Rabu, 10 September 2014

Ada Cinta - Ada "Chemistry"

Aku menapak masuk ke dalam kafeteria. Baru pukul 10 pagi, tetapi pelanggan sudah semakin ramai. Dari jauh, Muzi sudah melambai-lambai. Aku tersenyum seraya melangkah menghampiri tempat duduknya.
“Duduk sini. Aku nak kenalkan kau dengan sepupu aku dengan kawan-kawan dia.”
“Eh, nak buat apa? Tak mahulah aku. Nanti dikatanya aku cuba nak ambil kesempatan pula sebab berbaik-baik dengan senior.”
“Alahhh, duduklah sekejap. Bukannya lama pun. Haaa.. tu pun dah sampai. Had! Sini!” laung Muzi sambil melambai-lambai.
Aku menoleh ke arah pintu masuk.
Hah!
Tiga orang lelaki menghampiri meja makan kami. Muzi terus bersalaman dengan sepupunya yang dipanggil Had. Kemudiannya sepupunya memperkenalkan rakan-rakannya yang lagi dua orang, Kimi aka Hakimi dan Tareeq.
“Had, kenalkan ini member aku masa sekolah. Anna. Dia sambung master kat Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka.”
“Oh, ya ka? Samalah dengan Tareeq. Kau tak pernah jumpa Anna ke, Tareeq?” soal senior Had sambil tersenyum.
“Tak. Kalau aku jumpa pun, bukannya aku kenal dia. Lainlah kalau dia tu artis ke menteri ke.”
Burrr!! Wajahku merona.
Suasana terdiam seketika.
“Eh, Muzi, Anna, orderlah makan. Sen Had belanja hari ni,” pelawa sepupu Muzi, Had aka Haidar cuba memecah kesunyian.
“Sen?”
“Senior lah, Anna. Kat sini kita panggil Sen untuk semua senior,” terang Muzi sambil tersengih.
“Ooo...”
“Anna, jom!” pelawa Senior Kimi sambil memaut pergelangan tanganku. Gayanya seperti seorang kasanova. Lelaki yang suka menggoda wanita untuk tujuan keseronokan.
Aku terpempan dengan tindakannya. Dengan pantas aku menarik tanganku dan bingkas.
Lelaki-lelaki yang berada di hadapanku kelihatan sedikit terkejut dengan tindakanku.
“Err, maaf. Muzi, aku sebenarnya ada hal. Aku dah janji dengan roomate nak jumpa kat library. Aku pergilah dulu ya. Bye!”
Aku terus melangkah pantas meninggalkan mereka.
***
“Kau gila, tinggal kami macam tu jer! Kau tak perasan ke, semua orang kat kafeteria tu asyik pandang ke arah kita. Kau tahu tak kenapa?”
“Manalah aku tahu. Yang aku tahu, aku rimas bila si Kimi tu pandang aku dengan pandangan mata keranjang dan gatal tangan serta mulut si Tareeq yang macam tak ada insuran.”
Muzi tergelak di hujung talian.
“Itulah kumpulan Menz. Tapi bukan diorang yang reka. Itu panggilan yang digelar oleh pelajar-pelajar di sini. Diorang tu sebenarnya sengaja nak uji kau jer.”
“Uji? Uji kemendanya? Ingat aku ni tikus ke, jadi bahan uji kaji dalam makmal! Lagi satu, aku peduli apa diorang kumpulan apa pun. Tak ada kena mengena dengan aku.” marahku.
Muzi tertawa besar.
“Kau bukan tikus, tapi kucing garang yang comel. Hahaha...”
“Kurang asam! Mengata aku. Nanti aku tak tolong kau buat assignment, baru kau tahu...” gertakku.
“Tengok tu! Garang! Sesuai dengan seseorang tu?”
“Kau jangan nak pegu aku dengan sesiapa, boleh tak? Ni aku nak pergi koperasi. Kau ada nak pesan apa-apa tak?”
“Taknaklah. Aku dah kenyang sebab ada orang belanja makan. Ada orang tu, berlagak sombong. Orang nak belanja makan, dia lari. Sekarang dah kelaparan mencari makanan kering,” perli Muzi sambil tergelak besar.
Ada yang kena pelangkung ni. Aku terus menghentikan perbualan.
Aku mengeluarkan beg duit dan kemudiannya meletak beg yang berisi buku di dalam loker beg.
“Aku tak suka kalau orang yang cakap bohong!”
“Oh, mak kau!”
Kuss, semangat! Aku menoleh ke belakang. Tareeq!
Aku memandang ke kiri dan kanan ku. Tiada sesiapa. Sah dia bercakap dengan aku.
“Err... apa maksud awak?”
“Apa tujuan awak berjumpa dengan kami pagi tadi? Aku bersusah payah datang ke kafeteria awal pagi sebab nak jumpa kau, lepas kau boleh belah macam tu jer. Kau nak mempermain-mainkan kami ke?”
“Tujuan? Mempermain-mainkan? Saya tak faham maksud awak.”
Aku mengerutkan dahi. Setahu aku, Muzi yang panggil aku ke kafeteria. Tetapi tidak pula diberitahu tujuannya.
“Jangan buat-buat tak faham!”
Aku mengeluh.
“Suka hati awaklah. Saya tak tahu apa maksud awak dan perjumpaan pagi tadi... saya pun tak tahu tentang perjumpaan itu. Muzi yang...”
“Jangan nak babitkan orang lain dalam hal ini!” jerkahnya, membuatkan beberapa orang pelajar yang baru sampai di depan koperasi tertoleh-toleh ke arah kami.
Wajahku merona. Kesabaranku hampir tercabar dengan telatahnya yang datang menyerangku tiba-tiba.
Terasa seluruh badanku juga mula kepanasan. Tanpa mempedulikannya, aku menoleh kembali ke arah loker beg. Aku mengeluarkan seutas getah ikat rambut dan dengan pantas aku mengikat rambut menjadi tocang seperti ekor kuda. Tabiat aku ketika marah. Mengikut rambut ketika marah bagi mengurangkan rasa panas di kepala. Kemudian aku menoleh kembali ke arahnya.
Matanya bulat memandangku tanpa berkelip. Eh, dah kenapa pula mata terbeliak pandang aku macam nak makan jer ni? Baru aku perasan dia melihat ke arah rambutku.
“Dah kenapa pula? Tak pernah tengok orang ikat tocang ke? Awak pun nak getah juga ke? Eloklah, ikat rambut yang panjang tu. Dah macam rambut perempuan.”
Terkebil-kebil matanya setelah disergah.
“Eh, yang kau sibuk pasal rambut aku, apahal? Ada aku...”
Kruuukkkrruuuk....
Pandangan kami bersatu. Keningnya berkerut. Dia kemudian memandang ke arah perutku.
Alamak, malunya!
“Bunyi perut kau ke? Dasyatnya!”
Eeeiiii, geramnya! Nak mangata akulah tu.
“Sebab awaklah! Saya dah lapar tau tak. Kalau tak kerana awak, dari tadi lagi saya dah masuk ke dalam dan dah boleh beli makanan.”
Tanpa mempedulikannya, aku terus menapak menuju ke arah pintu koperasi.
“Cerh! Sombongnya!” tukas lelaki itu seraya membuntutiku.
Aku pantas menuju ke ruangan roti. Aku mengambil sebuku roti dan sebekas mentega kacang yang bercampur jem blueberry. Kemudiannya aku menuju pula ke rak mee segera. Aku mengambil sebungkus pek maggi perisa kari dan sebungkus pek perisa asam laksa. Di dalam kepala sudah terbayang ‘maggi kahwin’. Slurrppp...em sedapnya!
“Patutlah otak bengap. Rupanya, suka makan maggi segera.”
Aku menoleh. Tareeq tersenyum sindir di sebelahku. Aik! Dia masih ikut aku sampai ke dalam koperasi.
“Awak tak ada kerja ke? Asyik ikut saya sahaja.”
“Cerh! Perasannya! Kat pintu koperasi tu ada tulis perkataan ‘Tareeq tak dibenarkan masuk’ ke? Aku pun nak beli barang juga. Bukannya kau seorang sahaja.”
Aku mencebik.
Habis tu kenapa dia asyik mengekor aku jer dari tadi? Hmm... aku terfikirkan sesuatu. Aku menapak pula ke arah rak tuala wanita. Kali ini lelaki itu terkedu di lorong hadapan rak. Tak jadi menghampiriku. Malu ler tu! Hehehe... idea aku berhasil.
Aku terus membelek satu persatu jenis tuala wanita yang ada di rak tersebut. Sesekali aku mengerling ke lorong hadapan rak. Lelaki itu masih mundar mundir beberapa ketika. Setelah agak lama di situ, aku perasan lelaki itu berlalu pergi. Yeay, akhirnya! Aku mengambil sebungkus tuala wanita. Sementelaah mula stok di bilik juga sudah tinggal beberapa keping. Setelah itu aku berlalu ke kaunter pembayaran dan membuat pembayaran untuk semua barang yang aku ambil tadi.
Aku sedang memasukkan barang ke dalam beg galas apabila terasa bebayang orang di sebelahku. Lahh... ingatkan dah balik. Adoihhh... Kenapa dengan lelaki ini? Apa lagi yang dia tak puas hati dengan aku?
“Petang-petang ni, kat kafeteria Jabatan HEP ada bihun sup dan laksa. Kalau pekena semangkuk dua sedap juga. Lagi sedap kalau makan berteman dari makan ‘maggi kahwin’ sendirian dalam bilik.”
Aku memandang wajahnya. Dengan wajah selamba, lelaki itu melangkah ke jalan utama menuju ke fakulti. Tak habis-habis nak menyindir aku. Tapi macam mana dia tahu aku nak makan ‘maggi kahwin’?
***
“Terima kasih, kak. Ini duitnya.”
“Eh, tak payah. Bihun adik ni dah ada orang bayar.”
“Dah ada orang bayar? Siapa pula yang pemurah tu?”
Aku memandang ke sekitar kafeteria. Tiada sesiapa yang aku kenal.
“Adik nak letak cili jeruk?”
“Eh, tak payah, kak. Saya tak boleh makan pedas. Ada gastrik.”
“Ooo...ok. selamat menjamu selera.”
“Terima kasih.”
Aku terus berlalu ke meja makan. Hmm, sedapnya bau.
“Bismillah...”
“Kau ni, kalau dah duduk depan makanan, memang dah tak nampak orang ya?”
Erks! Mujur tak dan makan lagi. Kalau tidak mesti tersedak. Dia lagi! Warghhhh!!! Stressnya! Berapa kali nak jumpa ni?
“Buruknya muka. Tak baik buat muka depan rezeki.”
Tanpa dipelawa, Tareeq menarik kerusi dan duduk di hadapanku. Dia ni memang spesis tak tahu malu ke?
“Saya rasa dalam kafeteria ni, banyak lagi kerusi kat tempat lain. Kenapa kat sini juga awak nak duduk?”
“Saja. Aku nak tengok budak kecik makan. Tak padan dengan kecil, ambil mangkuk besar. Boleh habis ke?”
Budak kecil? Dia panggil aku budak kecik! Dia ni memang dah melampaulah! Sabar, Anna. Sabar. Sabar.
Aku terus menyuap bihun sup tanpa membalas kata-katanya.
“Hmm, sedapnya. Tentulah sedap. Makan orang belanja.”
Pfffftt!!!
Bersembur bihun di dalam mulutku. Aduh, peritnya tekak.
Uhuk! Uhuk! Uhuk!
Aku terus memandang ke arahnya. Eh!
Aku tertawa. Muka Tareeq penuh dengan bihun yang bersembur dari mulutku.
“Janganlah gelak. Ambilkan aku tisu!” arahnya sambil mengutip sisa bihun di wajahnya.
Kesian pula aku tengok keadaannya ketika itu. Aku bangun mengambil kotak tisu yang terletak di kaunter pembayaran.
Aku menghulurkan beberapa helai tisu sambil menahan tawa.
“Orang tua-tua kata, buat baik dibalas baik. Buat jahat jangan sekali.”
“Berperibahasa pula. Ni buat baiklah ni. Belanja kau makan. Tapi apa yang aku dapat? Sisa bihun dari mulut kau. Hish! Hilang selera makan aku!” marahnya sambil menyapu sisa-sisa bihun yang masih berbaki.
Hush! Garangnya! Waktu nak usik tadi, tak terfikir ke kesannya?
“Maaflah. Saya tak sengaja. Awaklah yang salah. Nak bercakap tu tak fikir perasaan orang. Cakap ikut sedap mulut sahaja.”
“Eh, aku pula! Sudahlah! Hilang mood nak makan.”
Dia bingkas. Kononnya merajuk. Cis!
“Tareeq!”
Panggilku.
“Apa?”
“Makan berteman, sedap sikit dari makan sendirian.”
Aku mengulang ayatnya tadi. Cuma aku tak sebut tentang ‘maggi kahwin’ jer. Heh!
Tareeq mengeluh. Dia duduk kembali dan mengadap bihun di dalam mangkuknya.
“Tareeq...”
“Apa lagiii?”
“Terima kasih sebab belanja makan,” ucapku sambil terus menunduk dan menyuap bihun ke dalam mulut.
“Sama-sama.”
Dia terpempan seketika sebelum menyambung kembali suapannya.

Aku tersengih memandang tingkahnya. Dalam masa hampir satu hari, kami berkenalan, kami boleh bergaduh, saling menyindir dan sekarang kami boleh makan semeja. Ajaibkan? Agaknya kami memang ada ‘chemistry’.








p/s: Cerita lain pula. Hahaha...sorry. Tak ada idea nak sambung cerita lama. Layan episod baru.

Rabu, 6 Ogos 2014

Viannia dan Gabak : Saudara Kembar!

“Via! Via! Bangun Via! Via!”
Aku membuka mata.  Wajah Gabak benar-benar di hadapan wajahku. Kedua-dua tangannya kemas memegang wajahku. Matanya merah. Riak wajahnya gusar. Kenapa?
“Syukur! Syukur tuhan, kau dah sedar!” jeritnya lagi sambil terus memeluk tubuhku. Kejap. Panas. Aku terkesima.
Tiba-tiba terasa belakang lenganku memijar. Semakin lama, semakin pedih.
“Gabak...” panggilku perlahan. Aku cuba menolak tubuhnya.
Gabak seperti baru tersedar kesilapannya. Dia meleraikan pelukan kami. Aku mengalihkan lengan kiriku. Lebam dan kemerah-merahan seperti kesan terbakar. Aku cuba untuk menyentuhnya.
Ouch!                                          
“Sakit?” soalnya kerisauan. Pandangannya juga tertumpu kepada kesan lebam itu.
Aku mengangguk.
"Mungkin kesan geseran tadi,"
"Geseran? Bergeser dengan apa?" soalku kehairanan.
Gabak diam. Matanya tajam memandang sekeliling. Aku menuruti sorotan matanya. Pelik! Kenapa aku berada di sini? Di laluan sempadan antara kawasan tasik kampung Fendral dan juga kampung seberang, kampung Melowe?
Tatkala itu kelihatan kelibat si sempadan kampung seberang. Kelibat seorang lelaki. Aku tersentak! Aku seperti pernah melihat lelaki itu. Aku merenung dari jauh. Tiada tanda-tanda dia akan beredar dari kawasan itu. Sebaliknya dia hanya memandang kosong ke arah kami berdua. Aku cuba mengingatinya. 
Ya! Lelaki itulah yang datang ke rumahku pada malam sewaktu aku sedang makan di dapur. Tetapi kenapa wajahnya kelihatan sedih?
“Gabak, siapa lelaki itu?”
Aku menoleh ke arah Gabak. Lelaki di sebelahku itu merenung aku tajam.
“Jangan sesekali kau menghampirinya, faham!”
Aku tersentak mendengar ugutannya.
“Jom, balik!” arah Gabak sambil bingkas dan menarik tanganku. Sekali lagi aku mengaduh apabila pegangannya terkena pada kawasan lebam dan terus melepaskan pegangannya. Gabak bungkam.
“Maaf. Aku tak sengaja,” ujarnya seraya menarik kembali tanganku yang cedera dan menghembus dengan mulutnya. Tindak balasnya membuatkan hatiku tersentuh. Riak wajahnya menjadi serba salah. Dalam aku menahan rasa ngilu dan bisa yang mula menular ke bahu, baru aku perasan, dia sudah mengubah kedudukan tubuhnya melindungi aku daripada dilihat oleh kelibat lelaki yang berada di sempadan kampung Melowe. Kenapa? Kenapa Gabak melarang aku berjumpa dengan lelaki itu?
“Gabak, Via tak larat nak jalan...”
Aku mula terasa tubuhku semakin lembik. Kepalaku jatuhkan ke bahunya.
“Via... bertahan Via.”
Perlahan-lahan aku merasa tubuhku dicempung Gabak. Pandanganku semakin kelam dan kelibat lelaki di sempadan kampung Melowe juga semakin mengecil.

***
“Mungkin bisanya masih hidup.”
“Tak ada cara lain?”
“Kulitnya akan jadi kehitaman. Kering dan jadi kulit mati.”
“Bahaya tak?”
“Kulit yang mati tak bahaya. Tetapi bisa yang masih hidup itu yang bahaya. Kemungkinan akan menular ke hati dan jantungnya.”
“Ohhh! Apa patut saya lakukan, tok?”
Diam.
“Aku rasa, satu-satunya cara untuk selamatkannya adalah kau mesti bersamanya.”
“Tak mungkin!”
“Kenapa pula? Kau dah terlalu lama menangguh hubungan kau berdua. Kau dah terlalu lama membiarkan dia menderita. Apa lagi yang menghalang kau?”
“Aku tak mahu mengambil kesempatan pada dirinya...”
“Kesempatan apa lagi yang kau ada?”
“Peach, cukuplah!”
“Aku rasa kau tak bersungguh sayangkan dia.”
“Peach!”
“Kalau kau tak mahu selamatkan dia, biar aku yang jadi galang gantinya. Aku tak sanggup dia mati di depan mataku.”
“Peach!”
Gedebuk! Satu tumbukan hinggap di perut Peach menyebabkan lelaki itu terduduk ke lantai.
“Kau jangan cuba nak rampas Via dari aku!” jerit Gabak. Wajahnya memerah, menahan amarah.
Peach memegang perutnya yang sengal. Dia terbatuk-batuk seketika bagi menghilangkan rasa sengal.
“Aku...aku tak berniat nak merampas Via dari kau. Tetapi demi menyelamatkan nyawa dia, aku sanggup berkorban. Aku dah jaga dia sejak usianya kanak-kanak. Aku tak sanggup kehilangannya kerana sayangkan dia. Aku bukannya bodoh macam kau. Mengikut adat yang membuta tuli!”
“Arghhh!!!”
Gabak menendang pintu rumah. Tok Meh, Adot dan mak diam tidak berkutik. Mereka langsung tidak berani menyampuk mahupun meleraikan pertengkaran antara dua lelaki yang berdarah pahlawan itu.
***
“Aku kembar kau. Kau Vianfeera dan aku Vianly. Kita kembar tidak seiras.”
“Kembar?”
“Ya, kembar. Aku datang untuk mengambil kau pulang... Kau harus pulang! Adat lama itu sudah musnah. Kau tidak perlu lagi berada di sini.”
“Kenapa sekarang baru kau cari aku? Kenapa tidak dulu?”
“Maafkan aku, Vian. Aku baru sedar dari koma setahun yang lalu. Aku koma sewaktu mengejar penculik kau.”
“Koma?”
“Ya, selama bertahun aku tidak sedarkan diri sehinggakan keluarga kita hampir berputus asa. Sebaik sahaja aku sedar, aku cuba untuk menghubungi kau. Beratus-ratus kali. Namun semuanya gagal. Sehinggalah aku ternampak kau sewaktu kau terjun ke dalam tasik itu pada malam pesta bebola cahaya. Aku berjaya masuk ke dalam mimpi kau, kerana perasaan kau sedang kucar-kacir. Itu petanda, adat yang diamalkan penduduk kampung Fendral semakin menuju kemusnahan.”
“Tetapi  adat tu telah mengikat aku di sini! Aku tak boleh pergi begitu sahaja. Peach kata kalau aku jejak kakiku ke kampung kita, rohku akan bercerai dari jasad.”
“Fikirkan tentang keluarga kita. Tentang ibu bapa kita. Terutamanya ibu kita yang sudah terlalu lama menunggu kau. Dia sudah lama menanggung rindu. Sudah lama menderita terpisah dengan satu-satunya anak perempuannya.”
Air mataku berjuraian. Aku juga merindui keluargaku. Keluarga sebenarku. Mungkin aku tidak lagi perlu berharap. Mungkin inilah masanya....

Aku membuka mata. Terasa pipiku basah. Aku bermimpi. Vianly memang benar-benar datang dalam mimpiku. Aku mengesat kesan air mata yang masih bersisa di pipi. Perlahan-lahan aku cuba mengalih tubuhku yang masih ngilu dan sengal.  Namun, tiba-tiba terasa jemariku tersentuh tubuh seseorang. Aku menoleh ke kanan. Terkejut melihat Gabak tidur dengan nyenyak di sebelahku. Tidak!

Sabtu, 5 Julai 2014

Viannia dan Gabak : Pesta Bebola Cahaya - Siapa Aku?

Pesta bebola cahaya disambut dengan begitu meriah di perkampungan Fendral. Ramai anak-anak gadis yang keluar menuju ke padang besar di tengah kampung, berkumpul dan menunjukkan kebolehan masing-masing membuat bebola cahaya dan memastikan bebola cahaya itu dapat terbang ke angkasa. Aku juga turut serta dalam acara gilang gemilang pada malam itu. Acara yang sangat dinanti-nantikan saban tahun. Walaupun tahun-tahun sebelum ini, aku tidak pernah menyertainya dan sekadar hanya menjadi pemerhati. Tahun ini aku bertekad dan berazam untuk memenangi acara tersebut. Bermalam-malam selama 2 minggu sebelum ini, aku berlatih membuat bebola cahaya. Peach aku kerah untuk mencari peralatan yang diperlukan. Walaupun, aku tahu Peach tidak bersetuju dengan penyertaanku ini, tetapi dia masih mahu menuruti kehendakku. Mak pula hanya membiarkan sahaja kemahuanku. Menyokong pun tidak, membantah pun tidak. Biarlah kedua mereka. Bagiku apa yang penting mereka tidak melarang kemahuanku.

Sebaik sahaja aku dan Peach tiba di padang, orang sudah ramai berhimpun. Masing-masing sudah bersedia dengan bebola cahaya yang dibuat dalam pelbagai bentuk. Aku begiitu teruja melihat suasana tersebut. Ada yang datang bersama keluarga, ada yang datang bersama pasangan dan ada juga yang datang bersama teman-teman. Suasana seakan-akan pesta keramaian.

“Via, aku pergi daftar nama kau di kaunter pendaftaran. Kau tunggu di sini.”

Aku mengangguk sambil memerhati Peach berjalan membelah lautan manusia. Sambil-sambil itu, mataku meliar mencari seseorang. Seseorang yang kuharapkan akan datang melihat hasil usahaku.

Tiba-tiba, satu pengumuman dibuat oleh seorang wakil tok ketua yang berada di atas sebuah pentas.

“Para peserta diminta berkumpul di tengah padang. Para penonton dan penyokong dipohon bergerak ke tepi bagi memberi laluan kepada anak-anak gadis menaikkan bebola cahaya. Saya akan memberi isyarat dalam selang masa beberapa minit lagi, dan anaknda semua, anak-anak gadis kampung… diminta bersedia di tempat masing-masing.”

Aku menoleh mencari Peach. Gelisah sekiranya namaku masih belum sempat didaftarkan lagi.

“Via! Bergerak ke tengah!” jerit Peach sambil memberi isyarat tangan menandakan aku boleh mengikuti acara tersebut.

Aku tersenyum sambil mengambil tempat untuk bersama-sama dengan peserta lain. Setelah berada dalam bulatan tempat masing-masing, aku mula memasang api pada bebola cahayaku.

“Dah bersedia semua?”

“Sudah!!!”

“Baik, kita mulakan! Satu, dua, tiga! Lepaskan bebola cahaya!”

Aku terus melonjak naik bebola cahaya yang dipegang tadi. Seronok melihat ia terbang beralun mengikut haluan angina yang bertiup perlahan pada malam itu. Suasana seperti langit disimbahi cahaya yang sangat terang dan berwarna-warni. Sangat cantik!

Aku langsung tidak memandang ke bawah keran tidak mahu terlepas peluang untuk melihat bebola cahaya ku terus naik tinggi ke atas.

Plop! Aku tersentak! Tiba-tiba bebola cahayaku, jatuh menyembah ke tanah.

“Harap maaf. Peserta bernombor 79, penyertaan anda dibatalkan!”

Apa? Kenapa? Aku pantas berlari mendapatkan pengadil dan wakil tok ketua yang berada di atas pentas untuk mendapatkan penjelasan. Namun baru beberapa langkah aku berlari, Peach sudah menghalang aku untuk terus mara.

“Jom balik!”

Hah!

“Tapi kenapa? Kenapa mereka batalkan penyertaan Via?”

Tiba-tiba, empat orang gadis datang menghampiri kami. Mereka tersenyum sinis.

“Hai Via, kenal aku? Aku Delisya, bakal menantu tok ketua dan ini kawan-kawanku. Kami “anak tempatan” kampung ini,” ujarnya sambil membuat isyarat kurungan semasa menyebut perkataan anak tempatan.

 “Kau ni tahu tak syarat pertandingan ni? Kalau tak tahu, mari aku terangkan. Acara bebola cahaya ini diadakan setahun sekali pada setiap bulan September. Ia…..” kata-kata gadis bernama Delisya terhenti sambil mengerling ke arah rakan-rakannya.

Tiga orang rakan-rakan Delisya sudah ketawa-ketawa kecil sambil memandang ke arah Peach.

“…disertai oleh anak-anak gadis “tempatan” kampung….ini. Yang bermaksud anak-anak yang dilahirkan dan dibesarkan di kampung ini. Kau tu… anak tempatan ke? Mana mak ayah kau? Kalau setakat bawa pengawal hensem seperti ini, aku lebih mampu dari kau. Jadi, jangan nak berangan untuk menang dalam acara ini sedangkan untuk masuk penyertaan pun kau tidak layak. Faham! Kawan-kawan jom! Kita tak payah layan budak luar yang perasan orang kampung ini!”

Delisya dan rakan-rakannya melangkah pergi sambil tertawa dengan angkuh. Aku terpaku seketika mendengar kata-katanya yang berbaur perasaan dengki. Terasa tubir mataku mula bertakung.

“Via…”

Aku memandang Peach dengan perasaan sedih, geram dan marah.Sedih kerana melihat apa yang aku usahankan selam ini menjadi sia-sia.Geram dan marah kerana Peach seperti cuba merahsiakan sesuatu daripadaku.

“Via, jom kita balik,” ujarnya perlahan.

“Anak tempatan? Apa maksud dia Peach? Aku bukan anak mak ke? Aku bukan anak tempatan kampung ini ke?” soalku sambil memandang ke arah Peach.

Lelaki itu melarikan pandangan ke arah padang. Lama. Seolah-olah dia memandang ke arah sesuatu. Aku terus memandang ke arah pandangannya. Kelihatan seorang lelaki yang amat aku kenali berada di sebelah wakil tok ketua. Tuan Muda! Lelaki yang sangat menjengkelkan aku kerana selalu mencari kesalahanku seolah-olah hendak membuang aku dari kampung ini. Tiba-tiba aku terfikirkan sesuatu.

“Kau ada rahsiakan sesuatu dari aku ke Peach? Apa perjanjian kau dengan Tuan Muda?”

Tebakanku mengena apabila melihat Peach sedikit tersentak dengan soalanku. Tetapi lelaki yang telah aku anggap sebagai seorang abang ini masih cuba mengawal riak mukanya dan berlagak bersahaja meskipun aku sudah mula meraguinya.

“Jangan fikir yang bukan-bukan. Jom balik! Penyertaan kau sudah dibatalkan. Tak guna kita tunggu lagi.”

Lelaki itu pantas menarik lenganku agar mengikuti langkahnya pulang ke rumah. Aku cuba menarik, tetapi pegangannya lebih kejap setiap kali aku cuba meronta.

“Via tak nak balik. Via nak tahu kebenarannya,” jeritku lantang. Namun suaraku tenggelam di sebalik sorakan orang ramai yang datang melihat acara bebola cahaya.

Peach seperti tidak mendengarnya dan terus melangkah pantas. Aku pula terpaksa berlari-lari anak untuk memastikan langkahku seiring dengan langkahnya. Walaupun hatiku memprotes, aku tidak boleh memberontak sesuka hati. Peach seorang baran. Aku paling takut kalau dia marah. Walaupun dia tidak pernah memukulku. Tetapi dia pernah membuatkan meja di kedai mak terbelah dua kerana marahkan aku. Semenjak itu, aku tidak berani melawan kata-katanya sekiranya darjah kemarahannya sudah mula mendidih.

Sebaik sahaja tiba di rumah. Aku terus berlari naik ke bilik.

“Aku benci kau, Peach! Aku benci engkau!” jeritku dari dalam bilik.

“Aik, cepatnya balik? Dah habis ke acara bebola cahaya?” kedengaran suara mak di hujung tangga. Aku langsung tidak menjawab ataupun menoleh ke arah mak. Sebaliknya terus menghempas pintu dengan kuat. Tanda protes.

***
“Aku tak mampu hendak berselindung lagi. Kalau dulu aku masih boleh menipunya kerana dia masih budak. Tetapi sekarang dia sudah dewasa. Sudah boleh berfikir dan mempertikaikan apa yang aku kata. Dia sudah membesar jadi seorang gadis yang cantik. Ramai yang cemburukannya.”

Aku membuka mata. Suara Peach seperti bercakap dengan seseorang di sebalik pintu bilik tidurku. Kantukku hilang. Mataku kembali segar. Perlahan-lahan aku bangun dari tidur, cuba mendekatkan diri dengan pintu bilikku.

“Kau tak faham. Kau tahu tak berapa ramai gadis-gadis kampung ini yang cemburu melihat kecantikannya? Sehinggakan ada yang sanggup mengoyak bajunya yang bersidai di ampaian. Berapa ramai pula lelaki yang datang ke kedai mak ni, mengganggu kerjanya? Mengusiknya. Untuk kali ini, aku masih boleh menghalang dan melindunginya. Tapi takkan selamanya aku mampu melindungi Viannia.”

“Tolonglah, Peach. Aku masih belum ada kekuatan untuk berdepan dengannya.”

Ada suara lelaki lain yang bercakap dengan Peach.

“Takkan selamanya kau nak aku berbohong atau mengelak daripada soalan-soalannya. Kalau perkara ini terus berlarutan, aku pasti dia akan memberontak seperti petang semalam. Aku tak mahu dia terus-terusan membenci aku. Hati aku sakit apabila dia menjerit bencikan aku semalam. Kau tahukan aku sayangkan dia seperti adikku sendiri. Hati aku sakit bila melihat wajah kecewanya. Kau tahukan saban tahun dia teringin hendak menyertai pertandingan itu. Dua minggu. Dua minggu dia berjaga siang dan malam, semata-mata hendak menyiapkan bebola cahaya itu.”

“Macam nilah…”

Aku cuba untuk merenggangkan sedikit daun pintu bagi membolehkan aku terus mendengar suara lelaki yang lagi seorang. Tetapi, tiba-tiba pintu ini berkeriut bunyinya. Alamak! Tak dapat aku menjadi spy.

“Via!”

Hmm…kan Peach dah perasan. Pendengarannya tajam. Beberapa ketika, kedengaran tapak kaki Peach menghampiri pintu bilikku. Aku berdehem beberapa kali sebelum bersuara.

“Ya.”

Peach menolak pintu bilikku. Mujur aku berada sedikit jauh. Kalau tidak pasti pintu itu mengena kepalaku.

“Tak tidur lagi?” soalnya sebaik sahaja memandangku. Wajahnya berkerut. Aku pasti dia mesti cuak melihat aku terjaga pada waktu-waktu ini. Aku menggosok-gosok mata nak menunjukkan yang aku masih mengantuk. Otakku ligat mencari sebab aku terjaga.

“Via lapar.”

“Lapar?”

Aku terangguk-angguk.

“Jom, turun ke dapur. Aku panaskan lauk yang mak masak semalam.”

Bagus! Peach percaya dengan kata-kataku. Aku tak mahu dia tahu, apa yang aku dengar tadi.
Aku terus membuntuti Peach menuju ke bawah. Sewaktu menuruni anak tangga, aku cuba memerhati sekeliling rumah. Kelam dan tiada sesiapa di luar kamarku mahupun di ruang hadapan rumah. Pelik! Dengan siapa Peach bercakap tadi? Takkan orang tersebut boleh keluar dari rumah dengan sepantas kilat?

Aku terus membuntuti Peach menuju ke bawah. Sewaktu menuruni anak tangga, aku cuba memerhati sekeliling rumah. Kelam dan tiada sesiapa di luar kamarku mahupun di ruang hadapan rumah. Pelik! Dengan siapa Peach bercakap tadi? Takkan orang tersebut boleh keluar dari rumah dengan sepantas kilat?

***

Aku menambah beberapa senduk bubur lagi. Tak sia-sia aku terjaga tadi. Baru sahaja menyuap dua sudu, aku terperasan Peach memandangku denagn hairan. Alamak! Janganlah dia syak yang aku ada terdengar perbualannya.

“Kenapa?”

Peach tersengih.

“Makan lahap. Lapar sangat ke?”

“Tak nampak ke orang dok makan ni?”

“Amboi, garangnya!”

Aku menjeling tajam.

“Marah lagi ke?” soal Peach sambil menongkat dagu.

Pandai lelaki yang tua sepuluh tahun dariku ini menyembunyikan perasaannya. Dalam masa beberapa minit sahaja, emosinya sudah berubah seperti tiada apa-apa yang berlaku. Arghhh…dia mana ada perasaan. Sama macam Gabak. Kedua-duanya aku gelar ‘Lelaki Sejuk Beku’. Lelaki yang tiada perasaan, sebab tu sampai sekarang masih sendirian.

“Marahlah juga. Tapi nak buat macam mana, bukan rezeki Via,” ucapku sambil menyuap bubur yang masih ada separuh dalam mangkukku. Selamba tanpa memandang ke arahnya.

Memang aku terkilan. Walaupun aku dah jadi penduduk kampung ini, tetapi undang-undang kuno itu masih kuat diamalkan. Undang-undang bodoh!

“Maafkan aku. Aku tak sepatutnya beri kebenaran untuk kau masuk pertandingan itu. Tetapi melihat wajah kau yang begitu teruja dan semangat kau yang sangat berkobar-kobar, membuatkan aku tak sampai hati nak beritahu tentang undang-undang yang masih mengikat kau di sini.”

Aku meletak sudu di dalam mangkuk. Mengangkat pandang ke arah Peach. Memang aku marah padanya. Marah sangat-sangat. Tapi apa kuasa aku untuk terus membantah pegangannya.

Peach menyandarkan tubuhnya yang sasa ke penyandar kerusi. Kakinya dilunjur di bawah meja.

“Peach…”

“Hmmm…”

“Delisya.... dia ada sebut tentang Via bukan anak tempatan kampung ni? Betulkah? Via bukan bukan anak mak ke? Via dapat rasa perkara ini, dah lama. Tapi Via ingat, mungkin sebab ibu bapa Via yang sebenar dah mati dan mak yang tolong menjaga dan membesarkan Via. Kalau betul Via bukan orang kampung ni, di mana kampung Via? Siapa ibu bapa Via yang sebenarnya?”

"Mana kau tahu, kau buka anak mak?" soalnya kembali.

"Sebab muka Via tak sama macam muka mak. Tapi muka Adot sama macam muka mak. Fizikal pun sama. Via tidak dan selepas mendengar kata-kata Delisya semalam, ini menguatkan perasaanku tentang perkara ini. Siapa ibu bapa kandung Via yang sebenar?"

Peach terdiam.

Pranggg!

Kami berdua tersentak. Ada sesuatu yang jatuh di dapur. Peach lebih pantas menuju ke dapur meninggalkan aku sendirian di meja makan, diam tidak berkutik. Aku menoleh ke arah pintu yang memisahkan antara ruang makan dengan ruang kedai. Terasa seperti panas haba berada berhampiran denganku. Dadaku berombak. Lebih memeranjatkan lagi apabila aku terpandang seperti lembaga hitam yang bermata merah sedang merenungku. Tajam!

Jumaat, 4 Julai 2014

DCJ 47 : Bulan madu manis

Mataku tertancap kepada persembahan jalanan di persisiran tebingan Sungai Kuching. Yang menariknya, lagu yang dinyanyikan artis tersebut adalah lagu ‘Takkan Terpisah’. Lagu yang sering bermain-main di corong radio pada ketika itu. Suasana malam hujung minggu penuh dengan pelancong-pelancong yang datang melancong di Bandaraya Kuching ini. Ditambah pula dengan hiasan cahaya neon yang memenuhi di sepanjang persisiran tebing Sungai Kucing menawarkan aura cosmopolitan bandaraya Kuching kepada pengunjungnya. Aku terus menarik tangan Luqman untuk turut serta dalam kumpulan pengunjung yang menikmati persembahan tersebut. 

Luqman sekadar menuruti kehendakku. Rancangan kami untuk makan di seberang sungai tertunda sebentar. Aku menjinjatkan kaki beberapa kali. Cuba mencari ruang pandang yang kosong dan tidak terhalang dengan kumpulan manusia yang turut sama melihat pertunjukan jalanan itu. Gagal. Aku hanya boleh nampak kepala penonton-penonton lain yang berada di hadapanku. Aku menghela nafas kepenatan. Ramai sangat orang, getus hatiku sedikit kecewa. Tiba-tiba kedengaran ketawa kecil di sebelahku. Aku menoleh. Luqman menutup mulutnya, cuba menahan ketawa. Hmm, itu mesti mengata aku. Mentang-mentanglah dia tinggi, boleh melihat pertunjukan jalanan itu dengan mudah tanpa perlu terjinjat-jinjat seperti aku. Mentang-mentanglah juga aku ni rendah, diketawakan aku tanpa rasa bersalah. Aku merengus sambil berpaling hendak melangkah keluar dari kumpulan penonton di situ. Namun tiba-tiba terasa tangan kananku dipaut. Aku menoleh. Mata Luqman memandangku dalam. Aku mengangkat kening. Kenapa? Luqman memberi isyarat mata agar menghampirinya semula. Aku menggelengkan kepala. Namun Luqman terus menarikku ke tubuhnya. Dan terus memelukku dari belakang. Jantungku berdetak kencang. Wajahku terus membahang, manahan malu. Tubuhku bersandar rapat ke tubuhnya sehinggakan aku boleh merasa hembusan nafasnya di pipiku dari belakang.

“Kesian isteri abang ni rendah...” ejeknya sambil menunduk, meletak dagunya di bahuku.

Aku menampar tangannya yang erat melingkari seluruh pinggangku. Tanda marah. Luqman tertawa lagi.

“Nak tengok ke?”

“Tak mahulah. Bukannya boleh nampak pun,” jawabku dalam nada merajuk.
Merajuk konon... Jasmin Alia yang cenggeng!

“Abang tanya ni, Min nak tengok tak pertunjukkan tu?”

Aku terdiam beberapa ketika.

“Nak tengoklah, alang-alang dah sampai ni. Takkan Min nak berdiri di sini dan dengar sahaja suara penyanyi tu? Lebih baik Min duduk di hotel sahaja.”

Rungutanku mengundang tawanya lagi.

“Min ni comel sangatlah. Hmm...ok berdiri elok-elok. Sekejap.”

Luqman menunduk.

“Eh, abang nak buat apa? Ehh...”

Terkejut aku dengan tindakan Luqman. Dia tunduk dan memangku pahaku, erat. Luqman mendukungku! Kedua-dua tanganku pantas menampan di bahunya bagi memastikan tubuhku tidak melayah jatuh.

“Nampak tak?”

Aku menunduk memandangnya. Soalannya menyebabkan aku memandang semula ke hadapan. Nampak dan sangat jelas. Wah! Aku tersenyum. Gembira. Hilang habis maluku apabila dapat menyaksikan persembahan di hadapan. Mujurlah kami dikelilingi pelancong-pelancong luar dan tiada sesiapa yang kami kenali di situ. Mereka pun tidak ambil kisah dengan perbuatan Luqman itu.

Beberapa minit kemudian, pertunjukan itu selesai dan persembahan diteruskan dengan acara lain. Aku menepuk bahu Luqman memberi isyarat agar menurunkan aku semula ke bawah. Perlahan-lahan Luqman melepaskanku ke bawah. Aku mengalihkan tubuhku agar dapat mengadap tubuhnya. Mataku terus memandangnya. Tersenyum.

“Terima kasih,” ucapku lirih.

Kedua-dua tangan Luqman memaut wajahku.

“Amboi, seronok dia! Bersinar-sinar matanya. Pandangan mata inilah yang telah mengikat hati abang. Untuk isteri kesayangan abang, apa sahaja abang sanggup lakukan,” balasnya sambil mencuit hidungku.

Wajahku membahang lagi membuatkan aku tertunduk malu. Rasa bahagia memenuhi di setiap sudut hatiku. Rasa betul-betul dihargai.


“Jom, kita cari kedai makan. Abang lapar,” ajaknya sambil menarik tanganku keluar dari kumpulan penonton yang masih setia melihat pertunjukan jalanan itu tadi. 


Selasa, 1 Julai 2014

Viannia dan Gabak : Misteri Rambut Putih!

“Makkkkk!!!”

Aku berlari menuruni anak tangga. Dalam masa yang sama, mak terkocoh-kocoh keluar dari dapur.

“Makkkk!!!” jeritku lagi.

“Ya! Kenapa?” soal mak, menjerit juga.

Wajahnya kerisauan. Aku berdiri di hadapannya dalam keadaan termengah-mengah. Mengah kerana aku melangkah 3 anak tangga serentak semasa berlari turun.

“Peach... Peach mana?”

“Peach tak ada. Dia keluar dari pagi tadi. Kenapa yang terjerit-jerit ni?”

“Mak... tengoklah rambut Via ni. Kenapa rambut Via jadi putih macam ni? Banyak pula tu.”

“Ohhh!!”

Wanita separuh abad itu kelihatan sangat terkejut. Tangannya ditutup di mulut.

“Mak... tengoklah ni. Kenapa kawasan putih ni jadi kat kawasan ni sahaja? Tapi dia putih dari akar rambut. “

“Kawasan lain ada tak?” soal mak masih gugup. Tangannya terketar-ketar menyentuh di bahagian kanan rambut depanku yang telah bertukar warna.

Aku menggelengkan kepala. Pelik, hanya di bahagian itu sahaja yang berubah warna sehingga ke pangkal rambut.

Aku beredar ke ruang depan apabila kedengaran derapan tapak kaki dan deheman Peach. Lelaki itu kelihatan terkejut melihatku. Pandangannya terarah ke rambutku. Aku memandang wajahnya sayu. Wajahnya langsung tiada riak terkejut. Hanya kerutan kerisauan. Tak tahu kenapa, tiba-tiba terasa hati sangat sedih.

“Via?”

Pandanganku kalih ke tubuh yang berdiri di belakang Peach. Gabak! Kenapa lelaki itu datang ke sini? Lelaki itu menghela nafas panjang. Pandangannya tajam memandangku.

“Ia benar-benar terjadi,” ucapnya sambil mengalih pandangan ke arah Peach di sebelahnya. Kedua-dua lelaki itu saling berpandangan sebelum kedua-duanya memandang aku semula. Aku gugup seketika.

Peach menghampiriku. Tangannya menarik lenganku dan mangarahku agar mengikutnya duduk di meja makan. Mujur hari ini cuti. Mak tak perlu kelam kabut buka kedai. Sebaik sahaja aku melabuhkan punggung, Gabak manarik satu lagi kerusi dan duduk bertentangan denganku. Terkebil-kebil aku memandang wajahnya.

“Semalam... Via pergi mana?” dia mula menyoalku dengan wajahnya serius. Pandangannya tajam menusuk ke anak mataku.

Aku melarikan pandangan ke arah Peach yang duduk bersebelahannya.

“Pandang saya, Via. Awak tak perlu tengok ke arah Peach. Bukan jawapan dia yang yang saya hendak tahu.”

Aku mengetap bibir. Nampak sangat aku selalu bergantung kepada Peach. Tetapi bukan salahku kalau aku sudah dididik sebegitu semenjak dari kecil. Peach umpama dinding yang menampan dan melindungi aku ketika aku menghadapi masalah atau dalam keadaan bahaya. Dialah pengawal, dialah kawan dan dialah abang yang sentiasa menjagaku.

“Via ke tasik,” jawabku perlahan

“Selepas itu?”

“Via di tasik. Mandi. Seperti selalu menjelang bulan mengambang. Via tak ke mana-mana pun. Tapi Via tak ingat apa yang dah berlaku selepas itu. Kenapa?”

Gabak mengeluh.

“Via ada nampak apa-apa benda yang pelik tak?”

Aku hanya menggelengkan kepala.

“Betul Via tak ada nampak apa-apa yang pelik?”

Bersungguh-sunguh lelaki di hadapanku ini cuba mendapatkan kepastian. Aku mengangguk pula.

“Via ingat tak apa yang berlaku pada Via semalam, maksud saya selepas Via mandi di tasik?”
Aku menggeleng sekali lagi.

Ingatanku hanya setakat aku terjun ke dalam air tasik yang sejuk dan biru. Selepas aku menguak naik ke permukaan dan selepas aku mendengar suara seperti memanggilku dari arah Timur tasik. Selepas itu aku dah tak ingat apa-apa.
Hah, suara!

“Peach, kita bincang di luar,” arah Gabak seraya bingkas ke arah pintu keluar. Peach membuntutinya tanpa sempat aku menahannya. Kedua-dua wajah lelaki itu nampak seperi tertekan. Apa yang telah berlaku semalam? Apa pula salahku kali ini? Aku menunduk sambil meraup wajahku. Tiba-tiba helaian rambut hadapanku yang berwarna putih jatuh ke dahi. Aku mengirainya perlahan-lahan. Cuba mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang bermain di kepala. Perlukah aku apa yang aku dengar semalam? Hatiku berbolak-balik. Pasti sesuatu telah berlaku sehinggakan Gabak sanggup datang berjumpa denganku. Adalah sesuatu yang mustahil bagi lelaki itu untuk datang mencariku kalau tanpa sebarang sebab.

“Gabak!” panggilku. 

Aku juga bingkas menuruti kedua-dua lelaki itu yang sudah berada di luar kedai mak.