“Min,
makan lagi ya. Nanti mummy pergi ambil air di dapur,” pelawa mummy sambil
berlalu ke dapur.
Seronok
benar wanita itu apabila aku datang bertandang ke rumahnya. Sehingga sanggup
memasakkan aku bihun goreng semata-mata hendak makan petang bersama-sama. Aku
mengerling ke arah Abang Nain. Matanya tidak lepas memandangku sehinggakan aku
merasa sedikit gugup.
“Kenapa
Abang Nain pandang Min macam tu? Min ada buat salah ke?”
“Min
datang sini, Luqman tahu ke?”
Aku
terpempan seketika namun kemudiannya aku mengangguk perlahan.
“Patutlah
Abang tengok Min ceria sangat sekarang,” tegur abang Nain setelah beberapa
ketika kami mendiamkan diri. Aku mengerling ke arahnya.
“Maafkan
Min sebab tak berterus terang dengan Abang Nain. Tapi dulu Min dah pernah
cakap, Min hanya anggap abang Nain seperti abang kandung. Min tak boleh terima
abang Nain lebih dari itu. Min harap abang Nain faham,” pintaku.
Lelaki
itu tersenyum kelat.
“Tak
apa Min. Abang faham. Luqman lebih dahulu hadir dalam hidup Min,”jawabnya
ringkas.
Aku
tersentak mendengar kata-katanya.
“Mana
abang tahu tahu tentang kehadiran Luqman dalam hidup Min?” soalku sambil
mengerut dahi.
“Luqman
sendiri yang beritahu abang,” jawabnya.
“Luqman
beritahu? Bila?” soalku kembali.
Lelaki
itu mengeluh sambil mengerling ke arahku.
“Min
ingat tak tentang kejadian Min jatuh basikal tempoh hari?”
Aku
mengangguk.
“Abang
Nain pernah beritahu Min tentang Luqman datang ke bilik abang, marah-marah
abang…”
Aku
mengangguk lagi.
“Semasa
itu dia ada cakap yang dia tidak akan sekali-kali membiarkan Min tercedera lagi
kerana dia pernah berjanji dengan Ayah Cu untuk menjaga Min sampai bila-bila,”
terang Abang Nain lembut.
Aku
terpana. Janji dengan Ayah Cu? Bila Luq jumpa ayah Cu? Apa yang Luq janji
dengan ayah Cu?
Tiba-tiba
aku teringat semula sesuatu.
***
Aku
menghirup lagi milo ais yang hampir tinggal suku gelas. Sesekali aku melihat
jam di tangan. Dah hampir setengah jam. Aku mengetap bibir. Aku menoleh ke arah
pintu utama wad. Kelihatan ayah cu berlari-lari anak menghampiriku.
“Maaf..maaf.
Ayah cu ada hal sikit nak kena selesaikan tadi. Hah! Apa hal nak jumpa sangat
ni sampai datang ke hospital? Tak boleh tunggu ayah cu pergi ke rumah ke?”
Aku
menjeling. Aku buat muka garang.
“Tak
boleh. Hal penting! Antara hidup dan mati,” jawabku tegas.
“Amboi,
garangnya! Hal apa tu?”
Aku
menarik nafas dalam-dalam.
“Sebelum
tu, ayah cu janji dengan Min, ayah cu akan beritahu semuanya dan tak ada rahsia
lagi yang perlu disembunyikan dengan Min,”
“Rahsia
apa pula ni?”
“Janji?”
“Ok…ok…janji.”
“Apa
perjanjian yang telah dibuat antara ayah cu dengan Luq?”
Wajah
ayah cu berubah.
“Perjanjian
apa…? Ayah cu tak faham maksud Min,” dahinya berkerut-kerut seolah-olah tidak
memahami maksudku.
Aku
membuka telefon aku dan menekan ikon galeri gambar. Aku mengunjukkan gambarku
yang dilukis tangan. Gambar ketika aku terlantar di hospital selepas
terperangkap dalam hujan dahulu.
“Hei…cantiknya.
Comel. Siapa yang lukis gambar ni?” ayah cu berpura-pura tidak tahu tentang
gambar tu.
“Ayah
cu, fokus! Ini gambar Min. Luq yang lukis. Macam mana Luq boleh lukis gambar
Min sedangkan dia tidak pernah datang melawat Min ketika itu?” ujarku separuh
tegas.
“Oh,
Luqman pandai melukis juga ya? Baguslah, dah jadi jurutera kemudian pandai pula
dalam bidang seni…” sekali lagi bapa saudaraku itu cuba berdalih.
Aku
kecewa melihat cara pandangan ayah cu. Jadi selama ini dia berpura-pura tidak
tahu tentang hal ini. Sampai hati ayah cu buat Min macam ni. Rintih hatiku. Aku
malu pada Luqman. Ada air mata mula bertakung di tubir mataku.
“Ayah
Cu… Min tanya ni. Betul tak Luqman ada datang melawat Min semasa Min jatuh
sakit dan terlantar di hospital 12 tahun lalu?”
Ayah
Cu merenungku tajam.
“Betul
Min nak tahu cerita sebenar?”
Aku
mengangguk.
“Ya,
dia ada datang tengok Min tapi ayah cu halau dia,”jawab ayah cu tegas.
Aku
kehairanan.
“Hah!
Kenapa ayah cu halau dia?”
“Min, ayah cu buat semua tu bersebab. Ayah cu
tak mahu Min hilang tumpuan untuk belajar. Dia telah sebabkan Min jatuh sakit.
Kalau dia tak ada, tentu…”
“Dia
tak bersalah ayah cu. Min yang salah, terlalu ikut perasaan Min,” pintasku.
“Tetapi
Min ikut sebab Min diugutkan?”
Aku
terpempan. Mana ayah cu tahu tentang ugutan itu? Hanya aku dan Nad yang tahu
tentang hal ini. Arghh…Nadheera!
“Nad
tak salah dalam hal ini. Ayah cu yang paksa dia untuk beritahu. Kalau dia
berdiam diri, ayah cakap nak tinggalkan dia.”
Terbeliak
aku mendengar ugutannya. Tawaku meletus. Dari tadi terasa seperti hendak
menangis tetapi sekarang rasa seperti hendak pecah perutku menahan tawa. Aduh,
lawaknya kata-kata ayah cu itu.
“Kenapa
Min ketawa? Apa yang lawaknya?”
“Ayah
cu pun sama macam Luqman. Ayah cu tak perasan ke yang ayah cu pun turut guna
cara ugutan untuk dapatkan maklumat dah Nad? Jadi apa bezanya ayah cu dengan
Luq? Huh!”
“Hei,
tolong ya! Jangan samakan ayah cu dengan teman lelaki awak tu. Dia guna ugutan
untuk kepentingan diri dia. Ayah guna ugutan untuk keselamatan Min. Ada bezanya
ya.”
Aku
tersenyum mendengar jawapannya. Aku tahu dia sangat mengambil berat tentang
diriku. Aku tahu niat dia baik. Dia tak mahu aku leka dalam pelajaran.
“Tapi
selama ni, Min ingat Luq tak sukakan Min. Kalau dia kahwin dengan orang lain,
atau kalau Min bercinta dengan orang lain… macam mana…?”
“Itu
dinamakan jodoh, Min. Walaupun beribu batu dia pergi, walaupun bertahun-tahun
dia di perantauan, tetapi apabila dia balik ke sini dia tetap datang cari Min
juga. Itulah jodoh.”
Aku
mengesat air mata yang semakin mula mengalir. Malu pula sekiranya orang di
sekeliling melihatnya.
Ya,
itulah warna warni lukisan percintaan kami. Aku mengeluh.
“Min
nak balik,” ujarku seraya bingkas dari kerusi.
“Nak
ayah cu hantarkan?”
Aku
menggelengkan kepala.
“Tak
apa. Min nak sendirian,” ujarku sambil menyalami tangannya.
“Jasmin!”
Aku
menoleh.
“Kami
semua sayangkan, Min. Ayah Cu sayangkan Min.”
Aku
tersenyum.
“Ya,
terima kasih. Min juga sayangkan ayah cu.”
Lelaki
itu membalas senyumanku. Aku bergerak menuju ke luar kawasan hospital.
Aku
mengeluh. Dalam minggu ini, begitu banyak kejutan yang aku terima. Entah berapa
banyak lagi rahsia yang tersimpan kemas di belakangku. Semuanya seperti
seolah-olah berkomplot, berpakat untuk merahsia sesuatu dariku. Babah, ibu
Darlynna, Luqman, ayah cu, ayah long…..aduh, sakiitnya kepala memikirkan semua
ini.
Aku
berhenti berehat sebentar di bus stop sambil
merenung ke arah jalan.
Sebuah
kereta berhenti tepat di hadapanku. Pada mulanya aku tidak mempedulikan
kehadiran kereta tersebut. Namun, tiba-tiba tingkap hadapan di sebelah
penumpang diturunkan. Aku terkejut. Luqman! Begitu jauh aku mengelamun
sehinggakan aku tidak perasan bahawa kereta yang berhenti itu adalah kereta
Luqman.
“Min?
Apa Min buat kat sini?”
“Min
jumpa Ayah Cu. Apa Luq buat kat kawasan ni? Luq ada kerja kat luar kawasan
ke?”soalku kembali.
“Masuk
dulu. Kita berbincang di dalam,” arahnya seraya membuka pintu kereta.
Aku
melangkah masuk tanpa banyak soal.
“Kenapa
pucat muka ni? Min sakit?” soalnya kerisauan sebaik sahaja aku melabuhkan
punggung di sebelahnya. Aku menyentuh pipiku.
Aku
sekadar menggelengkan kepala. Sebenarnya kepala ku agak berserabut memikirkan
perkara yang baru aku ketahui. Tetapi aku rasakan tak perlu untuk diceritakan
kepadanya kerana dia sendiri tidak pernah bersuara berkenaan hal tersebut.
“Sebenarnya,
ayah cu yang call Luq. Dia risaukan Min. Dia cakap Min …..”
Aku
mengeluh. Hmm.. ayah cu lagi. Patutlah dia berada di sini. Mana mungkin dia
mengetahui lokasi aku berada kerana aku langsung tidak menghubunginya semenjak
semalam sekembalinya dari rumah Abang Nain.
“….
Min, boleh tak terima semua ni dengan redha dan berfikiran yang positif?”
Aku
menoleh ke arah Luqman di sebelah. Begitu panjang dia bercakap dari tadi, hanya
ayat itu yang aku sempat tangkap.
Ya,
senang dia berkata begitu kerana dia tidak berada di tempatku. Ahh…apalah yang
nak difikirkan sangat. Mereka cuba untuk menjadi pelindungku. Tetapi terasa
seperti hidupku diaturkan satu persatu. Seperti sebuah filem yang ada pengarah,
penerbit, dan pelakon-pelakonnya.
“Jasmin
Alia…”
Aku
tersentak dan kemudiannya berpaling ke arah lelaki di sebelahku. Baru aku
perasan, keretanya telah berhenti di tepi jalan.
“Kenapa
Min diam dari tadi? Dzulkarnain ada sakitkan hati Min? Atau Min marahkan Luq?”
Aku
menggelengkan kepala. Jelaskan, semua bersikap hendak melindungi aku. Takkan
aku masih tidak bersyukur apabila aku di kelilingi oleh mereka yang begitu
menyayangiku.
“Boleh
hantarkan Min balik? Min nak rehat. Esok dah nak bertolak balik kampung,”
pintaku sambil menyandarkan kepalaku ke belakang.
“Min
tak nak ikut Luq pergi beli cincin?”
“Cincin?
Cincin apa?” soalku sambil menoleh ke arahnya.
“Cincin
tunang,” jawabnya selamba tanpa memandang ke arahku.
“Bila
kita nak bertunang?” soalku terpingga-pingga. Agak menghairankan kerana dia
langsung tidak pernah membincangkan tarikh pertunangan kami.
“Min
akan tahu tarikhnya nanti. Sebelum tu kita pergi beli cincin dulu ya,” pintanya
separuh memujuk.
Aku
mengeluh. Asyik nak berahsia sahaja. Buatlah apa yang awak suka, Luq. Asal awak
bahagia, getus hatiku sedikit tawar hati.
“Ikut
sukalah. Tapi Min tak suka pakai cincin. Min suka pakai rantai tangan,” ujarku
separuh mengada-ngada.
“Tak
apa. Itupun kita beli juga nanti,” jawabnya sambil tersenyum.
“Tapi
buat apa nak beli kalau Min tak suka pakai. Membazir nanti,” rungutku perlahan.
“Itu
yang Min suka pakai. Tapi Luq nak beli barang yang Luq suka tengok Min pakai,”
jawabnya sambil mengerling ke arahku.
Hmm,
alamatnya kena pakai juga walaupun tak suka.
1 ulasan:
best...
Catat Ulasan