Rabu, 9 Mac 2011

Haruman Cinta Sara 2

Terkebil-kebil aku memandang lelaki yang berdiri di sebelah ayah. Sejuk sekali mataku apabila memandang wajahnya yang tenang itu. Bersih dan kemas, perwatakannya sesuai sekali dengan tingkahlakunya. Ini kali pertama kami bersua muka. Sudah acapkali ayah menyuarakan hasrat hatinya untuk memperkenalkan kami. Tapi memandangkan pemuda itu menyambung pelajaran dan kemudiannya bekerja di luar negara selama 10 tahun, dan aku pula yang tidak tinggal bersama ayah, maka selama itulah hasratnya tidak pernah tercapai.

"Hah, kenapa asyik pandang-pandang sahaja? Cepatlah, hidangkan makanan kepada tetamu kita ni?"
Aku tersentak. Terasa darah merah menyerbu ke muka. Malu apabila tingkahku ditegur ayah.

"Sara masak? Masak apa?"
Amboi, lembut suaranya mencecah telingaku.

"Nasi lemak dan sambal sotong. Ayah kata Alan suka makan menu tu waktu pagi," jawabku perlahan-lahan. Risau dia tidak sudi menjamah masakanku. Seusai solat subuh lagi, aku sudah berada di dapur bagi menyiapkan semua menu makanan yang diminta ayah. Katanya, lelaki itu gemar bersarapan dengan menu berat.

"Oh!"
Wajahnya nampak sedikit terkejut.

"Ha, itulah. Dari hari tu lagi Daddy Mel ajak datang ke rumah. Alan tu asyik sibuk sahaja.  Beruntung Daddy Mel sebab Sara ni pandai masak. Kamu tak rasa lagi penangan Ikan sambal Sara ni. Memang marvellous. Susah tau nak dapat kat mana-mana."
Sekali lagi terasa darah merah menyerbu ke muka. Pujian ayah terlampau melambung tinggi. Sedangkan selama ini, apa yang aku masakkan untuknya adalah hasil ajarannya juga.

"Wah, kenyanglah Daddy Mel sebab dah ada chef handalan di rumah," ujar Alan seraya tersenyum kepadaku.

"Ayah ni memandai saja. Mana ada Sara pandai masak. Sara masak biasa-biasa sahajalah. Lagipun, kalau Alan nak tahu, ayah tu kuat makan. Kalau asyik makan di luar sahaja, memang lompang poket dia. Lebih baik makan di rumah, jimat pun jimat. Kebersihan dan kesihatan pun terjamin."
Ayah dan Alan tertawa senang.

"Memang calon isteri yang sesuai, " ujar ayah seraya menepuk belakang Alan. Lelaki itu terus terdiam. Aku juga termanggu-manggu apabila mendengar kata-kata ayah itu.

"Err..Sara ke dapur dulu. Ambilkan nasi dan pinggan. Ayah jemputlah Alan ke meja makan," aku bersuara sambil terus berlalu ke ruang dapur.



***

Pinggan berisi nasi lemak jatuh berselerakan. Begitu juga lauk sambal sotong yang memenuhi mangkuk. Kepingan kaca bertaburan di lantai. Air mataku mengalir deras. Namun, tiada suara lagi yang mampu keluar apabila melihat tindakan kasarnya itu. Bjuri berlari-lari anak menghampiri kami berdua.

"Kenapa ni, tuan muda?"

"Bjuri, kamu beritahu perempuan ini, aku tak akan makan hasil air tangannya yang kotor itu. Faham!"

"Sampai hati abang tuduh Sara begitu. Apa dosa Sara pada abang?" ucapku lembut. Sebaik sahaja soalan itu terlontar dari mulutku, lelaki itu terus mencekak belakang rambutku. Aku terjerit kesakitan.

"Tuan muda! Sabar. Ingat Allah. Jangan apa-apakan puan muda.," Bjuri menjerit. Wajahnya sudah berubah kerisauan yang amat. Lelaki itu tersentak seketika. Memandangku tajam dan kemudiannya melepaskan cekakan tangannya dari rambutku. Dia kemudiannya berlalu keluar dari rumah itu. Air mataku kembali mengalir deras.

"Apa salah saya, Bjuri? Kenapa dia berubah begini? Tak sayangkah dia pada saya?" soaku sambil teresak-esak di lantai dapur. Bjuri sekadar menggelangkan kepalanya. Tangannya pantas mengutip serpihan kaca di lantai. Aku mengusap air mata yang mula surut. 

"Tak apalah, Bjuri. Biar saya sahaja yang kemaskan," ujarku sambil mengambil mengambil tuala dapur untuk mengelap kekotoran yang bersisa di lantai.

"Jangan. Dah sepagi puan di dapur semata-mata nak menyiapkan sarapan untuk tuan. Tentu puan keletihan. Lagipun sejak akhir-akhir ni, muka puan nampak pucat. Saya risau kesihatan puan. Puan muda pergilah berehat. Saya akan kemaskan semua ini."

Aku menganguk. Benar kata Bjuri. Badanku kerap berasa letih sejak akhir-akhir ini. Ditambah pula dengan kerenah Alan yang tiba-tiba mula berubah menjadi baran terhadapku dan kerap menyendiri. Aku menapak menuju ke bilik tidur. Sebaik melangkah masuk, aku terus merebahkan tubuhku di atas katil dan cuba memejamkan mata. Tiba-tiba terbias cahaya di hadapanku.


"Hei, bangunlah!"
Lelaki yang masih berselimut itu mengeliatkan badannya.

"Apa yang awak dah buat pada saya?" soalku sambil menumbuk-numbuk belakangnya.

"Adoih! Sakitlah!"

"Saya kat mana ni? Awak kena hantar saya balik sekarang," arahku sambil segera menyarungkan pakaian.

Tiba-tiba tubuhku dipeluk dari belakang. Lengan lelaki itu menjerut leherku. Aku tersentak

"Kau nak ke mana? Jangan harap kau boleh keluar selagi aku ada di sini," ujar dia sambil mencium belakang rambutku.

"Lepaskan saya. Tak puas lagikah dengan apa yang awak dah buat pada saya semalam?"

"Itu cerita semalam. Ini hari lain pula."

Hah! Aku terus meronta-ronta. Cuba untuk melepaskan diri dari cengkamannya. Namun sekuat manalah kudrat seorang gadis berusia 17 tahun. Tubuhku dihumban ke sebuah almari pakaian. Belakangku perit. Tiba-tiba sekeping cermin jatuh menimpa tubuhku. Tatkala itu terasa seperti ada cecair hangat mengalir di belakang bahu kananku. Serentak itu juga terasa pedih di situ. Aku terduduk. Lelaki itu terus meluru ke arahku. 

"Awak! Belakang saya sakit," ujarku perlahan. Pandanganku mula berpinar. Dia merapatkan tubuhku dalam pelukannya. Ya Allah! Janganlah ketika ini juga dia masih mahu mengambil kesempatan terhadapku.

"Jangan bergerak.!" arahnya apabila aku cuba untuk meleraikan pelukannya. Tatkala itu terasa tangannya menarik sesuatu dari belakang bahu kananku. Aku terjerit nyaring. Sakit tak terkata. Dengan pantas, dia mengoyak kain selimut yang berada di atas katil dan mengikat silang tubuhku.

"Darah banyak keluar. Jangan bergerak."
"Dah tak boleh gerak. Kebas."

"Kebas? Apa yang kebas?"

"Bahu saya rasa kebas."

"Awak.. jangan tidur. Cuba bertahan. Aku akan cuba dapatkan bantuan."

Pandanganku semakin berbalam. Silau cahaya dari serpihan cermin yang jatuh bertaburan membias di mataku. Kelopak mataku tertutup, menahan silauan cahaya itu.




3 ulasan:

ayuna berkata...

besttt sgt, tp sy xberapa fhm la citer ni..
citer ni teringat masa lalu ke atau masa sekarang?part1 mcm teringat, part2 mcm keadaan sekarang, tp tetibe mcm teringat lagi..jadi sy x berapa phm laaa..
bole x cube jelaskan sikit..
anyway, best sgt citer ni, sy suke bc, xsabar nk bc n3 baru..sambung lagi yea..
knp alan jadik camtue ea?da kawen ke diorg tu??

moon berkata...

mcm best.. ape kisah yg berlaku pada sara dahulu?
i'll wait for the next entry..

mayangsayang berkata...

sambunglah cite ni plak ekk....