Isnin, 12 Februari 2018

ADA CINTA - Hatiku Kau sakiti

“Anna and the King!”

Huh! Siapa pula yang panggil aku begitu? Aku menoleh. Hakimi dan abang Haidhar tersenyum dari jauh. Kurang asam! Suka hati sahaja panggil orang macam tu. Aku menoleh sekeliling. Beberapa orang pelajar tersengih-sengih melihat telatah kedua-dua orang jejaka itu. Aku membuka cermin mataku tatkala mereka datang menghampiriku.

“Seorang sahaja?”soal Hakimi sambal melabuhkan punggungnya di sebelahku. Aku menginjak ke sebelah kiri bagi memberi ruang kepadanya manakala Abang Haidhar duduk bertentanganku.

Aku mengangguk.

“Waaa, macam cikgu lah bila Anna pakai cermin mata. Kenapa tak pakai selalu?”

“Anna bukan rabun jauh. Anna rabun dekat. Dari mana ni?”

“Dari kuliah. Seriously? Anna? Rabun dekat? Muda lagi kot?” soal Hakimi tidak percaya.

“Keturunan kot. Abah Anna pun rabun dekat. Tapi tak teruk sangat. Mungkin juga sebab stress atau banyak tengok skrin komputer atau telefon bimbit.”

“Hah! Cakap pasal stress… Mana Tareeq?”soal Abang Haidhar sambil memandang sekeliling.

Eh, tanya aku pula?

“Kenapa tanya Anna pula? Dia kan kawan baik korang berdua.”

“Manalah tahu, kot-kot berjumpa. Anna dengan dia kan satu fakulti,” jawab Hakimi sambil tersenyum. Itu tak da kerja lain asyik nak menyakatlah tu. Aku mencebik.

“Satu fakulti jer. Bukan satu kelas. Hish! Tak habis-habis nak menyakat Anna. Ni ada apa cari Anna kat sini?”

“Amboi, nak datang jenguk junior tak boleh ke?”

Bila masa pula aku jadi junior mereka ni? Aku mengerut dahi.

“Abang Haidhar….”

Kedua-dua jejaka itu tertawa.

“Inilah kami nak bagi kurangkan stress Anna. Nak tengok kami main game?”

Aku tergelak kecil. Ingatkan apalah petuanya nak bagi aku hilang stress.

“Bila?”

“Esok petang.”

“Anna ada bengkel esok. Tak tahu habis pukul berapa sebab Anna kena siapkan projek perabut untuk tadika sebelum hujung bulan ni.”

“Oh, ya ka? Sayangnya!” Hakimi sudah memandang Abang Haidhar di hadapannya.

“Kenapa tak ajak Kak Lyea dan Faten?”

“Diorang tu game macam ni, bukannya berminat. Lagipun diorang bakal setiausaha, mana kelas main game bola keranjang ni. Terlompat-lompat. Kalau keluar shopping bolehlah ajak,” rungut Hakimi.

Aku tergelak kecil melihat caranya bercakap.

“Habis tu, yang datang ajak Anna ni, ada tanya tak Anna ni minat tengok atau tak?”

“Alaaa… kami tahu Anna takkan tolak. Lagipun Muzi pernah cerita yang Anna memang suka tengok bola keranjang.”

Aku mencebik. Ces! Muzi ni memang tak boleh simpan rahsia. Semua tentang aku diceritanya.

“Maaflah abang-abang berdua, ya. Anna tak berani janji. Nanti kalau janji datang, tak sempat datang pula.”

“Alaaa… sayanglah. Kalau Anna datang, bolehlah jadi pomp pom girl kami. Barulah semangat sikit nak main.”

“Huh! Tak kuasa nak jadi pom pom girl korang!”

Hahahahaha!
***
Aku memasukkan engsel dan menyambungkan antara sesiku. Siap 20 unit kerusi berkaki empat tanpa penyandar. Aku perlu membawa balik 2 unit untuk dicat. Aku menangkup dua unit dan kemudiannya membawa keluar dari bengkel. Yang selebihnya aku tinggalkan di bengkel. Setelah menutup lampu dan mengunci pintu bengkel, aku bergerak menuju ke dewan yang menempatkan gelanggang bola keranjang. Aku memandang jam di tangan. Dah pukul 6.45 petang. Ini bermakna game dah tamat. Takpelah, yang penting aku pergi juga. Setibanya aku di depan pintu, aku cuba untuk membukanya. Dengan mengusung kerusi kecil di kedua-dua belah tanganku, pintu kayu yang berat itu sukar dibuka dari luar.
Tiba-tiba pintu tersebut dibuka dari dalam dan terkena tubuhku yang berdiri hampir dengannya. Oh!

“Oppsss… maaf.”

Fuh! Mujur kerusi yang ku pegang tak terjatuh.

“Maaf..maaf, cik. Cik tak apa-apa?”

Aku mengangkat kepala. Seorang lelaki kelihatan kerisauan memandangku.

“Tak apa. Saya ok.”

“Kalau sakit kat mana-mana, beritahu. Boleh saya bawa pergi klinik.”

“Eh! Tak payah. Terkena sikt jer. Tak sakit sangat pun.”

“Err… saya Iqram. Cik…?”

“Anna!”

Kami sama-sama menoleh ke arah pintu. Abang Haidhar, Hakimi dan Tareeq berjalan menghampiri kami. Pandangan mata mereka nampak lain sebaik sahaja melihat aku dengan lelaki di sebelahku.

“Dah lama Anna sampai? Kenapa ni?” soal Abang Haidhar sebaik sahaja berdiri di sebelahku.

“Err… Anna baru sampai. Tadi dari bengkel. Maaf lewat. Game dah habis ya?” jawabku.

“A’ah. Baru sahaja habis. Kami nak keluar minum. Meh, abang Kimi pegang kerusi ni. Nampak berat,” pinta Hakimi pantas mengambil kedua-dua kerusi di tanganku.

“Ehem!”

Tiba-tiba lelaki di sebelahku tadi berdehem.

“Oh! Maaf. Encik Iqram, kenalkan ini ….”

“Kami dah kenal, Anna,”pintas Hakimi tanpa memberi peluang kepadaku.

Ohh! Kenapa ni? Nampak macam wajah mereka ni tegang sahaja.

“Oklah, cik Anna. Nice to meet you. Saya minta diri dulu,” ujar lelaki itu selamba dan terus berlalu pergi.

Aku termanggu-manggu memandang lelaki itu pergi.

“Kenapa tu?”

“Dia tu pengurus pasukan lawan kami,” jawab Abang Haidhar.

Oh! Patutlah nampak macam tegang sahaja.

“So, macam mana? Menang tak?” soalku cuba mengembalikan keceriaan.

“Mestilah menang. Kita ada Tareeq. Kan Tareeq?” jawab Abang Haidhar sambil memeluk bahu Tareeq. Tareeq masih terdiam tidak bersuara sejak keluar dari dewan tadi. Matanya tajam memandangku. Aku buat-buat tak nampak.

“Oh! Ya ka? Tahniah! Tadi kata nak minum kan? Jom Anna belanja,” pelawaku sambil melangkah.

“Macam mana Anna boleh jumpa Iqram tu?” soalnya tiba-tiba. Langkahku terhenti.

Aku menoleh ke arah ketiga-tiga lelaki di hadapanku.

“Reeq, cukup-cukuplah. Anna tak ada kena-mengena dalam hal ni,” pujuk Hakimi.

Kenapa ni? Terasa bahang situasi yang kurasai sekarang.

“Tadi Anna nak buka pintu dewan. Tapi tak boleh sebab Anna pegang kedua-dua kerusi tu. Semasa Anna terkial-kial tadi, pintu tu dibuka dari dalam dan Anna tak sempat nak mengelak lalu terkena. Itu sahaja. Kenapa? Ada masalah ke?”

“Tak ada masalah. Masalahnya Anna ni senang sangat layan lelaki yang tak dikenali!” marah Tareeq dalam nada suara yang tinggi.

“Reeq!”

Terbeliak aku mendengar kata-katanya. Hatiku benar-benar tersentap.

Tiada ulasan: