Ahad, 9 September 2012

DCJ 36


Selang beberapa minit kemudian kelihatan abang Nain datang menghampiri.
"Kenapa Min terpacak di sini? Kata nak lepak kat pangkin."
Aku mengunjuk ke arah Luqman yang sedang memanjat pokok. Abang Nain terkejut apabila memandang ke atas.
"Tak ada kerengga ke?"
"Entahlah. Harap-harap tak ada. Kalau ada pun mungkin semut hitam kot," teka ku tanpa kepastian.
"Eh, Man! Turunlah. Kita guna galah panjang sahaja. Banyak ranting reput tu," jerit abang Nain.
Luqman terus memandang ke bawah sebaik sahaja mendengar suara abang Nain. Kelihatan wajahnya berubah.
"Tak payah. Aku boleh buat. Aku orang kampung. Bukan macam kau orang bandar. Pokok buah macam ni pun kalau tak reti panjat, lebih baik duduk rumah diam-diam."
Hatiku tersentap mendengar jawapannya. Lain benar nada suaranya berbanding tadi. Aku kemudiannya memandang pula ke arah abang Nain. Wajahnya tersenyum kelat. Mungkin terasa dengan sindiran Luqman itu tadi. 
“Luqman! Turun lah! Nanti jatuh.” Jeritku. Lelaki itu terus memanjat pokok rambutan tanpa menghiraukan jeritanku di bawah. Tinggi egonya! Tidak pernah berubah! Aku mengalih pandangan ke arah Abang Nain. Dia melongo. Masih terkejut dengan tindakan Luqman yang seolang-olah cuba mencari gaduh dengannya. Dia tidak berani berkata apa-apa lagi. Semalam kerana cuba meleraikan pertelingkahan mulut antara aku dan Luqman, sikunya bercalar mencium tanah.
“Abang Nain, tolonglah.”
“Sorry, Min. Abang Nain tak berani masuk campur. Luq seperti tak suka kita...”
Gedebuk! Ada sesuatu yang jatuh dari pokok rambutan di hadapan kami. Luqman!
 ***
“Padan muka! Ego! Kenapa tak patah jer kaki tu? Senang sikit,” omelku sambil mencampakkan kain pelikat di hadapan Luqman. Lelaki itu memandangku sayu. Kemarahanku sudah ke tahap tidak mengira sesiapa lagi yang berada di hadapanku.
“Min...Jaga sikit mulut tu,” Tegur babah. Aku memandang babah yang duduk bersebelahan Abang Nain. Abang Nain pula langsung tidak bersuara semenjak dari kejadian tadi.
“Kenapa dengan kamu berdua ni? Sehari dua ni ayah Long tengok asyik nak bertekak sahaja. Kamu berdua ni pantang berjumpa. Ada sahaja benda yang nak dilawan bertengkar. Ingatkan dah besar panjang, dah berubah. Tapi, rupa-rupanya masih sama. Sekali-sekala cuba lah bercakap elok-elok sikit,” ujar Ayah long pula sambil menggeleng-gelengkan kepala. Aku menjeling ke arah Luqman.
“Nasib baik pokok yang Luqman panjat tu tak ada kerengga cuma banyak dahannya yang dah reput,” ujar Ummi Long dari dapur. Di tangannya ada sebotol minyak gamat.
“Hah, Luqman. Pergi tukar seluar tu. Nanti Ummi Long nak tengok luka kat betis tu.”
“Tak payah, Ummi Long. Luka ni sikit ja.”
Huh, ego! Gerutu hatiku semakin jengkel.
"Orang dah nak tolong tu, buat sahajalah apa yang disuruh. Tak payah lah nak menunjuk lagak tu lagi. Belajar sampai Jepun pun perangai tak pernah berubah."
Bebelku antara dengar dan tidak.
"Jasmin. Sudahlah tu. Kamu ni pun satu, belum jadi isteri orang lagi dah suka membebel," sampuk ummi long. Aku tersentak. Bibir Luqman terukir senyuman. Sakit-sakit pun ada hati lagi nak senyum sindir padaku. Nak tunjuk kemenangan lah tu sebab ada orang sokong, gerutu hatiku lagi. Sambil menjeling aku terus beredar ke bilik. Malas nak ambil tahu lagi pasal lelaki itu. 
Aku melepaskan lelah di atas katil. Separuh hari di dusun begitu memenatkan walaupun bukan aku yang mencari dan mengutip durian. Ayah cu dan Nadheera balik ke rumah keluarga Nadheera selepas menghantar kami pulang. Sepanjang jalan aku membebel melepaskan kegeraman. Habis semua orang dalam kereta menjadi mangsa termasuk ayah cu dan Nadheera. Di rumah ayah long pula aku sambung lagi membebel pada Luqman pula. Abang Nain pun terkena tempiasnya juga. Yang peliknya tiada sesiapa pun yang menyampuk atau menegur sikapku kecuali babah, ayah long dan ummi Long sahaja.  Bila difikir-fikirkan balik, terasa malu pun ada. Mesti ada yang perasan dengan perubahan sikapku ini. Setiap bulan ia pasti berlaku, walaupun kadang-kadang tidak seteruk mana. Tetapi kali ini anginku ini seperti puting beliung. Kesabaranku sangat nipis untuk mengawal api kemarahanku. Teringat kembali ketika zaman belajarku dahulu. Babah akan menjadi mangsa bebelanku tatkala aku bercakap dengannya melalui telefon. Bila aku bereaksi sedemikian babah lebih banyak mendengar dan selepas aku penat membebel, babah pasti akan memujukku. Secara automatik hatiku akan menjadi tenang semula. Simptom PMS. Atau simptom anak cengeng yang memerlukan perhatian. Huh!
Tiba-tiba telefon bimbitku berlagu nyaring. Aku mencapai telefon yang berada tidak jauh dari tempat pembaringanku.
Abang Nain!
"Hello Min."
"Ya."
"Abang dah on the way balik ke Shah Alam. Dah masuk lebuhraya pun ni."
Aku terkejut dan terus bingkas melihat ke luar tingkap. Vios miliknya sudah tiada di halaman rumah ayah Long. Kenapa dia tak beritahu aku nak balik hari ini?
"Kenapa tak panggil Min sebelum bertolak? Abang Nain tak beritahu Min pun nak balik hari ni."
"Abang ada emergency call dari pejabat tadi. Tak apalah. Min nampak letih dan stress. Abang tak mahu ganggu Min. Min perlu banyak berehat dan jangan terlalu memikirkan sangat apa jua masalah yang Min lalui sekarang."
"Hmm, baiklah. Terima kasih, abang Nain kerana tumpangkan Min balik ke kampung."
"Sama-sama, Min. Jaga diri."
"Ok. Abang Nain pun, hati-hati bawa kereta."
"Baik. Terima kasih. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Aku mengeluh. Pandanganku lepas kembali ke luar tingkap. Kelihatan babah dan ibu Darlynna sedang bersantai di atas pangkin  halaman rumah ayah Long.
Tatkala itu juga kedengaran ketukan di pintu kamarku.
"Jasmin," panggil ummi Long di luar kamar. Aku bingkas membuka pintu.
"Ya, ummi," jawabku sambil menjengulkan kepala.
"Tolong tengokkan Luqman di ruang tamu. Tanya pada dia nak air minuman atau tidak. Dari tadi dia berehat di sofa tu."
Aku mengangguk. Masuk kembali ke dalam kamar dan mengenakan semula tudung di kepala. Selepas itu aku menapak ke ruang tamu dengan perlahan. Tiada sesiapa melainkan lelaki itu yang terbaring di sofa. Tangan kanannya menutupi dahi dan separuh wajahnya. Aku tersengih seketika apabila melihat dia berkain pelikat. Aku melangkah ke dapur untuk membancuh seteko air teh dan kemudiannya menuangkan secawan untuk diberi kepada Luqman. Apabila aku sampai di ruang tamu, kelihatan Luqman masih terbaring seperti tadi. Kasihan pula apabila melihat luka di betisnya. Aku meletak cawan berisi air teh panas di atas meja kecil di hadapan sofa. Dengan perlahan aku mencuit bahunya.
"Luq, awak dahaga tak? Nak minum air tak?" 
Lelaki itu mula menggerakkan badannya. Tangannya dijatuhkan sisi dan kelopak matanya terbuka.
"Seronoknya bila buka mata sahaja dapat melihat sesuatu yang cantik dan indah."
Hah! Manisnya mulut.
"Perli ke puji?"
"Puji lah tu. Takkan Luq nak perli pula."
Aku mencebik.
"Puji ada makna."
"Makna apa pula?"
"Sebab Min bawakan air."
"Luq ikhlas, sungguh," ujarnya sambil mengangkat tangan paras bahu seperti berakujanji.
"Yalah. Ni bangunlah. Macam mana nak minum sambil baring? Tumpah airnya nanti."
"Min tolonglah suapkan.'
Ish, mengada-adanya!
"Jangan nak mengada-ada boleh tak? Cubit kat betis tu baru tau. Bangunlah duduk."
"Yelah, yelah. Garanglah Min ni," ujarnya seraya bingkas dari pembaringan.
"Hati-hati sikit. Air ni panas lagi," nasihatku sambil menghulurkan cawan berisi teh panas dan membiarkan dia menghirup air tersebut perlahan-lahan.
“Kenapa marah-marah ni? Datang bulan ek?”
Sempat lagi dia mengusik. Aku menjelingnya tajam.
“Bukan tadi kat dusun ada orang tu marah-marah ke? Siap kata lagi orang kampung pandai panjat pokok. Orang bandar tak pandai panjat pokok. Kesudahannya,yang mengaku diri tu orang kampung jatuh macam nangka busuk.”
Giliran Luqman pula menjeling padaku. Mukanya tersenyum kelat.
“Amboi, pulang paku buah keras lah ni ya?”
“Siapa makan cili, dia terasa pedas.”
“Ok, ok. Luq minta maaf. Luq terlalu emosional tadi.”
Hmm, pandai pula meminta maaf. Ingatkan dah lupa cara nak berbudi bahasa.
“Emosional ya. Hmm,Luq datang bulan ke?” soalku kembali.
“Amboi, pandai ya dia kenakan Luq balik. Cium mulut tu,baru tau.”
Aku terdiam. Lelaki! Kalau bercakap tak melibat benda yang tak senonoh,tak boleh ke?
Luqman terus meneguk air yang masih berbaki dalam cawan. Nampak seperti dahaga betul.
“Nak air lagi ke? Min ambilkan.”
Lelaki itu menggelengkan kepala.
“Tak payah. Luq nak baring sekejap. Tiba-tiba rasa pening kepala.”
“Hmm, ok. Rehatlah,” ujarku seraya mengangkat cawan. Kesian pula aku melihat dirinya. Aku bingkas hendak menuju ke dapur.
“Nak ke mana?”
Langkahku terhenti. Aku menoleh ke arahnya.
“Nak ke dapur. Hantar cawan ni.”
“Nantilah hantar cawan tu. Biarkan ia kat situ. Min temankan Luq. Seganlah nak baring kat sini seorang.”
“Kalau segan pergilah tidur kat dalam.”
“Kat dalam? Bilik Min ke?”
Aku menjegilkan mata. Sakit-sakit pun masih ada hati lagi nak menggatal.
“Bilik tamu. Bilik yang abang nain tidur semalam.”
“Uh, tak mahu lah. Ada bau lelaki. Lebih baik tidur kat sini. Lagipun kalau dalam bilik, susah.”
“Apa yang susahnya? Dalam bilik lagi selesa. Ada katil. Tak sakit badan.”
“Yelah, kat sini pun selesa juga. Ada Min. Min boleh temankan. Dalam bilik, Min tak boleh teman. Bahaya.”
Hish! Macam-macam ulah mamat seorang ni.
“Takkan Min nak tercongok jer kat sini. Lebih baik Min ke dapur boleh juga tolong umi long kat dapur.”
“Alah, nanti-nanti pun boleh tolong. Min tunggu orang sakit ni, boleh dapat pahala tau,” ujarnya seraya menelentangkan tubuhnya di sofa.
Aku mencebik. Sakit sedikit sudah mengada-ada.

Selasa, 4 September 2012

DCJ35

“Lahh...dia pun ikut sama? Apa hal pula ke mana saja aku ada, dia pun ada?” gerutu hatiku apabila melihat Luqman terbongkok-bongkok mengutip buah durian yang gugur ke tanah. Pelik. Tapi itulah hakikatnya. Semakin aku cuba menjauh semakin pula dia datang mendekat. Semakin menghairankan aku ialah dengan siapa dia datang kerana aku tak nampak pula keretanya terparkir di tepi jalan.
“Min, kau nak tercegat kat situ tengok bakal suami kau sampai petang ke atau kau nak tolong aku sediakan bekalan ni?”
Aku tersentak dengan teguran Nadheera. Kuat juga suaranya dalam dusun yang hanya kedengaran bunyi unggas. Tatkala itu juga Luqman yang asyik membongkok, berdiri tegak dan menoleh ke arah ku.  Dia tersenyum. Burrr...terasa wajahku memerah. Dengan pantas aku membuka hamparan alas tikar di atas pangkin yang tersedia di hujung dusun.
“Sweet, I nak ke anak sungai bawah tu. You nak ikut tak?” Ayah Cu mengeliat beberapa kali. Meregangkan tubuh yang masih terasa keletihan.
“Em, boleh juga. Min, kau jaga makanan ni yer. Takut dicuri kera hutan nanti.”
“Takkan ayah Cu nak tinggal Min kat sini sendirian?”
“Eh, mana ada sendiri. Kat kereta tu kan ada Dzulkarnain," jawab ayah cu.
“Itu kat kereta. Ini dalam dusun. Mana nak sama? Kalau ada orang culik Min nanti macam mana?”
Ayah cu dan Nadheera terkebil-kebil memandang antara satu sama lain dan kemudiannya mereka tertawa.
“Min tak buat lawaklah,” ujarku dalam nada bosan.
“Haha..yelah Min. Siapa pula nak culik kamu tu Min? Lain lah kalau awak anak jutawan,” perli ayah cu.
“A’ahlah Min ni. Macam budak-budak,” sampuk Nadheera seraya berlalu pergi tanpa menghiraukan perasaan aku.
Errr... seram pula bila ditinggalkan sendirian. Aku memanggungkan kepala. Mengharapkan agar dapat melihat kelibat Luqman. Tetapi hampa. Agaknya dia dah berjalan ke luar dusun. Menyesal pula mengikut 2 orang pengantin baru ni. Rupa-rupanya aku sekadar menjadi penunggu makanan tak bertauliah untuk mereka berdua. Nasiblah kau Jasmin Alia...
"Membebel apa tu?"
Aku tersentak. Tak sedar sejak bila pula Luqman berada di sebelahku. Aku menolah ke arahnya. Lelaki itu tersengih seketika sebelum mula memandang wajahku lama.
"Kenapa tengok Min macam tu? Muka Min comot ke?" soalku seraya mengusap kedua-dua belah pipiku.
"Tak.Muka min ok. Nampak pucat sahaja. Min demam ke?" tangannya pantas mahu menyentuh dahiku. Aku terus menepis.
"Boleh tak jangan cuba nak ambil kesempatan kat tengah-tengah dusun ni?"
Luqman tertawa.
"Luq nak rasa suhu badan Min sahaja, bukannya nak buat apa-apa pun."
"Tak payah. Min sihat. Luq ni tak kerja ke? Berapa hari cuti? Bila nak balik KL?"
Aku cuba menukar topik.
"Amboi, tanya soalan macam nak halau sahaja. Tak suka ke kalau Luq ada di sini?"
"Bukan nak halau. Cuma ambil tahu."
"Hmm...ambil tahu? Luq sedang bercuti. Cuti-cuti Malaysia."
Aku mencebik sambil tergelak kecil.
"Kenapa?"
"Orang cuti-cuti Malaysia berjalan ke tempat sejarah ke, pulau ke, panjat gunung ke? Ini balik kampung. Cuti apa?"
"Cuti lah juga tu. Kampung ni pun Malaysia juga cik Jasmin oii..."
"Maksud Min, cuti-cuti tu buatlah benda yang mencabar sikit. Bukannya mengular jer kerjanya."
"Hah! Dah nama pun cuti...mengular lah. Nak buat apa lagi?"
"Dah lah. Malas Min nak cakap dengan Luq. Ada saja jawapannya."
Aku melangkah pantas meninggalkan pangkin.
"Nak ke mana tu, Min?"
"Nak kait rambutan."
"Hah! Luq panjat pokok. Min kutip kat bawah."
Luqman sudah membuka selipar.
"Eh, tak payah.Pokok tu banyak kerengga."
Aku menegah.
"Tak apa. Luq dah biasa."
Dia melipat kaki seluarnya beberapa kali sehingga ke paras lutut. Kemudian tangan dan kakinya mula berpaut dan memijak dahan-dahan pokok rambutan.
"Jangan Luq. Bahaya."
"Kata tadi suruh buat kerja-kerja yang mencabar. Ni Luq nak buatlah ni."
Aku terdiam.Ya Allah, bukan itu maksud aku. Dalam hati aku berdoa untuk setiap langkah kakinya memijak dahan dan ranting pokok rambutan di hadapanku. mengharapkan tidak berlaku apa-apa pada dirinya.