Khamis, 29 Mei 2014

DCJ 46 : Akhirnya.. kumilikmu...



Ya Allah! Penatnya! Aku pantas membuka tudung yang tersarung di kepala dan melemparkannya di atas kerusi malas di hujung kaki katil. Tanpa menukar baju pengantin yang dipakai, aku terus merebahkan tubuhku di atas katil. Mujurlah kenduri kedua-dua belah pihak dekat sahaja. Mujur juga ayah long berkeras nak aku bernikah dan berkahwin di kampung juga. Babah terpaksa mengalah dan bersetuju akan buat kenduri doa selamat sahaja nanti di Shah Alam.Ughhh… Lenguhnya! Aku mengeliat di atas katil bagi meregangkan seluruh otot. Ahh…lega. Aku mengiring di sebelah kanan. Kedua-dua belah tanganku bertelangkup sambil mengampu kepalaku. Selesanya! Dua minggu yang sangat memenatkan. Beberapa ketika kemudian, aku mengalih pula tubuhku. Terlentang menghadap siling bilikku. Mataku masih terpejam dan tangan kanan ku letak di atas dahi. Aku tak tahu Luqman di mana. Kali terakhir aku nampak waktu maghrib tadi, dia sedang bersembang dengan ayah cu di ruang tamu. Memang sibuk dua hari ini. Melayan tetamu yang datang meraikan perkahwinan kami berdua. Aku pula selesai membantu ibu di dapur, terus meminta diri untuk berehat. Lagipun, semua tetamu dan saudara-mara telah pulang. Jadi, tiada sesiapa lagi di rumah ummi long yang perlu dilayan. Aku menghela nafas panjang sekali lagi. Cuba menghilangkan kepenatan. Sunyi. Suasana di luar terasa sangat sunyi. Mungkin semua orang dah masuk ke kamar masing. Lagipun waktu sudah melewati tengah malam.
Tiba-tiba terasa seperti tilam di hujung kedua-dua belah kakiku dan di kedua-dua belah tubuhku tenggelam. Tanganku diubah ke sisi. Seketika kemudian terasa hembusan nafas di wajahku. Aku terus membuka mata. Hah! Terkejut melihat Luqman di atas tubuhku.
Terlalu letih sehinggakan aku langsung tidak menyedari kehadirannya. Sejak bila pula dia masuk ke bilikku. Oppss.. sekarang sudah jadi bilik kami berdua.
“Letih ya?” soalnya sambil mengusap rambut dan pipiku buat pertama kali.
Wajahku panas. Jantungku berdegup sangat pantas. Lidahku kelu kerana wajah kami memang sangat dekat. Hampir bertembung hidung dan tentu sahaja tubuhku dalam rangkulannya. Hilang terus rasa mengantukku sebentar tadi. Sebaliknya tubuhku merasa seram sejuk dan mengigil tiba-tiba.
Luqman tersenyum. Perlahan-lahan dia mendekatkan lagi wajahnya. Aku terus memejamkan mata. Terasa sentuhan bibirnya di dahiku. Panas. Dadaku terasa semakin berdegup pantas. Wah, boleh kena serangan jantung sekiranya perasaan ini kerap kurasai.
“Aishiteru…” senafas suaranya menderu di tepi telinga kananku. Aku terus membuka mata. Aku benar-benar terkaku selepas mendengar suaranya yang tersangatlah lembut dan romantik. Tatkala itu juga serasa lohong hatiku tepu dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi terhadapnya. Hati penuh dengan bunga-bunga cinta. Asyik dan mengujakan.
“Min pun…opss!” ucapku tetapi dengan pantas aku mengetap bibirku. Malu dengan ucapan tanpa sedarku.
“Min pun apa?” soalnya sambil tersenyum menggoda. Bibirku bergetar. Dadaku semakin mendebar.
“Err…” kelu pula lidahku ini. Sungguh perasaanku ketika ini tidak dapat digambarkan. Bahagia sehingga lubuk paling dalam.
Sekali lagi Luqman merapatkan wajahnya dan mencium hidungku. Aku tersentak.
“Apa yang Min rasa sekarang? Suka tak dah dapat bersama abang?”
Aku tersengih.
“Janganlah tanya macam tu. Min malu,” jawabku polos.
“Jawablah. Abang nak tahu perasaan Min sekarang. Kalau Min tak jawab, abang akan terus peluk Min sampai esok pagi,” gertaknya tapi masih dalam nada romantik.
Aduhai, tak sangka pula lelaki yang suatu ketika dulu gengster di sekolah, garang, suka marah-marah dan berhati sejuk beku, rupa-rupanya romantik. Eh, romantik sahaja ke? Hmm, ok… dia juga mengambil berat terhadapku.
“Jasmin Alia… dah mengelamun sampai ke mana? Boleh pula tersengih seorang diri…” ujarnya sambil mencuit hidung dan pipiku.
Aku tersipu lagi.
“Err… Abang nak mandi? Min ambilkan tuala,” akhirnya dapat juga ku bersuara. Dalam masa yang sama aku cuba menolak tubuhnya perlahan. Cuba mengelak dari pandangannya yang boleh membuatkan jantungku lebih berdegup kencang.
Namun rangkulan Luqman lagi kemas dari yang kusangkakan.
“Abang….”
“Hmm…”
“Bangunlah. Min nak ambil tuala,” pintaku separuh meminta.
“Min belum jawab soalan abang tadi.?”
Erk! Apa yang aku nak jawab ya? Aku mengerut dahi. Cuba memikirkan jawapan yang logik untuknya. Tiba-tiba Luqman menekan jari telunjuknya di tengah-tengah dahiku.
“Ouch!”
“Janganlah serius sangat. Abang melawak sahaja. Merah pipi tu, malu ya?”
Luqman menghela nafas panjang. Badanku masih mengeras dalam pelukannya. Wajahku masih terasa bahang. Jari jemari Luqman mula membelai anak-anak rambutku yang berjuntaian di dahi. Beberapa ketika kemudian Luqman melepaskan rangkulannya dan mengubah posisi pembaringannya. Kali ini dia menyandarkan separuh tubuhnya di kepala katil. Dia mencuit bahuku. Memberi isyarat agar aku juga mengubah posisi baringku. Dengan perlahan aku bangun dan kemudian berbaring sepertinya. Kepalaku diletakkan di atas bahu kirinya. Debaranku kembali terasa apabila kedua-dua belah tangannya terus merangkul bahu dan pinggangku.
 “Min nak tahu? Abang suka cara Min tarik perhatian abang sewaktu zaman sekolah dulu…”
“Tarik perhatian? Bila masa pula Min tarik perhatian abang?”
“Min tak ingat ke? Min selalu ada bila abang sedang berlatih di padang. Min selalu ada bila abang ada di perpustakaan. Min selalu lalu depan kelas abang setiap kali selesai waktu persekolahan. Min selalu lalu depan kedai arwah pak Samat, tempat abang selalu melepak dengan kawan-kawan…”
Aku berdehem membuatkan Luqman berhenti bercakap. Aku mendongak, memandang wajahnya.
“Apa? Betul lah apa yang abang cakap tu?”
Aku menggelengkan kepala beberapa kali.
“Pembentulan ya.  Min selalu pergi padang futsal kerana Min suka tengok orang main futsal. Masa Min sekolah rendah, Min selalu ikut ayah cu, tengok dia main futsal. Sebab tu, tabiat tu terbawa-bawa sehingga ke sekolah menengah. Tentang perpustakaan, Min kan pangawas perpustakaan. Jadi abang akan sentiasa nampak Min di situ. Abang tak perasan ke baju uniform Min berbeza dengan uniform sekolah pelajar-pelajar biasa lain. Kalau abang tak ada di situ pun, Min akan sentiasa berada di situ kerana Min akan bertugas di waktu rehat dan ketika selepas waktu persekolahan. Takkan abang tak perasan?”
“Ooo, isteri abang ni pengawas perpustakaan. Abang tahu isteri abang ni pengawas perpustakaan. Hidup dengan buku dari dulu sampai sekarang. Tapi takkan tak boleh sambil menyelam minum air kan?” ujarnya sambil mencuit hidungku.
Aku menjuihkan bibirku apabila mendengar penyataan dan soalannya.
“Habis tu, kenapa abang selalu rasa seperti Min selalu pandang abang ketika abang sedang main?”
Aku tertawa kecil mendengar soalannya. Perasaan berdebar sebentar tadi sudah semakin berkurang dan perasaan itu berganti perasaan selesa ketika berada dalam pelukannya.
“Dah abang yang sedang main kat padang tentulah Min pandang abang. Takkan Min nak pandang penonton di sebelah Min pula?” soalku sambil berseloroh.
Luqman terdiam.
“Min mana ada selalu lalu di depan kelas abang. Kadang-kadang tu ada lah. Mungkin Min ke pejabat guru. Kan pejabat guru sama tingkat dengan kelas abang. Abang lupa ke? Entah-entah abang yang perasan Min asyik tengok abang atau abang yang asyik ternanti-nantikan Min kot…” selorohku lagi sambil menarik telinganya.
Luqman mengaduh sambil tersenyum. Tangan kirinya yang menjadi pelapik kepalaku mengusap lembut ubun-ubunku.
“Abang percaya dengan jodoh kita. Memang abang hampir putus harapan. Tetapi bila pertama kali selepas sepuluh tahun terpandangkan Min di galeri Islam tu, harapan abang subur kembali. Kali ni, saingan abang bukan calang-calang orang, anak Tan Sri dan bos tempat abang bekerja sedangkan abang hanya orang kampung.”
Aku tergelak kecil mendengar ayat terakhir darinya. Orang kampung! Tidakkah dia tahu yang aku juga dilahir dan membesar di kampung.
“Sebenarnya, Min pandang abang sebab Min suka tengok abang main di padang. Semua orang kata abang pemain hebat di padang. Setiap kali abang dapat bola, abang tak pernah tidak dapat menjaringkan gol. Min suka bila pasukan abang selalu meraih kejayaan. Seolah-olah kejayaan itu dikongsi dengan setiap orang yang datang menonton termasuk Min,” terangku sambil mengingati kembali saat-saat Luqman di padang sewaktu zaman sekolah dahulu.
“Oh ya? Hmm.. apa kata kita lihat abang pandai tak bermain dalam bilik malam ni.”
“Huh! Nak main apa dalam bilik ni malam-malam?” soalku, tidak faham dengan maksudnya.
Luqman tidak menjawab soalanku tetapi dia bingkas bangun dan menutup suis lampu bilik. Gelap. Beberapa saat kemudian terasa rangkulan pada tubuhku. Aku terjerit kecil.
“Syhhh…janganlah menjerit. Nanti orang lain fikir apa pula?” bisik Luqman di telingaku.
“Min terkejut. Abang nak main apa dalam gelap ni? Lagi satu, pergilah mandi dulu. Busuklah!”
“Amboi, bila dah kahwin, abang busuk ya. Dulu busuk-busuk abang ni, atas bas Min peluk juga.”
Aku terdiam. Teringat kembali zaman persekolahan dulu. Pertama kali kami keluar ke pekan bersama-sama dan pertama kali kami naik bas yang penuh bagaikan tin sardin.
“Mana ada peluk. Itu terpeluk dan lagi satu bila masa pula Min cakap abang berbau busuk?”
“Habis tu, Min asyik kuis hidung Min seolah-olah badan abang ni bau busuk sangat waktu tu.”
“Hihihi…itu bau pewangi yang abang pakai. Min tak boleh bau pewangi badan. Hidung Min sensitif dan cepat gatal.”
“Ooo, abang ingat bau badan abang masa tu busuk sebab Min asyiklah kuis-kuis hidung tu. Lepas tu, suruh abang lepaskan pelukan…”
“Haa…Min tak peluk abang yer. Abang yang mengaku peluk Min….”
“Hahaha…yelah…yelah..abang yang peluk Min. Tapi kondaktor bas dan pemandu bas yang bagi abang peluang untuk peluk Min. Bukan abang saja-saja nak peluk Min ya,” ujarnya masih tidak mahu mengaku salah.
Aku menjuih.
“Abang..pergilah mandi dulu. Badan abang tu berlengas. Nanti badan tu gatal-gatal pula.”
“Oklah…oklah. Abang pergi mandi. Tapi Min tunggu abang tau.”
Eii, mengada-ngadanya! Nak mandi pun nak kena tunggu-tunggu pula. Aku pantas melepaskan diri dari pelukannya dan kemudiannya membuka kembali suis lampu bilik tidur kami. Aku bergerak pula menuju ke arah almari baju dan mengeluarkan sehelai tuala mandi. Sewaktu aku berpusing ke belakang, Luqman telah sedia mengadapku. Aku terkejut dan tuala yang kupegang sebentar tadi jatuh ke lantai.
“Masyaallah! Abang ni…boleh tak jangan bagi Min terkejut?” soalku sambil mengutip kembali tuala tersebut.
Luqman tertawa kecil melihat telatahku yang kembali mengelabah.
“Isteri abang ni comel sangat. Dari jauh, kala dekat. Masa tidur, masa merajuk, ketika berangan. Semuanya comel. Buatkan abang rasa nak Min sentiasa dekat dengan abang.”
Burr…wajahku membahang lagi.