Memaparkan catatan dengan label e-novel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label e-novel. Papar semua catatan

Rabu, 4 Jun 2014

Viannia dan Gabak : Prolog - Bebaskan aku!

Mataku masih terkebil-kebil memerhati siling rumah. Entah mengapa, cerita-cerita mak asyik melayar di fikiran membuatkan kantukku hilang. Aku berpusing ke kiri. Beberapa ketika kemudian aku mengiring pula ke kanan. Aduh! Tidak boleh jadi ni! Susah benar hendak melelapkan mata. Hatiku mengeluh. Perlahan-lahan aku menginjak turun dari katil dan keluar dari kamar. Cahaya bulan memantul dari cermin yang menjadi dinding rumah. Aku memandang ke luar. Kelam dan tiada sesiapa di luar. Sambil menghela nafas panjang, aku melabuhkan punggungku di anak tangga. Kedua-dua belah kakiku biarkan terjuntai ke bawah. Tiba-tiba aku terperasankan parut panjang pada betis kaki kiriku. Aku menarik sedikit kain labuh yang menutupi kakiku. Sekilas, teringat kembali cerita mak siang tadi.

"Kalau Via nak tahu, parut panjang di kaki Via tu adalah disebabkan torehan ranting kayu. Via jatuh dari celahan pokok.  Jatuh ke tanah bersama-sama Zais yang cedera terkena anak panah pengawal Kampung Seri Andas. Akibat kecederaan itu, dia tak dapat bertahan untuk terus mendukung Via. Lalu jatuh ke tanah ketika melompat dari pokok ke pokok yang lain. Zais jatuh dan pengsan kerana kehilangan banyak darah. Manakala, Via jatuh, kepala terhantuk ke batu dan kaki Via tercerucuk dengan ranting kayu. Luka itu sangat dalam, hampir-hampir terkenan pada otot betis. Sebab itu, ia meninggalkan parut termasuklah kecederaan di dahi Via itu."

"Jadi, tuan muda Zais lah yang menculik Via? Menjadikan Via sebagai anak yatim piatu? Tetapi, kenapa?"

Mak mengeluh.

"Via tahukan bagaimana sejarah Kampung Fendral pada dua puluh tahun yang lalu?"

"Tentang kes penculikan anak-anak gadis untuk dijadikan pasangan hidup? Jenayah menculik anak orang yang dijadikan sebagai pesta mencari pasangan. Itu Via tahu dan sejarah itu sangat tidak masuk dek akal."

"Tetapi ia memang berlaku. Dua puluh tahun yang lalu. Namun akibat dari peristiwa hitam itu, tok ketua terus  memansuhkan pesta mencari pasangan itu serta-merta."

"Itu balasan untuk manusia yang melanggar hukum tuhan. Dia mengambil anak orang, akhirnya anak dia juga yang hilang. Bukan setakat hilang tetapi juga hilang nyawa. Mak, Via masih kanak-kanak pada ketika itu. Kenapa Via pula yang jadi mangsa? Via tak faham."

"Ini kerana Zais menculik Via bukan untuk dirinya. Tetapi untuk orang lain. Untuk orang yang sangat dia sayang dan orang itulah yang menanggung hidup Via dari kecil sehingga sekarang. Orang itulah juga yang menjaga keselamatan Via. Pada malam pesta itu berlangsung, Zais telah berjanji dengan orang itu untuk mendapatkan Via kerana Zais mendapat tahu yang adiknya itu selalu memerhatikan Via bermain di halaman rumah keluarga Via."

"Tetapi, bukankah sepatutnya lelaki yang hendak mencari pasangan itu yang perlu melakukan penculikan itu sendiri dan bukannya orang lain?"

"Iya, tetapi mereka boleh menculik pasangan bagi pihak adik atau abang mereka."

Aku mendengus. Pesta Gila!

Kala itu, terbayang tuan muda Zais yang bertubuh sasa mengelepar kesakitan ditusuk anak panah. Aku? Aku masih dapat melihat bayang seseorang yang datang menghampiri dan memangku tubuhku sebelum aku tidak sedarkan diri.

Adik Zais? Hah! Aku terpempan. Ada sesuatu yang mak cuba sampaikan siang tadi dan baru kini aku dapat fahaminya. Adik Zais adalah tuan muda Gabak. Ini bermakna Gabak tahu di mana rumah keluargaku yang sebenar. Arghhh! Kenapa aku tidak perasan semuanya yang berlaku selama ini? Aku pantas berlari semula ke dalam kamar untuk mengambil kunci rumah. Sewaktu aku menuruni anak tangga, aku seperti ternampak kelibat seseorang di hadapan rumah melalui cermin dinding rumah. Aku menoleh ke kiri. Gabak! Tetapi sebaik sahaja dia perasan yang aku memandang ke arahnya, dia terus mengalihkan tubuhnya dan bergerak keluar dari halaman rumah. Aku pantas berlari menuruni anak tangga dan membuka pintu rumah. Bayang tubuh gabak semakin menjauh. Aku berlari-lari anak mengejarnya.

"Tuan muda! Tuan muda! Tunggu! Tunggu!"

Lelaki itu langsung tidak berhenti mahupun berkalih ke belakang. Kenapa dengannya? Adakah dia tidak mendengar jeritanku? Atau buat-buat tidak dengar? Aku mengah. Terasa dadaku tiada ruang kosong untuk aliran udara. Sendat. Langkahku semakin perlahan dan akhirnya terhenti apabila kelibat tubuh lelaki itu hilang dari penglihatanku. Aku terduduk di atas tanah. Tidak mampu lagi untuk melangkah.

Di saat itu, terasa hatiku tersangat pedih. Lebih pedih dan sakit dari peristiwa dihina oleh Adurra dan rakan-rakannya.

Hatiku merintih sayu. Kenapa? Kenapa dia buat aku begini? Kenapa dia layan aku seperti aku tiada makna dalam hidupnya? Bukan salahku, abangnya meninggal.

Tiba-tiba kedengaran derapan tapak kaki di sebelahku. Tubuhku dibayangi oleh seseorang. 
Peach!

"Peach..."

"Dia tidak pernah menyimpan dendam pada Cik Via. Dia langsung tidak benci pada Cik Via. Dia terbeban dengan rasa bersalah. Bersalah kerana perasaannya pada Cik Via. Bersalah kerana perasaannya itu telah menyebabkan dia kehilangan seluruh keluarganya dalam usia yang muda," terang Peach seperti seolah-olah tahu persoalan yang bermain di fikiranku.

"Tetapi dia seperti menghukum Via."

Diam.

"Peach... tolong bawa Via balik."

"Mari Cik Via..."

Peach menunduk untuk mengangkat tubuhku. Aku menggelengkan kepala.

"Bukan. Bukan rumah mak. Rumah keluarga Via. Rumah keluarga sebenar Via."

Tindakan Peach terhenti. Matanya merenung wajahku tajam.

"Mustahil, Cik Via! Aku tak boleh bawa kau ke sana. Kau pun tahu, undang-undang pesta mencari pasangan. Tiada wanita yang akan dapat kembali kepada keluarga asalnya kecuali..."

"Tubuh wanita yang telah mati," pintasku lemah.

Peach tersentak! Mulutnya ternganga. Mungkin tidak menyangka aku akan mengatakan begitu. Aku tahu, walaupun undang-undang itu telah dimansuhkan. Golongan lelaki yang terlibat pada tahun akhir pesta itu masih terikat dengan undang-undang tersebut. Semua kampung-kampung lain yang mengetahui tentang pesta itu turut maklum dengan undang-undangnya. Namun tiada sesiapa yang sanggup membantahnya. Cuma ahli keluarga atau penduduk kampung yang terlibat masih boleh mendapatkan hak mereka. Pertama, ahli keluarga boleh menghadiri majlis perkahwinan anak mereka dan kedua, mereka masih boleh mendapatkan kembali anak mereka sekiranya mereka bermati-matian mengejar lelaki yang menculik anak gadis mereka. Tetapi tidak sama bagi kisahku. Kisahku berbeza kerana usiaku. Aku tahu, keluargaku melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mengejar Zais. Tetapi mereka tidak mendapat undangan perkahwinan kerana umurku ketika itu masih kecil. Aku masih kanak-kanak. Undang-undang pesta mencari pasangan melarang perkhwinan di bawah umur.  Bagaimana mereka akan tahu yang aku masih hidup? Hak ketiga adalah keluarga asal akan dapat menuntut semula anak gadis mereka. Itu pun selepas anak gadis mereka meninggal dunia. Maknanya tubuh yang telah bercerai nyawa. Undang-undang pesta yang sangat pelik dan menjengkelkan hidupku!

Aku diibaratkan hidup antara bumi dan langit. Tidak jejak ke tanah dan tidak juga dapat menggengam awan di langit.

"Peach!"

Peach bergerak beberapa langkah ke belakang sambil duduk mencangkung dan tunduk memandang ke tanah.

Gabak! Tubuhku bergetar apabila mendengar suara itu.

"Maafkan aku tuan muda. Aku tidak menjalankan tugasku dengan baik. Sila beri hukuman."

"Peach, bawa Cik Via balik. Aku tak mahu dia berembun di tengah malam. Tentang hukuman itu, kita bincang kemudian," ujar Gabak seraya terus berlalu. 

Langsung tidak memandang ke arahku.

Kulihat wajah Peach berkerut. Tetapi Peach langsung tidak membantah. Dia menghampiriku dan terus mencempung tubuhku. Tubuhku letih. Fikiranku juga letih. Beberapa hari ini, aku terlampau banyak berfikir. Pandanganku makin kelam. Tetapi aku sempat membisikkan sesuatu di telinganya.

"Peach, beritahu Gabak. Via sukakan seseorang. Kau tahukan lelaki yang bertopeng yang selalu menemani aku sewaktu mandi di kolam setiap malam Isnin. Aku tahu kau pun kenal lelaki itu. Aku tahu Gabak juga kenal lelaki itu kerana lelaki itu adalah Gabak. Isnin depan, aku akan mandi di kolam. Selepas itu aku nak Gabak hantar aku kembali ke rumah keluarga sebenarku kerana mulai sekarang aku juga adalah seperti mayat gadis yang telah mati. Bezanya tubuhku masih bernyawa tetapi jiwaku telah mati."

"Tidak, Via! Bangun, Via! Via! Via!"

 p/s: cereka - cerita rekaan dan sains fiksyen

Ada idea nak letak tajuk apa? Mungkinkah cerita baru menggantikan DUNIA CINTA JASMIN. Hehehe...

Ahad, 12 Januari 2014

DCJ 44 : Merajuk Sayang...

Pelanggan yang berada di hadapanku menghulurkan tiga keping not lima puluh ringgit. Aku terus membuka mesin wang dan mengembalikan baki beberapa keping wang seringgit kepadanya semula.

“Terima kasih, selamat membaca dan sila datang lagi,” ucapku sambil tersenyum.

“Ya, sama-sama,” balas wanita muda itu sambil tersenyum dan berjalan ke pintu keluar.

Aku menjenguk ke dalam pejabat. Munir sedang sibuk mengeluarkan buku-buku yang baru sampai dari kotak.

“Moon, kau tolong tengok kaunter. Aku nak sambung susun buku kat rak,” pintaku.

“Ok, nanti aku keluar. Ada lagi pelanggan kat luar?”

“Emm, tak ada dah. Moon, petang nanti aku balik rumah terus ya,” pintaku sambil tersengih.

“Ooo, projek kahwin dengan your mum ya?”

Aku tertawa mendengarnya menyebut perkataan “projek kahwin”. 

Ada-ada sahaja si Munir ni.

“Seronok aku tengok wajah kau sekarang. Semakin berseri-seri. Bercahaya bagai bintang di langit,” puji Munir sambil berjalan menghampiriku. 
Aku tertawa kecil mendengar kata-katanya.

“Kau ni pun, nak puji tu agak-agaklah sikit. Bagai bintang di langit…hahaha”

“Eh, oklah tu aku sebut kau macam bintang. Kalau aku sebut bulan, kau kata bulan tu tak cantik sebab banyak kawah.”

Hah! Kawah? Munir sudah tergelak terbahak-bahak. Agaknya dia pun sudah membayangkan diriku seperti bulan yang ada banyak kawah. Kurang asam punya kawan!

“Eh, dah tetap tarikh nikah dan kenduri?”

Senyumanku mati apabila mendengar soalan itu.

“Itulah, hari tu dia cakap sebulan dari tarikh kami bertunang. Tapi sekarang ni dia sibuk pula dengan projek kat Dubai tu. Mungkin tangguh lagi beberapa bulan. Lagi pun ini projek sulung dia. Biarlah dia selesaikan dahulu kerja dia. Selepas ni, aku tak perlu susah hati tengok dia tak senang duduk dengan kerjanya itu.”

“Habis tu, kau tak kisah ke?”

“Gila kau, aku tak kisah! Aku lagi susah hati. Lagi lama bertunang, dah tentu lagi banyak dugaan. Tapi nak buat macam mana. Dia kerja ni pun untuk aku juga.”

“Kau ikut dia ke Dubai?”

“Hish! Nak buat apa ikut? Lagipun dia pergi kerja kan.”

Kting! Kami berdua berpandangan seketika.

“Kau pergilah… Aku nak kira stok bagi habis ni. Ada sedikit lagi. Please…..

Aku mencebik.

Munir tertawa tanda berjaya memujukku agar melayani pelanggan yang baru masuk sebentar tadi.

“Kau hutang aku kerja yer,” ugutku sambil bergerak ke depan.

Sewaktu aku kembali ke ruang depan, Luqman sudah bertenggek di tepi kaunter.

“Apa abang buat kat sini?” soalku sedikit kehairanan.

“Aik? Abang tak boleh datang tengok tunang abang ke?”

“Err, tak maksud Min, abang kan sibuk. Tak payahlah susahkan diri, bazirkan masa datang ke sini.”

“Jumpa bakal isteri abang tak pernah menjadi sesuatu yang menyusahkan abang. You’re my inspiration,” jawabnya pantas sambil menjeling.

Aku tersengih.

“Nak ajak Min dating ke?”

“Hmm, jom teman abang. Abang ada janji dengan klien abang dekat-dekat sini.”

Alah, dia nak jumpa klien. Bukannya sebab nak jumpa aku. Perasannya kau Mi, getus hatiku.

“Emm, tak apalah. Min tak nak ganggu abang,” tolakku lembut. Selebihnya aku malas nak menunggu dia selesai kerja. Sudah tentu aku akan bosan menunggu.

“Abang janji, tak lama. Lagi pun abang ingat nak bawa Min pilih baju kahwin,” pujuknya tak mahu berputus asa. Aku berfikir sejenak.

“Hmm, oklah. Tunggu sekejap. Min beritahu Munir.”

Luqman tersenyum senang.
***
Aku memerhati Luqman bersama dua orang lelaki dan seorang wanita muda. Yeah, sengaja aku pilih untuk duduk di meja yang berasingan. Malas henadak mendengar istilah-istilah yang aku tidak faham. Daripada aku memperbodohkan diriku, lebih baik aku duduk sendirian. Bunyi macam orang bengang sahaja. Huh! Siapa yang tak bengang apabila terpaksa melihat pandangan wanita muda yang datang bersama dua orang lelaki itu. Asyik memandang ke arah Luqman tanpa memandang ke arah lain. Perempuan tu seperti terlebih gedik. Luqman pula kulihat baik pula melayan tingkah perempuan itu. Sakit hati aku melihatnya.

Treett….

Aku memandang telefon bimbitku. Aku tersenyum. Abang Nain!

: Min kat mana? Abang ke kedai, Min tak ada.
: Min kat Delin’s. Datanglah sini.
: Eh, Min dengan siapa?
: Min dengan Luq. Datanglah!
: Eh, takkan abang nak ganggu Min tengah dating?
: Eh, tak. Abang Nain tak ganggu. Datanglah. Min bukan sedang dating. Min cuma teman Luq jumpa klien.
: Ok, lagi 5 minit abang sampai.

Aku tersenyum. Sekurang-kurangnya aku ada teman berbual.

Tepat lima minit abang Nain dah berada di hadapan pintu Delin’s. Aku melambai ke arahnya apabila melihat dia masih tercangak di situ. Abang Nain menghampiriku.

“Mana Luqman?”

Aku memuncungkan bibirku ke arah Luqman yang berada selang beberapa buah meja.

“Kenapa ni? Macam orang stress.”

“Cerhh! Rasa nak balik pun ada ni. Perempuan di sebelah tu tak toleh ke lain, asyik sungguh tengok Luqman. Macam tengok bidadara.”

Abang Nain tertawa.

“Dah tahu dia nak buat kerja, kenapa ikut?”

“Bukan Min yang nak ikut. Luq yang ajak.”

“Habis tu, kenapa ikut?”

“Dia cakap nak tunjuk kedai baju untuk perkahwinan.”

Abang Nain tertawa lagi. Lucu benar bila mendengar jawapanku.

“Memang nampak muka macam bosan pun. Baca buku apa?” soalnya kembali sambil membelek buku di tanganku.
“Novel. Mujur bawa ni, boleh juga baca. Kalau tidak tentu muka Min macam cicak berak kapur,” ujarku tertawa dan kata-kataku disambut dengan deraian tawa Abang Nain.

“Seronok nampak!” sergah Luqman.

Kami menoleh. Bila masa Luqman datang menghampiri kami? Aku menoleh ke arah meja Luqman bersama kliennya. Kliennya masih di situ.

“Abang dah selesai berbincang?”

“Min pun dah selesai berbincang?”

Wajahku berubah. Ada nada kurang senang dalam soalannya.

“Apa maksud abang?”

“Yalah, nampak seronok benar bergelak tawa…”

Aku memandang ke arah Abang Nain. Aku seperti kenal nada itu. Nada orang cemburu.

“Abang Nain kebetulan datang kedai, Min pelawa datang sini sementara abang...”

“Kebetulan…” pintasnya kembali memandang lelaki yang duduk di sebelahku.

“Luq, aku tahu kau sibuk dengan projek Dubai tu. Tapi aku rasa kau tak patut suruh Jasmin tunggu kau di sini. Tentulah dia bosan menunggu. Aku pun biasa jumpa klien. Aku tahu setiap perjumpaan itu  mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan.”

Aku menarik hujung baju Abang Nain sambil memberi isyarat jangan campur tangan dengan menggelengkan kepala. Luqman memandangku tajam.

“Aku cuma minta Min tunggu sahajalah. Bukannya apa pun. Lagipun dia bawa buku. Kalau dia bosan, dia boleh balik ke kedainya. Bukannya jauh sangat. Selang beberapa buah kedai sahaja.”

Darahku tiba-tiba tersirap. Apa ni? Setelah hampir 2 jam aku menunggunya, ini yang aku dapat? Tiba-tiba klien wanita yang berada di meja perbincangan tadi datang menghampiri kami. Tangannya pantas memaut lengan Luqman. Aku tersentak melihat situasi tersebut. Wanita itu begitu mesra sekali dan tiada perasaan malu walaupun di hadapan aku dan Abang Nain.

“Hai Dzulkarnain. I tak tahu you pun ada di sini. Maaf mengganggu ya. I nak tanya Man tentang tiket kapal terbang. You dah booking tiket kapal terbang ke Dubai? Kalau belum, kami boleh tempahkan sekali. Boleh kita pergi ke Dubai bersama-sama nanti.”

Pergi bersama-sama?

“Err, sudah. Saya dah tempah tiket kapal terbang.”

“Oh, ya ka? Bila tu? Boleh I tempah hari yang sama dengan you.”

“Saya tak pasti sebab semua setiausaha syarikat yang uruskan. Nanti saya maklumkan kemudian.”

“Oh, ok. Jangan lupa ya beritahu nanti,” ujarnya sambil berlalu ke meja perbincangan mereka.

Aku memandang wajah Luqman. Riak wajahnya berubah.

Dia memang sengaja mencari pasal. Aku pantas berdiri. Aku tak boleh lagi berada di situ. Hatiku semakin panas dengan tingkahnya. Ditambah pula dengan pemandangan yang menyakitkan hati.

Luqman dan Abang Nain memandang ke arahku serentak.

“Nak ke mana?” soal Abang Nain kehairanan.

“Balik.”

Aku menolak tubuh Luqman yang cuba menghalang laluanku. Luqman cuba memegang lenganku. Aku memandang ke wajahnya.

Aku ingin mengatakan sesuatu, tetapi merasakan tidak wajar aku hanya berlalu pergi tanpa berkata apa-apa pun.

***
Dzulkarnain merenung ke arah Luqman. Dalam.

“Apa?” soal Luqman sambil memandang Dzulkarnain.

“Puas hati?”

“Apa yang puas hatinya?”

“Huh! Boleh tak kau berfikiran matang sedikit? Man, aku yang lelaki ni pun boleh rasa geram melihat wanita yang duduk di sebelah kau tu. Ini kan pula Jasmin, tunang kau. Lepas tu kau biarkan dia sendirian, melihat tingkah perempuan itu selama 2 jam. Kau ingat Jasmin tak ada perasaan cemburu? Ada tak dia serang kau seperti kau serang kami tadi? Lagipun kau berdua dah bertunang, buat apa kau nak cemburukan kami. Fikir-fikirkanlah.”

Luqman termanggu memandang Dzulkarnain pergi. Sekarang perasaan bersalah mula menerpa dalam hati. Jasmin! Dia merasakan dia perlu lakukan sesuatu.

Luqman kembali ke meja tadi.

“Encik Fendy, Encik Halim, Cik Sara, maafkan saya. Boleh kita hentikan perbincangan kita setakat ini dahulu? Saya ada hal yang perlu diuruskan segera. Saya akan hubungi anda semua esok untuk tetapkan janji temu sekali lagi,” pesannya sambil mengemas kertas-kertas yang berselerakan di atas meja.

“Hmm, baiklah Encik Luqman. Ini pun dah melepasi waktu pejabat. Nanti saya sendiri akan hubungi Encik Luqman,” ujar lelaki yan bernama Fendy sambil bersalaman dengan Luqman.

“Sara, di mana you letak kereta? Nak balik bersama-sama kami?” pelawa Halim sambil memandang wanita cantik itu.

“Mmm, tak apa. I boleh balik sendiri,” tolaknya lembut sambil mengerling ke arah Luqman.

Beberapa ketika kemudian kedua-dua lelaki tersebut beredar meninggalkan tempat tersebut.

“Luqman, bila kita boleh berjumpa lagi?”soal Sara sambil memegang tangan kiri Luqman. 

Luqman terkejut dengan tindakan wanita itu. Namun dengan hormat dia melepaskan pautan wanita itu dengan perlahan.

“Cik Sara, seperti yang saya kata tadi. Sila hubungi setiausaha syarikat untuk janji temu sekali lagi. Terima kasih. Saya perlu berjumpa dengan tunang saya.”

“Tunang?”

“Ya, tunang. Cik Sara ada masalah ke dengan itu?”

“Errr, tak. Maafkan saya.”

***
Telefon aku berdering lagi. Aku mengeluh memandang nama yang terpapar di skrin telefon. Malas aku nak mengangkatnya. Biarlah hatiku sejuk sedikit sebelum aku bercakap dengannya. Aku risau kalau aku angkat dan bercakap dengannya, aku akan bercakap dalam nada yang marah.

Pergaduhan pertama selepas bergelar tunang. Huh! Pelik benar bunyinya. Tetapi ia kenyataan. Err, bukan ke Luqman memang kuat cemburu. Aku tersenyum mengenangkan peristiwa dia jatuh dari pokok rambutan di kampung. Itu sifat cemburu yang paling ketara aku nampak. Tapi semasa itu, aku belum pasti dia benar-benar sukakan aku. Sekarang dengan ikatan kami sebagai tunang, perlukah lagi perasaan cemburu itu? Tambahan pula dengan Abang Nain. Aku sendiri pernah katakan Abang Nain itu ibarat abang kandungku sementelah aku tiada adik beradik lain.

: Min, ada di mana? Semua orang sedang cari Min.

Pesanan ringkas Abang Nain. Aku membiarkannya sahaja tanpa membalas pesanan ringkas tersebut. Lagipun bateri telefonku hanya tinggal satu bar. Beberapa minit lagi ia pasti akan terpadam sendiri.

: Min, babah call, kenapa tak angkat?

Babah.

: Jasmin Alia, please pick up your phone!

Munir.

Luqman? Huh, lelaki ego! Mungkin berasa putus asa kerana aku langsung tidak mengangkat talian telefonnya.

Bip! Aku memandang semula telefon bimbitku. Lampu skrin terpadam terus. Baterinya benar-benar dah habis. Aku mengeluh. Sekarang tak ada siapa yang akan dapat menghubungi aku lagi. Aku melabuhkan punggung di atas pangkin pokok. Dah lama aku tidak duduk di sini. Jelaslah aku dah lama tidak merajuk. Hanya orang yang mengenali diriku sahaja yang tahu di mana aku selalu berada sekiranya aku merajuk. Ayah cu. Ya, ayah cu yang selalu datang mencariku di sini. Kalau dulu, zaman persekolahan aku sering duduk di situ. Di situlah tempat aku memujuk hatiku sendiri. Berjam-jam merajuk kerana babah yang langsung tidak pedulikan aku dan sering meninggalkan aku di rumah ayah long. Merajuk dalam erti kata, langsung tak balik rumah ayah long untuk makan, minum dan mandi. Tetapi siang hari sahaja aku berani duduk di situ. Menjelang maghrib aku akan mencicit lari balik ke rumah juga. Gilalah aku kalau duduk di situ malam-malam. Buatnya disergah hantu pokok ketapang yang besar dua pemeluk aku tu, mau demam aku seminggu tak kebah-kebah. Kebiasaannya ayah cu akan datang pujukku selepas asar. Dia akan bawa sebekas kuih bekal dari ummi long untuk aku alas perut kerana langsung tidak menyentuh makanan dari tengahari. Apabila ayah cu sambung belajar di luar negara, Nadheera pula menggantikannya untuk datang memujukku. Sekarang… hmmm… aku mengeluh lagi. Rindu pula aku dengan zaman persekolahanku.

Dua jam yang lalu aku tiba di rumah ayah long. Kosong. Mungkin ayah long dan ummi long keluar. Salahku juga kerana tidak memberitahu sesiapa yang aku datang ke sini. Semua pintu berkunci lalu aku sekadar meninggalkan beg galasku di luar berandah dan berjalan menuju ke tempat yang aku berada sekarang. Pangkin di bawah pokok ketapang, yang berada sepuluh meter di hadapan rumah ayah long. Tak jauh pun tempat aku merajuk. Depan rumah ayah long sahaja. Tetapi tempatnya agak tersorok kerana pokok ketapang itu sangat besar sehinggakan tiada siapa yang akan tahu ada pangkin di situ sekiranya tidak biasa di situ.

Sebaik aku keluar dari Delin’s tengahari semalam, aku terus mengambil teksi dan meminta pemandunya menghantar aku ke kampung. Melayang not seratusku membayar tambang teksi tadi. Aku langsung tidak menghubungi sesiapa termasuklah babah. Jadinya tiada sesiapa yang tahu aku berada di sini. Cenggeng kan aku ni? Untuk perkara-perkara yang remeh, aku sanggup merajuk sehingga ke sini. Eh, aku merajuk ke? Teringat kembali peristiwa awal tengahari tadi di Delin’s membuatkan hatiku sakit tiba-tiba.

Sunyi sungguh suasana petang ni. Sesekali terasa juga semilir yang menghembus ke wajah. Sejuk dan naman. Aku menginjak ke tepi pangkin. Membiarkan kakiku terjuntai di bawah. Memang pangkin ini tinggi. Jarak kakiku dua jengkal dari tanah membolehkan aku menghayunkan kedua-dua belah kakiku perlahan-lahan. Aku tersenyum sendirian.

“Tak baik anak dara merajuk lama-lama. Lagi-lagi kalau dah bertunang. Darah manis tu.”

Kuss, semangat! Terkejut aku mendengar suara ayah cu dari belakang. Mahu tak terkejut. Aku pantas menoleh. Ayah cu tersenyum dan di tangannya ada sebiji bekas makanan. Aku mengetap bibir. Ada rasa terharu dalam dada. Lantas aku berdiri dan menyalami tangannya. Sama keadaan seperti dulu. Dialah tempat aku mengadu. Tempat aku melepaskan rasa tidak puas hatiku.

“Cenggeng sungguh! Langsung tidak berubah. Kenapa datang sini tak beritahu sesiapa? Kenapa matikan telefon? Tahu tak semua orang cari Min,” marah Ayah Cu sambil mencubit pipiku tanpa sempat mengelak. Aduh, sakitlah!

Aku mengusap-usap pipiku. Sengal. Ayah Cu ni kalau cubit orang memang tak tahu nak cubit lembut.

“Bila Ayah cu sampai? Macam mana ayah cu tahu Min ada kat sini?”

“Kalau dah semua tempat orang cari, Min tiada. Di mana lagi kalau bukan di sini? Tekaan ayah Cu memang tepat, Min ada di sini. Min tahu tak semua orang risaukan Min, susah hati kerana Min. Luqman datang rumah babah Min. Babah cari Min di rumah Dzulkarnain. Dia call  Munir tanyakan Min. Munir pula telefon Nad di rumah. Bila Ayah Long dan Ummi Long dengar semua ni, mereka susah hati. Nak duduk di rumah ayah Cu pun dah rasa tak tenang. Kami terus bertolak balik ke sini mengharapkan Min memang pulang ke sini. Kenapa ni Min? Takkan kerana merajuk kepada Luqman, Min sanggup membiarkan semua orang mencari Min. Ayah Cu tak pernah ajar Min berperangai seperti ini.”

“Ayah Long dan Ummi Long pergi rumah ayah cu ke? Kenapa ayah cu tak cakap, kalau tidak boleh Min pergi ke sana. Achu Nad balik sekali tak? Baby Aina ada sama ke?” soalku keriangan. Membiarkan pertanyaan ayah cu tidak berjawab.

“Min, ayah cu tanya ni…”

“Min tak nak bincang hal ini. Min harap ayah cu faham. Jom ayah cu, kita balik. Min nak jumpa baby Aina,” ajakku pantas menarik tangannya menuju ke rumah.

Namun baru beberapa langkah menghampiri halaman rumah ayah long, aku terperasan ada kereta Luqman dalam deretan kereta yang terparkir. Langkahku terhenti.

Dia pun datang juga. Eh, biarlah dia datang. Ini pun kampung dia juga. Rumah mak dia di hujung kampung ni sahaja. Tapi aku tak mahu berjumpa dengannya lagi. Marah? Tak juga. Aku bukan marah padanya. Cuma aku terasa hati sahaja dan hatiku kuat merasakan aku masih belum bersedia untuk berjumpa dengannya.

“Anak bertuah! Jasmin Alia! Min tahu tak apa yang Min dah buat?”

Aku tercengang mendegar jerkahan babah di atas berandah. Ibu Darlynna kelihatan mencuit-cuit lengan babah. Cuba menenangkan babah yang sudah berwajah garang. Aku tidak pernah melihat babah marah sampai begitu sekali. Ini kali pertama dalam hidupku, aku dimarahinya.

“Cubalah berfikiran matang. Min tahu tak semua orang susah hati kerana Min. Luqman ni dah risau dengan kehilangan Min. Ke sana sini dia mencari Min. Telefon, tak berangkat,” sambung babah lagi.

“Iskandar, cuba bawa bersabar. Panggil dahulu Jasmin masuk dalam rumah. Jangan dimarahi di luar rumah ni. Ramai orang yang nampak. Malu dia nanti,” sahut ayah long dari pintu rumah.

“Biarlah abang long. Jasmin ni dah terlalu melampau. Dah dewasa tetapi perangai masih tidak berubah. Cengeng tak bertempat. Ada telefon, ditutupnya. Merajuk seperti budak-budak!”

Aku tersentap. Tidak pernah aku dimarahi seperti itu. Di hadapan semua orang termasuk Luqman. Kiranya tindakan aku kali ini telah menaikkan amarah babah. Aku terasa kesal. Tetapi aku bukan sengaja tidak mahu menjawab panggilan telefon. Tetapi telefon aku memang sudah kehabisan bateri. Aku memandang wajah Luqman sambil mengetap bibir. Lama aku mendiamkan diri. Lama juga semua orang memandang aku. Aku bagaikan pesalah yang besar di pandangan mata mereka. Ada air panas yang mula mengalir di pipiku. Aku pantas mengesatnya. Tidak mahu menunjukkan diriku lemah. Namun air panas ini terus-terusan mengalir. Ibu Darlynna pantas turun menghampiriku dan terus memeluk tubuhku. Aku terus menangis tersedu-sedu.

“Syhhh, jangan menangis. Jom ikut ibu masuk dalam rumah,” ibu Darlynna menarik aku masuk ke dalam rumah. Kepalaku tunduk ke bawah. Tidak berani memandang babah.

****

“Dah lah tu, Iskandar... Kamu ni pun, nak marahkan anak biarlah dengan cara yang elok. Bukan dengan cara memalukannya di depan semua orang. Dia pun ada maruah ada air muka. Cuba bawa berbincang elok-elok.”

Suara ayah long kedengaran lembut di luar bilikku.

“Kalau dia tahu dia ada maruah, dia jaga air muka saya, abang long. Bukan dengan melarikan diri macam ni.”

“Iskandar, aku tahu perangai Jasmin. Dia bukan sehari dua duduk dengan kami. Bertahun sepanjang kamu berkerja di luar negara. Kalau perangainya begitu, kamu tak fikirkah bahawa perangainya itu adalah warisan dari kamu? Merajuk bertahun-tahun, bawa diri ke luar negara.”
Diam. Sunyi.

“Ke mana kuah akan tumpah kalau tidak ke nasi. Anak dengan bapa sama sahaja perangainya. Kak long bukan hendak memulang paku buah keras tetapi kaklong sekadar hendak mengingatkan. Sebelum engkau mengambil dia, kak long dan abang long kau yang menjaganya. Kau tanya cu, berapa kali dia merajuk kerana sikap engkau yang tidak mengendahkan dia? Cu yang banyak memujuk dia. ”

Kedengaran suara ummi long pula menyambung. Babah ditegur lagi. Dan aku langsung tidak mendengar suara babah melainkan keluhannya.

“Hal orang muda, biarlah mereka berdua yang selesaikan sendiri. Kamu tak perlulah terlampau keras dengan dia. Aku tahu, bila dia begitu mesti ada sebab dan dia tidak akan melakukan perkara yang akan memalukan kita sebagai orang tuanya. Aku dan kak long kau dah beri lebih didikan agama kepadanya. Aku yakin dia tahu batasannya sebagai seorang anak.”

Aku menghela nafas lega. Syukur aku ada ibu dan bapa saudara yang sangat-sangat memahamiku. Pelahan-lahan aku merebahkan tubuhku di atas katil. Kejadian hari ini, banyak mengajar aku agar lebih berfikiran rasional dan bukannya mengikut perasaan. Aku tak marahkan babah. Aku tidak kecil hati dengan tindakan babah. Aku tahu dia risaukan diriku. Aku tahu dia memang sangat sayangkan diriku kerana dia hanya ada aku, anaknya dan aku hanya ada dia sebagai bapa kandungku. Tiada yang lain.

***

Terasa ada air panas yang menitik ke dahiku. Kemudian terasa pula ada kucupan panas di dahiku. Aku menggosok mata yang sedikit pedih. Mungkin juga sebab terlalu banyak menangis. Aku membuka mata. Babah!

“Maafkan babah, Min,” ucap babah lirih. Hatiku sayu.

Sebenarnya aku memang hendak berjumpa dengannya semalam. Tetapi ibu Darlynna cakap babah ke surau dengan ayah long. Selepas makan malam semalam aku terus masuk ke bilik dan tidak perasan waktu bila aku terlelap.

Aku bingkas memeluk tubuhnya.

“Babah tak salah. Min yang salah. Min terlalu ikutkan perasaan Min,” ujarku sebak.

“Luqman dah ceritakan segalanya. Babah tak sepatutnya marahkan Min melulu. Tetapi babah memang sangat risaukan Min bila tiada seorang pun boleh menghubungi Min. Babah takut sesuatu yang buruk berlaku pada Min. Babah tidak akan dapat maafkan diri babah sekiranya benda buruk berlaku pada Min. Babah harap Min faham perasaan babah.”

Aku melepaskan pelukannya. Dengan perlahan aku mengusap pipinya yang sudah ada sedikit kedutan sambil tersenyum.

“Min faham babah. Min tak marahkan babah. Cuma… Min nak jelaskan yang Min bukan sengaja tidak mahu menjawab panggilan telefon, tetapi bateri telefon Min memang betul-betul habis. Maafkan Min babah.”

Lelaki di hadapanku ini mengeluh.

“Ambil pengajaran tentang perkara ini. Selepas ni babah tak mahu Min lalai lagi. Caj bateri telefon setiap hari. Faham?”

Aku mengangguk tanda mengerti.

“Yes, bos!” ujarku sambil mengangkat tabik hormat kepadanya.


Babah tertawa sambil mengusap ubun-ubunku. Alhamdulillah, selesai satu bab. Tinggal bab aku dengan Luqman pula.

Rabu, 16 Januari 2013

DCJ 38

“Kau tak beritahu dia, kau balik sini?”
Aku mengerling ke arah Munir. Lelaki itu masih tajam memandang ke arahku. Aku sekadar mengangkat bahu tanda tidak kisah dengan tindakanku.
”Jasmin! Kau tinggal dia macam tu jer?”
Munir masih belum puas hati dengan tingkahku. 
“Pembetulan yer, aku bukan tinggal dia. Itupun kampung dia juga. Lagipun dia ada kereta. Biarlah dia balik sendiri.”
“Tapi dia tak sihat. Kaki terseliuh pula tu. Macam mana nak drive?”
”Alaahh, Munir. Biarlah dia fikir bagaimana dia nak balik sendiri. Dia dah besar panjang. Yang kau risau sangat ni kenapa?” soalku sambil meraup wajahku. Letih melayan lelaki yang terlebih kepoh ni.
“Kau tak beritahu dia?”
“Beritahu apa?”
“Tentang perasaan kau?”
Aku mengetap bibir.
“Aku dah tak ada apa-apa perasaan lagi terhadap dia.”
“Ceh! Macam aku nak percaya sangat cakap kau tu.”
“Suka hati kaulah. Lagi pun dia tak ingat apa-apa tentang  yang aku cakap dulu. Huh! Cinta monyet Zaman jahiliah.”
“Apa kau kata? Zaman jahiliah? Hahaha..lawak pula aku dengar istilah tu. Eh, sebelum aku terlupa! Aku ingat petang ni aku nak ke Kuala Lumpur. Ada temujanji dengan Puan Murni dari DBP.”
Aku mengalih pandang ke arah Munir. Lelaki yang berkemeja jalur berona biru itu kelihatan tekun kembali meneleku buku-buku di atas rak.
“Kau nak aku ikut ke?”
Giliran Munir pula memandang ke wajahku. Dahinya mengerut seperti memikirkan sesuatu.
”Emm, tak payah. Aku jumpa sekejap jer. Selepas tu aku nak ke bank. Jadi kau boleh tutup kedai awal sikit hari ni.”
”Aku tak kisah kalau nak tutup lewat pun. Lagipun aku bukannya ada buat apa pun kat rumah.”
”Aku kisah. Jangan nak memandai buka sampai lewat petang. Nanti kau susah nak balik. Lainlah kalau kau ada teman lelaki datang ambil,” tegas Munir separuh menyindir.
Aku mencebik. Tak habis-habis. Macamlah aku kemaruk sangat nak berlaki, gerutu hatiku. Aku terus menapak ke dalam bilik kerja. Sewaktu aku sedang sibuk mengemas kertas-kertas yang berselerakan di atas meja, tiba-tiba ada sesuatu yang bersinar dan panjang jatuh dari penjuru meja. Aku pantas menunduk ke bawah. Apa yang berkilau tadi? Aku cuba menggapai benda yang terjatuh tadi dari bawah meja. Perlahan-lahan aku menariknya. Alhamdulillah, dapat! Eh, ini rantai tangan yang diberi Luqman. Bagaimana ia boleh ada di sini? Aku cuba mengingati sesuatu. Mungkin tertanggal ketika aku sedang sibuk membuat kerja. Setelah sekian lama ia tercicir dari pergelangan tanganku, akhirnya aku jumpa juga. Adakah ia satu petanda tentang perhubungan kami? Aku mengeluh. Terasa hati semakin terluka apabila memikirkannya lagi. Aku menyimpan rantai tangan tersebut di dalam sampul dan kemudian memasukkannya ke dalam beg tanganku. Mungkin aku perlu kembalikannya semula kepada Luqman. Aku sepatutnya tidak menerima pemberian tersebut kerana ia mengundang pelbagai maksud yang tersirat. Aku sendiri sehingga kini tidak pasti apa tujuan pemberian rantai tangan itu. Adakah atas dasar hubungan sebagai seorang sahabat atau kekasih? Atau adakah sebagai satu ujian untuk menguji sama ada aku ini seorang yang materialistik atau sebaliknya? Aduh! Sakit kepala pula dibuatnya.

***


“Dia tu ada amnesia agaknya."
“Hah! Kau ni ada akal ke tak cakap macam tu kat Luqman?”
“Habis tu, macam tak ada langsung memori bila dia tanya pasal perasaan aku. Tentulah aku rasa pelik. Aku ni dah rasa satu macam. Malu pun ada juga. Bodoh betul aku masa dulu. Kenapalah lurus sangat? Berterus-terang tentang perasaan aku masa tu. Ishh… malunya aku,” aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Alaa..dah dia layan baik sangat. Siapalah tak jatuh hati? Kalau aku jadi kau pun, tentu jadi perkara yang sama. Lagipun hati tengah muda remaja. Apa orang kata, bunga tengah kembang?”
Aku memandang ke arah Munir. Iyalah tu Munir oii.. entah apa-apa falsafah yang digunanya. Tetapi betul juga kata-katanya. Mungkin juga kerana jiwa aku ketika itu yang sering memberontak inginkan sesuatu untuk mengisi kekosongan yang ada.
“Min, telefon kau bunyi tu. Tak dengar ke?” tegur Munir lagi seraya memuncung ke arah telefon bimbitku yang berada di atas meja kerja. Aku bingkas sambil menepuk-nepuk belakang bajuku yang sedikit berhabuk. Aku memandang skrin telefon. Babah!
“Hello, assalamualaikum.”
Aku berjalan menuju semula ke dalam bilik kerja.
“Waalaikumussalam. Anak babah balik pukul berapa semalam?”
Aku tergaru-garu kepala yang tak gatal. Dah terkantoi kerana langsung tidak menghubunginya sebaik sahaja tiba pagi tadi.
“Err, sebenarnya Min sampai awal pagi tadi.”
“Hah, pagi tadi! Habis tu, Min berada di mana sekarang ni?”
“Err, kat kedai."
Kedengaran seperti suara babah mengeluh di hujung talian.
“Babah, kenapa? Babah tak sihat ke?”
“Jasmin sampai di Shah Alam awal pagi dan Min terus ke kedai tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu. Apa yang Min fikirkan? Min tahu tak babah dan Ibu Darlynna risaukan keadaan Min. Kami ingatkan Min masih di kampung.Tapi rupa-rupanya dah ada di Shah Alam.”
“Maaf, bah. Min memang nak balik rumah. Tapi kepala Min tengah berserabut. Bagi Min masa tenangkan fikiran dahulu, boleh?”
Babah mengeluh lagi.
“Babah, Min minta maaf banyak-banyak. Min tahu, Min dah buat babah dan ibu Darlynna susah hati. Min memang nak telefon babah pagi tadi. Tapi..”
“Hmm, babah tahu. Bateri telefon mati lagi lah tu.”
“Hehehe..”
“Buatlah perangai lama tu. Kalau jadi apa-apa di tengah jalan, macam mana?”
“Alaa.. babah janganlah doa macam tu. Min ok ni. Petang ni Min tumpang Moon balik rumah.”
“Hmm. Baiklah. Tapi jangan balik lewat sangat.”
“Ok, bah. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Fuhh, selamat! Nasib baik tak kena bebel, getus hatiku. Tentu ayah long yang beritahu babah yang aku dah balik Shah Alam. Salah aku juga, selalu tak caj telefon dahulu sebelum keluar ke mana-mana. Alamak! Aku menepuk dahi. Baru aku teringat yang Munir akan ke Kuala Lumpur petang ni. Takkan aku nak suruh dia hantar aku balik pula. Hmm, naik bas lagilah nampaknya.
Aku melangkah ke luar bilik kerja menuju ke kaunter. Kelihatan Munir sedang melayan seorang pelanggan yang baru sahaja masuk ke dalam kedai. Munir mengangkat kening memberi isyarat bertanyakan siapa yang menelefon. Aku menggelengkan kepala sambil tersenyum. Kting! Pintu kedai dibuka dari luar. Pandanganku terkalih ke arah pintu masuk. Luqman!
"Luq nak bercakap dengan Min sekarang," ujarnya separuh tegas seraya berdiri betul-betul di hadapanku. Aku kaget seketika. Kelihatan wajahnya agak tegang seperti menahan marah.
"Boleh kita cakap lain kali sahaja? Min ada kerja nak buat, " ujarku, cuba mengelak dari disoal siasat.
"Sekarang!" Jawabnya separuh tegas.
Terkebil-kebil aku mendengar arahannya.
"Err, kita bercakap dalam bilik kerja Min," cadangku seraya bergerak masuk kembali ke dalam bilik kerja.
“Kenapa tak tunggu Luq?” soalnya sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas sofa panjang dalam ruang kerjaku.
Aku meletakkan satu tin coke di atas meja di hadapannya.
“Kaki Luq tu dah ok ke?” soalku seraya mengunjuk hujung bibirku ke arah kakinya.
“Jangan tukar topik, boleh tak?”
Erk! Kenapa garang sangat ni? Aku mengetap bibir.
“Min nak rasa balik naik bas. Lagipun dah lama tak naik bas sejak dah kerja ni.”
“Alasan tak munasabah. Min saja nak jauhkan diri dari Luq.”
Aku mengeluh.
“Itu yang sebaiknya. Min terus hidup dengan cara Min... dan Luq teruskan hidup dengan cara Luq,” jawabku tergagap-gagap. Kenapa aku seolah-olah tidak yakin dengan kata-kataku?
Lelaki itu mengerutkan dahinya.
“Kenapa nak jauhkan diri daripada Luq?”
“Dan kenapa pula Min perlu sentiasa ada dekat dengan Luq?”
Luqman mengeluh keras.
"Min ni sengaja nak menafikan ke atau memang tak tahu sebenarnya?"
"Err, maaf. Tahu tentang apa? Menafikan apa? Min tak faham."
Tok! Tok!
Pandangan kami terkalih ke arah pintu.
"Min, aku dah nak pergi ni. Kau nak balik macam mana nanti?" soal Munir sebaik sahaja pintu dibuka. Alamak! Kenapalah si Munir ni bertanya pada ketika ini?
"Oh, ok. Takpa. Jangan risau tentang aku. Pandai-pandailah aku naik kenderaan awam."
"Kau jangan balik lewat tau. Kau tu dah ler tak balik rumah lagi. Nanti babah kau risau pula."
"Baiklah, bos."
Munir tergelak seraya berlalu. Aku mengalihkan pandangan ke arah Luqman yang masih berada di sisiku. Matanya tajam memandangku.
"What?"
"Si sotong tu nak ke mana?"
Aku terjegil mendengar gelaran yang diberikan kepada Munir.
"DBP." jawab aku acuh tak acuh.
"Jangan nak memandai balik sendiri. Luq hantar Min balik."
"Eh, tak payah susah-susah. Min boleh balik sendiri. Lagipun Luq pun baru sampaikan? Tentu Luq penat."
"Ada Luq cakap Luq penat ke?"
Terkebil-kebil mataku memandang lelaki itu bingkas dan mencapai kunci kereta yang terdampar atas meja kecil di ruang kerjaku. 
***
"Kenapa matikan telefon? Dah sombong sangat sekarang ni sampaikan Luq telefon pun dah tak berjawab," tuduhnya sebaik sahaja aku menutup pintu kereta.
"Eh, bila Luq call? Min tak dengar pun."
Aku pantas membelek telefon bimbit yang berada dalam beg tangan. Ler.. mati rupanya.
"Min tak caj telefon. Bateri dah habis. Sebab tu ia terpadam. Bukan Min sengaja nak tutup."
"Alasan!" 
Pintas Luqman tanpa menoleh ke arahku. Hatiku terus tersentap. Petang ini sahaja, sejak kami berjumpa di kedai tadi, berkali-kali dia membentak tegas percakapanku. Perlahan-lahan aku menyimpan kembali telefon bimbit ke dalam beg tanganku. Aku terus mendiamkan diri dan mengalihkan pandangan ke arah tingkap di sebelahku. Membiarkan kesunyian terus mengawal suasana dalam kereta miliknya. Aku betul-betul terasa hati dengan tingkahnya. Dan suasana itu terus berlarutan sehingga keretanya sampai di hadapan rumahku.

"Terima kasih," ujarku antara dengar dan tidak sambil membuka pintu kereta. 

"Jasmin," panggilnya tetapi aku tidak endahkan dan langsung tidak menyahut.
Aku bingkas keluar tanpa menoleh ke arahnya. Dengan pantas aku membuka pintu belakang dan mengambil beg pakaian yang tersadai di tempat duduk belakang. Langsung tidak mengendahkan Luqman yang turut keluar dari kereta dan berdiri di sisi keretanya. Tetapi, langkahku terhenti apabila teringatkan sesuatu. Aku membuka beg tangan yang tersandang di bahu dan mengeluarkan sesuatu yang aku temui di ruang kerja pejabatku pagi tadi. Aku berpatah balik dan menghulurkan rantai tangan tersebut kepadanya.
"Apa ni?"
"Rantai tangan yang Luq hadiahkan dulu. Min dah jumpa semula. Min tak layak untuk memakainya. Luq berilah kepada yang lebih berhak."
Lelaki itu tersentak. Riak wajahnya berubah.
"Itu hadiah untuk Min," nada suaranya bertukar lembut.
"Min tak nak. Apa tujuan Luq beri rantai tangan ni untuk Min?"
Luqman mengeluh.
"Dah pakai setahun, baru nak tanya kenapa Luq beri pada Min?"
"Min pakai sekejap saja. Kan rantai tu hilang. Luq pun tahu tentang perkara ini. Min tak rahsia apa-apa pun."
"Min yang tak pandai jaga."
Hatiku terasa seperti disentap sekali lagi. Sekalipun aku yang salah kerana lalai, tak boleh ke kalau dia cakap berlapik untuk menjaga hatiku.
"Kalau tahu Min tak pandai jaga, kenapa beri kepada Min?"
"Luq beri untuk jadi penanda."
"Penanda apa pula? Penanda buku?" tanyaku seperti orang yang hilang rentak maksud yang cuba disampaikan oleh lelaki itu. Selebihnya, aku bertujuan untuk menyindir dirinya. Terlalu banyak maksud tersirat melalui percakapan mahupun perbuatannya sehinggakan aku sukar menelah apa yang ingin disampaikan kepadaku. 
"Amboi, mentang-mentanglah dia kerja di kedai buku. Asyik buku sahaja yang dia nampak." 
Haa, kan dah kena sindir balik. Aku mencebir. Tadi di kedai dan di dalam kereta, bukan main lagi garang dan tegas dia melayanku. Tetapi sebaik sahaja aku menunjukkan rantai tangan pemberiannya, lain pula nada suaranya.
"Tak kisahlah apa yang Min fikirkan. Sekarang Min nak pulangkan balik rantai ini. Min ni cuai. Suka hilangkan barang. Asyik pelupa nak cas handphone. Banyak memberi alasan yang tak munasabah."
Sekali lagi aku mengunjukkan rantai tangan kepadanya. Mengharapkan dia mengambil semula pemberian itu. Lelaki itu merenungku tajam. 
"Min marahkan Luq?" lelaki itu bersuara lembut.
"Tak marah. Cuma kecil hati sahaja," jawabku antara dengar dengan tidak. Ha, kan aku dah berterus terang perasaanku sekarang. Tentu sahaja aku sangat terasa hati dengan kata-katanya. Lebih kecil hati apabila perkataan yang kasar keluar dari mulutnya.
"Luq pun kecil hati juga."
Giliran aku pula tersentak apabila mendengar jawapannya.
"Kenapa pula?" soalku sambil mengerut dahi.
"Sebab Min nak pulangkan semula hadiah pemberian Luq. Sebab Min nak jauhkan diri dari Luq. Sebab Min dah tak mahu jumpa Luq."
Aku mengeluh tertunduk memandang ke arah rantai tangan yang masih berada di tanganku. Dia seperti tidak mahu menerima rantai itu semula dan aku pula merasakan seperti tidak layak untuk terus memilikinya. Untuk beberapa ketika, masing-masing masih membisu. Tiba-tiba Luqman mengambil rantai tangan dan dalam masa yang sama menarik tangan kananku. Dengan pantas juga, dia memakaikannya di tanganku. Aku sedikit kaget dengan tindakannya tetapi sekadar menuruti tanpa membantah apa-apa.
"Ini penanda yang hati kita ini masih ada satu rasa yang sama. Kekurangan Min, bukanlah kelemahan. Dan Luq tidak pernah nampak itu sebagai keburukan. Luq marah sebab Luq tak mahu Min menjauh. Luq tak mahu kehilangan Min. Luq tak mahu kita hanya sebagai kawan lagi seperti dulu tetapi Luq nak hubungan kita jadi lebih dari itu."
Aku terpana mendengar kata-katanya. Lembut menyapa di telingaku. Tenang menyusup ke dalam dasar hatiku. Mata kami benar-benar terpaku antara satu sama lain. Benarkah apa yang aku dengar tadi?
"Luqman! Kenapa berdiri di luar sahaja? Marilah masuk. Min, kenapa tak ajak Luqman masuk?"
Kami sama-sama tersentak. Aku terus menarik tanganku yang masih dalam genggamannya dan terus mengalihkan pandangan apabila mendengar suara babah. Luqman mengambil beg pakaian dari tangan kiriku. Tindakannya yang agak pantas membuatkan aku tercengang seketika. Dia bergerak mendahului aku sambil membimbit beg pakaianku dan menghampiri babah yang sedang membuka pintu pagar.
"Tuan Haji, apa khabar?"
"Baik, Alhamdulillah. Bila sampai dari kampung?"
"Baru saja, petang tadi."
"Terus jumpa Jasmin?"
"Err...a'a.. ya. Kebetulan dia nak balik ke sini, itu yang saya tumpangkan."
"Oo, jauh ni nak balik ke KL pula. Masuk dulu. Ini pun dah nak waktu maghrib. Lepas maghrib, boleh kita makan sama-sama. Kebetulan Aunty Darlynna kamu masak banyak hari ni. Kalau uncle seorang memang tak terhabis."
Luqman kelihatan serba salah. Walau bagaimanapun, dia tetap mengangguk perlahan tanda bersetuju dengan cadangan babah. Aku hanya tersenyum nipis sambil memandang ke arah babah. Uncle? Aunty? Mesra pula panggilan yang dibahasakan babah.
Sebaik babah masuk ke dalam, aku turut mengatur langkah masuk bersama-sama Luqman.
"Simpan rantai tu elok-elok. Itu hak Min," sempat lagi lelaki yang berdiri di sebelah ku ini berbisik ke telinga. Tanpa memandang ke arahnya, aku mengangguk sambil tersenyum.