Terasa seperti ada hembusan nafas di muka. Sebaik sahaja mataku buka, wajah Luqman benar-benar berada di depan mata ku. Aku tersentap. Pandangannya yang dalam membuatkan dadaku bergetar kencang.
“Awak ni, kerja ka atau mengular?” soalnya seraya duduk di atas sofa betul-betul di hujung kakiku. Aku bingkas dari pembaringan. Dengan pantas aku mengesat wajah. Mesti comot. Malunya. Pertama kali orang lelaki melihat aku tidur. Culas pula tu.
“Macam mana awak masuk bilik ni? Mana Munir?”
“Munir awak tu keluar. Dia yang suruh saya masuk tengok awak. Awak tak sihat lagikah? Kenapa tak rehat sahaja di rumah?”
Lelaki ini, sekejap aku engkau,sekejap awak saya, sekejap Luq Min. Ikut sahajalah, Min. Tak luak apa-apa pun.
“Bosan. Tiada siapa di rumah. Luq tak kerja ke hari ni?”
“Habis tu, terperap di sini tak bosan pula. Elok katil kat rumah, kat sini juga awak tidur. “
“Min bukan sengaja nak tidur di sini. Min tertidur. Tengok ni, buku-buku yang Min baca tadi.”
“Ooo,ok. Tadi Min baca buku, kemudian buku pula baca Min. Begitu?”
Aku menjeling. Menyindir aku lah tu. Aku bingkas ke arah peti sejuk mini yang terdapat di sudut bilik itu. Selepas membuka pintu, aku pantas mencapai 2 tin Nescafe Latte.
“Min letih la, jadi Min tertidur. Bukannya Min sengaja nak tidur di sini. Min bosan. Sebab tu Min datang sini. Sekurang-kurangnya Moon ada. Boleh berbual-bual dengan dia. Jangan sindir-sindir, boleh tak? Yang Luq tu datang kat sini, kenapa pula? Dah tak ada keja ke di ofis tu? Mana Luq tahu Min ada kat sini?” soalku seraya menghulurkan tin Nescafe kepadanya.
Lelaki itu tersentak. Namun, kemudiannya dia tersenyum.
“Amboi, perli kita balik. Dah pandai ya sekarang. Luq datang ni nak bawa Min keluar jalan-jalan. Tadi Min juga kata bosan duduk di rumah.”
Keluar? Dia nak ajak aku dating ke? Aku tersenyum. Perasan sungguh kau ni Jasmin Alia.
“Hah! Tersengih-sengih apa lagi? Cepatlah. Pergi basuh muka tu dulu. Tidur pun sampai air liur basi meleleh. Anak dara apa ntah?”
Amboi, sedapnya mulut mengata. Tapi, betul ke ada air liur basi meleleh. Malunya aku.
“Mana ada air liur basi. Teruk tau awak ni! Siapa suruh mengintip orang tidur? Awak tu yang tak senonoh.”
“Bila masa pula saya mengintip? Saya masuk nak jumpa awak. Bukannya nak mengintip awak tidur.”
“Hah, jangan buat-buat tak mengaku pula. Kalau awak masuk beri salam, mesti saya sedar. Saya tak dengar pun awak beri salam tadi. Tentulah awak nak mengintip saya yang sedang enak tidur. Awak tu dengki.”
“Ish, tak kuasa saya nak mengintip awak. Tak ada kerja. Dengki-dengki. Ingat ni zaman sekolah ke nak dengki-dengki. Culas. Datang sini bukannya nak buat kerja. Nak mengular sahaja.”
“Suka hati oranglah. Penyibuk.”
“Amboi, manisnya bahasa. Siapa tok guru ni?”
“Moon lah. Siapa lagi? Kenapa ada masalah ke?”
Tatkala itu, Munir menjengah kepala di sebalik pintu bilik kerja. Mungkin suara perbalahan kami berdua telah didengarinya.
“Woi, woi..jangan babitkan nama aku dalam perbalahan engkau berdua ya. Hei, Min kau boleh keluar tak? Rimas aku tau. Setengah jam dok pujuk aku nak jumpa dengan kau. Bila aku cakap kau tidur, lagi dia beria-ia nak jenguk kau. Dah tu lama pula dia dok tenung kau tidur.”
Aku mengetap bibir. Geram. Pecah rahsia. Lelaki itu tersengih-sengih seperti kerang busuk.
“Ni nak ikut ke tak nak? Kalau tak nak ikut tak apa. Saya keluar seorang,”
Cuba nak mengalih topik lah tu. Sengaja buat-buat tak dengar aduan dari Munir sebentar tadi.
“Nak pergi mana?”
“Nak ikut ke tak nak?”
Ewah, ewah nak gertak pula. Aku berkira-kira. Kalau aku tak ikut, mesti aku akan menyambung tidurku sampai ke petang. Selesailah satu hari lagi yang amat membosankan.
“Tunggu sekejap. Min nak ke ladies.”
Tatkala aku menapak keluar, kedengaran suaranya mengujar perkataan yes. Aku tersenyum sendiri.
***
“Terima kasih atas pertolongan hari tu,” ucapku perlahan selepas pelayan restoran makanan segera menghantar minuman di atas meja makan di hadapan kami. Sebenarnya aku masih segan untuk mengucapkannya. Tapi, sangat tidak wajar kalau aku terus membisu selepas menerima pertolongannya tempoh hari.
“Sama-sama. Perkara kecil saja.”
Luqman terus menghirup air coke.
“Mana rantai tangan yang Luq bagi?”
Aku tersentak. Tatkala itu juga aku terus mengusap lenganku. Kosong. Mampus aku! Jatuh ke? Aku meliarkan mata ke bawah lantai. Tiada.
“Min... Min.. tak tahu. Tapi tadi kat Muss Read ada lagi. Mungkin jatuh kot? Min tak pastilah. Sorry.”
Serasa seperti hendak menangis. Rantai tangan itu hilang dan si pemberinya berada di hadapanku serta menegurnya sendiri. Bagaimana harusku jawab?
“Jatuh dalam kereta kot. Jom pi tengok. Min rasa mungkin terjatuh dalam kereta tadi,” ujarku cuba mengajaknya kembali ke kereta. Hatiku semakin galau apabila melihatnya yang buat tak kisah tentang perkara itu.
“Luq!”
“Apa?”
“Jom lah cari.”
“Biarlah. Benda dah nak hilang, nak buat macam mana. Tak ada rezekilah tu.”
Aku terkelu. Senangnya cakap. Maklumlah jurutera. Gaji besar. Duit keluar seperti air. Setakat rantai tangan emas macam tu tiga empat ratus sahaja agaknya tak sebesar mana. Tapi betul ke harganya hanya tiga empat ratus. Aku pun tak pasti. Sayang, jodohku dengan rantai tangan tu hanya 6 bulan sahaja. Aku benar-benar terkilan kerana sikapku yang culas.
“Minumlah air tu. Tak payah nak fikir-fikir sangat. Nanti kita ganti balik.”
Aku tersentak.
Ganti balik? Biar betul lelaki ini. Nak buat apa? Yang diberi hari tu pun sudah hilang, nak diganti yang baru. Tak nampakkah dia, aku ni seorang yang lalai? Aku menggelengkan kepala.
“Tak payah la. Min tak nak. Buat apa nak membazir duit?”
“Huh! Orang dah nak beri, banyak songeh pula. Jangan banyak tanya boleh tak?”
Eiiii, kenapalah lelaki ini suka mencari pasal denganku?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan