Rabu, 2 Februari 2011

Haruman Cinta Sara * Baru

Alan tiba-tiba menghentikan langkahnya. Tindakannya yang mendadak menyebabkan langkah Bjury juga terhenti. 
"Kenapa, tuan muda?"
"Bau itu. Wangian yang perempuan itu pakai, seperti aku pernah bau. Siapa perempuan itu, Bjuri?"
"Perempuan mana?"
"Perempuan yang baru keluar dari bilik Daddy Mel?"
"Yang lalu sebelah kita sebentar tadi tu?"
Alan mengangguk.
"Errr..kalau tak silap itulah anak angkat yang selalu Tuan Kamel sebutkan tu."
"Anak angkat?"
Alan meneruskan langkah menuju ke bilik bapa saudaranya. Meninggalkan Bjury yang masih termanggu-manggu dengan tingkah laku tuan mudanya. Pelik.
"Haa, sampai pun. Kenapa lewat? Kalau tidak sempat berjumpa dan berkenalan dengan Sara. Maaflah. Daddy Mel tak dapat nak ajak dia makan bersama kita sebab dia ada janji dengan teman dia."
Daddy Mel sibuk mengemas segala fail-fail di atas meja.
"Tak apa. Alan dah jumpa kat tengah jalan tadi."
"Oh, ya ka? Dia tegur Alan?"
"Dia tak tegur. Dia tak cam Alan barangkali."
"Hmm, betul juga. Kamu berdua mana pernah berjumpa. Daddy Mel terlupa.Hahaha...Oklah. Jom
kita lunch. Perut Daddy Mel dah berkeroncong ni. Asyik bersembang dengan Sara, sampai terlupa nak makan," ujar Daddy Mel sambil tersenyum-senyum.
"Amboi, jumpa anak sampai tak terasa lapar."
Daddy Mel tertawa riang.
"Mestilah Alan. Daddy Mel lega bila dia dah mahu pulang ke Ipoh ni. Lima tahun dia di Johor, buat Daddy Mel rasa tak tenteram dengan keselamatannya."
Alan mencebik.
"Alah..apalah yang nak dirisau sangat, bukannya dia ke luar negara pun, dalam Malaysia juga.
Bukankah Daddy Mel selalu melawat dia setiap hujung bulan?"
"Sebab sesuatu yang telah berlaku pada dirinyalah yang membuatkan Daddy Mel perlu sentiasa risau akan keselamatannya. Daddy Mel tak mahu dia laluinya sekali lagi."
"Sesuatu yang berlaku? Apa yang telah berlaku padanya?"

***

Guruh berdentum dan disambut dengan kilat yang memancarkan cahaya menerobos masuk melalui tingkap yang terbuka. Aku terkejut dan cuba bingkas dari katil. Namun aku terduduk kembali. Kepalaku terasa berat dan dalam masa yang sama ada rasa ngilu di celahan kakiku. Pedih sangat. Ada cecair pekat yang melekit di pehaku. Kedinginan makin menggigit tubuh. Kenapa sejuk sangat ni? Tiba-tiba ada satu tangan kasar melingkar di pinggangku. Aku tersentak seraya menoleh ke sebelah kananku. Seorang lelaki yang tidak berbaju sedang tidur meniarap di sebelahku. Aku ingin menjerit. Tak boleh? Suaraku tak keluar. Aku bisu? Apa yang dah terjadi pada diriku? Apa yang berlaku semalam? Kenapa aku tak boleh ingat apa-apa tentang semalam? Aku cuba meraba tubuhku. Ya Allah! Mana baju aku? Aku melihat ke bawah katil. Kesemua bajuku dan juga baju lelaki itu bersepah dan bertaburan di lantai. Dadaku semakin berombak kencang. Tatkala itu juga air mataku mula berjuraian.


"Sara, bangun, sayang. Sara. Kenapa menangis ni?"
Terasa seperti tangan mengusap rambutku. Aku membuka kelopak mata. Terkebil-kebil memandang keadaan sekelilingku. Aku berada di dalam bilikku. Aku bingkas seraya menghela nafas lega. Ayah merenungku dengan penuh kebimbangan. Aku menyapu wajahku.
"Ayah dengar suara Sara mengongoi macam orang menangis. Ayah ingatkan Sara tak tidur lagi. Mimpi buruk ya?"
"Sara kejutkan ayah yer? Maaf."
"Tak apa. Ayah tak tidur pun lagi. Nak turun bawah, ambil air kat dapur. Masa lalu kat bilik, Sara tadi dengar seperti Sara menangis. Sara mimpi apa sampai menangis macam tu sekali?"
Aku mengeluh. Dah tak ingat apa yang aku mimpikan sebentar tadi. Silauan cahaya itu menyebabkan aku terlupa waima semasa aku sedar.
"Entahlah, ayah. Semenjak kebelakangan ni, kerap pula Sara mimpi yang pelik-pelik. Seolah-olah macam benar-benar berlaku pada Sara. Mimpi sara penuh dengan silauan cahaya. Sara dah tak ingat apa-apa bila dah terjaga."
Ayah menepuk bahuku.
"Sara, bila keluar malam-malam tu, sebelum tidur cuci badan tu bersih-bersih. Tidaklah sampai terbawa-bawa dalam tidur. Pukul berapa Sara balik tadi?"
"Maghrib baru sampai rumah, ayah. Bukan ke mana pun. Sara keluar makan dengan Jane dan kemudian hantar dia ke stesen bas. Dia nak bertolak ke Kuala Lumpur malam ni juga."
"Sepatutnya, balik sahaja esok. Kenapa Sara tak ajak dia tidur di sini sahaja?"
"Dah ajak, ayah. Dia yang tak mahu. Lagipun, esok pagi parents dia nak turun KL. So, kalau dia bertolak malam ni, sampai pagi kat sana boleh sekali harung jer jumpa parents dia kat town."
"Hah, ya lah. Ayah nak turun bawah ni. Pergi cuci kaki tu bersih-bersih, kemudian baru sambung tidur," ujar lelaki separuh abad itu seraya menapak ke pintu bilikku.
Aku mengangguk sambil tersenyum.
"Oh, sebelum terlupa, Alan kirim salam pada Sara. Ayah ada jemput dia datang breakfast kat rumah kita esok pagi. Jangan bangun lambat pula. Good night!"
Ayah terus menutup daun pintu. Rapat.
"Alan?"