Khamis, 2 November 2017

Viannia dan Gabak3 -Kau betul, aku yang salah...

Terbeliak mata Peach memandang ke arahku. Lelaki di sebelahnya juga seperti nak terkeluar biji mata memandangku. Dah kenapa kedua-dua lelaki ini? Macam nampak hantu. 
Aku tersenyum sambil melipat lengan blouse putih sehingga paras siku.

“Err… Skirt siapa yang Via pakai ni?” soal Peach.

Aku memandang ke bawah. Skirt pendek paras paha berwarna coklat lembut meliuk lintuk mengikut arus tiupan angin. Aku tersenyum lagi.

“Mak yang beri. Dia kata skirt ni sesuai untuk Via.Cantikkan?” ujarku sambil memusing-musingkan tubuhku.Mata Gabak terjegil lebih bulat.

“Mak? Mak yang beri? Pendeknya!” ujar Peach sambil menepuk dahinya.

Aku menjeling tajam dengan kritikannya.

“Nak ke mana?” soal lelaki di sebelahnya pula. Aku memandang ke arah lelaki itu. Riak wajahnya serius melihatku.

“Via nak keluar ambil angin.”

“Habis tu kedai macam mana?” soal Peach pula.

Wah,dah kenapa dengan dua lelaki di hadapanku ini? Bertanya seolah-olah aku seorang pesalah.

“Mak tutup awal hari ni. Jadi Via minta keluar sekejap.”

“Tukar dulu skirt tu. Tak sesuai,” arah lelaki itu dengan tegas.

Terkebil-kebil aku mendengar arahannya. Aku memandang ke arah Peach. Mengharapkan sokongan daripadanya. Tetapi Peach sekadar memberi isyarat mata agar mengikuti arahan Gabak.

“Dah lama Via nak pakai skirt ini. Takkan..”

“Aku kata tukar!” jerit Gabak. Bergema suaranya di sepanjang jalan menuju ke pekan. Beberapa orang yang lalu lalang berhampiran kami tertoleh-toleh memandang ke arah kami.

***

Aku duduk sambil memeluk lutut di atas batu besar berhampiran kolam Caower.

“Wah! Betis berparut. Ada hati nak pakai skirt pendek,” ejekan itu diiringi dengan tawa-tawa sinis.

Itu situasi setengah jam selepas aku meneruskan perjalanan ke pekan. Ya, aku mengingkari arahan Gabak. Aku meninggalkan meninggalkan kedua-dua lelaki itu dengan perasaan marah. Tetapi sebaik sahaja aku terserempak dengan Addura dan rakan-rakannya, aku mengakui kesilapan diri ini.

Marah Gabak bersebab. Aku mengakui kesilapanku.

Aku meraup wajahku yang sembap. Menangis pun tak guna. Aku menyentuh betisku yang berparut panjang. Mengusap-usapnya. Aku mengeluh perlahan. Perlahan-lahan aku menanggalkan kasut dan melungsur perlahan ke bawah.

“Nak ke mana?” sergah satu suara dari belakang.

Oh mak kau! Aku jatuh terduduk ke tanah. Serasa seseorang berdiri di hadapanku. Aku mendongak. Gabak! Tiba-tiba dia menghulurkan tangan. Aku merenung huluran tangannya itu. Gabak menggerakkan tangannya, memberi isyarat agar aku menyambut hulurannya itu. Aku menuruti kehendaknya. Dia menarik tanganku agar kembali berdiri.

“Terima kasih,” ucapku perlahan.

“Nak ke mana?” sekali lagi dia menyoal tatkala aku menepuk-nepuk belakang skirtku yang dilekati tanah dan daun kering.

“Nak rendam kaki,” ujarku sambil mengerling ke arah kolam Caower. Lelaki itu mengangguk. Tangan kanannya mengeluarkan sesuatu di sebalik poket seluarnya dan mengetuk ia ke udara. Sehelai kain berwarna coklat dan bercorak bunga dijuntai di lengannya. Tanpa berkata apa-apa, dia terus menunduk dan mengikat kain tersebut di pinggangku.

“Eh, nak buat apa ni?” soalku agak terkejut. 
Namun tindakannya itu membuatkan tanganku secara automatik terangkat agar tidak terkena kepalanya. Aku terdiam melihat tingkah lakunya yang bersungguh-sungguh membetulkan ikatan kain tersebut. Suasana sepi. Hanya kedengaran unggas dan aliran air dari sungai ke dalam kolam Caower.

Setelah selesai, lelaki itu kembali berdiri di hadapanku. Dia tersenyum melihat hasil ikatan kain di pinggangku. Aku menunduk, memerhati. Kain tersebut telah diikat kemas menutupi skirt pendekku dan juga betisku. Aku tersenyum. Cantik.

“Kaki yang cantik itu… dan tangan ini…”

Tangannya menarik memegang kedua-dua belah tanganku dan kemudiannya membuka lipatan lengan blouseku. Aku mengalih pandangan ke arah lelaki itu semula.

“… jangan diperlihatkan kepada orang lain selain aku. Ingat tu!”

Terkebil-kebil aku mendengar ayat akhirnya.

“Via, boleh ingat pesanan aku ini?”


Dia kata kakiku cantik? Seperti tidak percaya pula apabila mendegar kata pujian dari mulutnya. Namun perlahan-lahan aku mengangguk tanda setuju. Lelaki itu menghela nafas sambil tersenyum.

Tiada ulasan: