Rabu, 10 September 2014

Ada Cinta - Ada "Chemistry"

Aku menapak masuk ke dalam kafeteria. Baru pukul 10 pagi, tetapi pelanggan sudah semakin ramai. Dari jauh, Muzi sudah melambai-lambai. Aku tersenyum seraya melangkah menghampiri tempat duduknya.
“Duduk sini. Aku nak kenalkan kau dengan sepupu aku dengan kawan-kawan dia.”
“Eh, nak buat apa? Tak mahulah aku. Nanti dikatanya aku cuba nak ambil kesempatan pula sebab berbaik-baik dengan senior.”
“Alahhh, duduklah sekejap. Bukannya lama pun. Haaa.. tu pun dah sampai. Had! Sini!” laung Muzi sambil melambai-lambai.
Aku menoleh ke arah pintu masuk.
Hah!
Tiga orang lelaki menghampiri meja makan kami. Muzi terus bersalaman dengan sepupunya yang dipanggil Had. Kemudiannya sepupunya memperkenalkan rakan-rakannya yang lagi dua orang, Kimi aka Hakimi dan Tareeq.
“Had, kenalkan ini member aku masa sekolah. Anna. Dia sambung master kat Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka.”
“Oh, ya ka? Samalah dengan Tareeq. Kau tak pernah jumpa Anna ke, Tareeq?” soal senior Had sambil tersenyum.
“Tak. Kalau aku jumpa pun, bukannya aku kenal dia. Lainlah kalau dia tu artis ke menteri ke.”
Burrr!! Wajahku merona.
Suasana terdiam seketika.
“Eh, Muzi, Anna, orderlah makan. Sen Had belanja hari ni,” pelawa sepupu Muzi, Had aka Haidar cuba memecah kesunyian.
“Sen?”
“Senior lah, Anna. Kat sini kita panggil Sen untuk semua senior,” terang Muzi sambil tersengih.
“Ooo...”
“Anna, jom!” pelawa Senior Kimi sambil memaut pergelangan tanganku. Gayanya seperti seorang kasanova. Lelaki yang suka menggoda wanita untuk tujuan keseronokan.
Aku terpempan dengan tindakannya. Dengan pantas aku menarik tanganku dan bingkas.
Lelaki-lelaki yang berada di hadapanku kelihatan sedikit terkejut dengan tindakanku.
“Err, maaf. Muzi, aku sebenarnya ada hal. Aku dah janji dengan roomate nak jumpa kat library. Aku pergilah dulu ya. Bye!”
Aku terus melangkah pantas meninggalkan mereka.
***
“Kau gila, tinggal kami macam tu jer! Kau tak perasan ke, semua orang kat kafeteria tu asyik pandang ke arah kita. Kau tahu tak kenapa?”
“Manalah aku tahu. Yang aku tahu, aku rimas bila si Kimi tu pandang aku dengan pandangan mata keranjang dan gatal tangan serta mulut si Tareeq yang macam tak ada insuran.”
Muzi tergelak di hujung talian.
“Itulah kumpulan Menz. Tapi bukan diorang yang reka. Itu panggilan yang digelar oleh pelajar-pelajar di sini. Diorang tu sebenarnya sengaja nak uji kau jer.”
“Uji? Uji kemendanya? Ingat aku ni tikus ke, jadi bahan uji kaji dalam makmal! Lagi satu, aku peduli apa diorang kumpulan apa pun. Tak ada kena mengena dengan aku.” marahku.
Muzi tertawa besar.
“Kau bukan tikus, tapi kucing garang yang comel. Hahaha...”
“Kurang asam! Mengata aku. Nanti aku tak tolong kau buat assignment, baru kau tahu...” gertakku.
“Tengok tu! Garang! Sesuai dengan seseorang tu?”
“Kau jangan nak pegu aku dengan sesiapa, boleh tak? Ni aku nak pergi koperasi. Kau ada nak pesan apa-apa tak?”
“Taknaklah. Aku dah kenyang sebab ada orang belanja makan. Ada orang tu, berlagak sombong. Orang nak belanja makan, dia lari. Sekarang dah kelaparan mencari makanan kering,” perli Muzi sambil tergelak besar.
Ada yang kena pelangkung ni. Aku terus menghentikan perbualan.
Aku mengeluarkan beg duit dan kemudiannya meletak beg yang berisi buku di dalam loker beg.
“Aku tak suka kalau orang yang cakap bohong!”
“Oh, mak kau!”
Kuss, semangat! Aku menoleh ke belakang. Tareeq!
Aku memandang ke kiri dan kanan ku. Tiada sesiapa. Sah dia bercakap dengan aku.
“Err... apa maksud awak?”
“Apa tujuan awak berjumpa dengan kami pagi tadi? Aku bersusah payah datang ke kafeteria awal pagi sebab nak jumpa kau, lepas kau boleh belah macam tu jer. Kau nak mempermain-mainkan kami ke?”
“Tujuan? Mempermain-mainkan? Saya tak faham maksud awak.”
Aku mengerutkan dahi. Setahu aku, Muzi yang panggil aku ke kafeteria. Tetapi tidak pula diberitahu tujuannya.
“Jangan buat-buat tak faham!”
Aku mengeluh.
“Suka hati awaklah. Saya tak tahu apa maksud awak dan perjumpaan pagi tadi... saya pun tak tahu tentang perjumpaan itu. Muzi yang...”
“Jangan nak babitkan orang lain dalam hal ini!” jerkahnya, membuatkan beberapa orang pelajar yang baru sampai di depan koperasi tertoleh-toleh ke arah kami.
Wajahku merona. Kesabaranku hampir tercabar dengan telatahnya yang datang menyerangku tiba-tiba.
Terasa seluruh badanku juga mula kepanasan. Tanpa mempedulikannya, aku menoleh kembali ke arah loker beg. Aku mengeluarkan seutas getah ikat rambut dan dengan pantas aku mengikat rambut menjadi tocang seperti ekor kuda. Tabiat aku ketika marah. Mengikut rambut ketika marah bagi mengurangkan rasa panas di kepala. Kemudian aku menoleh kembali ke arahnya.
Matanya bulat memandangku tanpa berkelip. Eh, dah kenapa pula mata terbeliak pandang aku macam nak makan jer ni? Baru aku perasan dia melihat ke arah rambutku.
“Dah kenapa pula? Tak pernah tengok orang ikat tocang ke? Awak pun nak getah juga ke? Eloklah, ikat rambut yang panjang tu. Dah macam rambut perempuan.”
Terkebil-kebil matanya setelah disergah.
“Eh, yang kau sibuk pasal rambut aku, apahal? Ada aku...”
Kruuukkkrruuuk....
Pandangan kami bersatu. Keningnya berkerut. Dia kemudian memandang ke arah perutku.
Alamak, malunya!
“Bunyi perut kau ke? Dasyatnya!”
Eeeiiii, geramnya! Nak mangata akulah tu.
“Sebab awaklah! Saya dah lapar tau tak. Kalau tak kerana awak, dari tadi lagi saya dah masuk ke dalam dan dah boleh beli makanan.”
Tanpa mempedulikannya, aku terus menapak menuju ke arah pintu koperasi.
“Cerh! Sombongnya!” tukas lelaki itu seraya membuntutiku.
Aku pantas menuju ke ruangan roti. Aku mengambil sebuku roti dan sebekas mentega kacang yang bercampur jem blueberry. Kemudiannya aku menuju pula ke rak mee segera. Aku mengambil sebungkus pek maggi perisa kari dan sebungkus pek perisa asam laksa. Di dalam kepala sudah terbayang ‘maggi kahwin’. Slurrppp...em sedapnya!
“Patutlah otak bengap. Rupanya, suka makan maggi segera.”
Aku menoleh. Tareeq tersenyum sindir di sebelahku. Aik! Dia masih ikut aku sampai ke dalam koperasi.
“Awak tak ada kerja ke? Asyik ikut saya sahaja.”
“Cerh! Perasannya! Kat pintu koperasi tu ada tulis perkataan ‘Tareeq tak dibenarkan masuk’ ke? Aku pun nak beli barang juga. Bukannya kau seorang sahaja.”
Aku mencebik.
Habis tu kenapa dia asyik mengekor aku jer dari tadi? Hmm... aku terfikirkan sesuatu. Aku menapak pula ke arah rak tuala wanita. Kali ini lelaki itu terkedu di lorong hadapan rak. Tak jadi menghampiriku. Malu ler tu! Hehehe... idea aku berhasil.
Aku terus membelek satu persatu jenis tuala wanita yang ada di rak tersebut. Sesekali aku mengerling ke lorong hadapan rak. Lelaki itu masih mundar mundir beberapa ketika. Setelah agak lama di situ, aku perasan lelaki itu berlalu pergi. Yeay, akhirnya! Aku mengambil sebungkus tuala wanita. Sementelaah mula stok di bilik juga sudah tinggal beberapa keping. Setelah itu aku berlalu ke kaunter pembayaran dan membuat pembayaran untuk semua barang yang aku ambil tadi.
Aku sedang memasukkan barang ke dalam beg galas apabila terasa bebayang orang di sebelahku. Lahh... ingatkan dah balik. Adoihhh... Kenapa dengan lelaki ini? Apa lagi yang dia tak puas hati dengan aku?
“Petang-petang ni, kat kafeteria Jabatan HEP ada bihun sup dan laksa. Kalau pekena semangkuk dua sedap juga. Lagi sedap kalau makan berteman dari makan ‘maggi kahwin’ sendirian dalam bilik.”
Aku memandang wajahnya. Dengan wajah selamba, lelaki itu melangkah ke jalan utama menuju ke fakulti. Tak habis-habis nak menyindir aku. Tapi macam mana dia tahu aku nak makan ‘maggi kahwin’?
***
“Terima kasih, kak. Ini duitnya.”
“Eh, tak payah. Bihun adik ni dah ada orang bayar.”
“Dah ada orang bayar? Siapa pula yang pemurah tu?”
Aku memandang ke sekitar kafeteria. Tiada sesiapa yang aku kenal.
“Adik nak letak cili jeruk?”
“Eh, tak payah, kak. Saya tak boleh makan pedas. Ada gastrik.”
“Ooo...ok. selamat menjamu selera.”
“Terima kasih.”
Aku terus berlalu ke meja makan. Hmm, sedapnya bau.
“Bismillah...”
“Kau ni, kalau dah duduk depan makanan, memang dah tak nampak orang ya?”
Erks! Mujur tak dan makan lagi. Kalau tidak mesti tersedak. Dia lagi! Warghhhh!!! Stressnya! Berapa kali nak jumpa ni?
“Buruknya muka. Tak baik buat muka depan rezeki.”
Tanpa dipelawa, Tareeq menarik kerusi dan duduk di hadapanku. Dia ni memang spesis tak tahu malu ke?
“Saya rasa dalam kafeteria ni, banyak lagi kerusi kat tempat lain. Kenapa kat sini juga awak nak duduk?”
“Saja. Aku nak tengok budak kecik makan. Tak padan dengan kecil, ambil mangkuk besar. Boleh habis ke?”
Budak kecil? Dia panggil aku budak kecik! Dia ni memang dah melampaulah! Sabar, Anna. Sabar. Sabar.
Aku terus menyuap bihun sup tanpa membalas kata-katanya.
“Hmm, sedapnya. Tentulah sedap. Makan orang belanja.”
Pfffftt!!!
Bersembur bihun di dalam mulutku. Aduh, peritnya tekak.
Uhuk! Uhuk! Uhuk!
Aku terus memandang ke arahnya. Eh!
Aku tertawa. Muka Tareeq penuh dengan bihun yang bersembur dari mulutku.
“Janganlah gelak. Ambilkan aku tisu!” arahnya sambil mengutip sisa bihun di wajahnya.
Kesian pula aku tengok keadaannya ketika itu. Aku bangun mengambil kotak tisu yang terletak di kaunter pembayaran.
Aku menghulurkan beberapa helai tisu sambil menahan tawa.
“Orang tua-tua kata, buat baik dibalas baik. Buat jahat jangan sekali.”
“Berperibahasa pula. Ni buat baiklah ni. Belanja kau makan. Tapi apa yang aku dapat? Sisa bihun dari mulut kau. Hish! Hilang selera makan aku!” marahnya sambil menyapu sisa-sisa bihun yang masih berbaki.
Hush! Garangnya! Waktu nak usik tadi, tak terfikir ke kesannya?
“Maaflah. Saya tak sengaja. Awaklah yang salah. Nak bercakap tu tak fikir perasaan orang. Cakap ikut sedap mulut sahaja.”
“Eh, aku pula! Sudahlah! Hilang mood nak makan.”
Dia bingkas. Kononnya merajuk. Cis!
“Tareeq!”
Panggilku.
“Apa?”
“Makan berteman, sedap sikit dari makan sendirian.”
Aku mengulang ayatnya tadi. Cuma aku tak sebut tentang ‘maggi kahwin’ jer. Heh!
Tareeq mengeluh. Dia duduk kembali dan mengadap bihun di dalam mangkuknya.
“Tareeq...”
“Apa lagiii?”
“Terima kasih sebab belanja makan,” ucapku sambil terus menunduk dan menyuap bihun ke dalam mulut.
“Sama-sama.”
Dia terpempan seketika sebelum menyambung kembali suapannya.

Aku tersengih memandang tingkahnya. Dalam masa hampir satu hari, kami berkenalan, kami boleh bergaduh, saling menyindir dan sekarang kami boleh makan semeja. Ajaibkan? Agaknya kami memang ada ‘chemistry’.








p/s: Cerita lain pula. Hahaha...sorry. Tak ada idea nak sambung cerita lama. Layan episod baru.

Tiada ulasan: