Isnin, 8 November 2010

DCJ32


“Awak buat apa?”
Soalan pertama yang ditanya sebaik sahaja aku menerima panggilannya.
“Sedang kemas pakaian.”
Memang benar. Saat dia menelefonku itu, aku sedang memilih pakaian yang akan ku bawa pulang.
“Hendak ke mana?”
“Balik kampung. Ayah Cu nak kahwin.”
“Ooo, tak kahwin lagi. Ingatkan dah beranak pinak.”
Ada nada sindiran di hujung talian. Aku diam. Malas nak membalas sendirannya. Bukan aku yang hendak bercakap dengannya.
“Pukul berapa bas bertolak?”
Eh! Mana dia tahu aku nak balik naik bas?
“Bila masa Min beritahu Luq, Min nak balik dengan bas?”
Lelaki itu terdiam. Lama. Aku pasti, mesti ada seseorang telah memberitahu tentang diriku.
“Kalau Luq tak ada apa nak cakap, Min nak letak. Ada banyak kerja lagi yang perlu diselesai.”
“Maaf.”
Perkataan maaf yang sangat sukar aku dengar daripada mulutnya.
“Huh? Kenapa?”
“Tentang kejadian hari tu? Luq tak bermaksud nak sakitkan hati Min.”
“Ohh... Min tak mahu bincang lagi tentang perkara itu. Lupakanlah. Buat serabut kepala otak sahaja.”
“Tapi Luq nak cakap tentang itu.”
“Apa lagi yang Luq nak cakap? Kan Min dah cakap tadi, Min tak mahu bincang lagi pasal hal ni.”
“Luq tak mahu Min fikir yang bukan-bukan tentang hubungan Luq dengan setiausaha Tan Sri.”
Aku menghela nafas.
“Kalau ada apa-apa pun, apa kena-mengena dengan Min?”
Lelaki itu diam lagi.
“Pukul berapa nak ke stesen bas esok?”
Ternyata dia cuba mengubah topik.
“Tak jadi balik naik bas.”
“Kenapa pula?”
“Babah suruh balik dengan abang Nain.”
“Nain lagi. Asyik-asyik Nain. Asyik-asyik Nain. Kata nak balik dengan bas, kenapa tiba-tiba tukar fikiran balik dengan dia pula?”
Ada nada tidak puas hati di hujung suaranya.
“Bukan Min yang nak, tapi babah yang suruh.”
“Min boleh tolak, kan?”
Aku mengeluh.
“Kenapa Luq pula yang sibuk pasal Min? Suka hati Min lah nak balik dengan apa dan dengan siapa pun.”
“Sebab Luq pun dah beli tiket bas yang sama dengan Min.”
Aku tersentak.
“Kenapa?”
Banyak sungguh perkataan kenapa dalam perbualan kami.
“Sebab nak balik kampung dengan Min.”
Wajahku diserbu rasa panas. Dia beli tiket bas semata-mata nak balik kampung dengan aku.
“Tak ada kerja ke? Asyik nak berkepit dengan orang.”
“Habis tu, takkan nak biar Min berkepit dengan anak Tan Sri tu?”
Sekali lagi terasa darahku tersirap. Istilah berkepit yang digunakannya seolah-olah ingin menuduhku sebagai seorang wanita liar.
“Bila masa Min berkepit dengan abang Nain? Boleh tak jangan buat spekulasi yang bukan-bukan?”
“Spekulasi apanya. Memang dah terang lagi bersuluh.”
“Min nak keluar dengan sesiapa pun, apa kena-mengena dengan Luq? Min tak pernah ambil kisah pun dengan siapa Luq keluar.”
“Betul ke Min tak kisah?”
Aku terdiam. Betulkah aku tak kisah? Kenapa pula aku kena ambil kisah? Aku bukannya penting padanya. Sekadar kawan lama zaman persekolahan.
“Luq dengan Ferisha...”
“Min tak nak dengar. Itu hal peribadi Luq, Min tak nak masuk campur.”
Kedengaran lelaki itu mengeluh panjang.
“Luq nak terang sesuatu pada Min.”
“Lain kali sahaja. Min dah letih, Luq. Penat sangat.”
“Dengan Abang Nain awak, tak pernah penat pun. Tapi kalau dengan Luq..”
“Awak kalau nak bercakap sekadar nak menyakitkan hati, baik tak payah telefon langsung,” marahku seraya terus mematikan telefon.
Entah kenapa, tiba-tiba terasa dadaku sakit. Marah yang membuak-buak apabila setiap kali dia mengaitkan namaku dengan abang Nain. Kenapa dia suka menyakitkan hatiku? Aku memandang ke arah jam yang tergantung di dinding. Pukul 2 pagi. Lamanya kami bercakap. Baru terasa telingaku kepanasan. Tangan juga terasa lenguh. 
Beberapa minit kemudian, Luqman menghantar SMS pula.
: Awak tengah datang bulan, ya? Cakap sikit dah marah-marah. Selalu tak macam ni pun.
Burr...sekali lagi terasa darah panas menyerbu ke muka. Aku pantas mencapai kalendar di atas meja. Ohh..minggu PMS. Patutlah aku rasa tak selesa dan perasaan marahku asyik membuak-buak. Pandai pula lelaki ini meneka.
: Kita jumpa di kampung ya.
Tak habis lagi memujuk. Aku membiarkan pesanan itu tanpa balasan.
:Saya ada hal nak cakap dengan awak.
Telefon bimbitku kembali berlagu nyanyian ‘Yang Terindah’. Lama. Aku biarkan sahaja. Beberapa ketika kemudian, ia berbunyi tanda ada pesanan ringkas.
:Angkatlah. Janganlah marah. Merajuk ke?
Sekali lagi telefon itu berbunyi. Aku mencapai kembali telefon bimbit yang terletak di sebelahku.
“Hello.”
“Jasmin.”
“Cakap sekarang. Min dengar,” ujarku separuh tegas.
“Min, janganlah marah-marah. Saya susah hati.”
Huh! Lain pula nadanya kali ni. Hanya dalam beberapa minit, intonasinya sudah bertukar rentak.
“Apa kena-mengena Min marah dengan susah hati awak, Luq?”
“Sebab Luq tak mahu Min tidur dengan air mata. Menangis, sampai bengkak mata.”
“Huh! Siapa cakap Min menangis?”
“Ya ka tak menangis? Mmm...tak apalah. Luq nak beritahu sesuatu pada Min. Tapi, malam ni tak boleh. Luq takut Min masih belum bersedia.”
Aku mengeluh. Apalah yang tak kena dengan lelaki ini? Sekejap nak cakap, sekejap tak nak pula.
“Apa-apa ajalah, Luq. Min nak tidur ni. Dah lewat sangat. Esok mengantuk pula.”
“Alah, bukannya Min bawa kereta pun.”
“Luq... please..stop it.”
Yeah, as you wish, my dear. Good night, love.”
Talian di hujung sana dimatikan. Aku termanggu seketika. My dear? Love?
Betulkah apa yang aku dengar? Aku menghela nafas panjang sambil meletak telefon bimbitku di hujung kepala katil. Aku terus merebahkan tubuhku ke atas katil. Cuba memejamkan mata. Malas hendak memikirkan maksud butir bicara Luqman.
****
Kereta Vios milik abang Nain meluncur laju di atas lebuhraya. Beberapa kali juga aku mendengar lelaki di sebelahku itu berdehem. Aku buat-buat tak dengar sahaja. Walaupun terasa sangat mengantuk gara-gara tidak dapat tidur semalam, tapi mataku masih juga melayan pemandangan di luar tingkap. Meskipun sudah biasa menaiki kenderaannya, perasaan segan pada Abang Nain masih tetap terasa kerana bagiku adalah tidak wajar aku sedap-sedap tidur di sebelahnya dan membiarkan dia memandu berseorangan. Serasanya inilah kali pertama aku menaiki kereta dengannya dalam perjalanan jarak jauh.
“Kalau Min mengantuk, tidurlah. Jangan ditahan mata tu.”
Aku tersentak.
“Mana abang Nain tau Min mengantuk?”
“Habis tu, dah berkali-kali abang tengok asyik menguap sahaja, tak mengantukkah namanya?”
Huh! Sempat lagi dia memerhati tingkahlakuku semasa memandu.
“Tak cukup tidurkah semalam? Rasanya tuan haji bagitahu abang tadi, Min cuti semalam. Tak ke kedai. Kenapa pula hari ni nampak macam letih sahaja?”
Aku tersenyum kelat.
“Tak ada apalah. Semalam asyik kemas barang sampai terlupa terlajak waktu tidur. Sebab itulah letih sikit.”
Alasan. Sebenarnya aku bercakap dengan Luqman sehingga pukul 2 pagi. Bukan bercakap sebenarnya. Lebih kepada bertekak mulut dan sindir-menyindir. Aku pun tak tahu kenapa? Kesudahannya aku sukar untuk tidur memikirkan kata-katanya. Menjelang subuh baru aku dapa melelapkan mata. Mujur juga tidak terbabas solat subuh.
“Itulah, lain kali siap awal-awal. Tidaklah kelam kabut. Lagi satu, kan abang Nain dah bagitau, kalau nak ubah waktu perjalanan, maklumkan sahaja. Kenapa Min tak cakap?”
“Tak apalah kita bertolak pagi. Sampai awal sikit. Kalau bertolak lewat, sampai malam pula nanti. Lagipun, bukannya Min yang memandu. Min hanya duduk kat sebelah ni dan rehat sepanjang jalan.”
“Ada-ada sahajalah Min tu. Tidurlah. Ambil bantal kecil di bahagian tempat duduk belakang tu untuk dibuat peluk.”
“Nanti dah sampai, abang Nain jangan lupa kejutkan ya.”
“Hmm..ok.”
***
Sewaktu aku keluar dari kamar, kelihatan ummi sedang melipat pakaian di ruang tamu. Aku menghampirinya.
“Ha..dah bangun pun. Dah solat asar ke belum?” soal ummi sambil menolak pakaian yang telah dilipat ke tepi, memberi ruang untuk aku bersimpuh di sebelahnya.
“Dah. Ayah Long mana?”
“Ke kebun. Tengok lembu yang baru sampai pagi tadi.”
“Berapa ekor ayah Long beli untuk kenduri ayah cu ni?”
“Dua ekor.”
“Banyaknya.”
“Nak jemput ramai. Kawan-kawan ayah cu kamu, adik-beradik kita, orang kampung. Lagipun saiz lembu tu kecil sahaja.”
“Ooo..”
Aku melingas. Sunyi sepi.
“Cari siapa?”
Seperti tahu-tahu sahaja segala tindak tandukku.
“Hah! Err..ummi nampak Abang Nain?”
“Dia ikut ayah cu kamu ke pekan.”
“Ohh..tak habis lagi membeli barang?”
“Ayah Cu kamu minta dia jadi pengapit. Tu yang bawa ke pekan, beli pakaian yang sama dengan pengapit perempuan.”
“Hah! Ayah Cu minta Abang Nain jadi pengapit dia? Ayah Cu tak ada pengapit lagi ke?”
“Hmm, tak adalah kot. Sebab tu dia suruh si Nain tu yang jadi.”
Aku terdiam. Aku akan jadi pengapit Nadheera dan Abang Nain pula kan jadi pengapit  Ayah Cu. Aduh! Dugaan apakah ini? Aku bingkas ke kamarku semula.
“Nak ke mana tu? Baru bangun tidur, nak tidur balik ke?”
“Taklah, ummi. Min nak call ayah cu kejap.”
“Nak buat apa? Biar aja lah si Nain tu jadi pengapit. Ummi nampak dia serasi jadi pengapit ayah cu. Dari tadi menolong ayah long dengan ayah cu kamu tak berhenti.”
Aku mengetap bibir.
“Ummi, Min dah jadi pengapit Nad. Takkan nak suruh dia jadi pengapit ayah cu pula?” Ummi Long mengerutkan dahinya, kehairanan.
“Apa salahnya? Ada masalah ke kalau dia yang jadi pengapit ayah cu?”
“Tak sesuailah, ummi. Kenapa ayah cu tak suruh kawan-kawan dia sahaja yang jadi pengapit? Teruklah ayah cu ni.”
“Jangan merungut, Min. Kenapa ni, bangun tidur nak marah-marah? Ayah cu tahulah kerja dia. Ni lagi satu, Nadheera tu akan berkahwin dengan ayah cu, cuba biasa-biasakan diri panggil mak su.  Ini dok panggil Nad..Nad..sakit telinga ummi mendengarnya.”
Aku memuncung mendengar kata-kata ummi.
“Min tahulah. Nanti ayah cu dah kahwin, Min panggilah dia mak su. Min ke rumah dia sekejaplah, ummi. Nak tengok baju Min.”
“Hmm, jalan elok-elok. Jangan melencong ke anak sungai. Banyak lagi kerja kat rumah ni, nak kena buat.”
“Alah... baru cadang pergi tadi. Dah lama tak ke sana. Entah-entah dah jadi semak. Boleh lah, ummi?” pintaku separuh memujuk.
“Tak berubah-ubah perangai tu. Pergilah. Tapi jangan lama-lama. Dah petang ni. Nanti senja, gelap kawasan tu. Bahaya.”
Aku tersenyum mendengar jawapannya.
“Sayang, ummi,” ujarku sambil tunduk mencium pipinya.
“Pandailah dia tu.”
Aku tertawa kecil seraya menapak ke pintu utama. Sewaktu aku berjalan menyusuri jalan kecil yang berturap tar menuju ke rumah Nadeera, kelihatan sebuah kereta Honda meluncur laju menuju ke pekan. Luqman!
***
“Kenapa monyok ja muka tu? Masalah apa pula,Min?”
“Mana ada. Memandai sahaja kau ni.”
“Elleh, muka macam siput retak seribu, tak mengaku lagi ada masalah.”
Cis! Ada ke patut disamakan aku dengan siput retak seribu. Tak guna punya kawan.
Aku mencebik.
“Ayah cu bagi Abang Nain jadi pengapit dia. Mimpi apalah dia malam semalam? Tiba-tiba sahaja nak pakai pengapit pula. Padahal bukannya dia kenal sangat pun Abang Nain tu,” aduku sambil menyusun kotak bunga telur di dalam bekas khas.
“Ler, kau ni! Aku ingatkan besar sangat masalah tu. Rupa-rupanya hal pengapit yang kau ungkitkan. Kenapa? Kau takut orang gandingkan kau dengan dia?”
Aku menjeling apabila mendengar soalan berbisa darinya.
“Kau tak suka kahwin dengan anak Tan Sri ke? Aku tak nampak kekurangan pada lelaki itu. Semua ada. Rupa. Harta. Budi pekerti. Lengkap pakejnya.”
“Aku tak pernah fikir hingga ke situ.”
“Kau nak tunggu apa lagi, Min? Kau nak tunggu bulan jatuh ke riba atau tunggu sehingga kucing bertanduk? Kau pernah tanya Luqman perasaan dia kepada kau?”
“Pernah.”
“Bila?”
“Dua belas tahun dulu,” jawabku perlahan.
“Ceh! Cinta budak hingusan. Aku maksudkan, sekarang ni. Setelah kau berjumpa semula dengan dia. Bukannya zaman persekolahan dahulu.”
Aku tersengih. 
“Ish, budak ni. Oang tanya betul-betul, dia main-main pula.”
“Betullah tu. Takkan aku nak terhegeh-hegeh pergi tanya kat dia pula. Gila ke? Macam perigi cari timba pula.”
Nadheera mencebir mulutnya.
“Kau ni. Macam perempuan Melayu terakhir pula.”
Sekali lagi aku tersengih. Ayat yang sama disebut Munir.
“Iyalah tu.”
“Huh?”
Nadhheera kehairanan. Pelik barangkali kerana aku langsung tidak melawan kata-katanya.
Perempuan Melayu Terakhir, hmmm...

Ahad, 7 November 2010

DCJ 31

Sudah dua minggu peristiwa itu berlalu. Dua minggu juga Luqman langsung tidak menghubungiku. Begitu juga dengan Abang Nain. Tetapi ada juga dia menitipkan salam melalui ibu. Sekadar itu sahaja. Aku juga malas untuk menghubungi mereka. Bagiku lebih baik begitu daripada dituduh yang bukan-bukan sehingga menyakitkan hati. Aku tak mahu dikatakan seperti perigi mencari timba. Bukan prinsipku untuk terhegeh-hegeh menggoda lelaki untuk mendapat pasangan hidup. Bagiku, biarlah jodoh itu datang sendiri sekiranya ia sudah ditakdirkan untukku.
Kting!
Pintu kedai terbuka separuh. Aku memanjangkan leher memandang ke luar. Kelihatan seperti Munir bercakap-cakap dengan seseorang dan kemudiannya kedengaran suaranya mengucapkan terima kasih bersambung dengan tawa kecil.
“Eh, perempuan! Awal kau sampai? Mimpi apa semalam?”
Aku menjeling. Panggil orang seperti tiada nama, gerutu hatiku.
“Aku perlu bermimpi dahulukah untuk datang awal di waktu pagi?” soalku kembali sambil menyambung semula tugasku di kaunter yang terhenti seketika tadi. Munir tertawa.
“Aku rasa kau bermimpi nak dapat bunga hari ini. Betul tak?”
“Bunga?”
Aku terus memanggung kembali kepala. Memandang ke arah Munir yang masih tersengih-sengih seperti kerang busuk di hadapan kaunter bayaran.
“A’ah. Ada kad lagi,” sambung lelaki itu lagi sambil mengunjukkan kepadaku sejambang carnations berwarna merah hati lembut dan putih. Di sebalik 12 kuntuman carnations yang kembang mekar itu terselit sekeping yang berwarna putih.
“Untuk aku ke?”
“Habis tu? Takkan untuk aku pula.”
Aku menggaru kepala yang tak gatal sambil menyambut sedozen kuntuman carnations daripada tangan Munir. Harumannya menyucuk deria bau. Wangi. Siapa pula yang begitu romantik menghadiahkan aku jambangan bunga ni?
Aku membuka dan membaca tulisan yang tertulis pada kad putih tersebut.
Love you, Miss you... soo much!
Huh! Itu sahaja. Siapa pengirim misteri ni? Pelik!
“Luqman kot?” Munir cuba berteka-teki. Aku mencebik.
Huh! Tak ada orang lain ke si Munir ni nak teka? Nama si Luqman tu pula yang terlintas di fikirannya. Tak logik langsung.
“Cubalah kau telefon dia.”
“Ish! Tak naklah aku. Nanti dikatanya aku tergedik-gedik lagi. Serik aku.”
“Huh, kolot!” sindir Munir.
Mulut tak ada insuran, sungguh. Kata ikut sedap hati sahaja.
Aku menjeling tajam ke arahnya. Munir berlalu ke dalam biliknya tanpa menghiraukan jelinganku.
“Min!”
“Ya.” Aku menyahut panggilan Munir tanpa memandang ke arahnya.
“Bila si Nad nak kahwin?”
“Hujung bulan ni. Kenapa?”
“Maknanya lagi dua minggu. Habis tu kau tak balik kampung?”
“Balik. Siapa kata aku tak balik? Mengamuk pula si Nad tu nanti.”
“Balik dengan siapa?”
Pelik sekali nada soalan. Tanganku yang lincah menampal harga pada buku-buku yang baru dikeluarkan dari kotak tadi terhenti. Aku menoleh ke arah lelaki yang hampir sebaya denganku itu.
“Kenapa kau banyak tanya ni? Ada apa-apa ke?”
Lelaki itu terus menggelengkan kepalanya dan mula buat-buat sibuk di kaunter bayaran.
“Saja jer. Aku nak tanya. Aku kan kawan kau yang prihatin. Takkan itu pun tak boleh.”
“Ooo, prihatin yer? Mm, untuk pengetahuan kau, aku balik sendiri. Naik bas. Puas hati?”
“Kenapa kau tak balik dengan babah kau? Ibu dan babah kau tak balik ke?”
“Balik. Cuma mereka balik lewat sedikit. Aku tak mahu terlalu lewat. Nanti Nad bising. Lagipun kena juga tolong ummi Long apa-apa yang patut sebelum kenduri tu kan. Nanti apa pula kata orang, aku balik semata-mata nak makan kenduri sahaja.”
“Ooo, kebetulan pula ya,” ujar Munir antara dengar dengan tidak.
“Apa yang kebetulan?” soalku kembali.
“Tak ada apa-apalah,” jawabnya pantas.
Malas aku hendak bertanya lebih lanjut tentang kata-katanya. Tanganku pantas kembali menyambung kerja yang sedikit terganggu sebentar tadi.
“Moon, tadi Hajar dari Popular call. Dia cakap buku yang kau pesan hari tu dah sampai. Kau nak pergi ambil sendirikah atau kau nak aku yang ambilkan?” soalku padanya setelah teringat kembali panggilan telefon yang aku terima sebelum Munir tiba di kedai. Munir menepuk dahi.
“Ohh, aku hampir terlupa tentang buku Pakcik Arshad tu. Tapi aku tak boleh pergi ambil petang ni. Ada janji dengan mak aku nak bawa dia ke Jakel.”
“Huh, anak manja mak! Berkepit celah ketiak mak 24 jam,” sindirku semula, memulangkan paku buah keras.
“Hei, cik kak. Baik-baik sikit ek. Syurga bawah tapak kaki ibu tau.”
Aku mencebik.
“Yelah. Petang ni aku pergi. Selepas tu aku terus balik ya. Ingat nak terus beli tiket bas. Alang-alang dah ke Kuala Lumpur. Kau hutang dengan aku satu tau,” ujarku sambil mengusiknya.
“Eleh, itu pun nak berkira.”
Aku tertawa melihat mukanya yang sudah masam mencuka. Munir... Munir.

Malam itu, sebelum aku turun makan malam di bawah bersama-sama babah dan ibu Darlynna, aku sempat bercakap-cakap dengan Nadheera melalui telefon. Suaranya kedengaran riang sangat. Aku dapat bayangkan sinar matanya yang bercahaya penuh bahagia.
“Aku nak hadiah yang paling besar tau,” pinta Nadheera di hujung talian. Aku mencebir.
“Nak hadiah besar, mintalah daripada Ayah Cu. Apa hal pula minta kat aku?”
Nadheera tertawa, nyaring. Gelak macam pontianak. Heee...
“Ada maksud tersirat tu.”
Ish! Ke situ pula fikirnya si Nad ni. Semakin hampir dengan majlis, semakin merapu pula akalnya. Mengalahkan Luqman. Hmm, Luqman lagi.
“Engkau ni. Aku nak manja-manja pun tak boleh. Lagipun, dengan siapa lagi aku nak melawak, kalau tidak dengan anak buah sendiri.”
Aku mencebir sekali lagi.
“Kau nak balik dengan siapa ni?” soalnya tiba-tiba menyebabkan aku termanggu seketika.
“Dengan siapa?” soalku kembali, kurang faham dengan maksudnya.
“Yalah. Dengan Dzulkarnain ke atau dengan Luqman?”
Ohh!
“Tak ada dengan siapa-siapa. Aku balik dengan bas. Sendirian,” jawabku bernada separuh tegas.
“Hmm, bunyi macam merajuk sahaja. Ada masalah ke?”
Itulah Nadheera yang aku kenal. Prihatin sungguh dengan sikapku.
“Mana ada. Min ok lah.”
“Ada masalah dengan Luqman, ya?”
Bijak dia.
“Tak ada apa-apa. Aku ok. Luqman pun ok,” aku berbohong lagi.
“Oklah kalau macam tu. Aku tak akan paksa kau untuk bercerita. Tapi bila-bila kau perlukan seseorang untuk bercerita, aku sedia mendengar.”
Aku terkelu seketika. Dahulu dialah tempat aku meluahkan perasaan. Tiada rahsia antara kami. Tetapi kenapa sekarang aku semakin berahsia? Aku mula merasakan ada perkara yang patut aku luahkan dan sesetengah yang lain aku perlu simpan untuk diriku sendiri sahaja. Adakah dia berkecil hati?
“Min, kita sambung cerita lain kali yer. Aku nak tolong mak aku kat dapur. Kakak aku dah bising kat luar tu.”
“Ok. Jumpa di kampung nanti.”
“Jangan lupa, hadiah kahwin aku tau.”
Perempuan ni. Sempat lagi nak melawak.
“Yelah. Aku tak lupa hadiah kau. Hei, kau nak tak kalau aku bagi kau hadiah buku akademik sahaja? Kau dah tak payah beli lagi nanti untuk pengajian kau. Lagi mahal harganya kerana semuanya buku luar negara.”
“Cis, kurang asam kau, Min!”
Giliran aku pula tertawa panjang sebelum kami menamatkan perbualan.

Ibu Darlynna tersenyum tatkala aku menapak menghampirinya. Pasti dia sedang menunggu babah pulang dari surau. Aku melabuhkan punggung di atas sofa, bersebelahannya.
“Kenapa nampak seperti tak bermaya sahaja. Anak ibu tak sihatkah?”
Aku tersenyum sambil menggelengkan kepala.
“Ibu belum makan lagi?”
“Em, belum. Ibu tunggu babah. Kalau Min lapar, pergilah makan dahulu.”
“Tak apa. Min belum lapar lagi.”
Aku melarikan pandangan ke arah kaca televisyen yang terpasang. Ibu pula kembali menyambung pembacaanya yang terhenti kerana kehadiranku. Suasana diam seketika dan hanya kedengaran suara televisyen memenuhi ruang tamu. Hatiku sedikit terusik. Perlukah aku bercerita dengan ibu Darlynna? Aku menghela nafas panjang.
“Ibu, ibu rasa Min ni macam mana?” soalku perlahan. Ibu Darlynna menoleh seraya mengerutkan dahinya. Semenjak ibu Darlyyna berkahwin dengan babah, aku lebih gemar bercakap bab-bab yang melibatkan perasaan dengannya. Mungkin juga kami sama-sama perempuan, saling faham-memahami.
“Macam mana apa, Min?”
“Ya lah, pada pandangan ibu, perangai dan tingkahlaku Min ni macam mana? Teruk sangatkah? Sosial sangat ke?”
“Huh! Ibu tak pernah nampak teruk Min di mana. Jasmin Alia yang ibu kenal adalah anak yang baik dan pandai menjaga diri. Kenapa Min tanya macam tu? Ada orang marahkan Min sehingga Min boleh terfikir sampai ke situ?”
Aku mengeluh. Patutkah aku memberitahu peristiwa semalam. Sememangnya aku sedih dengan tuduhan Luqman itu. Tersangat sedih. Mungkin sekiranya aku dituduh dan dihina orang lain aku tidak terlalu terasa seperti sekarang.
“Ada orang sakitkan hati Min ya?”
“Entahlah, ibu. Cuma adalah orang tu, kata Min ni suka keluar dengan macam-macam lelaki. Sebenarnya kata-katanya itu tidaklah seteruk mana cuma sampai sekarang hati Min masih terasa sakit. Rasa seperti hendak marah tapi tak boleh. Tak tahu kenapa.”
“Min ada perasaan kot pada dia?”
Wajahku merona. Pandai sungguh Ibu Darlynna menyerkap jarang.
“Ish, perasaan apanya? Min tak ada apa-apa perasaan pun pada dia. Ibu ni...”
Ibu Darlynna tertawa kecil.
“Awak tu dah hampir umur 30 tahun, sayang. Takkan tak mahu fikir tentang kahwin lagi?”
“Alaaa, ibu ni. Ke situ pula alihnya,” jawabku pura-pura merajuk.
“Nak kahwin dengan siapa? Bukannya ada orang hendakkan kita,” keluhku antara dengar dengan tidak.
“Aikk! Tak ada ke lelaki yang minat pada anak ibu ni? Pelik!” soalnya sambil tangan kirinya melingkari pinggangku dan jemari tangan kanannya mengusap-usap dagunya.
“Tak ada. Mana ada.”
“Ya ka? Jurutera syarikat ibu tu macam mana?”
“Luqman?”
“A’ah, Luqman. Bukan kamu berdua bercinta, ke?”
“Siapa yang cakap? Min tak pernah bercintalah, ibu.”
“Maksu Min. Dia cakap Min sukakan Luqman.”
Nadheera! Wajah kawan karib merangkap bakal ibu saudaraku terbayang di mata. Hiii...geramnya. Dia beritahu rahsia kami.
“Itu dulu. Sekarang tak. Lagipun, Min seorang sahaja yang minat. Dia tak tahu pun.”
“Oo, ye ke? Kiranya secret admirer ya?”
“Hmm, lebih kurang macam tu lah kot,” ujarku agak perlahan.
Tatkala itu teringat kembali perbualan Luqman dengan Ferisha dan tuduhan Luqman. Tiba-tiba serasa seperti pilu kembali. Aku... melukut di tepi gantang, ibarat hidung yang tak mancung tapi pipi tersorong-sorong.
“Hmm, then Dzulkarnain macam mana pula?”
Aku tersentak. Abang Nain?
“Hah! Abang Nain? Mana boleh, ibu. Dia dah macam abang pada Min.”
Wajah ibu Darlynna berubah seketika.
“Errr? Betul ke? Habis tu kenapa dia bagi...” soalan ibu tergantung. Dia terdiam seperti memikirkan sesuatu.
“Bagi apa, ibu?” soalku kembali. Ibu Darlynna bingkas.
“Errr..emm, tak ada apa-apa. Eh, mana babah Min ni? Dah dekat 9.30 malam ni, takkan ada orang berceramah di surau malam ni? Kalau Min lapar, makanlah dahulu. Biar ibu sahaja tunggu babah Min tu. Agaknya ada ceramah di surau,” dalih ibu Darlynna sambil berjalan perlahan ke muka pintu utama meninggalkan aku yang masih termanggu-manggu. Apa yang Abang Nain bagi pada ibu?

Sebaik sahaja selesai makan malam bersama babah dan ibu Darlynna, aku terus ke luar rumah. Mengambil angin malam di atas buaian besi di halaman rumah sambil sesekali aku berbalas pesanan ringkas dengan Munir. Tiba-tiba serasa seperti diriku dibayangi seseorang. Aku mendongak. Babah!
“Babah ni, terkejut Min. Ingatkan siapa tadi?” Babah tersenyum seraya melabuhkan punggungnya di sebelahku. Aku mengesot sedikit ke sebelah kiri bagi memberi ruang kepadanya.
“Anak babah buat apa di sini? Sendirian pula.”
“Saja. Ambil angin. Lagipun sedang memikirkan, hadiah yang sesuai untuk Ayah Cu.”
“Oo. Emm, jadi Min balik kampung hari khamis ni?”
Aku mengangguk sambil tersenyum.
“Ibu Min tu risau, biarkan Min balik berseorangan.”
Aku dah agak. Pasti ada sesuatu yang membimbangkannya sehingga dia sanggup mencariku di luar.
“Ibu ke yang risaukan Min atau babah yang risaukan Min?”
Babah tersenyum.
“Kami berdua sama-sama risaukan Min. Babah lebih-lebih lagi bimbangkan tentang Min. Yelah, Min dah lama tak balik kampung sendirian. Naik bas pula tu,” tambah babah lagi.
Aku memandang pada wajah lelaki berusia lewat 50an itu. Walau pun sudah semakin berusia, tetapi wajahnya langsung tiada garis kedutan tua.
“Min bukan budak sekolah lagi, babah. Umur Min dah nak masuk 30 tahun. Takkan selamanya Min nak bergantung pada babah dan ibu?”
“Sebab Min dah besarlah lagi membimbangkan babah dan ibu.”
Aku mengerutkan dahi. Kurang faham dengan maksud kata-katanya. Babah tersenyum.
“Min tak payahlah naik bas, yer? Apa kata babah minta Dzulkarnain yang hantarkan Min balik ke kampung.”
Huh! Strategi apa pula yang babah cuba lakukan ni?
“Eh, nak buat apa susahkan dia? Lagipun Min dah beli tiket siang tadi. Membazir jer nanti. Tak apalah, bah. Min boleh balik naik bas sahaja.”
“Alah, duit tiket, babah ganti balik nanti. Yang penting babah ada jaminan, sepanjang perjalanan itu nanti, Min selamat di sisi orang yang babah boleh percayai. Ok. Sudahlah. Jangan fikirkan lagi. Pergilah masuk tidur. Tentang hadiah tu, jangan risau. Ibu dah sediakan semuanya untuk Min berikan pada Ayah Cu nanti. Babah masuk dalam dulu. Selamat malam,” ujar babah seraya menepuk belakang bahuku. 
Aku terkedu dan termanggu seketika. Melihat babah bingkas masuk ke dalam rumah. Nampak gayanya terpaksalah aku membatalkan niat aku menaiki bas untuk pulang ke kampung.

Sabtu, 6 November 2010

DCJ 30

Hari ini Abang Nain mengajak aku makan tengahari di luar. Dia menawarkan diri untuk mengambilku di Muss Read Shop, tetapi aku menolak kerana tidak mahu menyusahkannya berulang-alik mengambil dan menghantarku. Aku ke pejabatnya dengan menaiki teksi. Setiba di Germuda Holdings, aku terus menaiki lif ke tingkat 12. Abang Nain sudah meninggalkan pesan ringkas agar menunggu di biliknya. Ini kali kedua aku ke sini. Sebelum ini aku pernah juga naik ke pejabat ini tetapi hanya setakat tingkat 10, di bilik pejabat ibu Darlynna. Itu pun setelah dipaksa ikut  oleh ibu Darlynna. Aku sebenarnya segan untuk ke sana kerana aku bukan siapa-siapa dan langsung tiada urusan yang berkaitan untuk ke sana. Tetapi setelah babah dan ibu Darlynna berkahwin, hampir semua kakitangan Germuda Holdings mengenaliku sebagai anak tiri ibu Darlynna. Hatiku agak gementar juga sewaktu melangkah masuk ke ruang pejabat yang agak lengang. Sewaktu aku masih berdiri di kaunter hadapan ruang pejabat, terasa seperti ada seseorang menghampiriku.
“Kak Min!”
Aku menoleh apabila namaku dipanggil. Berasa sedikit lega sebaik sahaja terpandang Fina, setiausaha ibu Darlynna. Gadis berusia awal dua puluhan itu menapak menghampiriku.
“Fin buat apa kat tingkat ni? Mengelat ya? Mentang-mentanglah ibu cuti,” usikku kerana mengetahui sikapnya yang ramah itu.
“Eh, eh. Tidaklah. Fin naik atas sebab nak jumpa dengan Kak Maria. Puan Darlynna ada pesan semalam untuk ambil fail akaun di pejabat Encik Dzulkarnain. Ni failnya. Tak baik tau Kak Min ni, tuduh Fin macam tu,” ujarnya seraya memuncungkan mulut. Tangannya mengunjukkan kepadaku bukti fail yang diambil. Aku tertawa kecil.
“Alah, Kak Min melawak sahaja. Takkan itu pun nak berasa hati?” soalku sambil tersenyum. Aku tahu dia bukan gadis yang cepat terasa. Sebab itu aku berani mengusiknya.
“Tahu tak apa.”
“Amboi, sensitiflah pula.”
“Kak Min buat apa kat sini? Nak minta kerja ke?”
Fina sudah mengalih topik. Betul seperti yang aku agak, dia bukan seorang yang cepat terasa.
“Ish, buat apa nak kerja di sini. Kedai kat Min tu, siapa nak tolong jaga?”
Giliran gadis itu pula yang tertawa.
“Abang Moon ada? Lama Fin tak jumpa dia. Banyak stok buku cerita baru tak?”
Amboi! Dalam diam, Munir sudah ada peminat.
“Ada, kalau Fin nak tahu, kenalah ke sana. Oklah Fin. Kak Min sebenarnya ada janji dengan Encik Dzulkarnain. Takut dia tertunggu pula.”
“Ooo, dating ya?”
“Ish, mana ada.”
“Eleh, sudah gaharu, cendana pula. Eh, tapi tadi kak Maria ada cakap Encik Dzulkarnain sedang meeting sekarang ni.”
“Tahu. Sengaja datang awal.”
“Ooo, sekejap yer. Fin panggil kak Maria. Dia ada pantry tadi selepas Fin jumpa dia. Mungkin dia boleh beri Kak Min tunggu dalam pejabat Encik Dzulkarnain.”
“Ok. Terima kasih Fin.”
“Sama-sama. Small matter.”
Aku memerhati gadis itu berlalu ke dalam bahagian pejabat. Sedang asyik meninjau nama-nama yang tertera di pintu pejabat, aku terpandang nama Luqman di pintu bilik sebelah kanan. Bilik dia di tingkat yang sama dengan bilik Abang Nain? Tidak pula aku tahu tentang perkara ini. Sementelah pula, abang Nain mahupun Luqman tidak pernah menceritakan tentang ruang pejabat mereka. Tanpa kusedari, kakiku telah melangkah dan berdiri di hadapan pintu biliknya. Aku berkira-kira untuk mengetuk pintu yang sedikit terbuka tersebut apabila kedengaran seperti suara seorang perempuan dan lelaki sedang bertelingkah.
You dah janji dengan I. Takkan you buat-buat lupa pula. You tahu tak my mom dah bising-bising tentang hubungan kita.”
Aku tersentak. Hubungan?
“Bila masa pula I pernah berjanji dengan you? I tak pernah berjanji apa-apa pun dengan you. Boleh tak kalau you jangan mereka-reka cerita?”
Itu suara Luqman. Apa hubungan Luqman dengan perempuan yang menuntut janji itu?
“Habis tu, apa yang you anggap tentang hubungan kita? Takkan selama kita keluar dan kedatangan you ke rumah I ni, you langsung tak ada apa-apa perasaan terhadap I?”
Look, Ferisha. You jangan salah anggap dan jangan nak mereka-reka. You dengan I tak ada apa-apa hubungan. I keluar dengan you hanya sebagai seorang kawan sepejabat. Tak lebih dari itu dan kehadiran I ke rumah you pun sekadar memenuhi jemputan you meraikan kepulangan adik you yang baru pulang dari United Kingdom. Itu pun baru sekali I ke sana. Apa pun hubungan yang you ciptakan di hadapan keluarga you, tak ada kena mengena dengan I kerana I tak pernah berjanji atau memberi apa-apa harapan pada you.”
What? Man, you ni kan...”
“Min! Min buat apa di sini?”
Aku terkejut seraya menoleh ke sebelah. Abang Nain memandangku dengan pandangan kehairanan. Di sebelahnya pula berdiri kak Maria dan Fina yang berwajah gusar.
“Puas kami cari kak Min tadi. Fin ingatkan Kak Min dah balik.”
Serasa wajahku bertukar pucat. Ditoreh pun tidak berdarah barangkali. Perasaan bersalah mula bergumpal di hatiku. Aku sepatutnya tidak berada di situ. Aku tidak sepatutnya terus mendengar perkara yang bukan menjadi urusanku. Tapi mengapa, kakiku terus terpaku di situ sehingga tidak menyedari kehadiran mereka di sebelahku.
“Maaf, Min...tadi...tapi ingat nak...tak sangka...err..” terketar-ketar aku cuba memberi penjelasan kepada Abang Nain.
“Apa ni?”
Pintu bilik Luqman terbuka luas. Aku, Abang Nain, kak Maria dan Fina sama-sama menoleh ke arah bilik Luqman. Di hadapan kami kini, berdiri Luqman dengan wajah kehairanan dan Ferisha yang berwajah masam kelat.
“Wah! Tak sangka, tak cukup dengan wartawan bebas dalam pejabat ni yang suka menjaja cerita peribadi orang, ada pula wartawan part time nak cari berita sensasi dalam bangunan ni. Import dari luar pula tu. Tak sangka I,” sindir Ferisha sambil memeluk tubuh dan bersandar di birai pintu pejabat Luqman. Wanita itu kelihatan sangat seksi dengan blouse merah yang agak jarang dan skirt pendek di atas paras lutut. Aku terkebil-kebil melihat tingkahlakunya yang agak berani di hadapan Luqman dan Abang Nain. Kak Maria dan Fina terus berlalu dari situ sebaik sahaja menerima isyarat mata daripada Abang Nain.
“Min buat apa di sini?” soal Luqman dengan pandangan mata yang tajam.
“Buat apa lagi? Nak jadi spy lah tu? Jaga tepi kain orang. Macam orang tak ada pelajaran, curi dengar perbualan orang.”
Aku tersentap. Begitu sekali aku dituduh. Besar sangatkah salahku? Aku memandang ke arah Luqman. Ternyata dia tidak membantah juga tidak mengiya kata-kata Ferisha itu.
“Min buat apa di sini?” sekali lagi aku disoalnya.
“Saya yang suruh dia datang. Kami nak keluar makan tengahari,” pintas Abang Nain pula tanpa sempat aku menjawabnya.
Luqman memandang pula ke arah Abang Nain. Pandangan mereka beradu beberapa ketika sebelum Abang Nain berbalas pandang dengan Ferisha pula.
“Cik Ferisha, awak tak ada kerjakah? Asyik menempek di pejabat orang ketika waktu bekerja? Tadi Tan Sri merungut di hadapan saya, fail yang diminta untuk meeting pukul 10 pagi tak sampai ke tangannya. Awak cari fail atau buat fail di bilik ni?”
Ternyata giliran wanita itu pula tersentak. Wanita itu memandang ke arah Luqman, mungkin meminta sokongan. Tetapi Luqman masih diam, beku. Pandangannya juga masih tidak berganjak memandang ke arahku. Setelah beberapa saat, Luqman tidak membalas pandangannya, dia mendengus keras. Dengan mimik muka tidak puas hati dia melangkah pergi sambil menghentak tumit tingginya seolah-olah memprotes dengan teguran Abang Nain itu tadi. Aku terkebil-kebil memandang tingkahlaku tersebut. Tidakkah wanita itu berasa malu memperlihatkan kelakuannya di hadapan kedua lelaki yang berpangkat tinggi di dalam syarikat ini?
“Min, jom,” pelawa Abang Nain seraya membuka langkah menuju ke arah pintu keluar. Aku mengangguk.
“Jasmin Alia.”
Langkahku yang baru beberapa tapak ke hadapan, terhenti. Aku menoleh kembali ke arahnya yang masih berdiri di hadapan pintu biliknya.
“Awak ni wanita jenis apa, ya?”
Hah! Apa maksudnya?
“Min tak faham. Apa maksud Luq?”
“Tak faham atau buat-buat tak faham. Malam keluar dengan lelaki lain, siang keluar dengan lelaki lain. Awak ni suka pasang spare tyre, ya? Sekejap dengan Luq, sekejap dengan abang Nain awak, sekejap dengan Munir pulak. Orang ni tak boleh keluar, awak keluar dengan lelaki lain. ”
Burrrr..... Wah, ini sudah lebih! Adakah dia bermaksud aku ni gila lelaki? Suka dikelek ke sana ke mari.
“Munir is my business partner. Dalam hal keluar-keluar ni, apa kena mengena Min dengan Luq? Suka hati Min lah dengan siapa pun Min nak keluar. ”
“Ok. Munir is your business partner. Then, what about me and your abang Nain? Tak macam spare tyre ke? Kalau dia tak ada, Min keluar dengan Luq. Kalau Luq sibuk, Min keluar pula dengan dia. Apa ni?”
Apa ni? Hatiku semakin mendidih. Lagi lama aku di situ, lagi sakit hatiku dibuatnya. Kalau diikutkan kata hati, memang aku akan membalas kata-katanya. Tapi kedudukan kami yang berada di dalam kawasan pejabat, pasti akan membangkitkan spekulasi. Paling kurang, berita ini pasti sampai ke telinga ibu dan seterusnya ke pengetahuan babah. Aku tak mahu perkara ini terjadi.
“Apa pun yang Luq rasa, Min tak pernah ada niat seperti itu. Terpulanglah pada Luq nak fikirkan Min ni seperti apa pun. Min dah penat. Min dah letih. Maaf kerana terdengar perbualan Luq dengan Cik Ferisha tadi. Min tak bermaksud nak jadi kaki penyibuk. Min cuma ingat nak menjenguk Luq di pejabat. Tapi ini pula yang terjadi. Min minta maaf sekali lagi.” ucapku sambil melangkah laju menuruti Abang Nain yang sudah hilang di balik pintu utama. Tatkala kaki melangkah, hatiku terasa sangat pilu. Marah, geram, sedih dan sayu berkumpul menjadi satu. Abang Nain sudah menanti di pintu lif. Aku membuntutnya melangkah masuk ke dalam sebaik sahaja pintu lif terbuka.
“Jangan ambil hati dengan ulah si Ferisha tadi. Dasar anak manja. Dia tu anak Datuk Fazil. Sebab tu dengan sesiapa pun dia bersikap begitu. Dia ingat ayah dia pemegang saham syarikat, dia boleh buat sesuka hati. Geram juga bila melihat kelakuannya itu. Abang Nain nak tunggu masa yang sesuai sahaja untuk mencadangkan pemecatannya itu. Min macam mana? Ok ke?”
“Hmm, tak apa Abang Nain. Min ok.”
Aku mengangguk sambil tersenyum nipis. Aku berbohong. Tak mahu dia melihat keadaanku yang serasa seperti hendak tumbang, dengan perlahan-lahan aku berundur ke belakang. Menyandarkan tubuhku yang terasa seperti hendak rebah. Tangan dan kakiku terasa seperti mengigil tanpa henti. Marah sangatkah aku sampai terasa seperti hendak memuntahkannya kembali? Tapi aku cuba juga untuk bertahan. Ketika lif bergerak turun, terkenang kembali perbualan antara Luqman dengan Ferisha dan tuduhan Luqman terhadapku bersilih ganti. Aku hanya memandang ke lantai.
“Min dah sampai.”
Aku tersentak seketika. Dah sampai mana?
“Min, ok ke? Muka Min pucat?”
Diam. Serasa ada air panas yang mula bertakung di tubir mata. Sampai hati Luq tuduh Min macam tu?
“Abang Nain, Min letih. Boleh hantar Min balik rumah?”
Lelaki itu mengangguk laju. Dia langsung tidak bertanya apa-apa lagi. Sepanjang perjalanan, aku hanya diam. Begitu juga dengan Abang Nain.

DCJ 29

“Min masih berhubung dengan dia?”
Ayah Cu sudah memulakan soal siasatnya. Aku menghulurkan selimut kepadanya sambil mengerling padanya. Ayah Cu memandangku tajam.
“Ayah Cu janganlah salah sangka. Min baru jumpa dia semasa Min tinggal dengan babah. Dia kerja satu ofis dengan ibu.”
“Oh! Dia dah jadi jurutera?” soalnya dalam nada terkejut.
Aku mengangguk. Tanganku menepuk-nepuk bantal yang berada di atas tilam. Tetapi aku kemudiannya perasan maksud soalannya. Aku memandang ayah cu yang sedang duduk di sofa yang terdapat dalam bilik tidur tamu itu.
“Ayah Cu tahu dia nak jadi jurutera? Mana ayah cu tahu?”
“Kamu berdua bercinta?”
Soalan dibalas soalan. Aku sedikit tersentak. Serasa darah merah menderu ke wajahku.
“Apa tanya macam tu? Min kawan sahaj dengan dia. Min dah beritahu Ayah Cu dulu. Takkan dah lupa?”
Ayah Cu tersenyum. 
"Itu dulu. Semasa Min masih berhingus. Sekarang dah pandai melawa. Tengok, keluar dating pakai make-up segala. Kan berbeza, dulu dan sekarang."
Aku mengetap bibir. Dia perli aku. 
"Ayah Cu, I'm almost 30. Takkan selamanya nak pakai baju sekolah?"
"There.. Min dah mengaku pun. Habis tu? Takkan selamanya nak berkawan?"
Aku tersentak. Ayah Cu tak marah ke kalau kami bercinta? Adakah istilah 'kami' itu untuk aku gunakan atau sekadar aku seorang sahaja mencintai Luqman sedangkan dia tidak? Apa yang aku rasakan dari dulu sehingga kini, hanya aku sahaja yang ada perasaan padanya sedangkan aku sendiri tidak pasti perasaannya padaku. Dia banyak membuatkan aku berfikir-fikir dan mengagak sendiri. Jadinya, sebagai jalan mudah dan untuk tidak menyakitkan hatiku, aku berkeputusan dia tiada perasaan padaku dan kami hanya sekadar kawan. Full stop.
Aku meletak kembali bantal yang telah bertukar sarung ke atas katil.
“Dah siap. Min keluar dulu,” ujarku bingkas ke pintu kamar.
“Hei, ayah cu tak habis tanya lagi ni!”
“Min dah mengantuk la. Esok sahaja kita sambung,” balasku sambil menutup pintu kamar. Malas mahu melayan soalan bak siasatan polis lagaknya. Aku melangkah menuju ke kamarku.
“Jasmin Alia!”
Langkahku terhenti apabila mendengar panggilan ayah cu. Dia sudah berdiri di muka pintu.
“Ada apa?”
“Esok, ayah cu ada hal sedikit di hospital. Tengahari kita keluar makan sama-sama. Ada hal yang perlu kita bincangkan.”
“Bincang sekarang sajalah. Buat apa nak tunggu esok?”
Ayah cu merenungku lama. Kenapa pula? Aku ada salah cakap ke?
Aren’t you said sleepy just now? If I'm not mistaken.”
Aku tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Hehe.. terkantoi!
“Err, ok. Esok ayah cu ambil Min kat Muss Read Shop. Min tunggu di sana.”
“Ok.”
***

Kting! Bunyi loceng pintu Muss Read Shop tatkala aku menolak daun pintunya. Sunyi. Aku menapak ke dalam bilik kerja. Kosong. Ke mana pula perginya si Munir ni? Di luar tiada. Di bilik pun tiada. Aku pantas menyarungkan apron pekerja berwarna maroon ke tubuhku. Aku membelek nota-nota penting yang terdapat di kaunter. Ada beberapa pucuk surat dan bil yang terletak elok dalam kotak surat. Itu bermakna Munir sudah mengambil surat-surat tersebut di peti surat hadapan kedai.
“Lambat hari ni. Ingatkan tak datang,” tegur Munir dari belakang. Aku menoleh. Munir memegang satu kotak berisi buku. Aku mengurut dada seketika.
“Terkejut aku. Hilang semangat. Datanglah. Apasal pulak tak datang. Stok baru ke ni? Bak sini aku susun,” ujarku seraya mengambil kotak tersebut dari tangannya.
“Manalah tahu. Semalam dah keluar dating,” serkapnya sambil tersengih.
Aku menjegil ke arah Munir. Lelaki itu buat-buat tak nampak. Pura-pura mengemas kaunter yang sudah sedia bersih dan kemas.
“Aku keluar makan dengan Luqman je lah. Bukan dating. Jangan fikir yang bukan-bukan,” balasku memperbetulkan tanggapannya.
Munir mencebik.
“Sampai ke tua lah kau tak kahwin, Min oi. Kenapalah kau susah nak nampak apa yang dah dia buat kat kau? Aku yang melihat pun dah faham apa yang berlaku dalam hubungan kau berdua.”
“Tak ada apa yang berlaku, Moon. Aku kenal dia. Mulut kata lain, hati maksud lain.”
Tanganku pantas meletak buku-buku yang baru dikeluarkan daripada kotak di atas troli buku baru. Selepas memasukkan rekod buku dalam sistem dan meletakkan kod harga, baru buku-buku tersebut akan disusun di rak mengikut bidang perkara yang telah dikhaskan.
Tiba-tiba telefon bimbitku bergetar. Aku mengeluarkannya daripada poket apron kerjaku.
: Hai, anak babah. Ada di mana? Babah dan Ibu baru sampai. Balik makan tengahari, ibu masak.
Aku tersenyum. Lantas membalas semula pesanan ringkas tersebut.
: Muss Read Shop. Tak payahlah. Babah dan ibu rehatlah. Min makan kat luar. Semalam dah janji dengan ayah cu.
: Dia tak kerjakah?
: Dia off hari ni.
:Hmm, babah ingatkan Min keluar dengan Nain.
:Taklah. Kenapa? Dia ada cakap ke?
:He just asking ‘bout u. So, I thought he want to ask u out for lunch.
:Mm,tak ada pun.
:Oklah. Enjoy ur lunch. Send my regard to ayah cu.
:Orait.
Aku menyimpan semula telefon bimbit ke dalam poket apron. Kebiasaanku apabila berada di kedai. Sekiranya aku biar di dalam beg tangan, alamat bingit pula leteran si Munir kerana terpaksa mengangkat bagi pihakku.


Kting! Pintu kedai terbuka. Aku mendongak di celah-celah rak buku. Ayah cu melangkah masuk sambil tersenyum. Aku memandang jam di lengan. Sudah pukul 12 tengahari. Patutlah dia dah terpacak di sini. Ayah cu ni memang seorang lelaki yang menepati masa.
“Hai, kenapa tu? Tersengih-sengih, tersenyum-senyum.”
Ayah Cu berdiri segak di hadapanku. Aku mengerutkan dahi. Pelik melihat wajah ayah cu seperti ada sesuatu. Berseri-seri. Pakaiannya pun tampak ringkas.
What? Am I looked terrible?”
Aku tersenyum.
“Mmm, nampak lain sikit daripada semalam. Semalam macam serabut sikit, hari ni lain.”
“Apa yang lainnya, Min?”
Hmm, mesti ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Aku amat pasti. Mesti sesuatu yang berkaitan dengan teman baikku yang sudah 2 tahun berada di perantauan.
“Berseri-seri. I know that kind of look. If I’m not mistaken, is Nad here... in Malaysia right now?
Aku cuba menyerkap. Lelaki itu mengeluh tapi dalam riak yang masih manis.
How do you know? I thought, no, we thought, we want to make you a suprised.”
Aaaa.....
Aku menjerit  dan melompat-lompat kegembiraan. Munir terpingga-pingga melihat telatahku.
Call her. Please call her now. I want to talk to her.”
“Tak payahlah. Kita dah nak jumpa dia petang ni. After lunch.”
“Tak nak. I want to talk to her right now. Please, ayah cu.”
“Telefon sendiri. Don’t you have your own handphone?”
“Alah, ayah cu. Tak seronoklah. Buat-buat tak faham pula. Cepatlah,” gesaku pantas.
“Ok. Ok. Sekejap.”
Munir mencuit lenganku sewaktu ayah cu sedang sibuk mendail nombor telefon Nadheerah.
“Moon, Nad dah ada kat Malaysia,” ujarku kegembiraan.
“Hah! Ya ka? Eiii...seronoknya.”
“Min, here. She is on the phone line.”
Aku terus mencapai telefon bimbit ayah cu.
“Weiii, kurang asam. Tak guna punya kawan. Balik tak beritahu,” kutukku semahunya. Kasar sungguh bahasaku pada bakal ibu saudaraku itu. Ayah cu menjelingku tajam. Aku mengerut muka sambil menjelir kembali padanya.
“Aikk, aaaa... teruknya. Honey, you dah berpaling tadah. Teruklah lelaki tu, langsung tak boleh diharap. Ingat nak berkomplot, dia pula pecahkan rahsia. Eiii, geramnya!”
Aku tertawa lagi. Komplot tak menjadi.
“Padan muka. Nak kejutkan orang konon. Lain kali nak cari partner, jangan cari bapa saudara aku. Ingat aku tak boleh baca riak muka dia.”
Haha...kahkah..Aku tertawa berdekah-dekah. Seronok yang amat sangat. Seronok kerana komplot ayah cu dan Nadheera tak menjadi dan seronok kerana teman baikku itu sudah berada di Malaysia.

***
“Aku balik sebab ayah cu kau lah.”
Aku mengacau ais yang mula mencair di dalam gelas coklat.
“Eh, kenapa pula? Dia dah ajak kau kahwin ke?”
“Habis kau ingat dah berapa lama kami bertunang? Sebulan?”
Aku tertawa melihat riak wajahnya yang kemerahan seperti udang bakar. Aku tahu, bukan ayah cu yang memaksanya pulang. Aku cukup kenal bapa saudaraku yang satu itu. Lebih daripada aku mengenali babah. Kami membesar bersama. Usia kami yang hanya beza 7 tahun membuatkan aku dan ayah cu agak rapat. Dia yang sentiasa memerhati gerak geriku. Aku tak begitu terkejut apabila Nadheera menyatakan perasaannya terhadap ayah cu padaku. Aku juga tidak terkejut apabila ayah cu juga turut menyatakan perasaan yang sama terhadap rakan baikku itu. Apabila Nadheera menyambungkan pelajarannya di United Kingdom dan ayah cu pula mula bekerja di Pusrawi, hubungan kami sedikit renggang. Sementelah pula aku sudah jarang balik ke kampung kerana sudah tinggal bersama babah.
“Moon sihat? Kenapa kau tak ajak dia jumpa sama?”
Nadheera melabuhkan punggungnya di birai katilku. Aku meletak kembali gelas coklat yang berisi air bali ais di atas meja kerjaku dan kemudiannya menghulurkan sebiji bantal peluk kepadanya.
“Aku keluar date dengan tunang kau lah tadi. Carikan hadiah untuk si buah hati yang merajuk. Buat apa aku nak ajak si moon tu? Menyibuk aja nanti,” usikku nakal. Nadheerah menjeling. “Teruk tau. Ada tunang pun tak boleh diharap. Kerja sahaja. Mak aku dah bising tau. Dia risau aku kat sana dah 2 tahun sendirian.”
Dia menumbuk-numbuk bantal peluk yang kuberi tadi. Ish, kalau ya pun marah, janganlah bantal peluk aku pula dijadikan sasaran.
“Eleh, mak kau ke yang bising atau kau sendiri dah mabuk kepayang. Balik pun sampai tak menyempat, “ usik aku lagi. Tatkala itu juga sepit ketam jemari runcing wanita berkulit kuning langsat itu mengenai lenganku.
“Ouchh, sakitlah!” ujarku sambil mengesat lenganku.
“Padan muka. Usik orang lagi.”
Nadheera menjelirkan lidahnya. Hish, perempuan ni! Dah nak kahwin pun, perangai masih macam budak-budak.  
“Kau jadi pengapit aku yer?” Terbeliak aku mendengar permintaannya.
“Aku anak saudara pihak lelaki, takkan aku nak jadi pengapit kau pula?”
“Alah, kau bukan boleh jadi pengapit dia pun. Kau perempuan.”
Ye tak ya juga. Aku pun terlupa tentang hal itu. Telefon bimbit aku berbunyi.
Luqman!
“Kat mana ni?”
“Kat bumi.”
Jawabku perlahan. Nadheera mengerling sambil tersengih. Dia mula menghampiri tempat dudukku. Aku menginjak cuba menjauhkan diri darinya.
“Tau lah kat bumi. Takkan kat bulan pula.”
“Kat rumah. Ada kawan datang rumah.”
Nadheera mengangkat jari telunjuknya dan mencuit hidungku. Aku menjegilkan mata ke arahnya. Memberi isyarat supaya jangan mengganggu.
“Oh, ya? Lelaki ke perempuan? Tengah buat apa?”
Soal macam penyiasat pula. Penyibuk!
“Perempuan. Tak ada buat apa-apa. Sembang-sembang, bual-bual. Dah nama pun kawan lama.”
“Hmm, ingat nak ajak dinner malam ni?”
“Kirim salam,” ujar Nadheeera separuh berbisik. Aku menampar bahunya.
“Waalaikumussalam. Siapa tu?” soal Luqman. Mungkin dia terdengar suara Nadheera.
“Kawan Min, Nad.”
“Nut? Gila?”
“Bukan Nut. Nad, Nadheera. Kawan semasa sekolah dulu.”
“Oooo...mm. oklah. Nanti saya call balik. Have a nice chat.”
Nadheera menjegilkan matanya.
“Wow, dah ada pakwe. Sembunyi-sembunyi ya.”
“Bukan pakwe lah. Kawan saja.”
“Kawan? Ajak dinner? Pelik."
“Tak mahulah cakap pasal Luq. Malaslah.”
“What? Did you say Luq? You mean Luqman Haqeem? Luqman Haqeem masa sekolah dulu?”
Nadheera membeliakkan matanya. Alamak! Aku terlepas sebut nama Luqman.
“Aaaa...”
Nadheera menjerit riang. Aku terus menekup mulutnya dengan tanganku. Ayah cu menjengulkan kepalanya di sebalik pintu kamarku. Wajahnya kerisauan.
“Kenapa? Apa dah jadi?”
Aku dan Nadheera saling berpandangan seketika dan kemudiannya memandang ke arah ayah cu.
“Tak ada apa.”
“Kalau tak ada apa, kenapa you menjerit, sweet?”
“Eh, ya ka? Oppss, sorry, honey. Ni ha, Min dah ada..mmbbs,” sekali lagi aku bertindak pantas menekup mulut Nadheera. Tetapi seketika cuma apabila dia berjaya melepaskan diri.
“Mulut tempayan sungguh!” marahku dalam nada geram.
Nadheera ketawa mengekek.
“Hei, cakap molek sikit kat bakal mak saudara kau ni,” gertaknya separuh mengusik. Aku mencebik. Tak hairan! Ayah cu hanya menggelengkan kepala apabila melihat telatah kami berdua.
Sweet, you nak balik pukul berapa ni? Jomlah. Esok I ada meeting. Takut terlewat bangun pula. I tunggu kat bawah,” ujar Ayah cu seraya berlalu.
Sweet, honey. Hee.. Nak termuntah aku mendengar istilah yang digunakan oleh ayah cu dan Nadheera semasa memanggil sesama sendiri. Geli geleman.
"Eh! Kata cuti. Kenapa pula tiba-tiba ada meeting?"
“Alah, Min. Macamlah kau tak tahu kerja dia. Cuti bekerja sahaja. Bukan cuti dari mesyuarat.  Oklah Min, esok kita jumpa lagi ya. Aku call kau esok.”
“Datang jer kat Muss Read Shop. Aku ada di situ.”
“Ok. Jom aku balik dulu. Cium tangan aku,” arahnya tiba-tiba. Huh! Pantas aku menampar tapak tangannya.
“Sakitlah!”
“Padan muka. Gatal!”
Nadheera tertawa lagi sebelum berjalan keluar dari bilik tidurku.