Jumaat, 5 November 2010

DCJ 26

“Kenapa jalan terhencot-hencot tu, Min?”

Aku tersengih mendengar teguran mummy.

“Macam mana tak terhencot. Duduk di rumah elok-elok, pandai-pandai naik basikal sendirian bawa kat kawasan curam. Jatuh basikal,” beritahu Ibu Darlynna.

“Lah! Ya ka? Sini, mummy tengok.”

Aku tersengih sambil berjalan berdingkit-dingkit menghampiri wanita berusia lewat 50-an itu.

“Alah, tak teruk mana pun. Jatuh kat gaung rendah saja,” ujarku seraya melabuhkan punggung di sisinya. Aku menarik sedikit seluar ke paras lutut. Wanita itu menyentuh betisku yang berjahit Lukanya sudah semakin kering. Aku menyeringai. Terasa sedikit sengal apabila disentuh.

“Sakit? Ish, dalam luka ni. Kenapa pergi seorang? Kenapa tak ajak Abang Nain kamu? Dia dulu pun suka bawa basikal ni. Tapi semenjak arwah Izzat tiada, basikal dia tersadai sahaja dalam stor kat rumah tu.”

Aku dah ajak, tapi dia yang merajuk tak pasal-pasal. Malaslah nak pujuk orang tua merajuk, bukan salahku pun, getus hatiku dangkal dengan tingkahlaku lelaki itu.

“Sikit ja, mummy. Sehari dua lagi baiklah,” ucapku seraya menarik seluar ke bawah.

“Apa kecoh-kecoh ni? Saya dengar ada orang jatuh. Siapa?”

Kami menoleh ke muka pintu. Tan Sri Khirilzan berdiri bersebelahan babah.

“Ni ha, Jasmin Alia. Jatuh semasa naik basikal. Marilah awak tengok kan. Dalam lukanya. Risau pula saya tengok.”

Aku tersengih lebar lagi apabila mendengar kata-kata mummy. Risau sungguh dia mengalahkan babah. Wanita itu menginjak ke sebelah bagi memberi ruang kepada Tan Sri Khairilzan duduk di tengah, antara diriku dan mummy.

“Luka sikit saja, uncle Jan. Lagipun, Min dah letak ubat yang doktor bagi.”

Aku mengerling ke arah babah yang masih berdiri di muka pintu. Babah tersenyum sambil melihat telatah kedua mereka. Tatkala itu, kelihatan seseorang di belakang babah. Abang Nain! Lelaki sedang berdiri tegak sambil memandangku, tajam. Aku melarikan pandangan.

***

“Sendiri yang cari pasal. Basikal tu untuk profesional. Bukannya untuk awak yang masih baru.”

“Suka hati Min lah. Yang abang Nain nak sibuk-sibuk ni, kenapa?” pintas aku kembali. Geram dengan tingkah lakunya yang seperti kebudak-budakan.

Ketika itu kami berada di halaman luar rumah. Ibu bapanya sedang bersembang-sembang di ruang makan. Aku cuba untuk melarikan diri tapi lelaki itu seolah-olah dapat meneka tindakanku. Dia menahan langkahku ketika cuba menaiki anak tangga.

Lelaki itu menghela nafas panjang.

“Siapa yang tolong Min malam tu? Luqman? Kenapa Min tak telefon abang?”

Eiii... geramnya aku. Aku dah telefon. Berkali-kali. Tapi dia yang tak angkat. Langsung tak berjawab.

“Abang Nain, tolonglah. Min tak nak fikir lagi tentang kejadian tu. Min letih.”

“Luqman datang jumpa abang. Marah-marah pada abang.”

Aku tersentak. Aku tak menjangkakan Luq akan pergi berjumpa dengan abang Nain. Tatkala itu, aku terkilas dengan kata-kata ibu Darlynna tentang tingkah laku Luqman dalam mesyuarat seliaannya. Aku tak terlalu mengambil perhatian kerana padaku, mungkin itu caranya bekerja. Dan kini baru ku mula memahami apa yang cuba disampaikan oleh ibu Darlynna malam semalam.

“Apa katanya?”

“Pentingkah?”

Aku terdiam. Perlahan-lahan aku mengusap-usap rantai di lengan kiri. Tabiat baru yang sudah menjadi kebiasaan.

“Abang minta maaf. Abang tahu ini semua salah abang.”

Aku masih diam. Bukan marah. Bukan juga berdendam. Hanya merasakan tiada apa yang perlu diperkatakan.

“Min tahu, bagaimana arwah Izzat meningggal?”

Aku menggelengkan kepala. Tapi sebenarnya aku tahu bagaimana rakan karibnya itu meningggal. Aku berbohong? Ya, aku berbohong. Kerana aku rasa aku perlu lakukan sesuatu.

“Kerana basikal.”

Aku tergelak. Kan betul apa yang aku fikirkan. Dia menyalahkan basikal kerana menyebabkan kematian arwah. Mata Abang Nain mencerlung tajam ke arahku.

“Ini bukan lawak lah, Min.”

“Tolonglah perbetulkan tanggapan abang tu. Tak patut sungguh. Basikal yang tak bernyawa dijadikan punca arwah meninggal.”

“Betullah apa yang abang kata tu. Min ingat abang buat lawakkah?”

“Abang, arwah Izzat meninggal kerana ajalnya dah sampai dan basikal tu hanyalah asbab sahaja.”

“Asbab?”

“Yalah. Asbab. Maksudnya,sebab musabab atau sebab-sebab atau punca-punca yang menyebabkan. Tapi yang menentukan ajal dan maut adalah Allah. Bukan basikal. Abang tak boleh salahkan takdir. Abang juga tak boleh menganggap bawa basikal tu boleh membawa maut. Semasa kita bercakap-cakap ni pun, kalau Allah dah tentukan ajal Min sekarang, Min akan mati juga. Min tak..”

Kata-kataku terhenti kerana jari abang Nain menutup mulutku. Aku tersentak dan amat terkejut dengan tindakannya.

“Cukuplah dua orang yang abang sayang meninggal dunia di hadapan mata abang. Abang tak mahu Min cakap macam ni lagi. Abang tak sanggup nak menghadapi kenyataan. Abang tak kuat.”

“Dua orang?”

Brother Izzat dan siapa lagi seorang? Adakah wanita yang kulihat bersama dalam gambar mereka itu?

“Perwatakannya saling tak tumpah seperti Min. Dia sangat suka berbasikal dan extreme game. Hampir setiap hujung minggu kami bertiga akan keluar berbasikal di kawasan yang berbukit. Salah satu sikapnya yang juga ada Min, suka ambil mudah dalam hal-hal penting. Dia selalu ambil mudah. Tidak pernah hantar basikalnya untuk service. Selalunya Abang Nain bertanggungjawab untuk memperingati, tetapi pada hari kejadian hanya mereka berdua yang pergi ke sana.”

Abang Nain terdiam. Lama. Agaknya tak mahu mengingati semula kisah pahit yang pernah dialaminya.

“Abang Nain, cukuplah. Tak payah cerita lagi. Min minta maaf.”

Lelaki itu memanggungkan kepalanya. Aku terpana melihat wajahnya. Kusut dan matanya berair. Abang Nain menangis? Pertama kali aku melihat dia menangis.

3 ulasan:

akubiomed berkata...

Budak lelaki kalau setakat jatuh basikal luka lutut tu biasa je. Zaman sekarang tak ramai budak suka main basikal kalau nak dibandingkan semasa zaman saya dan budak-budak sekarang suka main PSP dekat rumah sahaja

♥cikHanNa ♥ berkata...

betul tu, budak zaman sekarang cume main game je.. dulu selalu main yg lasak cam panjat pokok~ luka pon tak rase sakit sbb dah biasa..

Suhana Shahril berkata...

Itu budak-budak. Mmg zaman skrg org main game jer, tapi ada gak golongan yg main basikal.Bukan sebarangan basikal yer. Ada yang reganya boleh mencecah ribu-raban...tengok jenis dan kualiti, termasuklah gajet2 @ aksesori yang diguna...
Samalah jugak dengan kamera DSLR,budak2 skrg dah pandai mencari minat tersendiri