Sabtu, 10 Mac 2018

ADA CINTA: Aku 'playgirl'?


Telefon berdering berkali-kali. Lagu Menang nyanyian Faizal Tahir melantun sekali lagi sebelum kembali sepi. Aku membiarkan sahaja tanpa mempedulikan si pemanggilnya. Dua unit kerusi yang aku bawa balik semalam masih terbiar sepi di sudut bilik. Aku betul-betul hilang mood untuk mengecat. Peristiwa semalam mula bermain-main dalam fikiranku.

“Awak nak kata saya ni ‘playgirl’ ke? Itukah maksud awak?”

“Aku tak kata. Tapi kalau dah makan cili, agak-agak siapa yang akan terasa pedas?” soalnya sambil mengangkat keningnya.

Wah! Makin menyirap tahap kemarahan aku.

“Habis tu awak pun apa kurangnya. Perempuan keliling pinggang. Tak cukup dengan satu,” balasku. Aku sendiri dah tak tahu betul ke tidak tuduhanku itu. Tapi yang nyata, aku pernah nampak dia bercakap mesra dengan perempuan lain. 

Pandangan Tareeq semakin tajam. Wajahnya memerah.

“Sekurang-kurangnya aku tak menggedik macam kau. Lagipun kalau aku ada perempuan sekeliling pinggang aku ni, bukan aku yang terhegeh-hegeh dulu.”

“Woi…woi… aku rasa korang berdua ni tak perlulah nak bertekak tentang hal ni. Benda kecil sahaja kot,” sampuk Abang Haidhar setelah sekian lama membiarkan kami berdua bertekak.

Merasakan diri ini tidak boleh lagi berada di situ, aku terus menghampiri Hakimi.

“Kimi, saya balik dulu. Bagi balik kerusi tu kat saya.”

“Eh, Anna. Biarlah Kimi yang bawakan. Lagipun kita satu arah ja. Selepas makan, kami hantar Anna balik kolej,”ujar Abang Haidhar seraya menahan tindakanku.

Aku menggeleng. Perlahan-lahan aku mendapatkan kembali dua model kerusi daripada Hakimi. Abang Haidhar dan Hakimi kelihatan terkejut dengan tingkahku tapi tidak dengan Tareeq. Wajahnya sejuk beku tanpa perasaan.

“Tak apalah. Korang pergilah makan. Anna nak balik dulu. Bye.”

Aku mengeluh sambil meraup wajahku. Hatiku tidak tenteram. Sakit hatiku masih terasa. Aku bukan seperti yang dikatakan oleh Tareeq. Tidak pernah terlintas di fikiranku untuk jadi wanita seperti itu. Adakah dengan bercakap dengan lelaki asing, aku sudah dianggap ‘playgirl’? Mataku mula berair. Teruk sangat ke aku ni di pandangan matanya? Perlahan-lahan aku mengesat air mata. Aku menghela nafas panjang.

“Hishhh! Tak boleh jadi ni! Aku perlu buat sesuatu untuk hilangkan rasa sakit dan sedih di hatiku ini. Lebih baik aku pergi buat kerja di bengkel.”

Aku bingkas. Setengah jam aku berjalan menuju ke bengkel. Telefon bimbitku berdering lagi untuk kesekian kalinya. Aku terus mematikannya. Itu lebih baik dari bingit mendengar deringannya. Sebaik sahaja aku tiba di depan pintu bengkel, aku membuka kunci dan suis lampu. Aku mencapai apron dan memakainya. Arghhh…kenapa rasa marah ni seperti tak mahu hilang? Aku terus mencapai getah rambut di lengan dan mengikat rambutku seperti tocang kuda. Menarik ketat-ketat seolah-olah boleh menarik urat-urat kemarahanku. Aku mengetuk paku pada kayu penyambung yang akan dibuat meja dengan penukul. Kuat sangat! Kelekung! Kdtang!

Potongan kayu sepanjang sejengkal itu melantun ke kepalaku dan jatuh ke lantai tanpa sempat aku elak. Penukul terlepas dari tangan. Kepalaku berpinar-pinar menyebabkan aku jatuh terduduk. Aduh!!! Sakitnya! Terasa seperti ada cairan mengalir di tepi wajah. Aku menekan-nekan dahiku. Terketar-ketar aku membawa tangan kananku di depan mata. Ya Allah, darah! Aku cuba berdiri, tetapi kaki tersadung susunan papan lapis di belakang lalu jatuh semula ke lantai. Semakin banyak pula cairan panas mengalir di wajahku.

“Anna… Anna…”

Suara Tareeq. Kenapa dia datang? Aku tak mahu berjumpa dengannya. Aku menunduk. Tetapi makin banyak pula darah yang menitis. Ugghhh! Sakit di dahi makin berdenyut-denyut.

“Anna! Kenapa ni? Anna!”

Terasa bayang tubuhnya sudah berada di hadapanku. Pandanganku makin kelam.

****
“Doktor kata apa?” soal Haidhar kerisauan.

“Luka sikit sahaja. Mujur tak dalam.”

“Mujur juga kena tepi dahi. Kalau kena mata? Haish, aku tak boleh nak bayangkan.”

“Hish. Ada pula ke situ fikirnya. Dah, jom kita keluar. Bagilah dia rehat dulu. Tapi aku hairanlah. Apa dia buat di situ sendirian?” Haidhar menyampuk.

“Dia marahkan akulah tu.”

“Marahkan kau? Macam mana kau tahu?” soal Hakimi sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Reaksinya selepas beberapa kali aku sakitkan hatinya,” jawab Tareeq sambil memandang wajah gadis yang terbaring lesu di hadapannya. Di fikirannya terbayang reaksi Anna yang akan mengikat rambut satu seperti tocang kuda apabila dia dalam keadaan marah.

Tareeq berjalan keluar dari bilik rawatan. Tidak mahu gadis itu terganggu dengan perbualan mereka. Haidhar dan Hakimi turut mengekorinya keluar.

“Oh, ya ka? Reaksi yang sama?” soal Haidhar kembali.

“Hmm, tetapi kali ni lagi teruk. Dia bermain dengan kayu dan penukul. Hush! Takut aku tengok keadaannya ketika itu.”

“Engkau lah teruk!”marah Hakimi.

“Apa pula aku?”

“Kata-kata kau selepas game kita hari tu! Kalau aku jadi dia pun, aku akan terasa hati. Mulut kau tajam mengalah pisau. Kadang-kadang aku pelik, kenapa kau suka sakitkan hati dia?”

“Aku…err…aku… aku tak boleh tengok dia bersembang dengan budak Iqram tu. Aku rasa geram sangat! Rasa macam nak tumbuk sahaja muka Iqram tu.”

Haidhar dan Hakimi berpandangan sesama sendiri dan kemudiannya ketawa.

“Apahal korang berdua ni tiba-tiba gelakkan aku? Aku tengah susah hati, korang berdua boleh ketawa pula.”

“Kalau kau marahkan si Iqram tu, kenapa pula Anna yang menjadi mangsa. Lagi satu. kau tahu tak apa maknanya tu, beb?” soal Haidhar sambil memeluk dan menepuk bahu rakannya itu.

“Itu maknanya kau jeles tengok dia rapat dengan lelaki lain. Kau sukakan dia lah, bro!”ujar Hakimi sambil mengacau rambut Tareeq. Sekali lagi kedua-dua jejaka itu ketawa melihat reaksinya.