Jumaat, 4 Julai 2014

DCJ 47 : Bulan madu manis

Mataku tertancap kepada persembahan jalanan di persisiran tebingan Sungai Kuching. Yang menariknya, lagu yang dinyanyikan artis tersebut adalah lagu ‘Takkan Terpisah’. Lagu yang sering bermain-main di corong radio pada ketika itu. Suasana malam hujung minggu penuh dengan pelancong-pelancong yang datang melancong di Bandaraya Kuching ini. Ditambah pula dengan hiasan cahaya neon yang memenuhi di sepanjang persisiran tebing Sungai Kucing menawarkan aura cosmopolitan bandaraya Kuching kepada pengunjungnya. Aku terus menarik tangan Luqman untuk turut serta dalam kumpulan pengunjung yang menikmati persembahan tersebut. 

Luqman sekadar menuruti kehendakku. Rancangan kami untuk makan di seberang sungai tertunda sebentar. Aku menjinjatkan kaki beberapa kali. Cuba mencari ruang pandang yang kosong dan tidak terhalang dengan kumpulan manusia yang turut sama melihat pertunjukan jalanan itu. Gagal. Aku hanya boleh nampak kepala penonton-penonton lain yang berada di hadapanku. Aku menghela nafas kepenatan. Ramai sangat orang, getus hatiku sedikit kecewa. Tiba-tiba kedengaran ketawa kecil di sebelahku. Aku menoleh. Luqman menutup mulutnya, cuba menahan ketawa. Hmm, itu mesti mengata aku. Mentang-mentanglah dia tinggi, boleh melihat pertunjukan jalanan itu dengan mudah tanpa perlu terjinjat-jinjat seperti aku. Mentang-mentanglah juga aku ni rendah, diketawakan aku tanpa rasa bersalah. Aku merengus sambil berpaling hendak melangkah keluar dari kumpulan penonton di situ. Namun tiba-tiba terasa tangan kananku dipaut. Aku menoleh. Mata Luqman memandangku dalam. Aku mengangkat kening. Kenapa? Luqman memberi isyarat mata agar menghampirinya semula. Aku menggelengkan kepala. Namun Luqman terus menarikku ke tubuhnya. Dan terus memelukku dari belakang. Jantungku berdetak kencang. Wajahku terus membahang, manahan malu. Tubuhku bersandar rapat ke tubuhnya sehinggakan aku boleh merasa hembusan nafasnya di pipiku dari belakang.

“Kesian isteri abang ni rendah...” ejeknya sambil menunduk, meletak dagunya di bahuku.

Aku menampar tangannya yang erat melingkari seluruh pinggangku. Tanda marah. Luqman tertawa lagi.

“Nak tengok ke?”

“Tak mahulah. Bukannya boleh nampak pun,” jawabku dalam nada merajuk.
Merajuk konon... Jasmin Alia yang cenggeng!

“Abang tanya ni, Min nak tengok tak pertunjukkan tu?”

Aku terdiam beberapa ketika.

“Nak tengoklah, alang-alang dah sampai ni. Takkan Min nak berdiri di sini dan dengar sahaja suara penyanyi tu? Lebih baik Min duduk di hotel sahaja.”

Rungutanku mengundang tawanya lagi.

“Min ni comel sangatlah. Hmm...ok berdiri elok-elok. Sekejap.”

Luqman menunduk.

“Eh, abang nak buat apa? Ehh...”

Terkejut aku dengan tindakan Luqman. Dia tunduk dan memangku pahaku, erat. Luqman mendukungku! Kedua-dua tanganku pantas menampan di bahunya bagi memastikan tubuhku tidak melayah jatuh.

“Nampak tak?”

Aku menunduk memandangnya. Soalannya menyebabkan aku memandang semula ke hadapan. Nampak dan sangat jelas. Wah! Aku tersenyum. Gembira. Hilang habis maluku apabila dapat menyaksikan persembahan di hadapan. Mujurlah kami dikelilingi pelancong-pelancong luar dan tiada sesiapa yang kami kenali di situ. Mereka pun tidak ambil kisah dengan perbuatan Luqman itu.

Beberapa minit kemudian, pertunjukan itu selesai dan persembahan diteruskan dengan acara lain. Aku menepuk bahu Luqman memberi isyarat agar menurunkan aku semula ke bawah. Perlahan-lahan Luqman melepaskanku ke bawah. Aku mengalihkan tubuhku agar dapat mengadap tubuhnya. Mataku terus memandangnya. Tersenyum.

“Terima kasih,” ucapku lirih.

Kedua-dua tangan Luqman memaut wajahku.

“Amboi, seronok dia! Bersinar-sinar matanya. Pandangan mata inilah yang telah mengikat hati abang. Untuk isteri kesayangan abang, apa sahaja abang sanggup lakukan,” balasnya sambil mencuit hidungku.

Wajahku membahang lagi membuatkan aku tertunduk malu. Rasa bahagia memenuhi di setiap sudut hatiku. Rasa betul-betul dihargai.


“Jom, kita cari kedai makan. Abang lapar,” ajaknya sambil menarik tanganku keluar dari kumpulan penonton yang masih setia melihat pertunjukan jalanan itu tadi. 


Tiada ulasan: