Tahun
2018
Aku
suka lelaki itu. Aku jatuh cinta pada lelaki itu apabila pertama kali dia
datang bersama keluarganya ke rumahku. Raut wajahnya, senyumannya dan
tingkahlakunya mengingatkan aku kepada seseorang. Itu kali pertama hatiku
terpaut padanya. Itu juga kali pertama aku jatuh cinta. Aku terima pinangan dia
kerana menyangkakan ada cinta dalam hatinya. Aku terima pinangannya kerana
menyangkakan dia mahu membina rumahtangga denganku. Tetapi aku silap. Dalam
hatinya sudah ada orang lain.
Aku
cuba untuk berfikiran positif. Cuba untuk bersangka baik. Tetapi hati tak mampu
lagi menipu. Mungkin sudah tiba masanya untuk aku mengundur diri. Betul
kata-kata lelaki itu pada hari pertama kami bertunang, cinta dia bukan untukku.
Aku mengeluh sambil mengesat air mata yang mula berjurai.
Aku
cuba untuk melupakannya. Tetapi kenapa hatiku masih tidak boleh melupakannya?
Kenapa hatiku masih teringat padanya? Tatkala aku ternampak seorang wanita
berambut ikal mayang memegang erat lengannya di hadapan bangunan pejabatnya
empat hari yang lalu, hatiku seperti diramas-ramas. Serasa separuh semangatku
hilang.
Tiga
hari aku demam, tetapi aku gagah juga ke tempat kerja. Tiada siapa pun tahu
waima papa dan Mummy Amanda. Habib lagilah tidak pernah hendak menelefon
bertanyakan khabarku. Selalunya aku sahaja yang menghubunginya. Ya, namanya
Habib, nama penuhnya Habiburrahman. Unik namanya, seunik namaku. Habiburrahman –
Khadeeja. Aku tersenyum melihat ikatan nama yang aku lakar di atas kad dengan
dakwat berwarna emas. Kad itu aku tampal di dinding bilikku.
Semalam
adalah kemuncak keletihan tubuh dan fikiranku apabila aku jatuh terduduk di lantai
dapur apabila kepalaku tiba-tiba rasa berpinar. Terkejut papa dan mummy melihat
keadaanku. Tubuhku dipapah berehat ke bilik.
“Eja
ada masalah ke? Kenapa dua tiga hari ni papa tengok Eja macam tidak bermaya
sahaja? Ceritalah pada papa,” soal papa di sisiku.
Mummy
Amanda sudah beredar ke dapur. Aku pandang papa. Eja nak putuskan pertunangan
ini papa. Habib tidak cintakan Eja. Tetapi ayat itu seperti tersekat di
kerongkongku. Kesian papa. Dia yang mengharapkan aku untuk berumahtangga kerana
akulah satu-satunya anaknya.
Aku
cuba mengukir senyum.
“Papa…”
Aku
menarik tangannya. Menggenggam dan mengelus lembut tangan yang sudah berkedut
itu.
Perlahan-lahan
aku menghela nafas. Cuba mencari ruang untuk meluahkan isi hatiku.
“Eja nak minta izin balik kampung, papa. Fikiran
Eja berserabut. Eja perlukan ruang untuk diri Eja.”
Wajah
papa berkerut kehairanan.
“Kenapa
perlu balik kampung? Eja ada masalah dengan Habib ke?” soal papa sambil tangan
kanannya mengusap kepalaku.
Aku
menggeleng sambil tersenyum kelat.
“Eja
tak ada masalah dengan Habib. Tapi Eja ada masalah dengan diri Eja sendiri. Eja
harap sangat papa faham.”
Aku
masih belum bersedia untuk memberitahu perkara sebenar tentang hubungan kami.
“Eja
seperti sembunyikan sesuatu daripada papa dan Mummy Amanda. Papa tahu, Eja
mesti ada masalah dengan Habib. Selepas bertunang, Papa tak pernah nampak Habib
datang ke sini dan Eja sendiri tak pernah minta keluar untuk berjumpa dengan Habib.”
Aku
mengeluh. Mesti Papa perasan kelainan pada perhubungan kami berdua.
“Kalau
Eja ada masalah dengan Habib, beritahulah. Papa akan berbincang hal ini dengan Habib.”
“Tak
perlu Papa. Eja Cuma perlukan masa untuk bersendirian sekarang ni.”
Papa
menghela nafas panjang.
“Baiklah
kalau itu kehendak Eja. Papa benarkan.”
“Err…Papa,
Eja bukan nak balik kampung kita di Perak. Tapi Eja nak balik kampung mama.”
Papa
tersentak. Air mukanya berubah tegang.
“Maksud
Eja, Kampung Serendak?”
Aku
mengangguk.
“Kenapa
perlu pulang ke sana? Tidak! Papa tak benarkan. Jangan sesekali jejak kaki Eja
ke sana.”
Aku
dah agak itu jawapan Papa. Aku tahu apa yang Papa risaukan.
“Please, Papa … Eja perlu balik ke sana. Ada
sesuatu yang Eja perlu selesaikan. Lagipun, Eja rindu sangat nak balik tengok
kubur arwah mama. Tolong benarkan Eja pergi. Eja janji, Eja takkan susahkan
Long Hadi dan Ummi Samirah. Eja takkan susahkan sesiapa.” pujukku sambil
menarik kedua-dua tangan Papa dan mencium dengan lembut.
Papa
melepaskan keluhan berat. Aku tahu dia susah untuk membuat keputusan. Tapi aku
nak sangat ke sana. Aku perlu ke sana. Tak tahu kenapa. Tetapi hatiku kuat
menarik untuk ke sana.
“Khadeeja…
keputusan Papa muktamad. Ada sebab kenapa Eja tak boleh ke sana. Tolong faham
dan ingat pesanan papa. Jangan sesekali balik ke sana,” tegas jawapannya
meskipun aku cuba memujuknya.
Aku
mengetap bibir. Hampa.