Isnin, 30 Ogos 2010

DCJ18

Aku mengeluh berat. Lega rasanya apabila dapat meletakkan kepala ku di atas bantal. Penatnya. Tatkala itu terkenang kembali kejadian di rumah Abang Nain tadi.
“Kenapa nampak macam letih jer ni?”
Soal Puan Sri Hashimah sambil tangannya menyentuh pipiku. Aku tersengih. Cepat-cepat menolongnya mengangkat pinggan lauk menuju ke meja makan.
“Tak adalah mummy. Min biasa jer.”
“Mana tak letih, mummy. Petang keluar dating. Malam datang dinner sini pulak.”
Sampuk Abang Nain dari belakang. Aku memandang ke arah Abang Nain. Dia tau ke? Abang Nain merenungku tajam.
Selepas makan malam bersama keluarganya, Abang Nain menghantar aku balik.
“Min ada nak beritahu abang sesuatu ke?”
Aku menoleh ke sisi. Lelaki itu mengerling ke arahku seketika.
“Beritahu apa? Tentang petang tadi? Min rasa abang Nain dah tahu.”
“Apa hubungan Min dengan Luqman?”
“Apa maksud Abang Nain?”
“Min bercinta dengannya?”
“Err..kenapa tanya Min macam tu?”
“Habis tu? Min nak abang tanya soalan apa?”
Aku mengeluh.
“Luqman tu senior semasa Min bersekolah di kampung dahulu. Dia sekampung dengan Min. Kami hanya kawan. Tak lebih dari itu. Kenapa? Abang Nain marah ke Min keluar dengan dia?”
Atau dalam erti kata lain, aku sendiri pun tak tahu apa hubunganku dengan Luqman. Adakah hanya sebagai kawan atau teman tapi mesra sahaja?
Lelaki itu tertawa.
“Tak marah. Abang mana boleh marahkan Min. Abang cuma cemburu sahaja.”
Aku tersentak.
“Kenapa pula abang nak cemburu? Min bukannya kekasih abang. Kita berkawan sahaja kan?”
Soalku kehairanan. Ketika itu kami sudah sampai di perkarangan rumahku. Lelaki itu memberhentikan keretanya di hadapan rumah. Sebelum keluar, lelaki itu sempat menarik tanganku ke dadanya.
“Kalau abang cakap, abang ada hati pada Min, suka tak? Pertama kali kita berjumpa di rumah Aunty Darlyna, abang dah jatuh cinta pada Min. Macam-macam abang buat untuk tarik perhatian Min. Dan mummy adalah kelemahan Min. Apa sahaja permintaan abang dengan bantuan mummy, Min akan turuti. Tapi abang tak mahu berterusan begini. Abang nak Min betul-betul sukakan abang kerana cinta abang, bukan kerana simpati mummy. Abang dah lama cinta kan Min. Min sahaja yang tak pernah perasan.”
Aku kelu. Terkebil-kebil aku melihat wajahnya. Kenapa aku tak merasa apa-apa? Hatiku sejuk. Dingin seperti ais. Macam tak ada perasaan.
“Jasmin, say something.”
“Min...min..tak tahu nak cakap apa.”
It’s ok. Just take your time. Abang tak akan paksa kalau Min tak suka. Tapi abang berharap sangat Min tidak menghampakan abang.”
Bagaimana dengan Luqman? Kenapa bukan Luqman yang berterus terang tentang perasaannya pada ku? Kenapa mesti Dzulkarnain? Aku terus menekup bantal peluk ke muka. Apa yang harus aku buat? Lelaki yang aku dambakan cintanya tidak pernah mempunyai perasaan terhadapku. Apa lagi yang kau harapkan Min? Tiba-tiba aku terperasan sesuatu di pergelangan tanganku. Rantai tangan emas. Hadiah daripada Luqman.
Ketika itu, aku teringat tentang kisahku dengan Luqman petang tadi.
“Kenapa nampak macam susah hati je ni? Dari tadi, Luq perhati asyik dok tengok jam sahaja. Ada hal ke?”
Aku terus menggelengkan kepala.
“Jasmin..”
“Luq nak ke mana lagi? Boleh kita balik sekarang?”
Sekali lagi aku melihat jam di tangan. Pukul 6.30 petang.
“Luq nak beli sesuatu untuk Min. Selepas tu, baru kita balik ya.”
Sesuatu yang dimaksudkan Luqman adalah rantai tangan ini.
“Kenapa beli Min rantai tangan ni?”
Lelaki itu tertawa kecil. Senang melihat rantai tangan pemberiannya ada di tanganku.
“Min akan faham nanti.”
Min tak faham. Apa maksud Luqman? Kenapa dia suka berteka-teki? Babah...tolong Min! Rintihku lagi dalam tidur.

DCJ17

Kting! Pintu kedai terbuka. Kedengaran tapak kaki seseorang memasuki kedai. Alah! Aku terlupa nak menukar papan tanda tutup pada pintu. Munir tak ada, ke Terengganu menziarah ibu saudaranya yang sakit. Sekarang ni cuma tinggal aku sahaja. Sengaja aku tutup kedai petang ni, stok yang baru sampai petang semalam perlu disusun dahulu dan stok yang lama perlu dibuat sisihan untuk proses clearence. Aku segera keluar dari stor. Sambil menepuk-nepuk pakaianku yang agak berhabuk, aku melangkah pantas ke ruang hadapan. Kelihatan seorang lelaki membelakangiku sedang membelek ruangan majalah.
“Maaf, kami tutup petang ni, encik. Ada stok clearence esok. Encik boleh datang esok sebab banyak buku-buku yang akan dijual separuh harga.”
Ucapku dalam nada sopan. Hati pelanggan perlu dijaga. Tak boleh sesuka hati menghalau keluar. Lagipun, memangsalah berada di pihak ku kerana terlupa meletakkan papan tanda tutup.
Lelaki itu menoleh. Hah, Luqman!
“Luq! Buat apa di sini?”
Lelaki itu tersenyum.
“Saja datang nak bercakap-cakap dengan Min. Kita selalu berjumpa, tapi tak pernah berkesempatan nak berbual.”
Macam mana nak sempat. Engkau asyik berkepit dengan steno Tan Sri, gerutu hatiku.
“Min, Luq dengan Ferisha cuma kawan. Luq harap Min tak fikir yang bukan-bukan.”
Eh, macam tahu pula apa yang sedang aku fikirkan. Luqman ni boleh baca fikiran aku ke? Aku tersenyum.
“Err, Luq datang sini semata-mata nak ceritakan tentang hal ni ke? Min tak kisah Luq nak berkawan dengan siapa pun. Itu hak Luq, kenapa pula nak kena beritahu Min.”
“Luq tak nak Min salah faham tentang kejadian hari tu.”
Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi di dalam bilik kerjaku.
“Sekejap, Min angkat call.”
Aku meninggalkan Luqman sendirian di hadapan. Menghampiri meja kerjaku. Nama Dzulkarnain terpapar di skrin telefon bimbitku.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Min, kat mana tu?”
“Muss Read Bookshop. Kenapa?”
“Ummi jemput Min makan kat rumah malam ni. Abang Nain jemput Min petang ni ya?”
“Min kena tanya babah dulu.”
“Abang dah tanya pun. Jangan risau tentang tu.”
“Min, apa kata kita keluar makan petang ni? Luq belanja. Opss...sorry. I thought..
Aku menoleh ke pintu. Luq sedang berdiri di pintu. Menyangka aku sudah habis bercakap di talian.
“Siapa tu? Abang dengar suara orang.”
“Err...”
“Min ada tamu ya? Macam mana malam ni? Abang datang ambil Min di kedai.”
Aku memandang Luqman yang masih memandang ke arahku. Matanya, harapannya dan barangkali harapanku. Tapi bagaimana pula dengan Abang Nain?
“Eh, tak payah. Min...”
Yang mana satu harus aku pilih? Aduh, sakitnya kepalaku!
“Macam ni, abang tak payah datang ambil Min. Nanti Min pergi sendiri. Boleh?”
Kedengaran keluhan di hujung suaranya.
“Hmm, baiklah. Abang tunggu. Jangan lupa ya.”
“Baiklah.”
Ujarku seraya mematikan talian. Aku memandang Luqman yang asyik melihat hasil karyaku di atas meja. Entah dengar atau tidak perbualanku tadi.
“Min ada hal ke malam ni? Bagaimana? Boleh kita keluar?”
Aku mengetap bibir sambil mengangguk perlahan. Mana mungkin aku menolak pelawaannya. Serasa rindu yang sekian lama ku pendam terlerai kini. Ya Allah! Jasmin!

DCJ16


“Babah ada di pejabat Aunty Darlyna. Apa kata Min datang sini, boleh kita lunch sama-sama,” beritahu babah sewaktu aku membalas panggilannya.
Pejabat Aunty Darlyna, bermakna babah berada di pejabat Tan Sri Khairilzan, Germuda Holdings juga pejabat Luqman. Perlukah aku ke sana?
“Emm, tak apa lah babah. Min tak nak kacau babah nak dating. Lagipun, Munir nak ajak Min makan kat Seksyen 11.”
“Hei, jangan guna nama aku untuk mengelat. Bila masa aku ajak kau lunch?” Jerit Munir di belakangku.
Aku berpaling ke arahnya. Munir ni memang tak boleh simpan rahsia la. Geramnya aku.
“Apa tu?”
“Jasmin tipu uncle. Dia malas nak ke sana. Takut terjumpa kekasih lama.”
“Syyy..Moon. Kau ni...” marahku geram.
Aku melarikan diri ke dalam bilik kerjaku. Tak mahu Munir menyampuk perbualan kami lagi.
“Jasmin...”
“Ya..”
“Min, ada sesuatu yang babah perlu tahu ke?”
“Er, Min malas nak ke sana.”
“Min tak mahu jumpa Dzulkarnain ke?”
“Eh, tak. Bukan. Min suka. Dia baik. Kenapa pula Min tak suka jumpa dia?”
“Maksudnya Min suka kat Dzulkarnain. Tapi siapa kekasih lama Min?”
Sah babah dah terdengar jeritan Munir tadi. Siap lah kau Munir.
“Bukan kekasih lah babah. Moon tu saja reka-reka cerita. Emm, baiklah. Min ke sana. Tapi Min tunggu di lobi saja ya. Nanti babah turun kat bawah.”
As you wish my girl.”
***
“Jasmin!”
Aku menoleh. Aku tak dapat mengelak lagi. Tersenyum memandangnya mula menghampiriku. Luqman membuka kaca mata hitamnya. Segaknya dia. Berbaju kemeja coklat muda dan lengannya dilipat paras siku. Tali lehernya kelihatan dilonggarkan sedikit. Nampak agak santai.
“Min buat apa di sini?”
“Err, tunggu babah Min.”
“Oh, ya. Kami sama-sama dalam bilik mesyuarat tadi. Terlupa pula Luq.”
Tiba-tiba Ferisha datang entah dari mana dan terus memeluk tangan Luqman. Luqman kulihat agak terkejut. Begitu juga denganku. Perbuatan itu menampakkan mereka cukup rapat dan mesra.
“Man, I’m ready. Oh, hi Min. Jumpa lagi kita ya. Tunggu Dzulkarnain ke?”
“Err, tak. Saya...”
“Jasmin!”
Aku menoleh. Syukur, babah dan Aunty Darlyna dah sampai. Aku tak perlu berada lama di situ untuk melihat sketsa yang mula menyakitkan mataku. Tapi hanya Aunty Darlyna sahaja yang menghampiri kami. Babah terus keluar. Mungkin ke tempat parking kereta.
“Hi, Man, Ferisha. Nak keluar lunch ke?”
Soal Aunty Darlyna, berbasa-basi.
“Ya, puan. Come join us.”
“Eh, tak apa lah. I keluar dengan Tuan Haji Iskandar dan Jasmin. Thanks.”
Aunty Darlyna menarikku menjauhi mereka. Kejap tangannya memeluk lenganku.
“Kenapa, Aunty?”
Aunty tengok Luqman tu macam nak makan Min jer. Tajam sungguh renungannya walaupun Ferisha ada di sebelah. Min ada apa-apa dengan dia ke?”
“Ish, tak ada lah. Aunty perasan jer kot. Min tengok biasa jer. Anyway, dia senior Min masa sekolah kat kampung dulu.”
“Oo, no wonder lah. I think, maybe, he likes you.”
“Merepeklah Aunty ni. Dia kan dah ada Ferisha.”
“Dia tak suka Ferisha tu. Aunty berani jamin. Perempuan tu sahaja berlagak nak kahwin dengn jurutera.”
Aku tertawa kecil mendengar provokasi Aunty Darlyna. Tapi aku akui, hatiku tidak pernah berubah. Masih seperti dahulu. Cuma aku sering menjadi orang ketiga. Di sisi Luqman akan sentiasa ada wanita yang menjadi pasangan hidupnya, barangkali. Menyesalkah aku kerana tidak pernah berterus terang? Tapi adalah lebih menyakitkan hati kalau Luqman langsung tiada perasaan terhadapku seperti 2 kejadian yang baru aku lalui ini. Dia nampak tenang. Cool, kata orang putih. Dia masih segak seperti dahulu. Cuma lebih matang dan berkeyakinan. Sesuai dengan kerjayanya sekarang. Tiada lagi watak jahat seperti zaman sekolahku dahulu. Berbeza sungguh dengan ciri-ciri lelaki yang aku idam-idamkan dahulu. Ah, Min, engkau ni cengeng lah. Mana mungkin dia masih ingatkan engkau. Tambahan pula dia sudah ada pengganti Amy Maisara. Hmm, apa khabar Amy Maisara ya? Selepas SPM, gadis itu terus berpindah sekolah. Dari apa yang aku dengar, Amy Cuma beroleh keputusan cukup-cukup makan sahaja, pangkat 2.
“Seronok ke pameran kesenian Islam semalam?”
Lamunanku putus. Aku tersentak mendengar soalan daripada Aunty Darlyna. Ini mesti babah yang ceritakan. Aku memandang ke arah Aunty Darlyna yang duduk di kerusi hadapan. Babah di sisinya tenang menumpukan perhatiannya terhadap pemanduan.
“Boleh la.”
“Boleh la aja?”
Aunty Darlyna menoleh ke belakang. Seolah-olah menuntutku bercerita lagi.
You tanya dia, memang tak akan berjawab lah sampai bila-bila. Sampai kucing bertanduklah kalau you nak tunggu. Lebih baik you tanya pada Munir. Dia banyak simpan rahsia anak gadis I ni.”
Bulat aku memandang babah di hadapan. Aunty Darlyna tertawa kecil.
Well, at least she has her own secret keeper.”
Ujar Aunty Darlyna sambil menyambut tawanya. Babah juga turut tertawa. Aku hanya mampu menggigit bibir. Marah? Mana boleh marah. Aku cuma malu sahaja bila sentiasa menjadi subjek percakapan atau perhatian mereka.

Khamis, 26 Ogos 2010

DCJ15

“Eh, Jasmin nak ke mana ni?”
Babah memandangku kehairanan. Aku tersenyum. Babah baru pulang daripada surau tatkala aku berjalan menuruni tangga. Aku tahu, dia tahu rancanganku malam ni. Dia sengaja berpura-pura tidak tahu apa-apa.
“Min nak ke Festival Kesenian Islam Antarabangsa. Min kan dah beritahu babah petang tadi. Takkan babah dah lupa?”
Babah tergelak kecil.
“Hmm, cantik anak babah pakai baju kebaya. Nampak kewanitaan.”
Aku diperli lagi. Aku tahu, aku jarang berbaju kurung atau kebaya.
“Alah, babah ni sengaja nak usik Nina. Habis tu selama ni, Min tak cantik kah?”
Babah tertawa.
“Cantik. Cuma malam ni nampak lain. Keluar dengan Nain ke?”
Aku terdiam sambil menjeling tajam ke arah babah. Babah ketawa lagi.
“Tapi, babah nak ke rumah Aunty Darlyna malam ni.”
Aku mengerutkan dahi. Kenapa baru nak beritahu? Gerutu hatiku.
“Min kena ikut ke? Tapi Min dah janji dengan Abang Nain. Dah banyak kali dia ajak keluar tapi Min tolak,” ujarku dalam keadaan serba salah.
Babah tersenyum.
“Kenapa?”
Babah tertawa.
“Aha..pecah dah rahsianya. Patutlah beriya-iya Nain tanya petua kat babah. Anak babah ni jual mahal sangat rupanya.”
Hah! Apa ni?
“Babah ni..”
Aku hampir-hampir mencubit lengannya apabila tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta. Aku pantas membuka pintu. Kelihatan kereta terpangkir di hadapan pintu pagar rumah. Abang Nain melambai-lambai dari dalam kereta.
“Ajaklah Nain masuk dulu.”
Aku menoleh ke arah babah yang telah melabuhkan punggungnya di atas sofa ruang tamu.
“Em..tak perlulah. Lagipun dah lewat. Min pergi dulu ya.”
Sambil membetulkan tudung kepala, aku bergegas menyalami tangan babah. Dengan pantas juga aku menuju ke luar dan menyarungkan sepatu yang berada di hadapan pintu rumah.
“Maaf Abang Nain lambat. Abang ke rumah Yong Alia tadi, hantar barang,” Nain bersuara tatkala aku duduk di sebelahnya.
“Emm, tak apa. Min pun tunggu babah balik dari surau dulu. Ada ceramah katanya.”
Abang Nain tersenyum. Sepanjang perjalanan aku mula perasan yang dia asyik menoleh ke arahku.
“Napa Abang Nain pandang-pandang Min? Ada yang tak kena ke?”
“Ha..err..tak. Min nampak lain malam ni. Cantik.”
“Abang Nain ni pun sama macam babah. Abis tu selama ni Min tak cantik ke?”
Lelaki itu tertawa.
“Bukan macam tu. Maksud abang, bila Min pakai kebaya tu, ciri-ciri kewanitaan Min lebih nampak menyerlah. Selalunya abang nampak Min berseluar dan tshirt sahaja.”
Ughh..malu. Aku terus mengalihkan pandangan ke luar tingkap. Babah pun cakap perkara yang sama.
“Lagi satu, Min perasan tak?”
“Apa?”
“Warna baju kita sama. Bagai berjanji pula. Macam pasangan secocok.”
Aku memandang Abang Nain di sebelahku. Tatkala itu juga aku baru perasan Abang Nain juga memakai baju melayu berwarna merah hati. Sama seperti warna kebayaku. Huh!

Seni kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama ´seni khat´ merupakan khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki oleh umat Islam. Perkembangan Islam yang tersebar ke seluruh pelosok dunia, menyaksikan kaligrafi Islam teradaptasi dengan perubahan yang berlaku tanpa menghilangkan ciri dan nilai keIslamannya.
Penulisan Khat yang pertama di dunia dipercayai dihasilkan di Kufah, Iraq dalam kurun ke tujuh. Fakta yang tercatat daripada sumber bertulis – seorang sufi mendapat ilham menghasilkannya melalui mimpi. Tulisan-tulisan yang dihasilkan dinamakan Kufic (Kufi) iaitu tulisan yang tidak bercantum. Ia digunakan sehingga kurun ke-12. Pada kurun ke 10 – seni kaligrafi Islam tersebar ke Parsi dengan gabungan-gabungan huruf yang lebih berseni. Tulisan kaligrafi Islam ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu khat Kufi, Khat Nasakh, Khat Diwani, Khat Thuluth, Khat Riqa.

Asyik aku membaca satu-persatu kenyataan yang terlekat di dinding. Beberapa ketika kemudian aku beralih pula pada tulisan khat di sebelahnya yang tertulis hadis nabi.
Daripada Anas bin Malik .a., sabda Rasulullah S.A.W., maksudnya :

“Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji”
Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Hibban dan al-Baihaqi

“Ini Khat Thuluth, bemaksud satu pertiga. Juga dikenali sebagai Khat Arab kerana peranannya sebagai sumber asasi pelbagai khat Arab yang lahir selepas Khat Kufi. Tapi ia jarang digunakan dalam penyalinan al-Quran lengkap kerana mempunyai banyak kaedah. Cara menentukan ukurannya dengan bilangan titik yang sesuai pada setiap huruf, agak rumit serta memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menulisnya. Biasanya khat ini ditulis dengan pena yang lebar matanya di antara 2 hingga 3 mm.”
Aku menoleh ke arah empunya suara di sebelah. Seorang lelaki lengkap berpakaian baju Melayu rona hijau pucuk pisang leka memandang ke arah lukisan yang aku belek tadi. Aku mengerutkan dahi.
“Maaf...”
Merasa diri diperhatikan, lelaki itu menoleh wajahnya ke arahku.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” jawabku gugup.
Luqman!
Aku terpempan seketika. Lelaki itu tersenyum memandangku.
“Tak sangka, Luq dapat jumpa Min di sini.”
Dia bersuara lagi. Aku menoleh ke belakang. Bayang Abang Nain sudah hilang entah ke mana.
“Dah lama tak jumpa. Luq hampir-hampir tak kenal tadi. Min dah besar sekarang dan... makin cantik.”
Serasa darah menyerbu ke wajahku. 12 tahun terpisah, tetapi wajahnya tidak banyak berubah. Cuma perwatakannya nampak lebih matang dan sopan.
“Luq! Bila Luq balik sini?”” Terasa bergetar bila bibirku menyebut namanya.
“Dah setahun. Cukuplah 5 tahun belajar dan 6 tahun bekerja di luar negara. Ambil pengalaman. Sekarang nak pula merasa bekerja di negara sendiri. Min dah tak tinggal di kampung ke?”
Matanya lembut merenungku. Aku gugup seketika.
“Jasmin, di sini rupanya. Abang Nain ingatkan dah hilang tadi. Itulah, Abang suruh pegang tangan tak nak. Awak tu dah la kecil molek, kalau hilang di khalayak ramai ni susah Abang nak cari. ”
Aku terpempan. Tiba-tiba Dzulkarnain datang, entah dari arah mana.
“Eh, siapa ni? Kawan?” tanya Abang Nain sambil memandang kami berdua.
“Er, Abang Nain kenalkan ini Luqman. Luq ini Nain.” Mereka bersalaman.
“Dzulkarnain. Eh, awak ni...
“Mohd Luqman Hakeem, Encik Dzulkarnain.”
“Oh, ya. Saya ingat. Awak jurutera yang baru di Germuda Holdings. Tak sangka kita berjumpa lagi. Seorang?”
Terkelip-kelip aku melihat kedua-dua lelaki itu. Mereka bekerja dalam syarikat yang sama? Tatkala itu baru aku ingat tentang artikel yang aku baca beberapa minggu yang lalu.
“Err, tak. Saya bersama Ferisha, setiausaha Tan Sri.”
Jawabnya sambil mengerling ke arahku. Tatkala itu kelihatan seorang gadis berpakaian jubah berjalan menghampiri kami.
“Encik Dzulkarnain. Tak sangka dapat berjumpa di sini.”
Aku memandang ke arah wanita itu. Cantik dan bergaya.
“Encik Dzulkarnain tak nak perkenalkan ke teman wanita encik ni?”
Aku tersentak. Teman wanita? Aku memandang ke arah Abang Nain. Dalam masa yang sama aku terperasan Luqman memandangku tajam. Abang Nain tertawa.
You tak kenal ke? Ini lah anak Tuan Haji Ilham Iskandar.”
“Oh, I baru ingat. Kita pernah jumpa di ruah Puan Darlyna. Apa khabar?”
Wanita itu menghulurkan tangannya.
“Baik.”
Aku menyambut salamnya sambil tersenyum nipis.
Well, I think we should go now. Luqman, shall we?
Wanita itu menoleh ke arah Luqman yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Luqman sedikit tersentak.
“Oh, yeah. Jumpa lagi Encik Dzulkarnain.”
“Ya, jumpa lagi nanti, Encik Luqman.”
Abang Nain dan Luqman bersalaman sekali lagi.
“Sure. Bye, Jasmin.”
Aku memandang mereka melangkah pergi. Ada sesuatu yang tersangkut di kerengkungku. Dalam hati terlintas satu kenangan. Aku tak menyangka, minat kami masih sama atau ia cuma kebetulan sahaja.

DCJ14

Dari sehari ke sehari, hubunganku dengan Abang Nain semakin rapat dan mesra. Dia pandai ambil hati. Ramah. Sentiasa ada sahaja topik yang nak dibicarakan. Lain benar kisah yang kudengar daripada Aunty Darlina. Kata Aunty, Dzulkarnain seorang lelaki yang degil dan keras kepala. Tingkahlakunya sering menyakitkan hati kedua orang tuanya. Hmm..entahlah. Aku malas nak beri komen lebih-lebih tentang orang yang baru aku kenali. Hubungan aku dengan ibu bapanya juga agak mesra. Babah pun macam tak kisah. Kata babah, eloklah ada teman. Pada Tan Sri Khairilzan, aku disuruh panggil Uncle Jan manakala ibunya Puan Sri Roziah, aku panggil mummy. Selalunya alasan untuk kami berjumpa adalah kerana mummy nak jumpa, mummy bosan ada di rumah seorang diri. Tapi dari apa yang aku nampak, wanita itu tidak bersendirian. Sebaliknya, ada ramai pembantu berada di rumah agam mereka termasuklah Abang Nain sendiri yang akan bertenggek dan mengekori sahaja ke mana aku pergi. Kadangkala, bapanya juga ada bersama. Kalau tak ke rumahnya, Abang Nain akan bawa aku keluar berjalan-jalan. Nak tunjuk suasana Shah Alam, katanya. Macamlah aku ni kampung sangat sampai tak kenal Shah Alam tu. Tapi kadang-kadang, aku ikut keluar juga. Bosan tinggal sendirian di rumah. Sejak akhir-akhir ni, babah semakin sibuk. Ada projek baru dengan syarikat Tan Sri Khairilzan, katanya. Tapi aku pelik. Abang Nain tak terlibat ke? Bukan ke dia pun bekerja di syarikat abahnya? Takkan babah saja-saja nak bagi aku peluang keluar dengan Abang Nain? Ataupun babah ada agenda lain dengan Aunty Darlina? Ish, Jasmin! Tak baik kau berburuk sangka dengan bapa sendiri. sahaja. Mesra kan? Mana taknya, hampir setiap minggu juga dia akan mengajak aku ke rumahnya, alasannya
***
Tok..tok..bunyi pintu bilikku diketuk perlahan. Kemudian pintu bilikku terkuak sedikit. Aku menarik selimut yang menutupi mukaku. Babah menjengul kepalanya.
“Ya, bah?”
“Tidur lagi? Min dah bangun solat subuh ka belum?”
“Dah. Sambung tidur balik. Ngantuk. Semalam lewat tidur.”
“Ok. Babah nak ke Tasik. Lepas tu nak singgah breakfast kat rumah Tan Sri. Ada hal. Nak ikut tak?”
Aku mengeliat malas sambil menggelengkan kepala. Mataku masih berat untuk dibuka luas.
“Bah, tolong beli roti canai ya balik nanti.”
“Ok.”
Pintu bilik ditutup semula. Aku terus merebahkan kembali kepala. Mataku terus terpejam rapat.
Tiba-tiba, telefon bimbitku berbunyi nyaring. Aku bingkas malas dari katil. Mengambil telefon yang kuletak di meja solek. Nombor asing.
“Hello.”
“Assalamualaikum. Dah bangun ke belum? Abang Nain ada kat bawah ni. Babah Min suruh hantar roti canai.”
Hah! Aku terus berlari ke tingkap bilik. Benar. Kereta Perdana miliknya terpangkir di hadapan halaman rumahku. Aku berlari semula ke meja solek. Memandang wajahku yang sembab.
“Min nak Abang Nain hantar ke bilik ke atau...?”
“Eh..jangan...Min turun bawah. Sekejap..bagi Min masa 10 minit. Nak basuh muka.”
Apa hal pula, babah suruh Abang Nain yang hantar sarapan untuk aku? Sewaktu aku menuruni anak tangga lelaki itu sudah berada di ruang tamu. Dia tersenyum tatkala memandangku. Pasti kelihatan melucukan melihat aku masih berbaju tidur pijama sahaja. Malas aku nak tukar. Bukan dia tak biasa melihat aku berpakaian sedemikian. Cuma aku masih menjaga maruahku sebagai wanita bukan muhrim dengannya. Aku menutupi kepala dengan tudung. Lagipun, pijama rona hijau lumut yang kupakai, longgar dan agak gelap warnanya. Langsung tidak kelihatan seperti baju tidur.
“Mak Piah mana?” soalku, bimbang ditinggal berdua di dalam rumah .
“Ada kat dapur. Dia buatkan air.”
Beberapa saat kemudian, Mak Piah menatang dulang berisi seteko air dan beberapa biji cawan.
“Haa...Jasmin dah bangun. Mari minum. Dzulkarnain bawa banyak bihun goreng,” ujar Mak Piah dari meja makan.
Bihun goreng? Aku berjalan menghampiri meja makan. Betul. Ada semangkuk besar bihun goreng di atas meja. Masih berasap lagi.
“Mana roti canai? Min nak makan roti canai.”
“Roti canai? Ish, Min ni. Puan Sri dah hantar bihun goreng pun masih tak bersyukur.”
“Abang Nain tipu Min? Kenapa mummy bagi bihun pulak?”
Dzulkarnain terkekeh-kekeh. Ketawa kecil. Mak Piah mengerut dahinya, semakin pelik dengan tingkah laku lelaki itu.
“Sebenarnya, mummy jemput Min dan Uncle Is breakfast kat umah. Abang Nain yang suruh ummi masak bihun goreng. Mak Piah kata Min suka makan bihun goreng. Abang Nain tunggu Min. Tapi yang datang cuma Uncle Is seorang. Sebab tu Abang Nain datang sini.”
“Abang Nain ni buang tabiat ke pagi-pagi ni?”
“Hei...hello...sekarang dah dekat tengahari. Ni dah betul-betul bangun ke..masih mimpi ni?”
Tak semena-mena lelaki itu terus mencubit pipiku. Aduh!
“Sakit la!” marahku sambil mengusap pipi ku yang pasti sudah kemerahan.
Lelaki terus tertawa.
“Tak lawak la, Abang Nain. Jangan lah cubit-cubit orang. Sakit tau,” marahku lagi sambil menampar bahunya. Geram melihat tingkahlakunya yang semakin galak ketawa.
“Memang la Min tak buat lawak, tapi pipi min tu dah merah macam badut.”
"Mahunya tak merah cubit orang macam cubit ketam. Kasar lah Abang Nain ni!"
“Oklah..ok..Abang Nain minta maaf. Abang Nain melawak saja lah.”
Ucapnya masih dalam nada tawa.
Aku memuncungkan mulut tanda protes. Namun, tanganku sudah ligat mencedok bihun goreng ke dalam piring di hadapanku. Rugi tolak rezeki.
“Jasmin.”
Aku menoleh ke arahnya. Dia mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya dan meletaknya di tepi pinggan makan ku. Tiket.
“Kawan abang ada beri 2 tiket ke pameran ni. Abang tak ada kawan nak ajak. Apa kata Min temankan abang hujung minggu ni?”
“Pameran apa?”
“Pameran Kesenian Islam. Ahad ni upacara perasmian pembukaan. Boleh ya?”
Lelaki itu memandangku, penuh mengharap.
“Err...nantilah. Min perlu tanya babah juga.”
“Abang dah tanya. Babah Min dah bagi green light,” pintasnya dengan senyuman lebar.
“Hah!”
Babah ni!
Eii...aku dah tak ada alasan nak mengelak lagi.

DCJ13

“Jasmin, ooo, Jasmin. Oi, minah, ni ada customer nak jumpa.”
Jerit Munir dari tingkat bawah. Hampir tersedak aku mendengar suaranya yang nyaring. Sambil mengurut-urut dada, aku meletak kembali mug berisi air coklat sejuk ke dalam peti sejuk.
“Kurang asam kau Moon! Tak boleh ke kau panggil aku elok-elok sikt. Dah la menjerit macam langsuir,” bebelku sebaik sahaja aku menghampirinya.
Dia tersengih cuma.
Aik, apahal mamat lembik ni? Sengih semacam jer.
“Hai, Min!”
Aku menoleh. Hah!
“Apa Abang Nain buat kat sini?” soalku separuh gugup.
Tidak menyangka ajakanku yang ala-ala ajakan ayam, betul-betul diambil kira. Baru semalam kami berjumpa di rumah Aunty Darlina, dan kini dia sudah berada di hadapanku.
“Saja. Kebetulan abang ada kerja dekat-dekat sini. Dah settle kerja, itu yang abang singgah sini. Min sibuk tak? Jom keluar makan.”
“Ha., er..Min tengah buat inventori kat stor. Sorry lah, abang Nain. Kerja Min banyak sangat sekarang.”
Wajah lelaki itu berubah kelat. Nampak seperti kecewa.
“Oh, ya ka? Hmm, tak ada rezekilah nak makan kat Kenny Rogers. Abang ingat nak belanja Min makan ayam panggang. Emm, tak apalah. Kalau macam tu, abang balik ke ofis sahaja. Jumpa lagi nanti ya.”
Kenny Rogers? Sedapnya! Tetapi lidahku kelu untuk menarik semula kata-kataku tadi. Aku hanya memerhati langkah Dzulkarnain keluar dari Muss Read Bookstore.
Tiba-tiba, pinggangku disiku keras. Aku mengaduh.
“Sakitlah, Moon!”
“Eh, sejak bila kau buat tugas aku?”
“Aku saja je, bagi alasan tu. Seganlah. Baru kenal semalam.”
“Bodohnya kau ni. Lelaki itu punyalah hensem, kau tolak pelawaannya. Kalau aku jadi kau, dah lama aku ikut.”
“Engkau tu Moon, semuanya kau nak rembat. Lagipun, aku malulah. Dia anak tan sri. Nanti, tak pasal-pasal kena protokol.”
“Ish, ish, protokol apa nya. Dia bukan anak raja. Manusia biasa macam kita juga. Dah, dah, pergi kejar dia. Kalau kau tak pergi makan dengan dia, aku potong fifty percent gaji kau bulan ni.”
“Mana aci.”
“Apa aci-aci. Kau nak cari aci, pergi India.”
“Dasyatnya kau Moon. Sampai macam tu sekali kau ugut aku.”
“Yelah, kau nak jadi anak dara tua ke sampai berkawan pun tak mahu. Tak payahlah kau nak tunggu si Luqman kau nak datang pujuk kau. Dia dah jadi jurutera terkenal dah sekarang ni.”
“Hei, apahal ke situ pula lari topiknya?”
“Alah, macam aku tak tahu. Kau tak payah nak sorok apa-apalah dari aku Min. Sudah, cepat pergi kejar dia, sebelum kau kena tinggal.”
Tubuhku di tolak kasar hingga ke pintu. Tiba-tiba, pintu kedai terbuka. Mujur aku tidak berlanggar dengan pelanggan yang baru masuk itu. Aku mendongak. Eh!
Dzulkarnain berdiri tegak di hadapanku.
“Err, abang ingat nak pujuk Min sekali lagi. Manalah tau, kot-kot Min berubah fikiran.”
Aku tersenyum. Pucuk dicita, ulam mendatang. Kalau dah dua kali rezeki mencari, patutkah aku menolak lagi?