Khamis, 30 November 2017

ADA CINTA - Aku atau kereta kau?

“Anna.... tolonglah. Sekali ni sahaja kak Lyea minta tolong,” rayu gadis yang berusia dua tahun lebih dariku itu sambil memegang lenganku.

Aku menarik tanganku.

“Kak Lyea, Anna tak suka aktiviti outdoor kat hutan. Anna ni alergi binatang berbisa.”

“Alaaa... situ bukannya hutan tebal pun. Taman rekreasi jer. Cuma boleh camping-camping dan bermalam di sana. Bolehlah Anna. Akak dah lama tak pergi camping. Rindu sangat nak camping macam zaman sekolah dulu.”

Ellehh, rindu nak camping ke atau rindu nak berkepit dengan abang Haidar. Macamlah aku tak tahu. Getus hatiku sambil mencebik muka.

“Bolehlah, Anna. Bolehlah....”

“Akak ajaklah orang lain temankan kak Lyea. Anna betul-betul tak boleh.”

“Anna... tolonglah...sekali ni aja kak Lyea minta tolong. Kita kawan dunia akhiratkan? Tak baik tau kalau hampakan hasrat kawan baik Anna ni.”

Kak lyea merayu lagi sambil memeluk pinggangku dan meletak kepalanya di bahuku. Dah buat dramalah pula! Konon nak bagi aku cairlah tu.

Please Anna... please...please...”

Aku semakin serba salah.

“Aduhhh...kak Lyea ni! Oklah...oklah! tapi dua hari sahaja ya. Anna tak suka lama-lama kat dalam hutan.”

“Yeay! Terima kasih Anna! Yeay!” melompat gadis tu kegembiraan.
Seronok benar!

“Ok...ok. Sekejap. Akak nak call abang Haidar.”

Dah agak.

“Pesan kat dia, dua hari sahaja. Kalau tidak Anna tak nak pergi.”

“Ok.”

Gadis itu mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya.

“Hello. Ok. Dia mahu ikut. Tapi bersyarat. Aaa... Dua hari sahaja. Hmm...hmmm..ok. Jumpa esok pagi. Ok. Bye.”

Aku merenung gadis di hadapanku itu.

“Dia kata boleh untuk dua hari. So, Anna pergi pack barang sekarang. Esok awal pagi kak Lyea datang ketuk bilik Anna. Kak Lyea pun nak balik bilik. Tak sabar nak pergi esok. Eeeiii...bestnya nak mandi kat jeram. Kemas tau,” arah gadis tu sambil berlari keluar.

Aku sekadar menggelengkan kepala memerhati tingkahnya yang seperti kebudak-budakan. Namun beberapa ketika kemudian kak Lyea menjengulkan kepalanya di sebalik pintu bilikku.

“Anna...”

Aku memanggung.

“Ya?”

“Terima kasih ya. Kak Lyea sayang Anna. Jangan lupa bawa ubat sapu dan minyak.”

Aku tersenyum.

“Baiklah, cik puan.”

Kak lyea tergelak kecil sambil berlalu.
***

Kedengaran ketukan pintu dari luar. Aku membukanya. Kak Lyea tersenyum riang.

“Dah siap?”

Aku membalas senyuman sambil mengangguk.

“Eh, jap. Kenapa muka macam pucat jer ni? Tak sihat ke?” soal Kak Lyea sambil memegang daguku.

“Eh, Anna sihatlah. Cuma Anna datang period.”

“Hah, period! Tak pe ke ni? Boleh ke Anna nak pergi camping ni?” soalnya cuak.

“Tak apa. Anna dah prepare minyak panas. Jangan risau. Anna pergi, ni kan Anna dah siap pack. Jom!”

“Ok, jom.”

Kami bergerak turun ke bawah. Di tingkat bawah kami bertembung dengan Fatin yang turun menggalas beg.

“Eh, Aten! Kau nak ke mana?”

“Lah! Nak pergi camping lah. Nak pergi mana lagi? Takkan aku nak lepaskan peluang berkhemah dengan lelaki kesukaan aku. Hah! Itu pun mereka dah sampai. Abang Kimi!” jerit Fatin sambil melambai-lambai dan berlari-lari anak menuju ke arah kereta abang Haidar yang baru bergerak masuk ke dalam kawasan parking kolej asrama.

Aku menoleh ke arah Kak Lyea dan memandangnya dengan pandangan yang tajam. Gadis itu tersengih.

“Akak kata akak tak ada kawan. Habis tu kenapa si Aten tu boleh ikut pula?”

“Hehehe.... kak Lyea saja ajak-ajak ayam jer si Aten tu. Tak sangka pula dia nak ikut. Alahhh... jomlah. Lagi ramai, lagi baguskan? Jom!” ujar gadis itu sambil menarik tanganku menuju ke kereta.

Hakimi sedang memasukkan beg si Fatin. Gadis itu sedang tersengih-sengih di sisinya. meluat tengok budak merenyam ni.

“Mana beg you?” soal Haidar sambil membuka kaca mata hitamnya.

“Ni. Tolong...” ujar Kak Lyea. Dengan pantas Haidar mengambil beg yang tersangkut di belakang badan Kak Lyea. Termanggu aku melihat telatah mereka.

“Abang Haidar, cepatlah! Aten tak sabar nak pergi mandi kat jeram ni,” panggil Fatin sambil masuk ke dalam kereta.

Lelaki itu tersengih sambil memasukkan beg kak Lyea ke dalam bonet. Kak Lyea sudah berada di dalam kereta.

“Iyer..iyer. Eh, Anna. Tunggu sekejap. Anna naik kereta lagi satu.”

“Kereta lagi satu? Kenapa Anna tak boleh naik kereta ni?”

Faten menjengulkan kepalanya melalui tingkap.

“Mana boleh naik ramai. Belakang ni seat dia untuk dua orang jer. Kalau naik tiga orang, sempitlah. Aku tak suka sempit. Nanti susah nak tidur.”

Hish, budak ni! Aku lepuk kang! Banyak songeh! Gerutu hatiku sambil menjeling tajam. Faten menjelir sambil memasukkan semula kepalanya ke dalam kereta.

Tatkala itu, kelihatan sebuah kereta memasuki perkarangan kolej asrama.

“Haa, tu dia. Dah sampai pun. Ok, Anna naik kereta Tareeq. Lagipun dia seorang jer,” ujar Haidar sambil menghampiri kereta Tareeq.

Ternganga mulutku mendengar abang Haidar menyebut nama Tareeq. Kereta Tareeq! Biar betul!

Dengan teragak-agak aku membuntuti Haidar melangkah menuju ke kereta Tareeq. Lelaki itu sudah melangkah keluar dari kereta dan bersalaman dengan Haidar.

“Reeq, kau naik dengan Anna ya. Kereta aku penuh,”ujar Haidar sambil menepuk belakang bahu Tareeq.

“Hmm, kau jangan laju sangat ya. Aku tak tahu jalan ke tempat tu.”

“Ok, Anna. Have a nice trip!” ujar Haidar sambil tersenyum.

Aku tersenyum kelat sambil memerhatinya beredar kembali ke keretanya. Huhu...Anna... Kenapalah kau setuju untuk ikut mereka?

“Anna!”

Aku menoleh. Lelaki itu memandang ke arahku seketika. Kemudiannya dia menunduk ke tepi pintu yang masih terbuka dan menarik pembuka bonet kereta.

“Pergi letak beg kat belakang,” arahnya.

Terkebil-kebil aku memandangnya. Aku kena buat sendiri ke? Berat ni!

“Cepatlah. Nanti Haidar tinggal kita. Aku tak tahu jalan,” ujarnya seraya masuk ke dalam kereta.

Aku mencebik. Dengan pantas aku memasukkan beg galas belakang ke dalam bonet kereta. Di dalamnya terdapat sebuah beg coklat. Beg Tareeq. Kecilnya. Orang lelaki... bukan nak susah bawa banyak barang macam orang perempuan.

“Anna!” panggilnya lagi.

“Ya... ya. Sekejap.”

Aku pantas menutup pintu bonet.

“Hish! Lembab!”bebelnya.

Aku mencebik.

Tareeq menghidupkan enjin dan bergerak mengikut kereta abang Haidar. Pertama kali aku naik kereta orang lelaki selain sepupu-sepupuku dan Muzi. Terasa gugup pula. Tareeq memasang radio. Lagu sentimental beralun perlahan. Aku memandang sekeliling. Kemas dan teratur kereta dia. Beberapa pasang kasut tersusun elok dalam kotak di belakang kerusinya. Aku tersenyum.

“Senyum-senyum apa?”

Eh, tengah bawa kereta pun sempat lagi nampak apa yang aku buat?

“Nak senyum pun tak boleh ke?”

Tareeq berdehem beberapa kali sambil memperlahankan radio.

“Dah sarapan ke belum?”

Dia memulakan perbualan.

“Dah,” jawabku pendek.

“Makan apa? Maggi?”soalnya dalam nada perli.

Aku menjeling tajam.

“Taklah. Anna makan roti dengan Milo.”

“Hmm. Jangan selalu makan maggi. Tak elok untuk kesihatan.”

“Mana ada makan selalu. Sekali sekala sahaja.”

“Habis tu hari tu beli sampai dua set perisa?”

“Itu kongsi dengan roomate.

“Kak Siti pun makan maggi?”

Aik! Aku menoleh ke arahnya.

“Mana awak tahu roomate saya nama kak Siti? Awak kenal dia ke?”

“Hah! Err...tak...hari tu jumpa Muzi. Dia yang beritahu.”

Riak wajahnya seperti sedikit gugup.

“Awak tanya kat Muzi siapa roomate saya ke? Nak buat apa?”

“Hish! Nak buat apa aku sibuk tanya dia. Tak ada kerja. Err...hari tu... dia ada sembang-sembang dengan Haidar. Aku terdengarlah dia sebut nama roomate kau. Itulah yang aku tahu...”

“Ooo...”

“Anna, tolong ambilkan kad ‘Touch & Go’ dalam dashboard depan tu,” pintanya tanpa mengalih pandangan dari jalan raya.

Dah masuk tol rupanya. Aku membuka pintu dashboard lalu mengeluarkan kad ‘Touch & Go’ yang diminta.

“Nah!”

“Terima kasih.”

“Sama-sama.”

Beberapa ketika melepasi tol, Tareeq menguatkan kembali volume radio.  Aku terus memandang ke luar tingkap. Aku menguap beberapa kali. Lebih baik aku sambung tidur. Tareeq pun tak ada tanda-tanda nak bersembang denganku. Aku terus menyandar kepala ke kerusi.

Tidur sambil duduk memanglah tak seselesa tidur atas katil. Beberapa kali juga aku terjaga. Sesekali aku mengalih sedikit kedudukan. Tiba-tiba... Alamak!

Aku pantas mengeluarkan telefon.

: Kak Lyea. Emergency! Tolong minta abang Haidar berhenti di R&R yang paling hampir.

Aku tekan butang send.

Beberapa minit kemudian, kereta abang Haidar membelok masuk ke R&R.

“Eh, kenapa pula Haidar ni? Tiba-tiba masuk R&R tak beritahu. Baru sahaja masuk tol tak sampai 3 jam, dah berhenti,” rungut Tareeq tiba-tiba.

Kereta mereka berhenti sebelah menyebelah.

Kelihatan kak Lyea dan Fatin berjalan dulu menuju ke tandas. Hakimi pula menuju ke arah gerai makanan manakala Haidar berdiri di tepi kereta. Menunggu Tareeq mematikan enjin.

“Apahal Dhar? Tiba-tiba...” tegurnya sebaik berdiri di muka pintu kereta. Aku turut turun.

“Biasalah orang perempuan.”

“Tareeq...”

Kedua-dua lelaki itu menoleh ke arahku.

“Saya nak ke tandas..”

“Kau pun. Hish... cepat sikit. Lambat, tinggal,” gertaknya.

Aku mencebik dan melangkah pantas menuju ke tandas.
***
“Kau ni Tareeq. Janganlah tegas sangat dengan dia. Kata nak masuk jarum.”

Tareeq menjeling.

“Tegas penting supaya mereka tak pijak kepala kita. Kau tu lembut sangat dengan Lyea. Lama-lama nanti dia akan jadi manja. Semua benda nak kau buat. Nanti tak reti nak berdikari sendiri.”

“Itulah namanya sayang.”

“Cerh! Sayang konon.”

Tiba-tiba Lyea datang dan memeluk lengan Haidar.

“Bi... jom pi minum.”

“Hmm, ok gak. Alang-alang dah berhenti. Fatin mana?”

“Tu, kat Hakimi,” ujarnya sambil memuncungkan bibirnya ke arah gerai makan.

Tareeq memandang ke arah tandas.

“Anna mana? Dia tak keluar-keluar lagi ke?”

Lyea dan Haidar saling berpandangan dan kemudiannya tersenyum penuh makna.

“Terlepas dari mata sekejap, dah mula risau ya?” usik Lyea.

Wajah Tareeq berubah. Ketara benar ke kerisauannya?

“Mana ada. Aku ingatkan dia keluar sekali dengan kau berdua. Dia tak keluar lagi ke? Lamanya kat dalam tandas.”

“Dia ada dalam tu. Janganlah risau. Eh, Bi jomlah pergi minum. Kau tunggulah sekejap. Nanti dia keluarlah tu.”

Lyea menarik tangan Haidar menuju ke arah Hakimi dan Fatin yang sudah duduk dan menikmati makanan.
***
Aku memegang perut yang sudah mula terasa mengeras. Bunga-bunga sengugut. Tak sangka pula nak jadi hari ini. Adoi...

Aku melangkah perlahan menuju ke luar tandas. Eh! Kelihatan Tareeq mudar-mudir di hadapan pintu tandas.

“Kenapa awak ada di sini?”

“Kenapa lambat? Kau ni memang buat kerja suka lembab yer? Terkemut-kemut macam siput. Kau tahu tak aku tak suka tunggu orang lama-lama,”arahnya.

Aku tersentap.

“Err... maaf. Saya bukan sengaja. Tapi, perut saya tak berapa sedap,” jawabku separuh sebak.

Entah kenapa, tiba-tiba aku berasa kecil hati dengan kata-katanya. Riak wajah Tareeq berubah.

“Ehem…emm.. Jom, pergi makan,” ajaknya. Kali ni ton suaranya rendah sedikit.

“Awak.. pergilah makan. Saya tak ada selera. Saya nak rehat dalam kereta. Boleh tak bagi kunci kereta awak?”

Tareeq merenungku tajam.

“Kau memang betul-betul sakit ke?” soalnya sambil menjamah kepalaku. Aku menepis tangannya.

“Saya bukan sakit kepala. Kan saya kata tadi, saya sakit perut,” tungkasku.

Wajah Tareeq berubah. Dia mengeluh.

“Ok. Pergilah tunggu dalam kereta. Nah kunci kereta. Start elok-elok. Aku pergi beli makan.”

Aku mengangguk perlahan seraya melangkah menuju ke kereta. Sesekali aku menekan perut yang mula terasa ngilu.
***
“Mana Anna?” tanya Lyea.

“Dalam kereta. Dia kata, sakit perut.”

“Wau! Kau suruh dia start kereta kau ke? Wau, first time Tareeq beri kunci keretanya pada perempuan. Dasyatnya penangan si Anna ni!” ujar Hakimi sambal tersenyum.

Tareeq menjeling tajam manakala Haidar, Lyea dan Faten tersenyum penuh makna ke arah Tareeq.

“Apa? Aku tak ada apa-apalah dengan dia?”

“Yelah tu, tak ada apa-apa. Aku tengok sejak hari tu pandangan kau langsung tak berkalih tengok dia,”provok Hakimi lagi.

Mereka sudah tergelak-gelak kecil apabila melihat wajah Tareeq merona merah. Tiba-tiba Lyea bangun.

“Eh, kenapa, Honey?”

“Alamak! Bi, tunggu kejap. I pergi beli something.”
Semua orang termanggu-mangu melihat telatah Lyea. Beberapa minit kemudian, Lyea datang bersama sebungkus plastik dan sebotol air mineral.

“Reeq, you pergi bagi dia makan ubat ni. Kat sini tak ada ubat khas. Sekurang-kurangnya painkiller ni boleh kurangkan sakitnya. Dia kena makan juga kalau dia nak kurangkan sakit perut dia tu.”

“Eh, apahal aku pula? Kau pergilah bagi dia makan,” bantah Tareeq.

“Reeq, please. Kau tak kesian kat dia ke?”

Tareeq mengeluh.

“Sebenarnyaa, dia sakit apa ni? Kenapa sampai kena makan ubat?”soalnya kembali.

“A’ah, Honey. Dia sakit apa? Tadi tengok elok saja.”

“Dia sengugut tu. Datang bulan,” akhirnya Lyea bersuara.

“Dah tahu sakit, kenapa nak ikut juga?”ujar Tareeq geram.

“Reeq, you jangan salahkan dia. Lyea yang salah. Lyea yang paksa dia ikut semalam.”

“Kau pun juga jangan salahkan Lyea, kami semua yang rancang program ni. Kami tak mahu kau sendirian. Sebab tu kami ajak dia sebagai peneman kau,” sampuk Haidhar pula.

Sekali lagi Tareeq mengeluh.

“Kau pun terlibat sama ke Kimi?”

Hakimi yang sedari tadi hanya terdiam turut tersengih.

“Pergilah cepat. Kasihan dia. Dia kalau sengugut, teruk juga.”

“Oklah. Aku pergi bungkus makanan dulu. Lepas tu, aku pergi tengok dia,” ujar Tareeq mengalah.
****
“Lah… apa bau minyak ni? Habislah kereta aku!”

Terkejut aku mendengar jeritan Tareeq. Aku terus duduk menegak dan memandang ke arah Tareeq yang sudah duduk di kerusi pemandu.

“Maaf..maaf. Saya yang pakai minyak panas. Tapi saya cuma sapu kat perut sahaja. Tak tumpah pun.”

Tareeq menggosok-gosok kepalanya. Rambutnya menjadi serabut. Dia menutup pintu dan memakai tali pinggang.

“Alaaa… janganlah marah. Saya mana sangka, nak sakit perut.”

“Arrgghhh…dahlah. Macam-macamlah kau ni. Kalau tak menyusahkan hidup aku tak sah ke?”marahnya sambal meletak dua bungkus plastik di kerusi bahagian penumpang belakang.

Sekali lagi aku tersentap. Untuk kali kedua…eh, bukan dah kali ketiga dia menengking aku. Pertama dulu, di hadapan koperasi. Dia ni memang orang panas baran ke? Menyesal pula aku berkenalan dengannya. Aku mengetap bibirku. Perlahan-lahan aku bersandar ke belakang dan mengalihkan pandangan ke luar tingkap. Langsung tidak bersuara sehingga kami sampai ke tempat perkhemahan kami.

“Anna…Anna…”

Aku membuka mata. Kak Lyea. Tak sedar pula, bila masanya aku tertidur.

“Kita dah sampai ke?”

“Emm…bangunlah. Kita masuk ke dalam.”

Aku menoleh sekeliling. Kosong.

“Mana Tareeq?”

Kak Lyea tersenyum penuh makna.

“Dia keluar dengan Haidar. Pergi beli barang-barang. Alah, Anna janganlah risau tentang dia.”

“Bukan pasal tu. Dia marah Anna tadi.”

“Marah Anna? Kenapa?”

“Anna pakai minyak dalam kereta ni.”

“Hmm, patutlah. Memang dia akan marahlah. Dia sayang sungguh kereta ni. Langsung tak boleh calar sikit. Sebab tu kami macam terkejut sikit masa dia cakap dia beri kunci keretanya kepada Anna.”

“Kenapa kak Lyea?”

“Dia tu kan cerewet sikit. Mana ada orang boleh tahan dengan perangai dia.”

“Em, betullah kak. Bercakap tu, asyik nak menyindir sahaja. Kalau tak kena, suka tengking-tengking. Sakit hati sungguh Anna. Hmm… entahlah. Mujurlah Anna ni kenal gitu-gitu sahaja. Kalaulah Anna ni kekasih ke, isteri dia ke… rasanya Anna tak sanggup bertahan dengan sikap baran dia tu.”

Kak Lyea tergelak kecil.

“Hahaha… Anna…Anna… Anna asyik mengata kat dia ni, Anna sedar tak yang Anna masih dalam kereta dia?”

“Opsss….hihihihi..”

“Dah, jom Kak Lyea bantu Anna angkat beg. Kita tidur dalam chalet ya.”

“Eh, dalam chalet? Kak Lyea kata kita nak berkhemah?”

“Emm… kak Lyea dan Fatin boleh join diorang berkhemah. Tapi Anna tak boleh.”

“Tak boleh? Kenapa?”

“Sebab Tareeq tak bagi. Lagipun Anna tak sihat kan…”

Huh! Baru berkawan dah suka kawal orang. Gerutu hatiku.

“Eh, kak Lyea beritahu keadaan Anna ke?”

Aku memegang pipiku. Alamak, malunya!

“Maaf, akak terpaksa beritahu. Alaaa.. tak payahlah nak malu. Diorang semua dah besar. Diorang fahamlah sebab mak-mak, kakak-kakak, adik-adik perempuan diorang pun tentu lalui perkara yang sama.”


Huhuhu… Malunya... semua orang dah tahu.