah dibilas ke atas dulang. Kemudiannya aku menoleh ke belakang tetapi tidak sempat melihat lelaki tersebut kerana dia telah beredar ke ruang depan. Aku tersenyum sendirian. Teruk sangat angau aku ini. Agaknya aku rindu pada Luqman sehingggakan suara orang lain pun disangkakan suaranya.

Selepas tahlil, ayah long memanggil semua saudara mara yang dewasa ke ruang depan. Selesai mencuci gelas aku duduk bersimpuh antara ruang tengah dan ruang makan sekadar memandang suasana yang agak formal menjadi sedikit serius. Setiap ruang dipenuhi dengan jiran tetangga dan sanak saudara, menyukarkan aku untuk melihat apa yang berlaku di ruang tamu utama. Mungkin ayah long buat mesyuarat keluarga. Tetapi kenapa ada ramai pula jiran-jiran yang turut serta? Sesekali kedengaran suara tawa berderai. Tak lama selepas itu, ibu Darlynna datang menghampiriku.

“Min, pilih nombor yang paling Min suka.”

“Hah, nak buat apa?”

“Pilih sahajalah. Jangan banyak soal.”

Aku berfikir beberapa ketika.

“Min pilih tahun lahir Min.”

Ibu Darlynna mengangguk. Dia bergerak pantas menuju ke ruang hadapan semula.

“Berapa letak?” kedengaran suara-suara yang bertanya. Aku hanya tersenyum apabila mereka memandang ke arahku.

“Lapan ribu empat ratus sahaja. Sedikitnya. Kata menantu kerja jurutera. Takkan letak sedikit sahaja?”

Aku masih tak faham dengan perbualan mak-mak yang duduk berhampiran denganku. Apa yang lapan ribu empat ratus? Hah! Aku memandang ke hadapan semula. Baru aku perasan, babah, ayah long, ummi long, ibu Darlynna dan semua saudara yang terdekat berada di ruang tamu utama. Mereka sedang berbincang tentang pertunangan aku kah? Menantu jurutera. Dengan Luqman kah? Tetapi kenapa Luqman tak cakap apa-apa pun tentang majlis ni? Kenapa tiada seorang pun maklumkan tentang majlis malam ni? Aku mula terasa sebal. Rahsia lagi, keluhku. Jemu dengan suasana yang sudah mula menjadi panas, aku bingkas menuju ke arah dapur.

“Mana Jasmin?” aku terdengar suara Ummi Long mencari aku.

“Eh, tadi ada di sini. Agaknya dia ke dapur.”

“La.. di sini dia rupanya. Cepat! Pihak lelaki dah lama tunggu nak sarung cincin,” aku terkapa-kapa mendengar kata-kata ummi long. Sarung cincin? Jadi betullah kenduri ini merangkap majlis pertunangan aku?

“Jasmin, kan ibu pesan jangan ke mana-mana. Mari kita ke depan,” ajak ibu Darlynna sambil menarik tanganku. Aku terpaksa membuntuti ibu dalam keadaan tergesa-gesa.

Apabila tiba di ruang tamu utama, terasa seperti semua orang sedang memandangku. Mak ai, ramainya! Malunya aku. Mana nak letak muka ni? Boleh tak aku nak sembunyi belakang ibu Darlynna sahaja? Huhu..

Aku melabuhkan punggung di belakang Ibu Darlynna.

“Ya Allah, budak bertuah ni. Kenapa duduk di situ. Datang sini, kat kusyen depan bakal ibu mertua kamu ni,” arah ummi long sambil mengunjuk tempat yang dimaksudkan.

Kedengaran tawa-tawa kecil memenuhi ruang tamu utama. Burrr! Sekali lagi mukaku terasa tebal. Malunya! Perlahan-lahan aku melangkah dan duduk di kusyen empat segi yang telah dikhaskan.

“Hah, apa lagi? Hulur tangan tu cepat,” arah ummi long lagi. Aku terkejut lantas menghulurkan tangan kananku.

“Salah tu, nak sarung cincin tunang kena hulur tangan kiri,” tegur ibu Darlynna pula. Sekali lagi ruang tamu utama itu riuh dengan tawa tetamu yang berada di situ. Malunya. Dungun betul aku ketika itu sehinggakan tidak dapat berfikir apa-apa pun. Dalam hatiku, penuh dengan perasaan sebal terhadap Luqman. Jadi inilah tarikh yang Luqman pilih untuk mengikatku sebagai tunangannya.

Emak tiri Luqman, Mak Usu Arwa menyarungkan cincin yang aku dan Luqman beli bersama-sama pada tiga hari lepas. Aku memandang cincin yang baru tersarung di jari manisku. Tak sangka sesingkat ini kami akan bertunang. Tatkala itu terkenangkan kata-kata Luqman yang tidak mahu kami bertunang dalam tempoh yang lama. Ini bermakna ada lagi seminggu sahaja aku akan berkahwin dengannya. Hah, seminggu! Biar betul. Terasa seperti semua darah di mukaku turun ke kaki dan kalau ditoreh pun pasti tidak berdarah. Peluh mula merenik di dahi walaupun kipas di siling berpusing dengan lajunya. Tekakku terasa kering tiba-tiba. Aku memandang sekeliling. Aku pandang babah dan ayah long di ruangan tetamu lelaki dan kemudiannya aku menoleh ke arah ibu dan ummi long yang berada di kiri dan kananku. Senyumanku mati. Aku akan berkahwin dalam tempoh seminggu! Ya Allah, apa yang perlu aku lakukan?

“Min.. Min… kenapa ni? Tiba-tiba pucat saja muka ni. Min…” panggil ibu.

Ummi long menyentuh bahuku. Aku cuba menggapai tangannya. Tapi tak berdaya. Tubuhku mengigil tiba-tiba dan pandanganku terasa semakin kelam. 

3 ulasan:

baby mio berkata...

BEST...

Tanpa Nama berkata...

Laa.... takkan pengsan kot.... Cepat bangun Min. Nikmati momen-momen indah semasa bertunang dgn Luqman tu.... Seminggu jer bertunang... hihihi....

Suhana Shahril berkata...

baby mio
TQ

Tanpa Nama
Kita kasi drama sket