Rabu, 8 September 2010

DCJ24


Keadaan di stesen bas sesak. Hujung minggu. Aku terus melayan dengar lagu melalui MP4 yang bersambung dengan earphone yang ditekap di telingaku. Aku sengaja tidak berdiri kerana pasti sahaja orang akan mengambil peluang untuk ambil duduk sekiranya aku turut bangun melihat bas. Membiarkan Luqman berdiri sambil melihat kalau-kalau bas yang ingin kami naiki tiba. Lagipun aku sengaja tidak mahu terlalu berdampingan dengannya kerana risau dilihat rakan-rakan sekolahku atau sesiapa sahaja yang mengenali kami berdua yang mungkin juga berada di situ.


“Min!” aku mendongak. Lelaki melambai, memanggilku menghampirinya.


“Bas dah sampai ke?” lelaki itu mengangguk. Aku mencapai beg sandang dan bingkas ke arahnya. Kami sama-sama berlari ke arah bas bernombor 48 yang akan membawa kami pulang kampung. Setiba di pintu bas, langkah kami terhenti. Alamak, ramainya. Luqman menguis tanganku.


“Mari, Min. Kalau kita tak naik sekarang, kita akan sampai lewat malam. Tentu ayah long risau nanti.” Walau pun berat hati aku menuruti juga langkahnya.


“Naik, naik. Yang berdiri di tengah tu, pergi belakang lagi. Belakang lagi.”


Jerit konduktor bas. Huh, seboleh-bolehnya dia mahu penuhkan bas ni padat macam tin sardin. Aku dan luqman terus bergerak ke bahagian tengah. Semua tempat duduk sudah penuh. Nampak gayanya terpaksalah kami berdiri sepanjang perjalanan pulang. Aku dan luqman terpaksa berdiri secara menghadap bagi memberi ruang kepada penumpang lain. Keadaan kami begitu hampir. Mujur luqman lebih tinggi dariku. Jadi aku tidak perlu menghadap wajahnya.


“Belakang lagi. Belakang lagi. Ni ramai lagi yang nak naik ni. Tolong ke belakang lagi.” Jerit konduktor itu lagi. Tiba-tiba tanpa di sangka-sangka seorang wanita di belakangku telah tertolak tubuhku.


“Ya Allah!”


Aku terdorong ke hadapan betul-betul mengena tubuh Luqman. Dalam masa yang sama tangannya terus memegang bahuku bagi memastikan aku tidak terus jatuh ke bawah. Aku tersentak. Terasa bahang panas menerpa ke seluruh wajah dan tubuhku.


“Min, ok ke?”


“A..ya..ya ok.” Ucapku separuh gugup.


Wajahku memerah menahan malu. Aku terus menunduk ke bawah. Langsung tidak mendongak memandang ke arahnya. Tangan kanannya masih di bahuku. Keadaan itu seolah-olah seperti kami sedang berpelukan. Seminit. Dua minit. Tiga minit. Aduh, berapa lama lagi kami harus berkeadaan begini? Jantungku yang berdegup kencang terasa seolah-olah sudah gugur ke bawah. Bau minyak wangi Luqman semakin tengit menusuk hidungku. Aku menguis-nguis hidungku yang mula terasa gatal.


“Min.” Terasa lembut suaranya menjamah gegendang telingaku. Aku mendongak. Pandangan kami bersatu. Dia tersenyum. Seolah-olah senang dengan kedudukan kami sekarang.


“Wangi rambut min. Syampu apa yang min pakai?”


Eh, lelaki ni nak buat lawak iklan syampu ke?


“Min gosok dengan sabun mandi jer. Kenapa? Nak ke? Lagi satu, boleh Luq lepaskan Min? Min dah ok sekarang.”


Lelaki itu tercengang-cengang.


“Err..maaf, “ ujar lelaki itu lalu menarik tangannya.


“Terima kasih.” Balasku antara dengar dengan tidak.


***


Leka aku membelek skarf kecil berwarna merah. Cantik! Tanganku sempat merasa kelembutan kain tersebut. Teringin aku memilikinya bila sudah bertudung nanti.

“Ambil lah, kalau nak beli. Luq bayar.”

Aku menjeling ke arah lelaki itu yg semenjak tadi asyik membuntuti diriku.

“Banyak duit?”

“Bukannya mahal pun. Baru RM10 ja. Luq tahu taste Min bukannya setinggi mana.”

Amboi, perli aku ke?

“Emm, tak sama seperti taste Amy Maisara kan?”

“Boleh tak kalau tak sebut nama dia waktu-waktu begini?”

Tinggi suaranya.

Aku tersentap.


Dia marah aku ker? Aku terus meletak kembali skarf merah yang masihku pegang. Niatku terbantut. Tanpa sepatah kata aku berjalan meninggalkannya.


“Jasmin!”

“Jasmin Alia!”

Lenganku disentap agak kasar sehingga menyebabkan tubuhku terdorong ke belakang.

Aduh!

Tiba-tiba serasa seperti ada seseorang berdiri di di hadapanku. Aku mendongak. Luqman menoleh ke belakang.

Hah! Ayah Cu!

“Kenapa ni? Min buat apa kat sini?”

Wajah Luqman bertukar pucat.


***


Aku masih mendiamkan diri dalam kereta Ayah Cu. Ayah Cu juga langsung tidak bercakap walaupun sepatah. Diam. Aku memegang erat plastik beg biru berisi skarf pemberian Luqman.


“Luq dah beli skarf ni. Ambil lah. Hadiah tanda persahabatan kita.”


Plastik beg berisi skarf bertukar tangan.


Sahabat? Hanya sahabat?


Ehem!

Aku mendongak memandang ke sisi. Ayah Cu tidak menoleh. Tapi kutahu dia memerhati gelagatku dari ekor matanya.

“Ok, Min tahu Ayah Cu marahkan Min. Tapi Min keluar dengan kebenaran Ayah Long. So, don’t look at me like that. Macam orang bersalah pula.”

You know what I mean, Jasmin Alia.”

“Ayah Long tak bising pun, kenapa pula Ayah Cu nak busybody.”

“oo..ok. Now I’m a busybody person. In case, kalau jadi apa-apa, siapa yang nak bertanggungjawab?”

“Jadi apa? Min tak faham lah.”

“Min pengsan hari tu, sebab budak Luqman tu kan? Siapa dia?”

“Ayah Cu...dia kan anak Mak Usu Arwa. Takkan lah Ayah Cu tak kenal.”

I know him. Siapa dia pada Min? Your boyfriend? I’m warning you, don’t you ever think to fall in love with a man at this age.”

What? No. He...he..”

He what?”

Just a friend. That’s all. Kawan aja.”

“Betul?”

“Ya, betul”.

Good. ”

Selasa, 7 September 2010

DCJ23


Aku mengetatkan skaf merah di kepala. Aku tersenyum melihat penampilanku di hadapan cermin. Tshirt tangan tiga suku dan seluar jeans biru. Ringkas dan selesa. Sesuai dengan kerja yang akan aku lakukan sebentar lagi.
“Jasmin! Lambat lagi ke?”
Babah menjerit dari tingkat bawah. Aku pantas berlari ke pintu kamar.
“Min dah siap. Tunggu sekejap, Min nak turun lah ni.”
“Ala, anak babah ni. Bukannya nak ke mana-mana pun. Nak tolong babah berkebun di hadapan tu je. Nak bersiap apanya.”
 Aku tersengih sewaktu menapak menuruni anak tangga.  Ibu Darlynna tersenyum memandang ke arahku.
“Comelnya, anak ibu pakai skaf ni. Macam budak sekolah pula.”
“Ye ke? Min nampak muda ya?”
Babah mengalih pandangan ke arah kami. Lelaki itu menghampiri kami.
“Kenapa pakai skaf ni? Macam nak pergi mengaji muqaddam saja. Tengok ni banyak rambut terkeluar. Nampak aurat ni.”
Usik babah sambil menarik anak-anak rambut yang terkeluar di celah-celah skaf.
Aku menepis tangannya mengelak babah menarik lebih banyak rambutku agar kelihatan.
“Apa babah ni? Min dah masukkan elok-elok, babah kacau. Lagipun bukannya nak keluar jauh, kat depan tu sahaja,” ujarku sambil memuncungkan mulutku, tanda protes.
Ibu Darlynna tertawa kecil.
“Sudahlah abang ni. Kesian Jasmin. Jomlah kita ke depan. Min pergi betulkan balik skaf tu. Cepat tau. Kami tunggu di luar.”
Ibu Darlynna menarik tangan babah yang kelihatan masih tidak puas hati dengan pakaianku. Pelik. Selalunya dia tidak pernah menegur penampilanku. Apa sahaja yang ku pakai, tidak pernah diendahkannya.
Setelah siap membetulkan kembali skaf, aku menapak ke halaman luar rumah. Kelihatan ibu Darlynna sedang asyik mencabut rumput-rumput kecil yang tumbuh meliar di sekeliling pokok berpasu. Babah pula sedang tekun mencantas daun-daun kering yang masih terlekat pada batang pokok hiasan yang ditanam.
Tiba-tiba loceng rumah berbunyi. Ada orang datang. Aku menoleh ke arah babah dan ibu Darlynna.
“Min, pergi tengok. Siapa pula datang petang-petang ni?”
Aku menuruti arahan babah. Sambil menepuk-nepuk tangan yang bersarung bagi menghilangkan debu, aku melangkah menghampiri pintu pagar. Terkebil-kebil aku memandang sebuah Honda Civic berwarna hitam tersadai di hadapan rumahku. Mana pemandunya?
“Jasmin!”
Aku menoleh ke sebelah kanan. Seorang lelaki sedang duduk mencangkung di sebelah luar pintu pagar memandang ke arahku. Hah!
“Luqman! Buat apa kat sini?”
Lelaki itu tersengih.
“Luq, ada game kat gelanggang futsal kat kawasan dekat sini tadi. Alang-alang dah lalu, Luq singgah la ke mari.”
“Ooo..”
Aku memandang lelaki itu. Dia juga turut merenungku.
“Taknak ajak Luqman masuk?”
“Hah, err..”
“Siapa tu Min?”
Aku menoleh ke belakang. Ibu Darlynna!
“Oh, Luqman! Tercegat sahaja depan pintu, kenapa tak masuk?”
“Emm, tak apa puan. Saya sebenarnya cuma nak sampaikan hadiah ni. Maaflah kerana tak dapat hadir ke majlis puan hari tu. Saya ke Australia.”
“Tak apa, Man. Saya faham. Bila Man balik sini?”
“Pagi semalam sampai. Ni sebenarnya ada game tadi, kebetulan lalu, itu yang singgah.”
“Oo, eh, masuklah dahulu. Ni pun dah nak dekat maghrib ni. Tentu tak sempat sembahyang kalau awak nak balik sekarang pun.”
“Err, tak apalah puan. Badan saya ni kotor. Perlu bersihkan diri juga. Lagipun saya tak bawa pakaian salin.“
“Tak apa, masuklah Man. Baju tshirt tuan haji banyak. Boleh pinjam. Marilah. Hah, Jasmin, kenapalah tercegat sahaja depan tu. Tolong bukakan pintu untuk Luqman ni.”
***
Aku menghulurkan sehelai tuala bersih bersama-sama t-shirt dan kain pelikat kepada lelaki itu.
“Terima kasih.”
“Sama-sama. Dah selesai solat nanti, turunlah ke bawah. Babah ajak awak makan sama.”
Lelaki itu mengangguk sambil tersenyum. Aku terus beredar ke bilikku. Selepas membersihkan diri dan bersolat, aku menapak keluar. Hampir sahaja aku bertembung dengan Luqman yang juga baru keluar dari kamar tetamu. Aku mengundur sedikit ke belakang bagi memberi laluan untuk dia melangkah turun dahulu. Lelaki itu tersenyum.
“Min, cantiklah bila berskaf merah tadi. Itu skaf yang Luq pilih masa kita keluar ke pekan dulu kan?”
Aku tersentap. Dia masih ingat?

DCJ21

Munir memandangku tajam. Geram melihat tingkahku yang buat-buat tidak tahu tentang kehadiran Luqman di dalam kedai kami.
“Aku tak berhutang apa-apa dengan kau. Jangan nak renung aku macam kau lapar sangat.”
“Aku tak buta macam kau Min.”
Aku menoleh. Membalas renungannya.
“Apa maksud kau?”
“Jangan buat-buat tak faham. Buat-buat tak nampak. Kau sedar tak, kau sedang menolak tuah. Menolak jodoh yang telah ditentukan tuhan.”
“Tuah apa yang aku ada Munir kalau aku sentiasa menjadi orang ketiga dalam hidupnya?”
“Kau dah tanya? Kau dah selidik betul-betul ke?”
“Aku tak perlu selidik apa-apa. Tingkah dan layanannya terhadap perempuan lain lebih mesra daripada biasa. Itu yang aku tahu. Dia memang tiada perasaan terhadapku.”
“Kau memang buta Min. Takkan kau tak sedar yang selama ini dia melebihkan diri kau dari segala-galanya. Atau kau sahaja tak mahu sedar. Aku tahu kau cemburu dengan setiausaha Tan Sri khairilzan. Kau juga cemburu bila dia berkasih dengan Amy Maisara. Tapi kau sanggup benamkan cemburu kau kerana ego kau. Kau ego Min. Tinggi ego kau sehingga sanggup mengenepikan perasaan orang terhadap kau. Apa lagi yang kau mahu Min?”
“Aku mahu dia berterus terang. Aku mahu dia beritahu yang dia cintakan aku. Sayang aku. Dia mahu aku dalam hidupnya. Salah aku lagi? Berat sangat ke permintaanku? Aku perempuan Melayu, Munir. Aku dibesarkan dalam suasana timur yang penuh adat. Ada rasa malu. Ada rasa hormat. Tapi dia lelaki. Dia lah yang sepatutnya memulakan dahulu. Bukannya aku.”
“Elok lah tu. Dua-dua orang ego. Seorang ego lelaki yang berlagak jantan. Seorang pula ego wanita Melayu terakhir.”
Aku menjeling ke arah Munir. Lelaki itu menghampiriku bersama sebeban buku-buku yang baru dikeluarkan dari kotak.
“Aku tahu kau dibesarkan di kampung yang penuh dengan adat ketimuran. Aku akui. Tapi kau juga berpendidikan. Takkan kau tak tahu nak beza perkara yang perlu kau untuk berterus terang dengan yang tidak? Kau fikirlah sendiri Min. Kau akan menyesal kalau kau menidakkan jodoh ini.”
Munir meninggalkan aku terkial-kial. Aku menjenguk ke luar bilik kerjaku. Mencari kelibat Luqman di antara rak-rak buku. Tiada. Mungkin dia sudah penat menungguku. Aku menghela nafas berat. Lelah dengan perhubungan yang tiada hujung pangkal.  
***
“Mengakulah Min yang kau sukakan dia.”
Desak Munir lagi.
“Ya, ya, ya. Aku memang sukakan dia. Aku memang cintakan dia. Aku memang sayang sangat padanya. Tapi macam mana dengan dirinya? Tepuk sebelah tangan mana mungkin berbunyi Moon. Cukuplah Moon. Jangan kau paksa aku lagi. Aku dah penat. Penat sangat. 12 tahun aku simpan perasaan ini. Sekarang ni, aku dah nampak yang aku hanya membazir masa. Aku dah lukakan hati banyak orang kerana perasaan ni. Aku kecewakan harapan babah, umi Darlynna. Aku dah patahkan perasaan Abang Nain. Tak cukup lagi ke beban yang perlu ku tanggung kerana perasaan ini, Moon?”
“Jasmin...”
Munir memandangku tanpa berkelip. Aku menghela nafas panjang setelah menghamburkan perasaan geram ini. Bukan setakat geram. Macam-macam lagi perasaan yang bercampur aduk dalam hatiku. Sebal, sedih, kecewa.
 “Jasmin, kau.. kau ok ke? Aku minta maaf, Min. Salah aku. Aku tak patut...”
“Kau tak salah Moon. Itu pendapat kau. Kau berhak. Maafkan aku, Moon. Aku terlalu emosional,” pintasku pantas.
Aku meraup wajahku. Tatkala itu telefon bimbitku berlagu. Aku pantas mencapai telefon yang terletak berhampiran di sebelahku.
Abang Nain!
“Assalamualaikum, hello, Min.”
“Waalaikumussalam. Ada apa bang?”
“Min sihat ke? Kenapa dengar suara serak?”
Alamak! Dia perasan perubahan suaraku.
“Sihat. Kering tekak. Hari ni kurang minum air.”
Abang Nain tergelak di hujung talian.
“Jom keluar makan. Abang dah ada di depan kedai ni.”
Hah! Aku bergerak ke jendela kedai. Benar! Keretanya sudah terpakir elok di bahu jalan. Betul-betul di hadapan Mus Read Shop.
“Ok. Tunggu sekejap ye. Min nak bagitau Moon.”
“Ok. Abang tunggu dalam kereta.”
Aku mematikan talian telefon. Kemudian menoleh ke arah Munir yang masih leka di kaunter.
“Pergilah, aku boleh handle. Lagipun customer tak ramai hari ni.”
Aku mengukir senyuman padanya. Dia terlalu baik. Sama seperti Nadeera. Kedua-dua sahabatku ini begitu mengambil berat terhadapku dan peribadiku. Tentulah tidak wajar untuk aku bermasam muka dengannya.
“Munir.”
Munir mengalih pandangan ke arahku. Dahinya berkerut seketika.
Thanks for being my best friends.”
“It’s course nothing, Jasmin Alia. Itulah pentingnya kawan.”

DCJ22

“Sah?”
“Sah.”
“Alhamdulillah.”
Tok Kadi mengangkat tangan untuk berdoa dan dituruti oleh semua tetamu yang hadir. Hatiku yang sangat berdebar-debar seketika tadi berasa sungguh lega. Segalanya telah selesai. Kini fasa baru bermula dalam keluarga kami. Aku mengalih pandangan ke arah babah. Wajahnya yang putih bersih, bercahaya dan berseri-seri. Begitu juga Aunty Darlyna yang kini akan ku panggil ibu Darlyna. Dia yang duduk bersimpuh di sebelahku, tersenyum bahagia saat babah datang mengadapnya bagi upacara menyarungkan cincin.
“Min, cincin!”
Ujar Ummi sambil menguis lenganku. Aku bingkas merapati babah. Menghulurkan bekas berisi cincin khas untuk wanita yang bertakhta di hati babah kini.
“Terima kasih, sayang,” ucapnya seraya tersenyum.
Aku balas senyumannya. Babah menyarungkan cincin ke jari manis Ibu Darlynna. Wanita manis itu menyalami tangan babah sambil menciumnya. Sebaik Ibu Darlyna memanggungkan kepalanya, babah terus mengucupi dahinya. Alangkah syahdunya! Hati dua insan ini telah bersatu akhirnya. Air mataku menitis apabila menyaksikan suasana ini. Aku berasa sangat bahagia dan gembira serta bertuah kerana dapat menyaksikan peristiwa yang terlakar ini.
Selesai majlis pernikahan, babah mengadakan sedikit doa selamat bagi meraikan hari bahagia ini. Tiada majlis persandingan mahupun kenduri besar-besaran. Semuanya atas permintaan Ibu Darlyna sendiri. Tan Sri Khairilzan sendiri ingin menaja majlis persandingan babah dan ibu Darlyna, tetapi babah menolaknya atas permintaan ibu Darlyna sendiri.
Aku memerhati babah dan ibu Darlyna melayan para tetamu dari pintu dapur. Melihat senyuman yang tak pernah lekang dari wajah babah, membuatkan aku merasa sangat senang hati. Aku melangkah menuju ke singki. Tiba-tiba wajah Luqman melintas di kotak ingatanku. Aku termanggu seketika. Aku sememangnya tidak nampak kehadirannya dalam majlis tadi. Meskipun seluruh warga kerja Germuda Holdings dijemput, ternyata susuk tubuhnya tidak kelihatan. Barangkali dia merajuk dengan sikapku yang mula menjauhkan diri darinya. Aku mengeluh.
“Hai, orang lain bergembira, dia mengeluh sendirian di dapur ni?”
Aku tersentak seraya menoleh ke belakang. Abang Nain tegak berdiri sambil tersenyum ke arahku.
“Abang Nain ni, terkejut Min. Apa abang buat kat sini? Pergilah kat depan.”
“Min pula, apa Min buat kat dapur ni sendirian? Termenung panjang pula tu. Teringatkan abang ke?”
Soalan dibalas dengan soalan. Aku tergelak kecil.
“Perasan!”
“Seronoklah suasana kat kampung ni. Ini pertama kali abang datang kampung. Nanti, boleh Min bawa abang jalan-jalan dalam kampung ni?”
“Boleh. Sekarang ke?”
“Eh, bukan sekarang. Nanti-nantilah. Hari ni dah tak sempat sebab abang kena berangkat ke Vietnam dua hari lagi. Mungkin bila abang dah jadi orang sini. Tentu kena berkenal-kenalan dengan orang kampung ni juga kan?”
Aku tersentap. Abang Nain merenungku dengan pandangan yang penuh makna dan maksud yang tersirat.
“Di sini rupanya kamu. Papa ingatkan kamu di luar tadi. Papa dan mummy dah nak balik ni. Kamu tak nak balik lagi ke Nain?”
Pandangan kami sama-sama beralih ke arah Tan Sri Khairilzan yang berdiri di tangga penghubung antara dapur dan ruang tengah rumah.
“Dah nak balik ke? Alah, tak puas lagi lah. Seronok suasana di sini,” ujar abang Nain seraya menjeling ke arahku.
“Uncle Jan, dah nak balik ke? Tak nak bermalam di sini?” pintasku.
Tatkala itu, mummy datang menghampiri kami. Kami berbalas senyuman.
“Tak bolehlah, Min. Kami nak ke Vietnam. Ni pun tak kemas apa lagi. Min nak pesan apa-apa ke dari sana?”
Aku menghampiri wanita sebaya ummi itu sambil memeluk pinggangnya.
“Tak perlulah mummy. Min tak nak apa-apa. Yang penting mummy selamat pergi dan selamat pulang.”
“Mummy seorang jer? Abang?”
Huh!
“Habis, mummy jer yang tanya Min. Abang Nain tak pelawa Min pun. Cakap jer nak ke Vietnam.”
“Amboi, amboi. Sindir orang.”
Aku tersengih.
“Dah, dah. Jom. Papa nak jumpa pengantin baru pula ni.”
Kami sama-sama melangkah ke ruang hadapan rumah. Masih ada beberapa orang tetamu lagi yang sedang bersembang-sembang dengan ayah Long dan ummi. Babah dan ibu Darlyna pula berada di bawah khemah makan. Melayan beberapa orang kakitangan babah yang masih belum pulang.
“Terima kasih, Tan Sri,” ucap babah sambil berjabat tangan dengan Tan Sri Khairilzan.
“Sama-sama. Terima kasih juga bagi pihak kami kerana sudi menjemput kami datang ke majlis.”
“Alah, Tan Sri,Puan Sri ni. Kamilah yang sepatutnya ucap terima kasih kerana Tan Sri sekeluarga sudi datang ke majlis kami ni.”
“Emm, saya tak nampak jurutera baru abang datang pun. Dia tak tahu ke?” soal mummy.
“A’ah la. Saya pun tak nampak dia tadi,” sambut Ibu Darlynna pula.
Rupa-rupanya bukan aku seorang sahaja yang perasan. Namun bila aku mengangkat pandanganku ke hadapan, terasa Abang Nain merenungku tajam. Amat tajam.

DCJ20

12 tahun lalu ...
“Hai, apa hal nak jumpa Min kat sini?”
Lelaki itu tersenyum memandangku. Dia menghulurkan sepucuk surat
“Saya dapat tawaran ke Jepun. Mungkin 3 bulan lagi akan bertolak ke sana.”
Hatiku tiba-tiba menjadi beku. Dada mula terasa sendu. Aku tersenyum kelat. Aku yang berusaha bagai nak rak, kenapa aku tak dapat tawaran tu? Kenapa Cikgu Ramli beri tawaran tu kepada Luqman. Sambil melabuhkan punggung di atas batu sungai, aku menjulurkan kaki agar mencecah ke permukaan air. Manakala, Luqman lebih selesa berdiri sahaja di sebelahku. Aku mengutip beberapa biji batu kecil dan membalingnya ke dasar sungai. Cuba membuang kekecewaanku yang mula membuak-buak.
“Hujung minggu ni dah nak bertolak ke Kuala Lumpur. Min ikut hantar Luq ke stesen ya.”
“Kuala Lumpur? Nak buat apa?” soalku sambil memanggungkan kepala, memandang ke arahnya.
“Kursus intensif bahasa Jepun. Persediaan sebelum berangkat ke sana. Takkan tak ingat kot? Kan Min banyak buat kajian sebelum apply dulu.”
***
“Sesiapa yang berminat, sila isi borang dengan lengkap. Kepilkan salinan keputusan peperiksaan SPM atau STPM serta sijil-sijil ko-kurikulum kamu dan serahkan kepada saya selewat-lewatnya 26 April ni.”
Ramai-ramai yang berebut mengambil borang yang dihulurkan oleh Cikgu Ramli. Aku, Nadeera dan Luqman pun turut serta dalam kumpulan itu. Berminggu-minggu aku membuat bacaan tentang universiti-universiti yang terbaik dan bersesuaian dengan kursus yang aku minta termasuklah universiti luar negara. Aku yakin, aku dapat melanjutkan pelajaranku ke luar negara seperti babah.
***
“Min nak babah tolong ke? Babah ada kawan dalam Kementerian Pendidikan.” Suara babah kedengaran jelas di hujung corong telefon.
“Tak payah. Min usaha sendiri. Lagipun tak seronok kalau menang tanpa bertanding” jawabku yakin.
Babah tertawa sambil memuji-muji sikap anaknya ini. Aku tidak perlu mengambil kesempatan di atas kelebihan yang dimiliki babah. Berkat keyakinan aku yang terlampau tinggi ini juga menyebabkan aku kecewa teramat sangat apabila namaku tidak tersenarai dalam 2 orang yang terpilih melanjutkan pelajaran ke luar negara.
***
“Bukan Jasmin tak layak. Nama Jasmin berada paling atas dalam senarai yang saya hantar kepada pihak Kementerian. Tetapi mereka mengutamakan pelajar yang berkelulusan STPM yang lebih layak. Mereka lebih matang untuk menghadapi cabaran di negara orang.”
Aku terhenyak. Alasan yang benar tidak munasabah. Akhirnya aku terpaksa akur dengan keputusan pihak sekolah. Tak guna kalau aku merayu lagi. Surat sudah pun dikeluarkan oleh pihak kementerian.
***
“Min dah lupa ke?” Lamunanku putus. Ingatanku pada saat-saat mula mengisi borang, perbualan dengan babah dan yang terakhir rayuanku semasa berjumpa dengan Cikgu Ramli. Aku tahu dua orang pelajar STPM yang tersenarai melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tetapi aku tidak tahu salah seorangnya adalah Mohd Luqman Hakeem.
“Awak tak payahlah nak perli saya. Saya tau lah saya ni tak pandai,” ujarku antara dengar dan tidak.
“Perli? Apa maksud Min? Luq tak perli Min. Luq cuma nak ...”
“Nak menyakitkan hati Min? Begitu?” potongku.
Serasa ada air yang mula bertakung di kelopak mataku. Aku yang menolongnya mengisi borang, tetapi kenapa dia yang dapat? Kenapa bukan aku?
Kalaulah dia tahu kekecewaanku. Kalau lah dia faham. Matanya mencerlung memandangku.
Aku bingkas. Sambil mengibas-ngibas punggung yang dilekati pasir aku menyarung selipar.
“Min! Jasmin!” langkahku terhenti. Aku cuba menahan air mata yang bila-bila masa sahaja akan gugur.
“Luq cuma nak Min ada ketika berangkat nanti. Kita tentu tak akan berjumpa dalam tempoh yang lama. Tapi kalau boleh Luq nak Min jadi orang pertama yang Luq akan jumpa bila pulang nanti.”
“Luq pergi sajalah. Nak buat apa Min hantar? Bukan Min yang dapat tawaran tu.”
Lelaki itu mengeluh.
“Min tak boleh salahkan takdir. Mungkin rezeki Min di sini dan rezeki Luq di sana. Percayalah pada qada dan qadar. Rezeki, jodoh,ajal dan maut semuanya di tangan tuhan. Kita hanya mampu merancang. Tapi yang Esa penentu segalanya. Berusahalah lagi, Min.”
Lembut suaranya menegur sikapku yang terus-terusan menyalahkan takdir. Sesaat itu juga air mata ku mula berlinangan. Aku terus mengesat air mata yang masih berjuraian. Tiba-tiba Luqman menghulurkan sehelai sapu tangan berwarna biru lembut kepadaku. Dia sudah berdiri mengadapku. Tubuhnya begitu hampir sehinggakan aku dapat merasa kehangatan tubuhnya. Wajahnya berkerut kehairanan. Aku menyambut sapu tangan itu tanpa mengucapkan terima kasih.
“Habis tu, Min macam mana?” ujarku dalam tangisan yang masih bersisa.
“Macam biasalah. Tiada apa yang akan berubah. Luq yakin Min akan jadi lebih bijak dan pandai berdikari. Jangan salahkan orang lain. Jangan salahkan babah Min. Dan yang utama jangan salahkan diri Min. ”
Aku terkedu mendengar jawapannya. Sekali lagi aku mengesat air mata dengan belakang tapak tanganku.
“Luq tak sayang Min? Luq tak ..sukakan Min?” lelaki itu terpempan.
Terkejut dengan soalanku itu, tapi aku pasti dia tahu perasaanku. Aku dah tak mampu berselindung lagi. Namun kemudiannya dia tersenyum.
“Luq kenal Min. Bukan sehari dua. Bukan setahun dua. Tapi daripada Min mula-mula datang ke sini.”
Luq tahu? Jadi Luq tahulah selama ni Min selalu curi pandang Luq? Selalu memerhati tingkhlakunya?
Lelaki itu mengusap sisa air mata yang masih melekat di pipiku.
“Luq tahu apa yang Min buat selama ini. Luq juga tahu, Min tak sayangkan Luq. Min cuma keliru.”
“Keliru? Min tak faham?”
Lelaki itu tersenyum.
“Min dengar sini.”
Serentak itu dia memegang kedua-dua belah bahuku. Mata kami bertentangan.
“Min gadis yang polos. Lurus. Min anak yang kekurangan kasih sayang ayah dan ibu. Min gadis yang comel. Bijak. Min tidak seperti remaja lain. Min tidak memilih Azid, ketua pelajar merangkap jaguh sukan sekolah. Min juga tidak memandang Azroyi, jaguh pidato kebangsaan. Tapi Min pilih Mohd Luqman Hakeem, ketua gengster merangkap pembawa masalah kepada sekolah sebagai idola Min. Jiwa remaja Min memberontak, inginkan belaian, kasih sayang. Tapi mujur, hasil didikan Ayah Long dan Ummi, Min membesar sebagai anak yang tidak pandai berdendam, anak yang baik. Min memendam rasa hati sehinggakan Min keliru, tidak tahu membezakan antara kasih dan sayang. Buka mata hati Min itu dahulu. Baru Min ikut apa kata hati Min. Luq sayang Min sama seperti Min sayangkan Luq. Jeeb beri sepenuh perhatian kepada Min kerana Luq tak mahu Min rasa kekurangan kasih sayang. Jeeb nak Min rasa, diri Min adalah anak yang bertuah. Jangan salah sangka dengan kasih sayang yang Luq berikan kepada Min. “
Aku memejamkan mata seketika. Membiarkan air mata yang bertakung mengalir ke pipi. Ada rasa sedih berkumpul di hati. Selama ini, hanya aku sahaja berperasaan padanya. Kenapa tidak dia? Atau memang benar kata-katanya? Aku salah faham dengan cara layanannya. Gadis mana yang tak akan jatuh hati kalau diberi layanan sepenuh perhatian, terutamanya lelaki sebaik dirinya.
“Jangan menangis lagi Min. Min mesti kuat. Min perlu tabah. Min masih muda. Baru 17 tahun. Di sini Min cuma nampak Luq sebagai idola. Nanti bila Min sudah semakin dewasa, Min belajar di tempat lain, Min akan bergaul dengan lebih ramai orang. Min akan lebih kenal ramai lelaki lain. Hati dan cinta Min bukan milik Luq. Min akan jumpa lelaki yang lebih baik dari Luq. Percayalah!”
Aku membuka kelopak mataku kembali. Memandang sekeliling bilik ku. Sunyi. Terngiang-ngiang suara Luqman di telinga ku. Desah nafasnya ketika berada dekat di hadapanku. Jasmin, akurlah pada diri. Ya, aku harus tabah. Hidup mesti diteruskan.
***
Terkebil-kebil mataku memandang ke arah siling bilik. Kenangan 12 tahun lepas melintas di fikiranku. Aku pasti aku tidak silap mendengar apa yang dikatakannya. Aku pasti aku faham maksud yang cuba disampaikannya. Mana mungkin dia ada perasaan terhadapku setelah apa yang diucapkan dahulu. Hati dan cinta aku bukan miliknya. Kata-kata itu seolah-olah aku tak layak langsung untuk dirinya. Akalku mula mencerakin semula kata-kata yang pernah diluahkan Luqman 12 tahun lalu.
***
“Manusia boleh berubah Cik Jasmin oii. Lagipun setahu aku, tiada istilah persahabatan antara lelaki dan perempuan. Aku pasti dia cuma berbohong pada pada kau. Ye lah, masa tu kau pun baru 17 tahun. Muda lagi. Takkan itu pun kau tak faham.”
“Kalau tak ada istilah persahabatan antara golongan lelaki dan perempuan, habis tu kau dan aku ni kira apa?”
“Ish, kau bukan sahabat aku. Kau tu musuh nombor satu aku.”
“Kurang asam punya kawan. Nah, ambil ni..”
Aku membaling sebuah buku nipis ke arah Munir. Tepat mengena bahunya. Lelaki terjerit kecil sambil berlalu ke kaunter bayaran. Aku tertawa. Padan muka!
“Terimalah kenyataan, yang kau pun masih sayangkan dia, Min.”
Jerit Munir sambil tertawa.
Aku menoleh ke arahnya.
“Habis tu, kat mana aku nak letak Abang Nain?”
“Kau cintakan dia ke?”
Aku termanggu mendengar soalan Munir. Aku sendiri tak pasti perasaanku terhadap Abang Nain. Tapi aku yakin ia tak sama seperti ketika aku bersama Luqman. Satu perasaan yang berbeza. Abang Nain dan Luqman juga berbeza jika bersamaku. Abang Nain lebih berterus terang menyatakan perasaannya. Dia begitu mengambil berat tentang diriku sehinggakan aku merasakan bila bersamanya aku seperti seorang adik padanya. Bukan seorang kekasih atau teman istimewa. Luqman pula sebaliknya. Dalam setiap kata-katanya, dia lebih banyak berkias sehinggakan aku selalu sukar mentafsir maksud dan perasaannya. Tingkahlakunya lebih mencabar perasaanku. Sama seperti zaman sekolahku dahulu.

Isnin, 6 September 2010

DCJ19


“Nak balik kampung? Kenapa?” soalku sedikit kehairanan apabila Babah menyuarakan tentang balik kampung.Setahu aku, babah memang tersangat sibuk dalam seminggu dua ni.
“Babah nak buat kenduri doa selamat sikit sempena nak sambut bulan Ramadhan ni.”
“Tapi babah boleh buat kat sini kan?”
Babah memandangku sambil berkerut.
“Kenapa? Min tak suka ke? Min tak rindu kat keluarga di kampung ke? Lagipun dah lama Min tak balik sana, apa kata ummi Long nanti, Min dah tak ingat mereka.”
Aku tersentak. Benar kata babah. Aku dah lama tak pulang ke kampung. Tiba-tiba wajah Ayah Long, ummi Long dan keluarga di kampung mengetuk fikiranku. Aku terlalu sibuk sehinggakan tidak lagi meluangkan masa menjenguk mereka di kampung.
“Maafkan Min, Babah. Min bukan tak suka dengan rancangan ini. Min memang rindukan keluarga di kampung terutamanya Ayah long dan ummi Long. Tak boleh ke babah postpone dahulu perkara ni?”
“Jasmin, tak elok ditangguh-tangguh sekiranya nak buat perkara baik. Lagipun, babah tak nampak masa lain yang lebih sesuai selain sebelum bulan Ramadhan ni. Tambahan pula, babah ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengan Ayah Long dan Ummi Long.”
Lain benar bunyinya. Perkara baik? Seperti ada sesuattu yang ingin babah sampaikan.
“Perkara apa, bah? Babah macam rahsiakan sesuatu daripada Min?”
Aku bangun menghampiri tempat duduk babah. Babah memandangku sambil tertawa kecil. Wajahnya nampak berseri-seri. Kenapa aku tak perasan tadi?
“Babah, cakap la cepat.”
Aku menggoncang lengannya.
“Ok..ok. “
Babah menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. Aku terus menanti perkara baik yang akan diperkatakan itu.
“Babah dan Aunty Darlyna akan berkahwin. Semalam, Aunty Darlyna dah setuju dan terima lamaran babah.”
Wah! Sesuatu yang ku tunggu-tunggu selama ini. Akhirnya, terbuka juga hati babah untuk berkahwin sekali lagi. Setelah hampir 27 tahun menduda dan akhirnya dia ...
Aku terus memeluk babah.
“Tahniah, Min tumpang gembira.”
“Terima kasih, Min. Atas sokongan Min selama ini.”
You deserve to be happy.”
Didorong rasa gembira yang teramat, aku terus mencium kedua-dua belah pipi babah dan kemudian memeluknya sekali lagi.
Do I deserve that too?”
Aku tersentak. Terasa seperti darah merah menyerbu ke wajahku. Baru ku ingat, aku sudah lama tidak mencium babah. Untuk pertama kali, semenjak aku dewasa, aku telah berkelakuan seperti anak kecil berusia 10 tahun yang baru mendapat sesuatu.
Babah tertawa. Tangannya terus menggusap kepalaku. Perbuatannya itu mengingatkan aku kembali ke zaman kanak-kanakku. Zaman ketika kami di kampung.
“Babah...”
Tertawa babah makin panjang melihat aku terkulat-kulat menahan malu. Jemari kananku terus menguis-nguis rantai tangan yang terikat kemas di pergelangan kananku. Satu tabiat baru yang aku perolehi.
“Ada satu perkara lagi yang babah nak beritahu.”
Suara babah kedengaran formal semula. Aku menoleh memandang ke arahnya.
“Dzulkarnain datang jumpa babah di pejabat siang tadi.”
Abang Nain!
Aku menarik nafas panjang. Aku berharap apa yang babah akan perkatakan bukan seperti yang sedang aku fikirkan.
“Dia nak bawa mak dan abah dia datang rumah. Dia ada cakap apa-apa pada Min ke?”
“Cakap apa bah? Datang ajalah. Kenapa pula perlu cakap dahulu? Macamlah tak biasa,” ujarku separuh tergelak.
“Mereka bukan saja-saja nak datang. Tapi ada hajat. Nak melamar dan meminang Min.”
What?
Terasa seperti nak luruh jantungku mendengar kata-kata babah. Apa yang Abang Nain beritahu babah? Aku tak pernah tahu menahu tentang hal ini. Tentang hal lamaran dan meminang?
“Min tak tahu tentang perkara ini.”
“Oh, ya ka? Tapi dia beritahu babah... Ahh, alamak! Babah terlupa sesuatu hal yang penting. Nanti kita sambung bincang lain. Babah perlu telefon Aunty Darlyna.”
Babah terus bergegas naik ke tingkat atas. Tingkahlakunya agak kelam kabut, membuat aku kaget seketika. Babah seolah-olah cuba melindungi sesuatu. Aku mengerutkan dahi memikirkan kata-kata babah yang tersangkut separuh jalan.