Rabu, 21 Ogos 2013

DCJ 41

“Min, makan lagi ya. Nanti mummy pergi ambil air di dapur,” pelawa mummy sambil berlalu ke dapur.
Seronok benar wanita itu apabila aku datang bertandang ke rumahnya. Sehingga sanggup memasakkan aku bihun goreng semata-mata hendak makan petang bersama-sama. Aku mengerling ke arah Abang Nain. Matanya tidak lepas memandangku sehinggakan aku merasa sedikit gugup.
“Kenapa Abang Nain pandang Min macam tu? Min ada buat salah ke?”
“Min datang sini, Luqman tahu ke?”
Aku terpempan seketika namun kemudiannya aku mengangguk perlahan.
“Patutlah Abang tengok Min ceria sangat sekarang,” tegur abang Nain setelah beberapa ketika kami mendiamkan diri. Aku mengerling ke arahnya.
“Maafkan Min sebab tak berterus terang dengan Abang Nain. Tapi dulu Min dah pernah cakap, Min hanya anggap abang Nain seperti abang kandung. Min tak boleh terima abang Nain lebih dari itu. Min harap abang Nain faham,” pintaku.
Lelaki itu tersenyum kelat.
“Tak apa Min. Abang faham. Luqman lebih dahulu hadir dalam hidup Min,”jawabnya ringkas.
Aku tersentak mendengar kata-katanya.
“Mana abang tahu tahu tentang kehadiran Luqman dalam hidup Min?” soalku sambil mengerut dahi.
“Luqman sendiri yang beritahu abang,” jawabnya.
“Luqman beritahu? Bila?” soalku kembali.
Lelaki itu mengeluh sambil mengerling ke arahku.
“Min ingat tak tentang kejadian Min jatuh basikal tempoh hari?”
Aku mengangguk.
“Abang Nain pernah beritahu Min tentang Luqman datang ke bilik abang, marah-marah abang…”
Aku mengangguk lagi.
“Semasa itu dia ada cakap yang dia tidak akan sekali-kali membiarkan Min tercedera lagi kerana dia pernah berjanji dengan Ayah Cu untuk menjaga Min sampai bila-bila,” terang Abang Nain lembut.
Aku terpana. Janji dengan Ayah Cu? Bila Luq jumpa ayah Cu? Apa yang Luq janji dengan ayah Cu?
Tiba-tiba aku teringat semula sesuatu.
***
Aku menghirup lagi milo ais yang hampir tinggal suku gelas. Sesekali aku melihat jam di tangan. Dah hampir setengah jam. Aku mengetap bibir. Aku menoleh ke arah pintu utama wad. Kelihatan ayah cu berlari-lari anak menghampiriku.
“Maaf..maaf. Ayah cu ada hal sikit nak kena selesaikan tadi. Hah! Apa hal nak jumpa sangat ni sampai datang ke hospital? Tak boleh tunggu ayah cu pergi ke rumah ke?”
Aku menjeling. Aku buat muka garang.
“Tak boleh. Hal penting! Antara hidup dan mati,” jawabku tegas.
“Amboi, garangnya! Hal apa tu?”
Aku menarik nafas dalam-dalam.
“Sebelum tu, ayah cu janji dengan Min, ayah cu akan beritahu semuanya dan tak ada rahsia lagi yang perlu disembunyikan dengan Min,”
“Rahsia apa pula ni?”
“Janji?”
“Ok…ok…janji.”
“Apa perjanjian yang telah dibuat antara ayah cu dengan Luq?”
Wajah ayah cu berubah.
“Perjanjian apa…? Ayah cu tak faham maksud Min,” dahinya berkerut-kerut seolah-olah tidak memahami maksudku.
Aku membuka telefon aku dan menekan ikon galeri gambar. Aku mengunjukkan gambarku yang dilukis tangan. Gambar ketika aku terlantar di hospital selepas terperangkap dalam hujan dahulu.
“Hei…cantiknya. Comel. Siapa yang lukis gambar ni?” ayah cu berpura-pura tidak tahu tentang gambar tu.
“Ayah cu, fokus! Ini gambar Min. Luq yang lukis. Macam mana Luq boleh lukis gambar Min sedangkan dia tidak pernah datang melawat Min ketika itu?” ujarku separuh tegas.
“Oh, Luqman pandai melukis juga ya? Baguslah, dah jadi jurutera kemudian pandai pula dalam bidang seni…” sekali lagi bapa saudaraku itu cuba berdalih.
Aku kecewa melihat cara pandangan ayah cu. Jadi selama ini dia berpura-pura tidak tahu tentang hal ini. Sampai hati ayah cu buat Min macam ni. Rintih hatiku. Aku malu pada Luqman. Ada air mata mula bertakung di tubir mataku.
“Ayah Cu… Min tanya ni. Betul tak Luqman ada datang melawat Min semasa Min jatuh sakit dan terlantar di hospital 12 tahun lalu?”
Ayah Cu merenungku tajam.
“Betul Min nak tahu cerita sebenar?”
Aku mengangguk.
“Ya, dia ada datang tengok Min tapi ayah cu halau dia,”jawab ayah cu tegas.
Aku kehairanan.
“Hah! Kenapa ayah cu halau dia?”
 “Min, ayah cu buat semua tu bersebab. Ayah cu tak mahu Min hilang tumpuan untuk belajar. Dia telah sebabkan Min jatuh sakit. Kalau dia tak ada, tentu…”
“Dia tak bersalah ayah cu. Min yang salah, terlalu ikut perasaan Min,” pintasku.
“Tetapi Min ikut sebab Min diugutkan?”
Aku terpempan. Mana ayah cu tahu tentang ugutan itu? Hanya aku dan Nad yang tahu tentang hal ini. Arghh…Nadheera!
“Nad tak salah dalam hal ini. Ayah cu yang paksa dia untuk beritahu. Kalau dia berdiam diri, ayah cakap nak tinggalkan dia.”
Terbeliak aku mendengar ugutannya. Tawaku meletus. Dari tadi terasa seperti hendak menangis tetapi sekarang rasa seperti hendak pecah perutku menahan tawa. Aduh, lawaknya kata-kata ayah cu itu.
“Kenapa Min ketawa? Apa yang lawaknya?”
“Ayah cu pun sama macam Luqman. Ayah cu tak perasan ke yang ayah cu pun turut guna cara ugutan untuk dapatkan maklumat dah Nad? Jadi apa bezanya ayah cu dengan Luq? Huh!”
“Hei, tolong ya! Jangan samakan ayah cu dengan teman lelaki awak tu. Dia guna ugutan untuk kepentingan diri dia. Ayah guna ugutan untuk keselamatan Min. Ada bezanya ya.”
Aku tersenyum mendengar jawapannya. Aku tahu dia sangat mengambil berat tentang diriku. Aku tahu niat dia baik. Dia tak mahu aku leka dalam pelajaran.
“Tapi selama ni, Min ingat Luq tak sukakan Min. Kalau dia kahwin dengan orang lain, atau kalau Min bercinta dengan orang lain… macam mana…?”
“Itu dinamakan jodoh, Min. Walaupun beribu batu dia pergi, walaupun bertahun-tahun dia di perantauan, tetapi apabila dia balik ke sini dia tetap datang cari Min juga. Itulah jodoh.”
Aku mengesat air mata yang semakin mula mengalir. Malu pula sekiranya orang di sekeliling melihatnya.
Ya, itulah warna warni lukisan percintaan kami. Aku mengeluh.
“Min nak balik,” ujarku seraya bingkas dari kerusi.
“Nak ayah cu hantarkan?”
Aku menggelengkan kepala.
“Tak apa. Min nak sendirian,” ujarku sambil menyalami tangannya.
“Jasmin!”
Aku menoleh.
“Kami semua sayangkan, Min. Ayah Cu sayangkan Min.”
Aku tersenyum.
“Ya, terima kasih. Min juga sayangkan ayah cu.”
Lelaki itu membalas senyumanku. Aku bergerak menuju ke luar kawasan hospital.
Aku mengeluh. Dalam minggu ini, begitu banyak kejutan yang aku terima. Entah berapa banyak lagi rahsia yang tersimpan kemas di belakangku. Semuanya seperti seolah-olah berkomplot, berpakat untuk merahsia sesuatu dariku. Babah, ibu Darlynna, Luqman, ayah cu, ayah long…..aduh, sakiitnya kepala memikirkan semua ini.
Aku berhenti berehat sebentar di bus stop sambil merenung ke arah jalan.
Sebuah kereta berhenti tepat di hadapanku. Pada mulanya aku tidak mempedulikan kehadiran kereta tersebut. Namun, tiba-tiba tingkap hadapan di sebelah penumpang diturunkan. Aku terkejut. Luqman! Begitu jauh aku mengelamun sehinggakan aku tidak perasan bahawa kereta yang berhenti itu adalah kereta Luqman.
“Min? Apa Min buat kat sini?”
“Min jumpa Ayah Cu. Apa Luq buat kat kawasan ni? Luq ada kerja kat luar kawasan ke?”soalku kembali.
“Masuk dulu. Kita berbincang di dalam,” arahnya seraya membuka pintu kereta.
Aku melangkah masuk tanpa banyak soal.
“Kenapa pucat muka ni? Min sakit?” soalnya kerisauan sebaik sahaja aku melabuhkan punggung di sebelahnya. Aku menyentuh pipiku.
Aku sekadar menggelengkan kepala. Sebenarnya kepala ku agak berserabut memikirkan perkara yang baru aku ketahui. Tetapi aku rasakan tak perlu untuk diceritakan kepadanya kerana dia sendiri tidak pernah bersuara berkenaan hal tersebut.
“Sebenarnya, ayah cu yang call  Luq. Dia risaukan Min. Dia cakap Min …..”
Aku mengeluh. Hmm.. ayah cu lagi. Patutlah dia berada di sini. Mana mungkin dia mengetahui lokasi aku berada kerana aku langsung tidak menghubunginya semenjak semalam sekembalinya dari rumah Abang Nain.
“…. Min, boleh tak terima semua ni dengan redha dan berfikiran yang positif?”
Aku menoleh ke arah Luqman di sebelah. Begitu panjang dia bercakap dari tadi, hanya ayat itu yang aku sempat tangkap.
Ya, senang dia berkata begitu kerana dia tidak berada di tempatku. Ahh…apalah yang nak difikirkan sangat. Mereka cuba untuk menjadi pelindungku. Tetapi terasa seperti hidupku diaturkan satu persatu. Seperti sebuah filem yang ada pengarah, penerbit, dan pelakon-pelakonnya.
“Jasmin Alia…”
Aku tersentak dan kemudiannya berpaling ke arah lelaki di sebelahku. Baru aku perasan, keretanya telah berhenti di tepi jalan.
“Kenapa Min diam dari tadi? Dzulkarnain ada sakitkan hati Min? Atau Min marahkan Luq?”
Aku menggelengkan kepala. Jelaskan, semua bersikap hendak melindungi aku. Takkan aku masih tidak bersyukur apabila aku di kelilingi oleh mereka yang begitu menyayangiku.
“Boleh hantarkan Min balik? Min nak rehat. Esok dah nak bertolak balik kampung,” pintaku sambil menyandarkan kepalaku ke belakang.
“Min tak nak ikut Luq pergi beli cincin?”
“Cincin? Cincin apa?” soalku sambil menoleh ke arahnya.
“Cincin tunang,” jawabnya selamba tanpa memandang ke arahku.
“Bila kita nak bertunang?” soalku terpingga-pingga. Agak menghairankan kerana dia langsung tidak pernah membincangkan tarikh pertunangan kami.
“Min akan tahu tarikhnya nanti. Sebelum tu kita pergi beli cincin dulu ya,” pintanya separuh memujuk.
Aku mengeluh. Asyik nak berahsia sahaja. Buatlah apa yang awak suka, Luq. Asal awak bahagia, getus hatiku sedikit tawar hati.
“Ikut sukalah. Tapi Min tak suka pakai cincin. Min suka pakai rantai tangan,” ujarku separuh mengada-ngada.
“Tak apa. Itupun kita beli juga nanti,” jawabnya sambil tersenyum.
“Tapi buat apa nak beli kalau Min tak suka pakai. Membazir nanti,” rungutku perlahan.
“Itu yang Min suka pakai. Tapi Luq nak beli barang yang Luq suka tengok Min pakai,” jawabnya sambil mengerling ke arahku.

Hmm, alamatnya kena pakai juga walaupun tak suka.