Rabu, 6 Ogos 2014

Viannia dan Gabak : Saudara Kembar!

“Via! Via! Bangun Via! Via!”
Aku membuka mata.  Wajah Gabak benar-benar di hadapan wajahku. Kedua-dua tangannya kemas memegang wajahku. Matanya merah. Riak wajahnya gusar. Kenapa?
“Syukur! Syukur tuhan, kau dah sedar!” jeritnya lagi sambil terus memeluk tubuhku. Kejap. Panas. Aku terkesima.
Tiba-tiba terasa belakang lenganku memijar. Semakin lama, semakin pedih.
“Gabak...” panggilku perlahan. Aku cuba menolak tubuhnya.
Gabak seperti baru tersedar kesilapannya. Dia meleraikan pelukan kami. Aku mengalihkan lengan kiriku. Lebam dan kemerah-merahan seperti kesan terbakar. Aku cuba untuk menyentuhnya.
Ouch!                                          
“Sakit?” soalnya kerisauan. Pandangannya juga tertumpu kepada kesan lebam itu.
Aku mengangguk.
"Mungkin kesan geseran tadi,"
"Geseran? Bergeser dengan apa?" soalku kehairanan.
Gabak diam. Matanya tajam memandang sekeliling. Aku menuruti sorotan matanya. Pelik! Kenapa aku berada di sini? Di laluan sempadan antara kawasan tasik kampung Fendral dan juga kampung seberang, kampung Melowe?
Tatkala itu kelihatan kelibat si sempadan kampung seberang. Kelibat seorang lelaki. Aku tersentak! Aku seperti pernah melihat lelaki itu. Aku merenung dari jauh. Tiada tanda-tanda dia akan beredar dari kawasan itu. Sebaliknya dia hanya memandang kosong ke arah kami berdua. Aku cuba mengingatinya. 
Ya! Lelaki itulah yang datang ke rumahku pada malam sewaktu aku sedang makan di dapur. Tetapi kenapa wajahnya kelihatan sedih?
“Gabak, siapa lelaki itu?”
Aku menoleh ke arah Gabak. Lelaki di sebelahku itu merenung aku tajam.
“Jangan sesekali kau menghampirinya, faham!”
Aku tersentak mendengar ugutannya.
“Jom, balik!” arah Gabak sambil bingkas dan menarik tanganku. Sekali lagi aku mengaduh apabila pegangannya terkena pada kawasan lebam dan terus melepaskan pegangannya. Gabak bungkam.
“Maaf. Aku tak sengaja,” ujarnya seraya menarik kembali tanganku yang cedera dan menghembus dengan mulutnya. Tindak balasnya membuatkan hatiku tersentuh. Riak wajahnya menjadi serba salah. Dalam aku menahan rasa ngilu dan bisa yang mula menular ke bahu, baru aku perasan, dia sudah mengubah kedudukan tubuhnya melindungi aku daripada dilihat oleh kelibat lelaki yang berada di sempadan kampung Melowe. Kenapa? Kenapa Gabak melarang aku berjumpa dengan lelaki itu?
“Gabak, Via tak larat nak jalan...”
Aku mula terasa tubuhku semakin lembik. Kepalaku jatuhkan ke bahunya.
“Via... bertahan Via.”
Perlahan-lahan aku merasa tubuhku dicempung Gabak. Pandanganku semakin kelam dan kelibat lelaki di sempadan kampung Melowe juga semakin mengecil.

***
“Mungkin bisanya masih hidup.”
“Tak ada cara lain?”
“Kulitnya akan jadi kehitaman. Kering dan jadi kulit mati.”
“Bahaya tak?”
“Kulit yang mati tak bahaya. Tetapi bisa yang masih hidup itu yang bahaya. Kemungkinan akan menular ke hati dan jantungnya.”
“Ohhh! Apa patut saya lakukan, tok?”
Diam.
“Aku rasa, satu-satunya cara untuk selamatkannya adalah kau mesti bersamanya.”
“Tak mungkin!”
“Kenapa pula? Kau dah terlalu lama menangguh hubungan kau berdua. Kau dah terlalu lama membiarkan dia menderita. Apa lagi yang menghalang kau?”
“Aku tak mahu mengambil kesempatan pada dirinya...”
“Kesempatan apa lagi yang kau ada?”
“Peach, cukuplah!”
“Aku rasa kau tak bersungguh sayangkan dia.”
“Peach!”
“Kalau kau tak mahu selamatkan dia, biar aku yang jadi galang gantinya. Aku tak sanggup dia mati di depan mataku.”
“Peach!”
Gedebuk! Satu tumbukan hinggap di perut Peach menyebabkan lelaki itu terduduk ke lantai.
“Kau jangan cuba nak rampas Via dari aku!” jerit Gabak. Wajahnya memerah, menahan amarah.
Peach memegang perutnya yang sengal. Dia terbatuk-batuk seketika bagi menghilangkan rasa sengal.
“Aku...aku tak berniat nak merampas Via dari kau. Tetapi demi menyelamatkan nyawa dia, aku sanggup berkorban. Aku dah jaga dia sejak usianya kanak-kanak. Aku tak sanggup kehilangannya kerana sayangkan dia. Aku bukannya bodoh macam kau. Mengikut adat yang membuta tuli!”
“Arghhh!!!”
Gabak menendang pintu rumah. Tok Meh, Adot dan mak diam tidak berkutik. Mereka langsung tidak berani menyampuk mahupun meleraikan pertengkaran antara dua lelaki yang berdarah pahlawan itu.
***
“Aku kembar kau. Kau Vianfeera dan aku Vianly. Kita kembar tidak seiras.”
“Kembar?”
“Ya, kembar. Aku datang untuk mengambil kau pulang... Kau harus pulang! Adat lama itu sudah musnah. Kau tidak perlu lagi berada di sini.”
“Kenapa sekarang baru kau cari aku? Kenapa tidak dulu?”
“Maafkan aku, Vian. Aku baru sedar dari koma setahun yang lalu. Aku koma sewaktu mengejar penculik kau.”
“Koma?”
“Ya, selama bertahun aku tidak sedarkan diri sehinggakan keluarga kita hampir berputus asa. Sebaik sahaja aku sedar, aku cuba untuk menghubungi kau. Beratus-ratus kali. Namun semuanya gagal. Sehinggalah aku ternampak kau sewaktu kau terjun ke dalam tasik itu pada malam pesta bebola cahaya. Aku berjaya masuk ke dalam mimpi kau, kerana perasaan kau sedang kucar-kacir. Itu petanda, adat yang diamalkan penduduk kampung Fendral semakin menuju kemusnahan.”
“Tetapi  adat tu telah mengikat aku di sini! Aku tak boleh pergi begitu sahaja. Peach kata kalau aku jejak kakiku ke kampung kita, rohku akan bercerai dari jasad.”
“Fikirkan tentang keluarga kita. Tentang ibu bapa kita. Terutamanya ibu kita yang sudah terlalu lama menunggu kau. Dia sudah lama menanggung rindu. Sudah lama menderita terpisah dengan satu-satunya anak perempuannya.”
Air mataku berjuraian. Aku juga merindui keluargaku. Keluarga sebenarku. Mungkin aku tidak lagi perlu berharap. Mungkin inilah masanya....

Aku membuka mata. Terasa pipiku basah. Aku bermimpi. Vianly memang benar-benar datang dalam mimpiku. Aku mengesat kesan air mata yang masih bersisa di pipi. Perlahan-lahan aku cuba mengalih tubuhku yang masih ngilu dan sengal.  Namun, tiba-tiba terasa jemariku tersentuh tubuh seseorang. Aku menoleh ke kanan. Terkejut melihat Gabak tidur dengan nyenyak di sebelahku. Tidak!