Isnin, 15 Julai 2013

DCJ 39

“Kau nak aku ketuk kepala kau ke?”

Aku berpaling memandang ke arah Munir. Matanya tajam memandangku. Dia sedang berdiri sambil bercekak pinggang.

“Huh! Kenapa dengan kau ni? Nak ketuk kepala pula?” soalku kehairanan.

“Dari tadi aku tengok, kau tersenyum, kau tersengih. Kau pintal-pintal hujung baju kau. Macam orang angau. Kau dah cakap kau sukakan Luqman?”

Aku mengerling ke arah Munir. Mulut tak ada insuran. Mahu saja aku sapu sambal cili padi biar pedas mulutnya.

“Belum…” jawab aku acuh tak acuh.

“Habis tu, kenapa asyik tersengih dari tadi?” soalnya lagi sambil mengerut dahi.

Aku menghela nafas.

“Luqman cakap dia nak hubungan kami lebih dari seorang kawan,” jawabku sambil tersenyum lagi.

Mata Munir terkejip-kejip seolah-olah tidak percaya. Dia terus menghampiriku. Memang dasar kepoh!

“Hah! Luqman cakap macam tu ke?” soalnya lagi.

Aku mengangguk.

“Emm..”

“Kau jawab apa?” 

Amboi, macam-macam dia nak korek ya.

“Tak jawab apa. Aku diam jer. Eh, minggu depan aku tak datang yer? Aku nak ikut babah dan ibu Darlynna balik kampung. Ayah long aku nak buat kenduri tahlil," terangku cuba menukar topik. malas aku nak melayan kawan aku yang seorang ni.

“Tengok tu! Kau ni memang teruk tau!" bentak Munir.

“Apa?”

“Kau sengaja ubah topik. Aku baru semangat nak dengar cerita.”

Ceh! Dasar kepoh!

“Mana ada tukar topik. Itu je lah ceritanya. Kami tak sempat cakap panjang, babah dah keluar panggil dia masuk rumah.”

“Ceh! Sengal lah kau ni!” marah Munir sambil menapak ke arah rak buku.

“Kau lah sengal! Wekk! Kepoh!” jeritku kembali.

“Aku ketuk kepala perempuan ni baru dia tahu,” ujar Munir seraya mengambil sebuah buku yang agak tebal di sisinya.

Aku terus melarikan diri masuk ke dalam pejabat sambil tertawa.

“Min!” panggil Munir dari luar bilik pejabatku.

“Ya..”

“Berapa hari kau kat kampung?”

“Seminggu kot. Babah cakap ada banyak kerja yang perlu diselesaikan.”

“Kerja apa?”

“Entah! Aku tak tanya pun,” jawabku sambil memasukkan beberapa keping kertas yang bertaburan atas meja ke dalam plastik sampah.

“Maksu kau balik tak?” soalnya lagi.

Hish, lelaki ini! Suka sembang sambil terjerit-jerit.

“Siapa?” soalku kembali. Buat-buat tidak ingat siapa yang dimaksudkannya.

“Kau ada ramai maksu ke? Nadheerah la!” jerit Munir marah.

Aku tergelak kecil.

“Tak balik kot. Ayah cu aku cakap, dah tak boleh travel jauh-jauh. Takut bersalin tengah jalan.”

“Dia dah sarat ke?”

“Tunggu hari jer tu.”

Telefon bimbit aku berbunyi nyaring. Aku pantas mencapainya.

Luqman!

“Buat apa tu?”

Aku tersenyum. Soalan pertama selepas secara rasmi dia mengaku dia sukakan aku.

“Tengah kemas barang kat kedai. Kenapa?” tanya aku kembali.

“Emm, saja tanya. Jadi balik kampung?”

“Aik! Macam mana Luq tahu?”

“Babah Min yang beritahu semalam. Dah lupa?”

“Ooo….maaf. Min tak ingat. Err…Luq ikut balik tak?”

“Tak.”

Aku terkebil-kebil mendengar jawapan pendeknya.

“Kenapa?”

“Penting ke Luq ada sama?”

Tapi kan dia cakap dia suka aku? Tentulah penting dia ada sama walaupun ia hanya sekadar kenduri tahlil.

“Betul Luq tak balik kampung esok?” sekali lagi aku bertanya.

“Luq ada kerja kat pejabat. Lagipun, Abang Dzulkarnain kesayangan Min tu ikut balik juga kan? Oklah tu. Meriah juga kalau orang Bandar dah jadi orang kampung nanti,” perlinya.

Hatiku tersentap. Kenapa tiba-tiba dia sebut nama abang Nain? Kenapa dia jadi sinis pula hari ini? Aku kebingungan.

“Min tak tahu tentang abang Nain. Mungkin babah yang jemput.”

“Min tak tahu atau Min buat-buat tak tahu?”

“Tak nak datang sudah,” ujarku seraya terus mematikan talian. Malas melayan orang yang suka angin tak tentu pasal. Eiii…kenapa dengan lelaki ni? Datang bulan ke? Marahku seraya membaling telefon bimbit ke atas sofa. Mujur tak jatuh ke lantai. Kalau tidak, mahu pecah berderai.

Ughh…geramnya. Lelaki ini suka menyakitkan hati aku. Semalam dia cakap dia sukakan aku, hari ni dia buat seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Uhhh…malunya. Jasmin Alia…. Apa yang aku perlu buat kalau dia betul-betul permainkan aku? Huhu…aku menghentak kotak-kotak yang berada di hadapanku.

“Jasmin…” panggil Munir di hadapan pintu pejabatku.

“Apa?”

“Ada pelanggan kat luar. Pergi layan,” arah Munir sambil mengunjuk keluar.

Ceh! Mentang-mentanglah dia bos, suka hati sahaja mengarah.

“Aku nak keluar ambil angin sekejap,” ujarku seraya mencapai beg tangan dan telefon bimbit.
“Hah! Kenapa ni? Wei, siapa nak layan pelanggan kat luar tu? Min!”

Aku mengangkat tangan sambil berjalan pantas menuju ke pintu keluar. Hatiku rasa terlampau marah dengan jawapan Luqman sehinggakan aku tidak dapat menyambung kerjaku dengan tenang.

Aku melintasi kedai bunga selang beberapa buah dari kedai Muss Read Shop.  Langkahku terhenti di hadapan kedai itu.

“Nak beli bunga ke?”

Aku terjerit kecil mendengar suara itu. Lebih terkejut aku sebaik sahaja mengalih pandangan ke sisi. Luqman!  Hampir-hampir terjatuh sekiranya tangannya tidak pantas memegang lenganku.

“Luq! Kuss semangat…terkejut Min! Apa Luq buat kat sini?” soalku sambil mengurut dada.

“Luq ikut Min.”

“Ikut Min? Kenapa? Eh, tadi masa Luq telefon Min…”

“Ada orang tu berjalan sambil mebebel. Marah-marah dari dalam kedai sampai kat luar. Yang peliknya, lalu depan kedai bunga dan nampak bunga boleh terus terdiam.”

Marah-marah dari dalam kedai? Terkebil-kebil aku mengingati kembali bayang pelanggan yang berpapasan denganku di dalam kedai tadi. Hah! Dia kah?

“Luq ada dalam dalam kedai ke tadi?”

“Luq telefon semasa dalam kereta. Luq nak ajak Min makan. Tapi belum sempat nak cakap, Min dah letak telefon. Sebab tu Luq terus masuk kedai sebaik sahaja sampai. Dengar macam ada orang sedang mengamuk,” ujar Luqman seakan-akan memerliku.

Aku mengetap bibir.

“Ada orang tu cemburu tak tentu pasal. Lepas tu berlagak tak mahu balik kampung,” gerutuku perlahan. Masih tak puas hati dengan jawapan yang diberikan tadi.                                                                                                   
“Penting ke?”

“Kalau tak nak balik, tak payah tanya Min penting atau tidak. Ayah Long buat kenduri untuk berkumpul adik beradik. Takkan Luq taknak balik jumpa keluarga Min, kenal dengan mereka…”

“Luq dah kenal mereka dari dulu lagi. Sejak dari zaman kita bersekolah. Setiap ahli keluarga Min, Luq dah pernah jumpa.”

A’a ..betul juga jawapannya itu. Habis tu kenapa aku nak sangat dia balik sana? Aku termanggu seketika memikirkan jawapan bagi soalan Luqman itu tadi.

“Untuk gadis cantik yang Luqman cintai,” ujar Luqman tiba-tiba seraya mengunjukkan aku sejambak bunga ros merah.

Terpempan aku seketika. Gadis cantik yang dia cintai? Aku tak salah dengar kan? Tapi bila masa pula dia beli bunga ni?

“Tak nak ke? Kalau tak nak, Luq ju…”

Aku terus merampas bunga tersebut sebelum dia sempat menghabiskan ayatnya.

“Tadi Luq kata nak makan kan. Jom! Min lapar,” ajakku sambil terus menapak menuju ke keretanya yang terparkir di hadapan Muss Read Shop.

Ughh… malunya!

Kedengaran Luqman tertawa kecil di belakangku.

Tiada ulasan: