Ahad, 4 Julai 2010

FOTO CINTAKU


“Cepatlah, Niya! Haq dah penat ni. Busuklah tempat ni.”
Aku menjegilkan mata. Terkejut mendengar kata-katanya yang separuh merungut setelah hampir setengah jam berpusing-pusing di dalam kawasan pasar basah.
“Boleh sabar, tak? Kan ada banyak lagi barang dalam senarai ni yang masih belum dibeli.”
Ishaq memandang sambil mengeluh.  Dia memandang pula ke arah beg plastik yang mula penuh dibawa di kiri dan kanan tanganku dan juga tangannya.
“Awak tu cerewet sangat. Bukannya susah pun nak cari barang-barang tu. Buat apa nak pergi ke banyak kedai sedangkan kedai yang mula-mula kita jumpa tadi dah ada semua barang yang awak senaraikan tu.”
Huh! Aku cerewet? Aku mengetap bibir sambil memandang ke arah lelaki yang baru 4 bulan menjadi tunangku. Dahinya sudah mula merenek peluh. Tiba-tiba timbul perasaan kasihan melihat lelaki itu yang sudah agak mengah. Semalam dia pulang lewat dari pejabat, menguruskan sesuatu walaupun dia sedang bercuti. Itulah risiko yang perlu ditanggung sekiranya bekerja sendiri. Mungkin juga dia masih penat kerana seawal pagi tadi lagi, aku sudah mengejutkannya untuk menemani aku membeli barang di pasar.
“Apa yang cerewetnya? Kita kena cari barang yang elok dan segar. Mana boleh main bantai beli sahaja. Nanti masak tak sedap. Rugi saja. Lagipun, kedai tadi mahal sangat harganya. Barangnya pun tak nampak elok sangat. Haq juga yang kata tadi supaya jangan membazir dan berbelanja secara berhemahkan?” jawabku separuh memujuk.
“Huh! Macam-macamlah awak tu, Niya. Haq tunggu kat kereta. Dah lenguh tau kaki ni ikut awak.”
Dia sudah mahu melangkah, apabila aku terperasan beg plastik yang berada di tanganku. “Eh…eh! Habis tu, siapa nak tolong Niya bawa barang ni? Berat ni.”
Lelaki itu mendengus seraya berpatah balik.
“Meh sini barang tu. Haq simpan kat kereta. Awak pergilah beli barang apa lagi yang tak cukup tu.”
“Terima kasih.”
Aku tersenyum. Lelaki yang kerjanya hanya di dalam bilik berhawa dingin. Berada di luar sekejap sudah merungut kepanasan, gerutu hatiku sambil berlalu ke kedai menjual rempah ratus pula.
Setengah jam kemudian, selepas membeli kesemua barang keperluan memasak, aku menapak kembali ke kereta Ishaq yang terparkir di luar pasar basah. Dari jauh aku dengar bunyi enjin kereta terpasang. Tapi tiada kelihat kelibat Ishaq di dalamnya. Hatiku dipagut kerisauan. Ke mana pula dia pergi? Dengan pantas aku melangkah menghampiri keretanya dan menjenguk ke dalam melalui tingkap kereta sebelah bahagian pemandu.
Oh! Rupa-rupanya dia tidur di atas kerusi pemandu yang dibaringkan sehingga ke bawah. Memang patutlah aku tidak nampak kelibatnya di dalam kereta. Dengan perlahan aku mengetuk cermin tingkap di sebelahnya. Sekali. Dua kali. Pada ketukan kali ketiga, aku kuatkan sedikit kerana tiada tanda seperti dia akan sedar dari tidurnya yang nyenyak. Dan mujur dia terjaga. Dengan pantas dia membetulkan kedudukan kerusinya pada kedudukan asal dan membuka kunci pintu dan bonet belakang. Aku menapak ke belakang untuk menyimpan barang-barang yang baru ku beli tadi.
“Kenapa lama sangat? Dekat sejam Haq tunggu sampai tertidur,” ujarnya di belakangku.
Aku menoleh. Tidak sedar pula bila masa dia keluar daripada kereta.
“Maaf. Niya cari sesuatu tadi. Tunggu pakcik yang selalu jual tu lambat datang. Mujur dia ada bawa barang tu.”
“Barang tu? Barang apa?”
“Adalah. Mana boleh bagitahu sekarang. Tak surprise.”
Lelaki itu menggelengkan kepala.
“Ada-ada saja dia tu. Dah sudah ke belum ni?”
“Dah.”
“Jom balik. Nanti pukul berapa pula nak masak? Di pasar sahaja dekat 2 jam.”
Aku tersengih cuma apabila mendengar leterannya.
***
Aku memerhati Ishaq meletak beg plastik yang penuh dengan barang-barang dapur di atas meja. Wajahnya jelas nampak keletihan dan tidak bermaya. Aku mencuit lengannya. Dia menoleh.
“Kenapa? Ada yang tak cukup lagi kah?”
Aku menggelengkan kepala.
“Habis tu?”
“Terima kasih sebab temankan Niya ke pasar hari ni.”
Lelaki itu merenungku dengan pandangan yang tajam. Erk! Kenapa ni? Aku salah cakap ke?
“Niya rasa, Haq ikhlas ke temankan Niya ke pasar?”
Huh! Aku terkebil-kebil, mencari maksud soalannya.
“Haq tak ikhlas ke? Habis tu kenapa ikut semasa Niya ajak? Kenapa tak tolak sahaja?”
“Kalau Haq tolak, tentu Niya ajak Abang Fikri kan?”
Aku terbeliak mendengarnya menyebut nama Abang Fikri. Eh! Apa kena mengena pula Abang Fikri dalam hal ni? Abang Fikri bukannya berada di rumah ini. Takkan aku nak ke rumah Abang Fikri semata-mata untuk mengajaknya ke pasar.
“Sikit-sikit Abang Fikri. Ke hulu ke hilir Abang Fikri. Macam belangkas. Pantang lepas sikit, macam lipas kudong sahaja berkepit dengan Abang Fikri.”
Aku termanggu. Pelik pula apabila tiba-tiba nama Abang Fikri pula yang timbul. Dia pernah nampak aku keluar dengan Abang Fikri ke? Setahu aku, baru sekali aku menumpang kereta Abang fikri. Itupun dua hari lepas iaitu sewaktu pulang dari pejabat kak Hafida menguruskan kes pewarisan harta ayah kepada mak Laila dan Fatin, iaitu ibu dan adik tiriku.
“Haq…awak marah ke Niya keluar dengan Abang Fikri?”
“Orang sengal dan dungu sahaja yang tak ada perasaan marah. Tunang sendiri berkepit dengan lelaki lain.”
Wajahku memerah. Tak pasti apakah perasaan ku sekarang terhadapnya? Niya, sabar! Ishaq mungkin tersalah sangka. Kau mesti sabar melayani kerenahnya. Diakan memang begitu. Tetiba teringat kembali pesanan mak Laila padaku tentang perangai Ishaq yang sinis dan agak pemarah. Aku manarik nafas panjang.
“Haq… Niya keluar dengan Abang Fikri cuma sekali sahaja. Itupun dia yang beria-ia nak hantar Niya pulang. Bukannya Niya yang ajak. Lagipun Abang Fikri tu kan abang kandung Haq. Bakal abang ipar Niya. Salah ke Niya balik sama-sama dengan dia? Kalau dia tak datang hari tu, belum tentu Niya akan sampai rumah sebelum tengah malam.”
“Kenapa Niya tak telefon Haq?” nada suaranya berubah sedikit rendah berbanding tadi. Mungkin terperasan suaraku sudah bergetar menahan tangis. Aku sangat sensitif apabila dituduh melulu begitu. Agaknya sebab itulah mak Laila berpesan berkali-kali padaku sewaktu aku hendak ke mari 2 minggu lalu. Mungkin dia sudah boleh mengagak tingkahlaku Ishaq terhadapku yang kadangkala baik melayaniku dan kadangkala bagai angin taufan dan petir.
“Haq lupa ke? Hari tu kan Haq teman umi ke hospital.”
“Telefon sahaja. Haq datang ambil. Bukannya susah pun,” jawabnya pantas sambil memandangku tajam.
“Mana Haq tahu tentang hal ni? Abang Fikri ke yang beritahu?”
“Ada lah. Kenapa? Tak nak Haq tahu tentang perkara ini?”
“Niya tak rasa perkara ini terlalu penting pada Haq. Sekadar menumpang kereta bakal abang ipar…”
“Penting bagi Haq,” pintasnya menyebabkan kata-kataku tadi terputus.
“Kenapa pula?”
“Sebab Niya tunangan Haq dan Abang Fikri adalah abang Haq.”
“Kenapa, tiba-tiba Haq ungkit perkara ni? Dulu sewaktu kita mula-mula bertunang, Haq pernah kata, Niya boleh buat apa sahaja yang Niya suka dan Haq boleh buat apa sahaja yang Haq suka. Tiada paksaan. Tiada kongkongan. Kerana Haq tak suka dengan hubungan kita ini. Kenapa sekarang lain pula? Haq suka ke Niya …” kata-kataku terhenti. Ada sesuatu yang menjentik hatiku tiba-tiba. Takkan dia sudah mula menyukai aku? Tapi layanannya terhadapku lebih banyak kasarnya berbanding lembutnya. Aku tidak pernah nampak dia tersenyum sepanjang hampir 2 minggu lebih aku berada di rumahnya.
Kenapa pula aku nak bergaduh dengannya di pagi hari? Sabar, Niya. Sabar. Dia sengaja nak menguji kesabaranku. Lebih baik aku berdiam diri. Itu lebih baik.
“Suka apa?”
Aku tidak seharusnya membiarkan pergaduhan ini berlaku. Mungkin ini yang Ishaq mahukan. Kami bergaduh dan akhirnya aku sendiri yang meminta diputuskan tunang supaya kesalahan itu akan nampak di sebelahku.
“Err, tak ada apa-apa. Tadi Haq kata letih kan? Haq pergilah berehat. Niya nak sambung masak. Dipersilakan Encik Ishaq keluar dari dapur ini. Saya tiada masa nak bergaduh dengan awak sekarang. Terima kasih atas kerjasama,” ujarku seraya menolak tubuhnya keluar dari kawasan dapur. Lelaki itu agak terkejut dengan perbuatanku yang tiba-tiba.
“Hei, apa tolak-tolak orang ni?”
“Maaf, yer. Nanti bila dah selesai masak, Niya panggil. Ok!”
***
“Amboi, banyaknya lauk Niya masak. Semua lauk kesukaan umi dan ayah ni,” puji Umi, bakal ibu mertuaku.
“Ye lah. Eh, lauk kesukaan Haq pun ada ni,” tegur ayah Aziz pula. Tatkala itu juga ku lihat Haq tertinjau-tinjau matanya ke arah meja makan.
“Err, lauk kesukaan? Niya masak lauk yang umi senaraikan semalam. Niya tak tahu pula yang mana satu kesukaan semua,” ujarku seraya menggarukan kepala.
“Tak sangka umi, Niya boleh masak kesemuanya. Kak Farah kata, dia langsung tak bantu buat apa-apa pun. Bila dia turun ke dapur sahaja, Niya dah buat semuanya. Niya pergi pasar dengan siapa?”
“Dengan Haq. Dia kejutkan Haq dari tidur awal-awal pagi tadi lagi.”
Aku tersengih mendengar Haq bersuara. Umi dan ayah berpandangan.
“Haq pergi pasar? Hmm, macam tak percaya pula umi dengar,” soal umi sambil tersenyum.
“Kenapa, umi?” soalku kembali.
“Haq tu mana boleh pergi ke tempat yang sesak-sesak. Mudah rimas dan berpeluh. Asyik nak terperap dalam bilik berhawa dingin sahaja.”
Wah! Tepat juga anggapanku. Ibunya lebih mengetahui tentang dirinya. Dan aku pula sedang belajar memahaminya. Aku lebih patut bersabar dengan tingkahlakunya. Sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan sepanjang aku berada di rumahnya ini.
“Umi ni! Tak patut tau kata macam tu pada Haq.”
Mukanya yang sejuk beku tanpa deria rasa itu berubah kelat apabila disindir oleh umi. Ada perasaan juga lelaki ini. Aku ingatkan robot. Apa yang aku tahu, dia suka marah-marah dan menyindir sahaja. Sekarang dia pula disindir oleh ibunya sendiri.
“Hah! Apa tunggu lagi tu? Jom makan!” jemput ayah Aziz seraya menarik kerusi ke belakang. Umi juga melakukan perkara yang sama. Mereka duduk bersebelahan. Ini bermakna aku terpaksa duduk bersebelahan dengan Ishaq.
“Err, sekejap ya. Niya ambilkan air basuh tangan,” ujarku sambil berlalu ke dapur.
Di dapur, kelihatan kak Farah mengelap dan mencuci dapur. Wanita berusia lewat 30-an itu tersenyum memandangku.
“Niya nak ambil bekas basuh tangan.”
“Oh, maafkan kak Farah. Terlupa pula akak nak letakkan di depan tadi. Cuba Niya cari dalam almari dekat singki tu.”
Aku membuka pintu almari yang berada berdekatan dengan singki dan kemudiannya mengeluarkan bekas basuh tangan yang tersusun elok di dalamnya. Selepas itu, aku mengisi air paip di dalamnya.
“Kak Farah, umi panggil.”
Aku menoleh. Ishaq berdiri di sebelah kabinet pulau. Kak Farah bergegas ke hadapan. Ishaq berjalan menghampiriku. Aku pantas menutup semula pili air paip.
“Macam mana Niya tahu makanan kesukaan Haq?”
Huh!
“Yang mana satu?”
“Yang Niya masak tu. Tadi pagi semasa Haq ikut Niya, tak ada pula Niya beli.”
Aku cuba memikirkan semula barang apa yang aku beli semasa dia ada dan barang apa pula yang aku beli setelah dia kembali ke kereta. Tiba-tiba aku teringatkan petai dan ikan pekasam yang aku beli daripada Pakcik Dam
“Ohh! Petai dan pekasam tu ke?”
“Hmm..”
“Itu lah yang Niya beli pada pakcik yang kat pasar yang datang lambat tu. Kan tadi Niya dah cerita sebab Niya lambat. Kenapa? Haq dah rasa ke belum? Sedap tak sambal petai tu?” soalku kembali sambil tersenyum.
“Tunggu orang bawa bekas basuh tangan berjam-jam tak sampai-sampai. Haq datang basuh tangan di dapur terus. Lembab. Lambat sangat,” ujarnya seraya menghimpit aku ke singki. Sangat hampir seperti hendak memelukku.
“Eh!” Aku terjerit kecil. Dengan pantas aku segera bergerak ke tepi dan bingkas menapak ke ruang makan semula. Meninggalkan lelaki itu yang tersenyum sinis.
Jahatnya! Mujur tak terpeluk. Nahas aku kalau mak Laila tahu tentang hal ini.
***
Aku menukar setting lensa DSLR kepada automatic. Sesekali aku mengibas lengan yang mula teras lenguh akibat memegang DSLR yang agak berat terlalu lama. Kemudiannya aku menghala ke arah para jemputan yang hadir pada majlis kenduri aqiqah anak bongsu kak cik Juita, kakak Ishaq. Ada yang sedang enak menjamu selera dan ada juga yang sedang berbual-bual. Sebentar tadi baru sahaja selesai majlis doa tahlil dan marhaban. Majlis kenduri bagi menyambut cucu ketiga umi dan ayah Aziz yang baru dilahirkan sebulan yang lalu. Tugasku untuk menangkap gambar di majlis itu juga atas permintaan umi dan ayah Aziz yang mengetahui minatku. Kiranya kedatangan aku ke sini adalah menjadi jurufoto tidak rasmi pada majlis tersebut selain daripada bertujuan untuk menyelesaikan masalah tentang peninggalan harta arwah abah di Ipoh ini. Dan kerana itu juga, aku terpaksa menetap di rumah umi dan ayah Aziz selama hampir sebulan. Mak Laila risau aku menumpang tinggal di rumah kawan atau tinggal di hotel. Katanya, aku tidak perlu bersusah payah dan membazir duit semata-mata untuk menyewa bilik hotel sedangkan aku mempunyai keluarga di Ipoh ini, iaitu keluarga bakal mentuaku sendiri. Kedua-dua bakal mentuaku ini juga begitu beria-ia meminta aku tinggal bersama mereka. Walaupun pada mulanya aku agak segan, tetapi setelah memasuki 2 minggu berada di rumah mereka, aku mula betah dan sudah boleh membawa diri di situ.
Dari jauh aku ternampak Ishaq berdiri di bawah khemah di tepi pagar. Sudah beberapa kali juga aku menghala lensa ke arah Ishaq yang begitu asyik melayan tetamu yang hadir. Segak dia berbaju melayu berona coklat tua. Sekali lagi aku cuba menfokuskan kamera ke arahnya. Klik! Aku tersenyum. Lagi satu koleksi gambar Ishaq yang berjaya aku kumpul. Untung memiliki Canon 1000D yang mempunyai lensa 18mm-270mm ini. Dari jauh aku sudah boleh menangkap gambarnya dengan tepat dan jelas tanpa perlu berada berhampiran dengannya. Tiba-tiba Ishaq mengalih pandangan ke arahku, aku cepat-cepat mengalihkan semula lensa ke arah tetamu lain. Agaknya dia mula sedar dengan tindak tandukku. Sedang aku asyik menangkap gambar ahli keluarga lain yang sedang rancak berbual, terasa seperti kelibat seseorang di sebelahku. Ishaq!
“Awak ni, pandai tangkap gambar ke tidak? Tangkap sana, tangkap sini. Nanti gambarnya entah apa-apa.”
Aku mengerling, tajam. Amboi, sedapnya mengata! Cik abang ni dah pernah tengok hasil kerja aku ke?
“Kalau tak puas hati, tangkaplah sendiri. Tak payah nak bising-bising,” balasku semula, buat-buat sibuk membetulkan flash dan lensa.
“Baiklah. Bak sini kamera tu.”
Ewah-ewah! Suka-suka hatinya nak guna kamera aku. Mahal ni! Ini pun aku yang beli sendiri setelah beberapa bulan mengikat perut semata-mata hendak membelinya. Kalau rosak, siapa yang nak ganti?
“Eh! Eh! Mana boleh. Ini kamera Niya. Kalau Haq nak tangkap gambar, sila guna kamera sendiri ya.”
“Haq mana ada DSLR.”
“Kalau tak ada guna sahaja kamera handphone. Tak payah nak mengada-ada.”
“Huh! Kedekut! Haq pun tak teringinlah,” balasnya keras seraya berlalu pergi.
Aku mencebir. Tak malu. Masa nak mengata, sedap hati sahaja. Nak pinjam tu, bukannya nak minta elok-elok. Dah siap mengata, baru nak minta. Memang tak tahu malu, gerutu hatiku, geram.
Sewaktu aku melintas buaian bayi yang menempatkan anak kakcik Juita, aku sempat menangkap gambar anaknya itu yang begitu nyenyak tidur di dalamnya. Comel sekali berpakaian gaun labuh putih dan bercekak rambut juga rona yang sama di kepala.
“Seronok kan bila tengok bayi tidur?”
Aku berkalih. Kak cik Juita tersenyum sambil menghampiri buaian anaknya.
“Nanti selepas Haq dan Niya kahwin. Jangan tunggu lama-lama untuk dapat anak. Anak ni anugerah dan rezeki kepada keluarga kita.”
Burrr!!! Terasa darah merah menyerbu ke muka. Malu. Aku langsung tidak pernah berfikir tentang sejauh mana hubungan kami boleh pergi inikan pula perancangan untuk mendapat anak.
“Terima kasih kerana Niya sudi ambil gambar majlis ini. Bila dah siap cuci gambar, jangan lupa beri satu untuk kak cik ya,” pesan kak cik Juita sambil menggenggam erat telapak tanganku.
“Nanti Niya buat storybook khas untuk Damia Afini. Insyaallah, kak cik takkan kecewa dengan hasil Niya nanti.”
“Kak cik percaya kebolehan, Niya.”
“Terima kasih, kak cik kerana percayakan Niya.”
Wanita berusia 37 tahun itu tersenyum riang. Wajahnya begitu berseri-seri meskipun masih dalam tempoh berpantang. Mungkin biasan cahaya seorang ibu.
***
“Terima kasih banyak, Niya kerana sudi membantu umi sekeluarga.”
Aku tersenyum.
“Apalah sangat bantuan Niya pada keluarga umi. Sekadar menangkap gambar. Kecil sahaja sumbangan Niya. Sepatutnya Niya lah yang mengucapkan terima kasih kepada umi dan ayah Aziz kerana sudi melayani kerenah Niya sepanjang berada di sini,” ucapku sambil menyalami tangannya.
Mata umi berkaca. Tiba-tiba sahaja wanita itu terus memelukku. Erat. Aku kaget seketika.
“Umi beruntung ada Niya. Umi takkan menyesal pilih Niya sebagai bakal menantu umi. Haq akan menyesal kalau dia tak pandai jaga Niya,” ujar umi di telinga. Meskipun perlahan tapi masih boleh didengari di telingaku. Apa maksud umi? Adakah umi perasan perubahan sikap Ishaq terhadap aku?
Selepas bersalam-salaman dengan Ayah Aziz dan kak Farah, aku melangkah masuk ke dalam teksi yang akan membawa aku ke stesen bas. Ishaq tiada. Kak Farah kata, awal-awal pagi lagi dia sudah keluar dengan tergesa-gesa. Mustahil dia kerja kerana dia penah memberitahuku dia mengambil cuti sehingga hari terakhir aku di rumahnya, hari aku akan berangkat pulang kembali ke Pulau Pinang iaitu pada hari ini.  Barangkali masih merajuk denganku kerana tdak membenarkan dia mengguna kamera ku pada malam itu. Selepas malam itu juga, dia langsung tidak bertegur sapa denganku. Aku ada juga menyapanya tetapi seperti seolah-olah bercakap dengan tunggul kayu. Sedih juga, aku sebagai tetamu di rumahnya tetapi diperlakukan sedemikian.
“Jaga diri baik-baik. Nanti dah sampai di Pulau Pinang, jangan lupa maklumkan pada kami,” pesan ayah Aziz seraya menutup pintu teksi. Aku mengangguk sambil melambaikan tangan ke arah mereka bertiga. Setelah teksi bergerak keluar, kelihatan umi mengesat air matanya dan ayah Aziz pula kemudiannya menepuk-nepuk bahu umi. Terasa ada air panas mula bergenang di tubir mataku selepas melihat keadaan itu. Terasa sedih pula meninggalkan keluarga yang banyak membantuku dalam tempoh sebulan ini.
Ye ke, Niya? Atau kau lebih sedih kerana tidak dapat bertemu Ishaq? Aku mengaku, aku sudah mula sayang padanya meskipun aku tahu, mungkin cintaku takkan berbalas. Teksi yang aku naiki terus bergerak perlahan menuju ke stesen bas. Aku mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangan. Aku menaip pesanan dalam telefon bimbit.
:Haq. Niya dah nak balik Pulau Pinang. Haq tak nak jumpa Niya ke? Haq masih marahkan Niya ke tentang malam tu?
Sepi. Aku mengeluh. Agaknya, dia marah sungguh padaku. Mataku berkaca semula. Entah mengapa terasa pedih di tangkal hati. Aku membuang pandang ke luar tingkap. Beberapa ketika kemudian, pemandu teksi membelok masuk ke kawasan stensen bas dan berhenti di perhentian deretan teksi.
“Anak, dah sampai. Anak nak pakcik tolong angkatkan beg ke?”
Aku tersentak.
“Eh, tak apa. Saya boleh buat sendiri. Ini bayarannya,”ujarku sebelum keluar dari teksi.
“Tak payah, nak. Sewa teksi sudah dibayar di rumah anak tadi.”
Aku kaget seketika. Siapa yang bayarkan. Ayah Aziz, ke?
“Terima kasih, pakcik.”
“Sama-sama.”
Aku membuka pintu teksi dan mengangkat beg pakaian yang berada di sebelahku. Suasana sudah agak bingit dengan orang ramai yang mungkin juga mahu menaiki bas untuk ke destinasi masing-masing. Aku melangkah perlahan-lahan sambil mata meliar mencari bas Transnasional yang akan membawa aku pulang ke Pulau Pinang.
“Encik, bas ke Pulau Pinang, pukul 11.30 pagi dah ada ke belum?” aku bertanya di kaunter tiket setelah agak lama memerhati ke kawasan bas diparkir.
“Belum sampai lagi, dik. Adik tunggu dulu di sana. Nanti dah sampai, kami akan umumkan,” ujarnya seraya mengunjukkan ke arah kawasan menunggu. Aku bergerak ke arah tersebut dan duduk di atas kerusi yang tersedia di kawasan itu.
“Pukul berapa bas bertolak?”
“Pukul 11.30,” jawabku penuh yakin tanpa menoleh ke arah suara yang bertanya. Eh, siapa? Aku terkebil-kebil seketika. Dengan pantas aku mendongak.
Ishaq!
“Haq! Awak...”
“Kenapa mata merah? Menangis?” ujarnya sambil jari telunjuknya menyentuh tepi mata kananku yang pastinya sedikit sembap.
“Hah! Eh! Tak ada lah. Mana ada Niya menangis.”
Aku cepat-cepat menepis tangannya.
“Haq buat apa kat sini?”
“Eh, tadi bukan ada orang mesej kat Haq ke kata nak jumpa?”
Huh! Aku terkebil-kebil memandangnya. Memikirkan bila pula aku mengajaknya untuk berjumpa. Tatkala itu juga kedengaran pengumuman tentang bas yang akan aku naiki telah tiba dan bersedia untuk bertolak.
“Tak payahlah buat muka macam orang tak bersalah. Pergi cepat naik bas tu. Nanti kena tinggal pula.”
Aku mencebik. Kalau jumpa semata-mata nak menyindir baik tak payah datang. Buat sakit hati sahaja, gerutu hatiku. Aku pantas mencapai beg pakaianku dan bingkas ke arah bas yang telah mula dikerumuni dengan penumpang-penumpang lain.
“Niya!”
Langkahku terhenti. Aku menoleh, tetapi tidak pula bergerak menghampirinya.
“Apa?”
Ishaq tersenyum. Pandai pula senyum, getus hatiku. Lelaki itu melangkah menghampiriku.
“Selamat jalan. Jaga diri elok-elok.”
“Itu sahaja. Ada lagi?”
Lelaki itu menapak lagi ke hadapan. Berdiri betul-betul sejengkal sahaja di hadapanku. Pasti sahaja aku terpaksa mendongak untuk berbual dengannya kerana ketinggiannya yang melebihi ketinggianku.
“Haq suka tengok Niya marah-marah. Comel.”
Huh!
“Habis tu, nak Niya marah selalu ke? Suka macam tu?”
Ishaq tergelak kecil. Eh! Pandai pula ketawa? Apa pula yang melucukan? Selalunya apabila aku buat lawak, tak pernah pula dia tertawa. Ini nak nanti aku marah-marah baru nak tertawa.
“Pertama kali Haq tengok Niya marah. Selalukan macam pendam sahaja marah tu. Bersabar sahaja dengan tingkahlaku Haq. Macamlah Haq tak tahu dia rasa nak marah. Panas baran. Tetapi dengan Haq, boleh pula bersabar, ya.”
Aku mengerut dahi. Tak faham dengan kata-katanya. Aku ke yang baran atau dia?
“Api takkan nak dibalas dengan api juga.”
Lelaki itu tersentak. Mungkin tidak menyangka aku akan menjawab setelah beberapa ketika mendiamkan diri.
“Pandai menjawab.”
Aku tersengih.
“Sebelum terlupa, ini hadiah pertunangan kita daripada Haq. Buka di atas bas nanti.”
Ishaq menghulurkan sebuah beg kertas kepadaku. Di dalamnya berisi satu kotak sederhana besar yang berbungkus cantik.
Oh!
“Hadiah pertunangan? Nak buat apa? Kan Haq dah bagi ni pada Niya,” ujarku seraya mengunjukkan cincin emas yang tersarung kemas di jari manis tangan kiriku.
“Itu cincin tunanglah. Ini hadiah tunang.”
“Ooo, tak sama, ya. Oklah. Orang dah bagi, Niya terima sahaja. Nanti dikata tolak rezeki pula. Niya pergi dahulu. Terima kasih banyak.”
Aku berlalu dengan pantas. Tidak mahu lagi menoleh pandang ke arahnya kerana ia akan membuatkan aku lebih jatuh sayang padanya. Aku pasti dia tidak akan menungguku sehingga bas bertolak kerana dia bukanlah lelaki yang romantik seperti yang aku dambakan semasa zaman belajar dahulu.
Sebaik sahaja aku melabuhkan punggung di atas kerusi bas, beberapa minit kemudian bas  mula bergerak. Aku menghela nafas lega. Mujur juga tiada penumpang yang duduk di sebelahku. Aku mengambil kesempatan untuk duduk bersebelahan dengan tingkap dan kerusi yang satu lagi aku gunakan untuk meletak beg kertas yang berisi hadiah pemberian Ishaq. Sewaktu bas membelok keluar dari kawasan stesen bas, aku terkilas sesuatu. Aku menoleh semula ke arah tingkap. Kelihatan Ishaq sedang duduk di hadapan keretanya di tepi jalan sambil memeluk tubuh.  Apabila dia perasan aku melihatnya, dia melambai sambil tersenyum ke arahku. Hah! Aduh, Niya! Kau dah salah anggap padanya.
Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi tanda menerima pesanan ringkas. Aku membukanya.
Ishaq!
:Jangan lupa buka hadiah tu. I love you and take care!
Burrr!
Terasa wajahku memerah. Wah, malunya! Pertama kali aku menerima kata-kata seperti itu daripada seorang lelaki.
Sepantas itu juga aku menarik beg kertas di sebelahku. Aku mengeluarkan kotak hadiah tersebut dan dengan perlahan aku membuka  balutannya. Sepucuk kad terlekat dari dalam bertulis:
~Kalau rindu Haq, jangan lupa tengok selalu.
Wah, romantiknya tunangku ini! Tak sangka pula. Walapun tingkahlaku macam kasar tetapi dalam hati ada taman. Aku tersenyum sendirian.
 Sebaik sahaja kotak itu dibuka, aku terkejut besar. Di dalamnya ada bingkai gambar yang sangat cantik dan di dalamnya ada gambar Ishaq yang segak berbaju melayu.
Eh! Ini macam gambar yang aku tangkap hari tu. Macam mana dia dapat?
Tatkala itu, telefon bimbit aku berbunyi. Kali ini panggilan telefon daripada Ishaq.
“Hello.”
“Dah buka hadiah.”
“Dah.”
“Hensem tak?”
Aku tertawa kecil.
“Macam mana Haq dapat gambar ni?”
“Pandai-pandailah Haq curi. Niya pun curi-curi tangkap gambar Haq kan?”
“Ok. Kita seri. 1-1.”
“Tunggu Haq datang bulan depan.”
“Eh! Nak buat apa? “
“Dah lupa ke? Kita akan bernikah bulan hadapan.”
Tatkala itu teringat kembali kata-kata umi yang aku curi-curi dengar semasa dia bersembang dengan mama Laila melalui telefon. Hujung bulan depan, aku akan dinikahkan dengan Ishaq. Umi tak mahu kami bertunang lama-lama. Dia risau aku berubah fikiran setelah aku mula kenal Ishaq.
“Haq, terima kasih banyak.”
“Sama-sama dan jangan bagi hilang hadiah tu ya.”
Aku tersenyum.
“Niya akan simpan baik-baik. Ini foto cinta Niya.”
~Tamat~
 *kredit gambar iluvislam.com