“Hoi, perempuan! Ingat, lagi sekali aku nampak muka  kau berkepit lagi di Salon Aurora tu dengan Si Alan tu siap kau.”
"Dia suami  saya. Suka hati kami lah nak berkepit ke apa ke. Hubungan kami halal di  sisi agama. Bukannya songsang macam kau orang,“ jawabku separuh geram.  Hatiku mendidih tiba-tiba apabila hidup kami cuba diatur oleh orang  luar.
"Kurang ajar! Dasar tak  sayang mulut! Siap kau!“ 
Sekali lagi  tangannya diangkat. Ingin menampar mukaku. Tapi dihalang oleh rakannya.
”Sudah la,  Miemey. Dah teruk kau pukul dia tadi. Nanti kalau dia mati, kita juga  yang susah nanti. Dah ler dia tu kecil molek. Nak banding dengan  kekuatan kau yang dua tiga kali ganda. Lunyai  dia nanti,“ ujarnya seraya memandang tubuhku yang sudah terjelepuk ke  tanah.
"Ada aku kisah dia hidup  ke mati. Lepaskan aku, Fina. Aku nak ganyang mulut dia ni. Dasar  perampas."
"Sudahlah tu. Aku  menyesal ikut kau tadi. Kalau aku tahu kau datang sini sebab nak cari  gaduh, sumpah aku tak ikut kau. Kau pun tahu bukan dia yang merampas  Alona daripada kita tapi Si Alona sendiri yang nak berubah.“
"Aku tahu.  Tapi apa-apa pun, tentulah berpunca daripada perempuan ini juga."
"Sudah. Jom  kita balik. Sebelum ada orang lain nampak."
“Jaga kau  perempuan. Hutang kita masih belum selesai."
Mereka terus  berlalu pergi dengan menaiki sebuah kereta mewah. Aku menyandarkan  tubuhku ke kereta yang terparkir di sebelah jalan. Sengal. Aku mengusap  bibirku yang pedih. Darah melekat di belakang tapak tanganku. Perit juga bila ditampar oleh perempuan yang mempunyai  kekuatan lelaki. Biol dan berpinau juga kepala aku dibuatnya. Mujur Si  Fina itu menahan. Kalau tidak mahu lembik aku di sini. 
Dengan perlahan aku  bangun semula. Membuka pintu kereta dan menghempaskan tubuhku di  dalamnya. Terasa seperti ada air panas yang mula bertakung di tubir  mata. Aku perlu menangis sekarang. Aku tak mahu menangis di hadapan  Alan. Aku tak boleh tunjuk kelemahan aku di hadapannya. Aku pun sedikit  hairan dari mana datangnya kekuatan untuk melawan cakap dengan dua orang  maknyah yang secara tiba-tiba datang menyerangku. Sedangkan selama ini aku banyak mendiamkan diri  dan Alan selalu memenenangkan aku supaya bersabar. Tapi malam ini  barangkali kerana Alan tiada di sisiku. Hanya aku sendirian. Tubuhku  mengigil kesejukan. Terkejut barangkali. Aku menghidupkan enjin kereta  dan terus memandu pulang ke rumah.
***
"Ain? Kenapa  berselimut ni?“
Serasa  tangan sasa mengusap belakang tubuhku. Panas. Selesa seketika. Aku  membuka mata seraya mengalihkan pandangan ke arahnya yang sudah  terbaring di sebelahku. Aku cuba tersenyum. Ouch! Tanganku terus  menyentuh bibir tetapi tangan Alan lebih pantas menyentuh hujung  bibirku. 
“Kenapa mulut Ain pecah  ni?“ 
“Ain jatuh tadi. Jangan  risau sikit saja ni.“
“Jatuh? Alan  tak percaya. Pipi biru, macam lebam. Macam... kena pukul. Hah! Siapa  pukul Ain ni?“
Dia bingkas membuka  lampu bilik. Aku terpejam seketika. Silau cahaya memedihkan pandanganku  seketika. Dia kembali merapati wajahku.
"Ya Allah!  Siapa punya kerja ni? Pecah mulut ni. Besar.'
"Dah tak  cantik kan? Berparut. Tentu Alan tak suka."
Sempat lagi  aku mengusiknya.
"Ish, ke  situ pula fikirannya. Meh dekat sikit Alan nak tengok betul-betul. Kalau  teruk, kita pergi klinik."
Aku  menggelengkan kepala mendengar ayatnya yang terakhir. Alan menjegilkan  matanya apabila aku masih berdegil menghampirinya. Aku mengalah. 
"Kita ke  klinik. Siap."
Aku mengeluh. Sudahku  agak. 
"Taknak tahu siapa yang  pukul?"
"Tak perlu. Alan dah  tahu."
“Habis, tadi tu kenapa  tanya kalau dah tahu?“
“Saja-saja.  Nampak macam dramatik sikit.“
Aku mencebik  dengan mulutku yang herot kesakitan. 
“Siapa  beritahu?“
“Dia mengaku sendiri.“
Huh! 
“Dia jumpa Alan?“
“Tak, dia call.“
“Dia call. Habis tu?  Apa Alan buat?“
“Dia nak  jumpa. Katanya Alan berhutang dengan dia.”
Erk! Tadi  kata aku yang berhutang dengannya. Ni, Alan pun berhutang jugak dengan  dia. Hutang apa ek? Rasa-rasanya aku tak pernah pun pinjam duit dia.
”Alan  jumpa?”
“Tak.”
Aku terdiam.  Setelah mengenakan cardigan unggu dan mengenakan tudung rona yang sama,  aku membuntutinya menuju ke kereta.
Di klinik  aku hanya mendiamkan diri. Malas untuk memikirkan hal yang berlaku malam  ini. Aku tak tahu apa lagi yang akan kami lalui selepas ini. Apa yang  pasti, aku perlu kuat dan bersemangat demi dia. Mujur aku tidak menangis  apabila berada di hadapannya. Walaupun aku teringin sangat untuk  bersandar di bahunya. Aku tahu, aku tak boleh menunjukkan diriku ini  lemah. Aku tak mahu dia patah semangat apabila melihat kelemahanku ini.  Apa yang lebih penting aku tak mahu dia berpaling semula ke belakang, ke  arah masa silamnya. Aku sanggup ambil risiko ini meskipun aku tahu  suatu hari, aku pasti terluka.
***
”Miemey,  cukuplah. Yang lalu biarkanlah berlalu. Aku dah ada kehidupan aku  sendiri. Cinta aku dan Ain.“ 
Suara Alan  ku dengar jelas sebaik sahaja aku melangkah keluar dari bilik rawatan.  Aku menghentikan langkah dan berdiri di sebalik dinding. Pemisah antara  ruang menunggu.
“Habis aku  bagaimana? Kau langsung tak mengenang budi kami.“
”Aku akan  sentiasa kenang segala jasa dan budi baik engkau dan Fina. Aku tak  pernah buang engkau berdua. Aku tak pernah membenci. Engkau berdua  adalah kawan aku ketika susah senang aku dahulu. Tapi aku sekarang sudah  berubah. Berilah aku peluang untuk menjadi aku yang sekarang. Aku nak  bina hidup baru. Nak bina sebuah keluarga. Kita layak bercinta dan  dicintai. Percayalah Mey. Cinta ini memang  indah dan sangat membahagiakan. Bertaubatlah Mey. Allah Maha Pengasih  lagi Maha Penyayang, pintu taubat sentiasa terbuka untuk hamba-hambanya.  Bila kau berada seperti keadaan aku  sekarang, hati kau akan berasa setenang-tenangnya. Percayalah.“
Aku menapak  keluar. Alan membelakangi aku. Miemey menangis. Mengongoi seperti anak  kecil. Alan menepuk-nepuk bahunya. Cuba mententeramkan dirinya. Tatkala  itu juga Miemey terus memeluk tubuhnya. Aku tersentak apabila melihat  keadaan itu. Serasa seperti belati tajam menusuk ke hatiku. Jantungku  kembali berdegup pantas. Nafasku terasa sesak tiba-tiba. Keadaan yang  sama berlaku seperti 9 bulan lalu. Tatkala aku terlihat Alan berpelukan  dengan lelaki yang berperwatakan wanita di hadapan pejabatnya. Kepedihan itu menular ke kawasan bawah perut. Pedih dan  senak tiba-tiba. Aku  tercungap-cungap. Tubuhku lembik dan pandanganku terus kelam.
"Alan,  isteri kau..."
***
Alan  menghulurkan sekeping gambar. Kelihatan seorang gadis berpakaian kebaya  nyonya manis berdiri di tepi tangga batu rumah. Tiada yang apa pelik  pada gambar itu sehinggalah Alan memberitahu gambar gadis itu adalah  gambar dia 8 tahun yang lalu. Terkaku aku seketika. Kelu tanpa  kata-kata. Pelbagai persoalan menerpa di mindaku. 
”Alan tak  kisah, kalau selepas ini Ain dah tak sayangkan Alan. Sekurang-kurangnya  Alan dah beritahu tentang masa silam Alan pada Ain. Alan tak akan berada  dalam serba salah lagi sekiranya suatu hari nanti rumahtangga kita  tidak bahagia kerana kisah silam ini. Alan tak akan menyesal. Sebab itu  Alan memilih hari ini sebagai hari untuk Alan menceritakan  segala-galanya tentang diri Alan. Tentang siapa Alan sebenarnya.“
Aku masih  terdiam. Tidak tahu bereaksi bagaimana. 
“Ain. Cakaplah  sesuatu. Luahkanlah apa yang Ain rasa selepas apa yang Alan ceritakan  ini. Sekurang-kurangnya Alan tahu, sama ada Ain masih sayangkan Alan  atau... atau jodoh kita hanya setakat ini.“
Aku menghela  nafas, berat. Apa yang aku harus kata? Patutkah aku memarahinya kerana  masa silamnya sedangkan dia langsung tidak bersalah? Bukan salah dia,  hingga jadi seperti gadis di dalam gambar ini. Patutkah aku hanya  sekadar mengasihaninya sedangkan aku begitu mencintainya? Dia yang aku kenal adalah seorang lelaki normal. Tiada  cacat celanya. Berperwatakan baik, berbudi bahasa, menghormati kedua ibu  bapaku, taat beribadah dan kacak serta tampan pada padangan mataku.
”Ain, jangan  begini Ain. Kalau Ain marah sekalipun, Alan tak kisah. Marahlah Ain.  Alan susah hati kalau Ain berterusan diam begini.“
”Ssyyy...“
Aku menutup  mulutnya dengan jari telunjukku.
”Sebelum Ain membuat  keputusan, boleh Ain tanya beberapa perkara?“
Lelaki itu mengangguk.
”Alan...Alan pernah  buat pembedahan tukar jantina? Alan pernah tidur bersama-sama?“ soalku  sambil tunduk memandang ke bawah. Tak mampu untuk aku memandang wajahnya  kerana soalan itu. Aku malu, sebenarnya.
”Kedua-duanya, Alan  pernah...“
Aku tersentap. Tatkala itu terasa  air mataku mengalir laju. Putus sudah harapanku. Berkecai sudah cintaku.
”....berniat. Tapi  belum pernah tercapai hajat sehinggalah Alan sendiri ingin berubah  kembali kepada diri Alan yang asal.“
Ayat sambungannya  membuatkan aku terus memeluk tubuhnya tanpa rasa segan silu. Aku  menangis semahu-mahunya. Sungguh aku mencintainya walau pun dia adalah  gadis di dalam gambar itu. Tapi itu  dia yang dahulu. Bukan Alan yang aku kenal sekarang. Gadis itu dan Alan  adalah dua orang yang berlainan walaupun dari tubuh yang sama.
***
”Ain, kita  dah sampai rumah.“
Aku membuka  mata. Alan tersenyum di sisiku. 
”Nak Alan  dukungkan ke dalam rumah?“ 
Wajahku  merona seketika. Aku menggelengkan kepala.
“Ain boleh  jalan sendiri. Alan pergilah kunci pintu pagar.“
“Ok. Tapi hati-hati  jalan ya. Jangan sampai jatuh. Kasihan baby dalam perut tu. Mamanya  lasak sangat.“
Aku tersenyum tatkala jemarinya  nakal mencuit hidungku. Perlahan-lahan  aku melangkah ke luar kereta. Sengaja aku berdiri di tepi pintu rumah  kerana mahu masuk bersama-sama dengannya. Sebaik sahaja dia mengunci  pintu pagar, dia menapak menghampiriku. Alan meraih tanganku.
“Kita ambil  angin kat luar dulu.“ Aku mengangguk setuju.
Perlahan-lahan  kami berjalan menuju ke arah buaian yang terletak di halaman rumah.  Alan memeluk pinggangku dan kemudiannya menarik tubuhku merapatinya.  Hangat.
Sebaik sahaja kami  melabuhkan punggung di atas buaian besi itu, aku melentukkan kepala di  bahunya. Tangannya melingkari bahuku. Dan tanganku mengusap-usap perutku  beberapa kali sebelum beralih ke pinggangnya. Alan  tersenyum.
”Ain pasti, Ain tak menyesal tarik  balik dakwaan terhadap Miemey dan Fina?“
Aku  mendongak. Perlahan-lahan aku menggelengkan kepala. Membiarkan dahiku  menyentuh dagunya yang berjanggut halus. 
”Mereka bukan lagi  saingan Ain. Hidup Ain dah lengkap  sekarang. Ain ada abang dan baby ini. Lagi 6 bulan, Ain akan  jadi mama dan abang akan  jadi abah.“
”Abang?“
Aku tergelak  kecil mendengar soalannya. Dah lama aku ingin memanggilnya dengan  gelaran itu. Tetapi selalu lidahku kelu. Tetapi tidak malam ini.
”Ain. Ain  dan baby inilah pelengkap hidup abang. Abang  bahagia kerana Ain sanggup berkorban untuk abang. Demi menjadikan abang seperti sekarang.“
Aku  tersenyum mendengar kata-katanya. Manis pada pendengaranku.
”Pengorbanan  Ain tidak sebesar pengorbanan abang. Bersyukurlah kerana abang cepat  sedar. Kerana Allah telah memberi hidayah kepada abang agar abang tidak  terus leka dalam dunia ciptaan manusia.“
Alan  mencium ubun-ubunku. Aku bahagia. Terima kasih ya Allah di atas  kurniaanmu ini. Semoga Allah terus melimpahi rahmat ke atas keluarga  kami.
********Tamat ******

 
 
5 ulasan:
Good job kak ana..BEST..
best2...cayalah...
menarik .. tahniah !!!!!
nice!amat menarik!
cerite y mnarik..i like~..mga trus maju bkarya...
Catat Ulasan