Isnin, 25 Oktober 2010

PARUT CINTA


Gedebuk!
“Aduh!”
Aku mengaduh seraya menekap dahinya yang terasa pedih. Aku terus terduduk di kaki lima. Seketika kemudian terasa sesuatu yang pekat mula mengalir perlahan dari celah-celah jemariku.
“Woi, tak ada kerja ke? Baling barang sesuka hati,” Anisa menjerit kemarahan. Matanya kemerahan menahan marah terhadap dua lelaki yang mula menghampiri kami.
“Awak, ok ke? Maaflah, tak perasan awak berdua lalu tadi,” ujar salah seorang daripada mereka.
“Eh, apa maaf-maaf? Kau ingat kepala Anya ni kepala besi ke? Tak boleh ke bagi barang tu elok-elok. Ini main baling-baling aja.”
“Sudahlah, Anisa. Aku ok. Sikit je ni. Tak payah kecoh-kecoh.”
“Kau kata aku kecoh. Mari sini aku tengok dahi kau. Ya Allah! Anya, luka dalam ni. Jomlah pergi klinik.”
Anisa membelek dahiku yang mula mengalirkan darah. Aku mengaduh. Pedih.
“Anya, banyak darah keluar ni. Teruk ni. Jomlah kita ke klinik. ”
“Marilah, saya hantar awak ke klinik. Kebetulan saya bawa kereta hari ini.”
“Baguslah. Bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan.”
“Anisa. Sudahlah.”
Anisa mencebir apabila aku masih membela lelaki yang berdiri di hadapan kami.
“Saya Khir. Ini Rie. Kami ada kelas kat tingkat atas tadi. Main baling-baling tin. Tak sangka kamu berdua nak lalu kat sini. Macam ni lah, Rie, kau balik dulu. Bagitau Cikgu Fazil, aku tak jadi training hari ni. Ada emergency.”
“Ok. Kau jangan risaulah pasal latihan tu. Tahulah aku bagitau cikgu nanti.”
Lelaki yang menggelar dirinya Rie itu terus berlalu pergi. Ada sesuatu yang berdetik di hati tatkala terpandangkan renungannya.
“Bagus. Err..Awak, nak saya papah ke kereta saya ke?” soal lelaki yang bernama Khir.
“Tak payah nak ambil kesempatan pula. Saya ada kat sini. Tunjukkan sahaja kat mana kereta awak,” balas Anisa dengan nada tegas.
****
Aku memandang dahi kanannya yang berparut di hadapan cermin. Mengeluh. Tiba-tiba kenangan 12 tahun dahulu menerjah di ingatan. Aku juga hampir-hampir terlupa dengan parut yang berbekas di dahi ini. Tetapi kad yang bertinta emas yang dipegang ketika itu telah mengembalikan kenanganku ke zaman persekolahan semula. Sekali lagi aku meraup wajahku.
“Kau bertuah Anisa. Akhirnya, lelaki yang kau cintai menjadi pasangan hidup kau.”
Aku meletakkan kembali kad undangan tersebut di atas meja. Dengan langkah longlai, aku kemudiannya menapak keluar dari bilik. Tatkala itu, terbau aroma masak lemak dari arah dapur. Aku cepat-cepat berjalan menuju ke dapur. Kelihatan Umi Long dan Acu sedang sibuk memasak di dapur.
”Hah, Anya! Ada pun. Acu ingatkan Anya ikut Ayah Long ke pekan.”
”Tak ikut. Ayah Long cakap dia balik lambat. Umi dan Acu masak apa ni? Wanginya.”
”Ha, cuba teka?”
Aku menapak ke arah dapur gas yang sedang menyala apinya.
”Eh, eh, mana boleh tengok. Tekalah dulu.”
”Alaa..Anya bau macam masak lemak. Masak apa?”
”Masak lemak tempoyak dan ikan patin.”
”Amboi, sedapnya. Kecur dah lidah ni.”
Aku terus membuka tudung periuk yang masih berada di atas dapur gas. Benar kata umi Long. Seketika kemudian dia terkedu. Melihat masakan tersebut membuatkan dia teringatkan seseorang yang betul-betul sukakan masakan tersebut. Di manakah dia sekarang?
”Hah, jangan berangan di dapur. Nanti Anya kena belajar masakan ni. Buatnya kena kahwin dengan orang Perak, takdelah nak terkocoh-kocoh belajar,” usik Acu.
“Eh, eh, Acu ni! Bila masa pula Anya cakap nak kahwin dengan orang Perak. Memandai aja. Lagipun kalau setakat masak lemak ni, Anya dah khatam la. Tak percaya tanya Umi. Betulkan Umi?”
Acu tertawa melihat wajah anak saudaranya yang mula kemerahan menahan malu. Umi Long Cuma mengangguk sambil tersenyum melihat telatah dua beranak itu.
“Banyaknya lauk Umi masak. Ada orang nak datang ke?” Anya cuba mengalih topik.
“A’ah. Tetamu yang nak datang ni keampunan nak makan masak lemak tempoyak ikan patin. Tapi sayang anak dara dalam rumah ni asyik dok berangan dalam bilik. So, tak merasalah air tangan anak saudara Haji Iskandar,” Acu mengusik lagi.
Aku memuncungkan mulut. Tanda protes.
"Ha, muncunglah mulut tu. Esok-esok nanti dapat anak macam mulut ikan. Memuncung aja mak nya.”
"Acu ni! Jahatlah!”
Wanita berusia awal 40-an itu tertawa lagi apabila melihat wajah anak saudaranya memerah menahan usikan.
***
Aku memerhati tetamu yang masuk seorang demi seorang di sebalik ruang dapur. Ada enam orang kesemuanya yang terdiri daripada dua orang wanita dan empat orang lelaki. Tiba-tiba terasa seseorang mencuit bahuku. Aku menoleh. Acu menjegilkan matanya.
"Apa yang terhendap-hendap ni? Jom keluar. Salam dengan tetamu yang datang. Berkenalan dengan adik-beradik. Nanti jumpa di tengah jalan, berselisih bahu pun, Anya tak kenal mereka. Mari.”
Aku mencebik. Namun aku membuntuti juga belakang Acu walaupun terasa berat hati. Setiba di ruang tamu, terasa semua mata memandang ke arah kami. Aku jadi gugup.
"Ha, ini adik ipar saya, Bariah. Yang di belakangnya tu, anak saudara saya. Aniqah. Baru habis belajar di Universiti Teknologi Mara.”
"Oo, ini ke anaknya Fathil? Yang tinggal dengan kak Syadah dulu tu ke?”
Soal seorang wanita sebaya Ummi Long sewaktu aku menyalaminya. Aku tersentak. Makcik ni kenal aku ke?
"Ha, yelah tu.”
Tiba-tiba wanita itu terus memelukku. Aku kaget. Selepas beberapa ketika barulah wanita itu melepaskan pelukannya.
"Ya Allah, dah besar panjang dia. Lama Makcik tak tengok. Dulu masa makcik datang sini, kau kecil lagi. Selalu bertocang dua.”
Pecah ruang tamu dengan deraian tawa dari semua orang. Terasa bahang merah di wajahku. Malunya. Aku hanya mampu tersenyum.
“Aniqah tak kenal Fakhri? Dia pun sekolah di sini juga. Selepas SPM, baru pindah sekolah.”
Aku berpaling ke arah lelaki yang dimaksudkan. Baru kuperasan antara tetamu yang kesemuanya seusia ummi long dan ayah long, ada seorang lelaki yang agak muda di kalangan mereka. Duduk bersebelahan dengan ayah long. Lelaki itu menganggukkan kepalanya, tanda perkenalan. Aku memandangnya sambil mengerutkan dahi. Cuba mengingati wajahnya beberapa ketika.
“Maafkan saya. Saya tak ingat. Mungkin senior saya barangkali.”
“Dah banyak tahun. Anya ni pun dah dekat 10 tahun tinggalkan bangku sekolah. Selepas dapat sambung belajar di Shah Alam, mana dia pernah balik ke sini. Dia tinggal bersama abahnya di sana. Kami pula yang selalu ke sana bila teringatkan dia. Maklumlah, dia dah lama tinggal dengan kami.”
Mujur ayah long membantu.
“Ooo, begitu rupanya. Tak apalah. Yang penting dia tak lupa keluarga di sini.”
“Eh, kita ni asyik bersembang saja. Marilah ke ruang makan. Semua dah siap tu. Nak tunggu dijamah saja. Lambat-lambat sejuk pula nasinya nanti.”
Berderai lagi tawa. Masing-masing bangun bergerak mengikuti ummi long dan ayah long ke ruang makan. Aku dan Acu bergerak ke tepi bagi memberi ruang untuk tetamu-tetamu itu berjalan ke meja makan.
"Anya?”
Lelaki yang bernama Fakhri berhenti di hadapanku. Aku memandangnya kehairanan. Kenapa dia menyebut namaku?
"Awak kawan Anisah, kan? Ada dapat kad jemputan kahwinnya?”
Aku tersentak. Bagaimana dia kenal dengan Anisah?
"Awak kenal Anisah?”
Lelaki itu tersenyum.
”Kita jumpa di sana nanti,” ujarnya sambil berlalu ke meja makan.
Acu memandangku sambil mengangkat keningnya. Aku hanya mengangkat bahu, tanda tidak mengetahui maksud lelaki itu.
***
”Kenapa Ayah Long tak cakap, dia orang tu datang sebab nak meminang Anya?”
Ayah Long tersenyum. Dia memandang pula ke arah Ummi Long yang sedang leka melipat baju yang baru dikutip dari ampaian.
“Permintaan pihak lelaki. Lagipun, mereka datang bukan nak masuk meminang.”
“Eh, ya ka?”
Wajahku merah membahang. Malu seketika. Nampak sangat seperti aku yang gelojoh bertanya tanpa tahu pokok pangkal ceritanya.
“Iya. Mula-mula mereka datang sini hanya untuk merisik tetapi Ayah Long yang minta buat pertunangan terus sebab Anya dah ada di sini. ”
“Habis tu, abah macm mana. Takkan ayah long tak beritahu abah?”
“Abah kamu dah tahu hal ini.”
“Hah!”
Abah pun berpakat-pakat dengan ayah long rupanya. Kiranya, aku seorang sahaja yang tidak mengetahui perancangan mereka.
”Mana aci! Yang nak dipinang, Anya. Bukannya orang lain,” protesku tanda tidak setuju dengan tindakan Ayah Long dan Ummi Long yang bersengkongkol dengan Fakhri dan keluarganya.
“Fakhri tu selalu datang sini. Tanyakan Anya. Ummi suruh dia hubungi Anya sendiri tapi dia tak mahu ganggu Anya. Dia beritahu Ummi, dia hanya akan datang jumpa Anya bila Ayah Long, Ummi dan abah Anya sendiri beritahu bahawa Anya sudah bersedia.”
"Bersedia apa?”
"Bersedia untuk kahwin dan berumahtangga.”
Aku mengeluh. Aku sememangnya tidak dididik untuk membantah. Lagipun aku tak nampak kata-kata ummi long itu salah. Mereka lebih mengenaliku kerana mereka yang menjaga, membesar dan membimbingku semenjak mama meninggal dunia.
“Kalau Anya terima. Pakailah cincin tu.”
“Ummi beri saja pada abah. Anya tak boleh fikir lagi keputusannya.”
“Tak perlu tunggu lama-lama. Fakhri tu baik orangnya. Biarlah kita berkahwin dengan orang yang sayang dan cintai kita lebih dari kita. Itulah yang sebaik-baiknya.”
Aku memandang ke arah ummi long dan ayah long bersilih ganti. Kedua-duanya tersenyum ke arahku.
***
"Tahniah, Anisa!”
Ujarku seraya memeluknya.
"Terima kasih, Anya. Terima kasih kerana sudi datang.”
Anisa membalas pelukanku, erat.
"Kau dah makan ke?”
"Belum. Aku baru sampai, terus datang jumpa kau.”
"Kau pergi makan dulu. Khir pergi jumpa pengapit dia sekejap. Nanti selepas makan, datang sini balik tau. Jumpa aku sebelum pulang.”
Aku mengangguk seraya menapak keluar dari bilik pengantin yang terhias indah. Memberi peluang kepada tetamu lain untuk masuk melihat pengantin.
Aku melangkah perlahan menuju ke khemah makan. Bersama-sama tetamu jemputan yang lain, aku beratur mengambil makanan yang disediakan secara bufet.
"Anya!”
Suapanku terhenti. Serasa diriku dipayungi seseorang. Aku menoleh ke sebelah. Fakhri!
“Datang seorang?”
“Err, ya.”
“Dah jumpa pengantin?”
“Sudah dan belum.”
Lelaki itu berkerut. Aku tertawa kecil. Hairan. Aku seperti telah lama mengenalinya walaupun baru dua kali bertemu. Mungkin juga aku perlukan seseorang bagi menghilangkan gemuruhku di tempat kenduri.
“Sempat jumpa pengantin perempuan sahaja. Pengantin lelakinya tiada di dalam tadi.”
“Ooo. Er, ke mana selepas ni?”
“Tak tahu lagi nak ke mana. Mungkin terus balik ke Shah Alam.”
“Hari ni juga?”
“Emm, abah ada hal. So, terpaksa ikut dia balik sebab dia tak nampak jalan kalau bawa kereta malam-malam. Silau katanya.”
“Saya balik dengan awak.”
“Hah!”
"Senangkan kalau dah kenal dengan bakal mertua.”
***
Aku memerhati babah dan Fakhri dari jauh. Mesra sekali. Sepanjang perjalanan tadi pun, mereka tidak berhenti bersembang. Ada sahaja topik yang dibualkan. Walaupun baru dua kali berjumpa, Fakhri tidak kekok bersama babah.
Aku berjalan menghampiri mereka sambil menjinjit seplastik kacang kuda.
“Anya ke mana? Lambatnya,” soal babah.
“Selepas solat tadi, singgah kedai depan tu, beli buah dan ni, ” ujarku sambil mengunjukkan plastik yang ku pegang. Babah menggelengkan kepala.
“Tak habis-habis dengan kacang. Tunggu di sini sekejap. Babah nak ke bilik air.”
Aku mengangguk sambil melabuhkan punggung di sebelah Fakhri.
“Parut di dahi Anya masih ada lagi?”
Aku tersentak dan seperti renjatan elektrik dengan spontan aku menyentuh dahi kananku. Memang masih berparut cuma kelihatan tidak ketara kerana terlindung dengan rambutku. Sudah 12 tahun berlalu. Ini bermakna 12 tahun juga parut ini berada di dahiku.
“Mana awak tahu tentang parut ni?”
“Kalau Anya nak tahu, hari tu bukan Khir yang jatuhkan bekas tersebut. Tapi saya.”
“Hah? Apa maksud awak? Saya tak faham.”
"Khir sebenarnya nak mengena Anisah. Saya bantah. Saya tolak tangan Khir, tak sangka bekas tersebut terlepas dari genggamannya. Dan kebetulan pula awak mendahului Anisa.”
Aku memandangnya sambil terkebil-kebil. Sekali lagi, pada malam ini aku terimbas kembali peristiwa 12 tahun dahulu.
“Anya, maafkan saya.”
Aku memandang gelas di hadapan.
“Anya, awak marah saya?”
“Tak apalah. Saya dah lupakan peristiwa tu. Saya pun dah hampir-hampir tak ingat dengan kejadian tu kalau awak tak cerita malam ni.”
“Saya selalu ingat.”
Sekali lagi aku tersentak. Apa maksud dia?
“Saya tak rasa awak dah lupa tentang kejadian tu.”
“Kenapa pula?”
“Gelang ni. Awak dapat gelang ni selepas kejadian tu kan?”
Mana dia tahu tentang gelang ni? Bukankah Khir yang hadiahkan padaku? Takkan Khir beritahu Fakhri. Dalam kad yang dikirim bersama ada menyebut tentang rahsia gelang hanya antara aku dan Khir. Tiada siapa yang tahu waima Anisa. Takkan?
“Awak yang beri? Jadi, selama ini...”
Aku kematian kata-kata. Selama ini aku benar-benar menyangka Khir yang hadiahkan kepadaku tanda minta maaf. Rupa-rupanya aku tersilap.
“Masih ingat isi kandungan kad tersebut?”
Saya sukakan awak. Tunggu saya datang cari awak.
Ringkas. Pendek. Dan sentiasa menjadi tanda tanya pada diriku. Kenapa Khir nak cari aku sedangkan dia sentiasa berada di hadapanku. Dia selalu bersama Anisa. Khir ku lihat langsung tidak pernah cuba mendekatiku. Sebaliknya dia semakin rapat dengan Anisa. Bila kulihat Anisa gembira bersama Khir, aku beranggapan dia hanya ingin bergurau. Tetapi aku tidak menyangka sama sekali bahawa pengirimnya bukan Khir, tetapi Fakhri. Ini kerana seminggu selepas itu aku tak pernah lagi berjumpa dengan Fakhri, kerana dia telah bertukar sekolah.
“Mana cincin yang saya berikan hari tu?”
“Babah simpankan.”
“Kenapa tak pakai?”
Aku menghela nafas, berat. Terasa penat tiba-tiba. Kejutan demi kejutan yang kuterima sejak aku pulang ke rumah ayah long.
“Anya tak suka?”
“Awak, saya penatlah. Apa lagi kejutan yang awak nak buat pada saya?”
Giliran lelaki itu pula mendiamkan diri. Jelas kelihatan kerut di dahinya tanda tidak faham dengan maksud kata-kataku.
“Selama ini, saya sangka pengirim kad tersebut adalah Khir. Mujur saya tak tuntut janji tu daripada Khir. Kalau saya teruskan niat saya tu, tentu saya malu. Selebihnya, awak tentu lebih jelas dan faham maksud saya ini.”
***
: Aniqah! Maafkan saya. Saya tak bermaksud nak mempermainkan perasaan awak.
Tiada lagi Anya. Sebaliknya Fakhri menyebut nama penuhku dalam pesanan ringkas yang kuterima lewat malam itu. Aku tidak membalas pesanan tersebut. Tidak tahu apa yang nak ditulis.
Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Fakhri! Lama ku biarkan ia berdering tanpa jawapan. Diam. Namun, kemudian ia berbunyi lagi. Aku menekan punat angkat.
“Hello.”
“Awak dah tidur ke?”
“Belum.”
“Boleh saya beritahu sesuatu sebelum awak tidur?”
“Apa dia?”
“Saya suka awak. Saya harap awak tak marah kalau saya cakap ini.”
“Cakap apa?”
“Saya ikhlas, saya cintakan awak. Saya nak awak di sisi selalu. Saya nak awak jadi suri hidup saya sehingga akhir hayat. Boleh?”
Terasa wajah ku membahang. Jantungku seakan-akan terhenti. Pertama kali aku mendengar lafaz cinta daripada seorang lelaki. Tiba-tiba terasa perasaan yang sama seperti semasa aku menerima kad dan seutas gelang 12 tahun dahulu.
“Anya, awak masih di sana?”
“Ya.”
“Anya, apa jawapan awak?”
“Boleh beri saya masa?”
“Boleh dan tidak boleh.”
“Hah!”
Kedengaran tawa kecil di sebelah sana.
“Boleh sekiranya jawapannya adalah ya. Tidak boleh kalau jawapannya adalah tidak.”
“Hah!”
Kedengaran tawanya berdekah-dekah. Entah apa yang melucukan sangat.
“Pergilah tidur. Saya nak jawapan daripada awak, esok. Saya telefon balik malam esok. Tidur lena dan mimpi indah. Selamat malam.”
Aku terus merebahkan badan. Kalau 12 tahun dahulu mungkin aku bersedia untuk mendengar kata-kata keramat itu. Sepatutnya aku lebih bersedia sekarang. Tetapi kenapa bukan malam ni? Kakiku mula terasa seram sejuk. Tubuhku menggigil tiba-tiba. Aku nak demam ke?
***
“Fakhri, pergilah balik berehat. Anya tu tak ada apa-apa. Cuma demam panas sahaja. Lagipun, suhu dia dah turun, normal. Tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan lagi,”
Sayup-sayup kedengaran suara abah di hujung kakiku.
“Tak apa abah. Biar Rie sahaja tunggu Anya. Lagipun, semalaman abah di sini. Malam ni, biar Rie yang jaga.”
Abah mengeluh.
“Kalau macam tu, abah berehat di surau dahulu. Kalau ada apa-apa, cari abah kat sana.”
Tatkala itu terasa selimut yang melurut ke pinggang ditarik perlahan menutupi tubuhku.
“Fakhri.”
Panggilku perlahan. Mataku masih terpejam. Berat rasanya untuk membuka kelopak mataku.
“Anya kat mana?”
“Anya kat hospital. Dah 2 hari Anya tak sedarkan diri. Suhu badan mencecah 40’c.”
Aku cuba membuka kelopak mata. Fakhri tersenyum di sisiku.
“Mujur abah cepat. Kalau tidak, Anya boleh kena sawan.”
Aku tergelak kecil. Fakhri mengerutkan dahinya.
“Kenapa?”
“Anya bukan budak kecil nak kena penyakit sawan.”
“Jangan main-main dengan suhu panas. Rie pernah tengok orang dewasa kena sawan lagi teruk tau.”
Aku terdiam.
“Rie nak tanya. Anya demam sebab pengakuan Rie malam tu ke?”
“Anya tak nak bincang tentang hal tu lagi.”
“Habis tu, Anya tak nak terima Rie?”
“Abah dah pulangkan cincin tu pada awak?”
“Belum.”
“Awak nak cincin tu balik ke?”
Lelaki itu merenungku. Tajam. Aku membetulkan pembaringanku. Belakang badanku lenguh. Mungkin akibat terlalu lama berbaring.
“Tak payahlah bangun. Badan awak masih lemah. Muka tu pucat sahaja. Macam tak cukup darah. Makan tu, jangan cerewet sangat. Masa rehat, rehat secukupnya. Masa makan, makan. Jangan buat kerja sehingga terabai kesihatan diri sendiri.”
Aku mengetap bibir.
“Tak payahlah nak membebel di sini. Saya tahu jaga diri saya sendiri.”
“Kalau tahu, takkan sampai sakit?”
“Allah dah nak uji. Nak buat macam mana. Bukan kuasa saya nak menghalangnya.”
“Pandai sungguh dia menjawab. Cium mulut tu nanti...”
Huh! Gatalnya! Aku terdiam apabila mendengar kata-katanya. Seminit. Dua minit. Tiga minit.
“Err.. Teringinlah saya nak merasa masak lemak tempoyak ikan patin macam hari tu. Sedap.”
“Mestilah sedap. Ummi yang masak.”
“Aik! Bukan awak yang masak ke? Ummi cakap awak pandai masak masakan tu.”
“Pandai sangat tu, tidaklah. Tapi bolehlah kalau setakat nak makan satu keluarga.”
“Hmm, jadilah. Hujung minggu ni masakkan untuk saya, ya.”
“Eh! Kenapa pula saya nak masakkan untuk awak? Ini pun masih di hospital.”
“Alah, Insyaallah, tengahari esok dah boleh balik. Saya dah tanya doktor pagi tadi. Awak cuma letih dan dan stress. Itu sahaja. Janganlah terlampau memikir sangat. Awak tak suka ke saya meminang awak?”
“Bukannya tak suka, tapi semua ni terlampau mengejut sangat. Dah tu pula berlaku serentak. Mana saya tak fikir. 12 tahun saya pendam perkara itu sendirian dan menyangka saya perasan seorang. Tetapi rupa-rupanya memang ada mastermind di sebalik semua ini.”
Lelaki itu tertawa. Kuat.
“Syhhh..kuatnya. Tak boleh perlahan sikit ke? Ini hospital. Bukan rumah. Lucu sangatlah tu.”
“Haha... saya mastermind?”
“Iyalah. Siapa lagi?”
Lelaki itu masih meneruskan tawanya. Tetapi agak perlahan berbanding tadi. Apalah yang melucukan sangat tentang istilah yang aku ucapkan padanya?
“Tadi saya dengar, awak cakp suka dengan peminangan ini. Jadi, awak setujukah?”
Burr! Terasa bahang panas menerpa ke wajahku. Err..alamak! Terkantoi! Ingat nak berdalih dan mencari alasan lagi. Hendak melihat sejauh mana kesungguhan lelaki ini memujukku, tetapi dah terlepas cakap pula.
Aku terus menutup wajahku dengan bantal peluk. Malunya. Beberapa saat kemudian terasa seperti tangan kiriku ditarik. Kemudiannya terasa seperti ada sesuatu disarungkan ke jari manisku. Fakhri menarik bantal yang menutupi wajahku perlahan-lahan. Dia tersenyum sambil menyentuh parut di dahiku.
“Malu ya? Parut ni, penanda awak milik saya. Gelang ni saya anggap acara merisik hari tu tanda hati awak masih pada saya dan cincin ni adalah tanda pertunangan kita. Simpan elok-elok tau. Hujung minggu ni keluarga saya datang lagi untuk upacara yang rasmi.”
Tu dia.. banyak sungguh tanda semata-mata untuk memilikiku. Dan yang paling aku tak tahan, tanda parut di dahiku.
“Sakit tau kena tin tu. Sampai berparut awak buat kat saya,” aduku dalam nada manja.
“Ala-ala. Kesiannya. Tak apa. Selepas ni, saya bagi parut lain pula. Parut cinta.”
Huh! Tercengang aku seketika. Fakhri tersenyum lebar. Aku mula faham maksudnya.
“Eii, tak senonoh!” Jeritku sambil melayangkan cubitan di lengannya.
Tawa Fakhri meletus lagi. Kali  ini lebih kuat daripada tadi.
Sukanya dia....




Ahad, 24 Oktober 2010

KERANAMU AIZY

Ruang dapur yang tadinya kelam sudah bertukar cerah disimbahi lampu Kalimantan.
Kelekuk!
“Aduh! Sakitlah!” jeritku seraya mengusap kepala yang agak sengal kesan diketuk dengan sudu. Terasa seperti hendak menangis pun ada. Tak sangka lelaki itu sanggup mengetuk kepalaku.
“Padan muka. Ini baru guna sudu. Belum lagi aku luku dengan lengan. Turun! Kau ingat ini kerusi ke? Kabinet dapur dengan kerusi pun dah tak tahu beza. Dah tu bergoyang-goyang kaki macam tunggu pelanggan.”
Aku tersentap.
Tunggu pelanggan? Dia samakan aku dengan pelacur kah?
Dengan perlahan aku turun, berpijak ke lantai. Mug berisi milo ais aku bawa ke sinki. Aku terus mencurahkan semua isi milo ais yang baru ku bancuh ke dalam sinki. Hilang terus dahagaku sebentar tadi.
“Nak ke mana pula tu?”
“Nak naik tidur.”
“Awal lagi ni.”
“Awal pun awal lah. Lagipun, tunggu pelanggan, tak datang-datang. Maklumlah, tak laku,” ujarku seraya memulang paku buah keras.
Wajah lelaki itu berubah.
“Awak terasa ke dengan apa yang saya kata tadi?”
“Habis tu? Itukan maksud abang? Nak samakan Jie dengan pelacur.”
“Dah pakaian tu terdedah sana, terdedah sini. Duduk pula mcam tu..”
Aku merenung kembali pakaian yang membaluti tubuhku. Tidak terlalu terdedah. Sekadar body fit berwarna merah terang dan seluar pendek hitam separas lutut.
“Jie memang suka minum di atas tu. Senang nak capai gelas. Lagipun, kabinet rumah abang ni, semuanya tinggi-tinggi. Mana Jie nak sampai. Jie pakai pakaian ni sebab Jie dalam rumah. Bukannya di luar rumah.”
“Tapi bukan depan aku.”
“Eh! Salah ke? Isteri tak boleh pakai macam ni ke di hadapan suami? Habis tu nak tunjuk kat siapa? Orang luar?”
“Jie!”
Aku terdiam.  Bila suaranya sudah meninggi sebegitu, aku fikir tak guna lagi aku bersuara. Nanti lain pula jadinya. Dengan pantas aku melangkah menuju ke bilik tidur. Meninggalkannya dirinya sendirian di dapur.
Aku merebahkan diri di atas katil. Cuba memejamkan mata yang tidak mengantuk. Aku menghela nafas panjang. Sangkaku berkahwin dengan lelaki yang dicintai akan beroleh bahagia. Rupa-rupanya aku silap. Cinta di satu pihak sahaja tidak akan membawa apa-apa makna.
***
Suasana remang petang agak panas. Tiada tiupan angin. Ditambah pula dengan kehadiran ramai pelanggan di kedai makan tempat kami berhenti menghilangkan haus di tekak.
“Kalau dia tak sukakan kau, kenapa dia setuju bernikah dengan kau?” soal Amirah seraya menyedut fresh orennya. Aku mencebir.
“Manalah aku tahu?”
“Kau tak pernah tanya dia?”soalnya lagi seperti lagak seorang detektif pula.
 “Kau ni gila ke? Takkan aku nak tanya direct macam tu kat dia? Malulah aku.”
“Lerr.. habis tu takkan kau nak biar rumahtangga kau macam ni jer. Tak ke mana nya. Silap-silap hari bulan, kau masuk wad gila.”
Aku membeliakkan mata ke arahnya
“Mulut kau ni Amirah. Tak ada insuran sungguh. Kau doakan aku jadi gila ke?”
Gadis di hadapanku tersengih bak kerang busuk. Bukannya nak membantu aku menyelesaikan masalah, menambahkan masalah lagi ada lah. Geram pula bila aku melihatnya.
“Maaf. Aku bagi perumpamaan jer.”
“Perumpamaan kepala hotak kau. Sudahlah. Aku nak balik ni. Dah pukul 6.30 petang. Aku tak bagitau pun Airil, aku datang jumpa kau. Nanti jenuh pula nak bersoal jawab dengan dia.”
“Err, kau hantar aku kat Shah Alam yer? Aku malaslah nak tunggu bas.”
“Yalah, yalah. Aku hantar sebagai menghargai jasa baik kau menjadi pendengar setia masalah aku.”
“Hehe..macam tu lah kawan, beb!”
***
Sebaik sahaja aku tiba di pekarangan rumah, kelihatan Honda Civic warna hitam pekat telah terpakir di halaman. Aku memandang jam di dashboard kereta. Pukul 8.30 malam. Ternyata aku lewat tiba hari ni. Semuanya gara-gara si Amirah yang meminta aku menghantarnya ke rumah ibu saudaranya di Shah Alam.
"Apa-apa pun masalah kau dengan Airil, selesaikanlah dengan cara baik. Aku rasa kau perlu lebih berkomunikasi dengannya. Aku pasti jodoh kau dengan dia. Aku kenal kau suka lelaki yang macam mana dan Airil adalah lelaki yang terbaik untuk kau. Fikir-fikirkanlah."
Tiba-tiba terlintas kembali kata-kata Amirah ketika aku di rumah ibu saudaranya. Dalam loyar buruknya, ada juga kata-katanya yang meresap ke tangkai hatiku.
Setelah berselawat beberapa kali, aku melangkah masuk ke dalam rumah dengan penuh debaran di dada. Seperti yang aku jangka, Airil terbaring di atas sofa sambil menonton televisyen. aku melangkah perlahan melintasi ruang tamu itu.
“Lambat balik hari ni?”
Langkahku terhenti. Aku memandang ke arah Airil yang santai di atas sofa ruang tamu.
“Abang dah makan. Ni Jie beli lauk. Nanti Jie panaskan, kita makan sama-sama ya,” ujarku cuba mengalih topik perbualan.
“Jie ke mana tadi?”
Ternyata helahku untuk mengelak tidak berjaya.
“Err..Jie hantar Amirah ke rumah Ibu saudaranya kat Shah Alam.”
“Kenapa call, tak dapat? Jie bawa telefon ke tidak?”
“Abang call? Jie tak dengar pun.”
Aku tertunduk seraya menyelongkar telefon bimbit di dalam beg tanganku. Ohh!
“Telefon Jie habis bateri. Patutlah tak berbunyi sehari ni.”
“Boleh tak kau serius sedikit? Aku sepetang macam nak gila telefon cari kau di sini sana. Risau kalau jadi apa-apa. Kau bagi alasan bateri telefon habis. Macam tu sahaja. Kau tak fikir ke aku yang kat rumah ni?”
Aku tersentak. Suara Airil sudah agak tinggi dan tegas. Aku tak suka bila dia begitu. Walaupun, kesalahan itu berpunca daripadaku. Tak boleh ke dia cakap dalam nada lembut. Terasa seperti takungan air panas di bibir mata.
“Maaf.”
“Maaf, maaf. Itu sahajalah. Kau tahu tak berdosa isteri keluar rumah tanpa kebenaran suami?”
Air mataku sudah tidak dapat dibendung lagi. Aku menangis.
“Sampai hati abang cakap pasal dosa depan Jie. Pernah tak abang terfikir dosa suami yang tidak pernah menunaikan tanggungangjawab batinnya terhadap isteri?”
Wajah lelaki itu berubah.
“Sepanjang dua bulan kita kahwin ni, kita tidur bilik berasingan. Kita macam orang asing. Abang tak sayangkan Jie? Abang langsung tak cintakan Jie? Apa salah Jie pada abang? Kenapa kita kahwin, kalau abang langsung tak suka pada Jie?”
Aku terduduk di atas sofa. Kakiku lemah sekali untuk berdiri. Aku tak kuat rupanya. Aku ingat aku mampu hadapinya walau selama mana pun. Tetapi aku tak mampu lagi bertahan walau untuk satu bulan lagi. Aku bertekad, sekiranya Airil benar-benar tak cintakan aku, lebih baik kami berpisah. Itu sahaja jalan penyelesaiannya yang aku nampak sekarang.
“Jie dah ada lelaki lain sebelum kita kahwin kan?”
Aku terpanggung. Mencari maksud di sebalik pertanyaannya.
“Lelaki lain? Apa maksud abang?”
“Kenapa Jie tak beritahu pada ibu abang yang Jie dah ada kekasih? Kenapa Jie terima lamaran ibu?”
“Kenapa pula Jie nak tolak lamaran ibu? Jie cintakan abang.”
“Habis tu siapa Aizy? Bukan dia ke kekasih hati Jie?”
Hah!
Aku tersenyum. Terasa hatiku teramat lega kembali apabila mendengar nama itu meniti di bibirnya. Pelbagai kemungkinan yang aku mula fikirkan apabila dia membangkitkan hal lelaki lain yang menjadi kekasihku. Aku sendiri berasa hairan dengan sikap dinginnya dan mula memikirkan yang bukan-bukan. Tetapi tak sangka pula hanya kerana nama itu, dia salah faham sehingga sanggup menjauhkan diri daripadaku.
“Kenapa tersenyum pula? Jawablah soalan abang tadi. Siapa Aizy tu?”
“Mana abang tahu nama tu?”
“Dalam beg duit Jie. Siap tulis dengan marker warna emas lagi.”
“Betul abang nak tahu? Abang tak menyesal ke kalau abang dah tau tentang kekasih Jie tu nanti?”
“Cepatlah,” tengkingnya dalam nada geram. Dadanya kelihatan berombak. Menahan marah barangkali.
“Baiklah.  Dia seorang lelaki yang hensem, baik, alim macam ustaz ….”
“Aku tak nak tahu pasal tu. Aku nak tahu siapa Aizy tu. Itu sahaja.”
“Ok. Ok. Jie terangkan hal sebenar. Aizy tu adalah gabungan nama abang dan Jie.. Airil dan Haizy. Itu sahaja. Bukan lelaki lain. Jie tak pernah ada lelaki lain dalam hidup Jie. Hanya abang seorang sahaja.”
Airil termanggu.
“Jadi…Aizy tu.. abang dan Jie..”
Aku mengangguk, mengiya.
“Ya Allah!”
Lelaki itu meraup rambutnya.
Aku bangun dan duduk bersebelahannya. Kami berpandangan seketika. Lelaki itu tertawa. Kali kedua aku melihat dia tertawa. Pertama kali adalah pada hari pernikahan kami. Manis sekali. Dan selepas malam pertama kami, dia tak pernah lagi tertawa di hadapanku.
“Bila abang jumpa nama tu?”
“Selepas malam pertama kita.”
Aku memandangnya dengan perasaan sedikit kecewa dengan sikapnya yang agak terburu-buru menuduhku.
“Ya, abang tahu abang salah. Kalaulah abang tanya tentang hal ini lebih awal, tentu perkara ini tidak berlarutan sehingga 3 bulan lamanya. Maafkan abang, Jie.”
Lelaki itu mengenggam erat tanganku. Panas.
“Kenapa Jie kata abang alim macam ustaz?”
Aku tertawa gelihati.
“Sebab abang langsung tak tergoda walaupun Jie pakai seksi tak hengat.”
“Ohh.. Jadi Jie memang ada maksud lah bila berpakaian macam tu?”
“Habis tu, takkan abang nak Jie pakai purdah pula dalam rumah?”
“Malam ni nak pakai lagi tak?”
Wajahku merona panas. Aku memandang wajahnya. Matanya merenungku dengan penuh makna.
“Err, abang dah tak mau jadi ustaz ke?”
“Ustaz? Abang jadi ustaz tak pakai kepiah, boleh?”
Soal lelaki itu seraya tertawa dengan kuat. Macam gatal pula bunyinya. Membuatkan bulu romaku meremang kembali seperti malam pertama kami. Erk!