“Hoi, perempuan! Ingat, lagi sekali aku nampak muka kau berkepit lagi di Salon Aurora tu dengan Si Alan tu siap kau.”
"Dia suami saya. Suka hati kami lah nak berkepit ke apa ke. Hubungan kami halal di sisi agama. Bukannya songsang macam kau orang,“ jawabku separuh geram. Hatiku mendidih tiba-tiba apabila hidup kami cuba diatur oleh orang luar.
"Kurang ajar! Dasar tak sayang mulut! Siap kau!“
Sekali lagi tangannya diangkat. Ingin menampar mukaku. Tapi dihalang oleh rakannya.
”Sudah la, Miemey. Dah teruk kau pukul dia tadi. Nanti kalau dia mati, kita juga yang susah nanti. Dah ler dia tu kecil molek. Nak banding dengan kekuatan kau yang dua tiga kali ganda. Lunyai dia nanti,“ ujarnya seraya memandang tubuhku yang sudah terjelepuk ke tanah.
"Ada aku kisah dia hidup ke mati. Lepaskan aku, Fina. Aku nak ganyang mulut dia ni. Dasar perampas."
"Sudahlah tu. Aku menyesal ikut kau tadi. Kalau aku tahu kau datang sini sebab nak cari gaduh, sumpah aku tak ikut kau. Kau pun tahu bukan dia yang merampas Alona daripada kita tapi Si Alona sendiri yang nak berubah.“
"Aku tahu. Tapi apa-apa pun, tentulah berpunca daripada perempuan ini juga."
"Sudah. Jom kita balik. Sebelum ada orang lain nampak."
“Jaga kau perempuan. Hutang kita masih belum selesai."
Mereka terus berlalu pergi dengan menaiki sebuah kereta mewah. Aku menyandarkan tubuhku ke kereta yang terparkir di sebelah jalan. Sengal. Aku mengusap bibirku yang pedih. Darah melekat di belakang tapak tanganku. Perit juga bila ditampar oleh perempuan yang mempunyai kekuatan lelaki. Biol dan berpinau juga kepala aku dibuatnya. Mujur Si Fina itu menahan. Kalau tidak mahu lembik aku di sini.
Dengan perlahan aku bangun semula. Membuka pintu kereta dan menghempaskan tubuhku di dalamnya. Terasa seperti ada air panas yang mula bertakung di tubir mata. Aku perlu menangis sekarang. Aku tak mahu menangis di hadapan Alan. Aku tak boleh tunjuk kelemahan aku di hadapannya. Aku pun sedikit hairan dari mana datangnya kekuatan untuk melawan cakap dengan dua orang maknyah yang secara tiba-tiba datang menyerangku. Sedangkan selama ini aku banyak mendiamkan diri dan Alan selalu memenenangkan aku supaya bersabar. Tapi malam ini barangkali kerana Alan tiada di sisiku. Hanya aku sendirian. Tubuhku mengigil kesejukan. Terkejut barangkali. Aku menghidupkan enjin kereta dan terus memandu pulang ke rumah.
***
"Ain? Kenapa berselimut ni?“
Serasa tangan sasa mengusap belakang tubuhku. Panas. Selesa seketika. Aku membuka mata seraya mengalihkan pandangan ke arahnya yang sudah terbaring di sebelahku. Aku cuba tersenyum. Ouch! Tanganku terus menyentuh bibir tetapi tangan Alan lebih pantas menyentuh hujung bibirku.
“Kenapa mulut Ain pecah ni?“
“Ain jatuh tadi. Jangan risau sikit saja ni.“
“Jatuh? Alan tak percaya. Pipi biru, macam lebam. Macam... kena pukul. Hah! Siapa pukul Ain ni?“
Dia bingkas membuka lampu bilik. Aku terpejam seketika. Silau cahaya memedihkan pandanganku seketika. Dia kembali merapati wajahku.
"Ya Allah! Siapa punya kerja ni? Pecah mulut ni. Besar.'
"Dah tak cantik kan? Berparut. Tentu Alan tak suka."
Sempat lagi aku mengusiknya.
"Ish, ke situ pula fikirannya. Meh dekat sikit Alan nak tengok betul-betul. Kalau teruk, kita pergi klinik."
Aku menggelengkan kepala mendengar ayatnya yang terakhir. Alan menjegilkan matanya apabila aku masih berdegil menghampirinya. Aku mengalah.
"Kita ke klinik. Siap."
Aku mengeluh. Sudahku agak.
"Taknak tahu siapa yang pukul?"
"Tak perlu. Alan dah tahu."
“Habis, tadi tu kenapa tanya kalau dah tahu?“
“Saja-saja. Nampak macam dramatik sikit.“
Aku mencebik dengan mulutku yang herot kesakitan.
“Siapa beritahu?“
“Dia mengaku sendiri.“
Huh!
“Dia jumpa Alan?“
“Tak, dia call.“
“Dia call. Habis tu? Apa Alan buat?“
“Dia nak jumpa. Katanya Alan berhutang dengan dia.”
Erk! Tadi kata aku yang berhutang dengannya. Ni, Alan pun berhutang jugak dengan dia. Hutang apa ek? Rasa-rasanya aku tak pernah pun pinjam duit dia.
”Alan jumpa?”
“Tak.”
Aku terdiam. Setelah mengenakan cardigan unggu dan mengenakan tudung rona yang sama, aku membuntutinya menuju ke kereta.
Di klinik aku hanya mendiamkan diri. Malas untuk memikirkan hal yang berlaku malam ini. Aku tak tahu apa lagi yang akan kami lalui selepas ini. Apa yang pasti, aku perlu kuat dan bersemangat demi dia. Mujur aku tidak menangis apabila berada di hadapannya. Walaupun aku teringin sangat untuk bersandar di bahunya. Aku tahu, aku tak boleh menunjukkan diriku ini lemah. Aku tak mahu dia patah semangat apabila melihat kelemahanku ini. Apa yang lebih penting aku tak mahu dia berpaling semula ke belakang, ke arah masa silamnya. Aku sanggup ambil risiko ini meskipun aku tahu suatu hari, aku pasti terluka.
***
”Miemey, cukuplah. Yang lalu biarkanlah berlalu. Aku dah ada kehidupan aku sendiri. Cinta aku dan Ain.“
Suara Alan ku dengar jelas sebaik sahaja aku melangkah keluar dari bilik rawatan. Aku menghentikan langkah dan berdiri di sebalik dinding. Pemisah antara ruang menunggu.
“Habis aku bagaimana? Kau langsung tak mengenang budi kami.“
”Aku akan sentiasa kenang segala jasa dan budi baik engkau dan Fina. Aku tak pernah buang engkau berdua. Aku tak pernah membenci. Engkau berdua adalah kawan aku ketika susah senang aku dahulu. Tapi aku sekarang sudah berubah. Berilah aku peluang untuk menjadi aku yang sekarang. Aku nak bina hidup baru. Nak bina sebuah keluarga. Kita layak bercinta dan dicintai. Percayalah Mey. Cinta ini memang indah dan sangat membahagiakan. Bertaubatlah Mey. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, pintu taubat sentiasa terbuka untuk hamba-hambanya. Bila kau berada seperti keadaan aku sekarang, hati kau akan berasa setenang-tenangnya. Percayalah.“
Aku menapak keluar. Alan membelakangi aku. Miemey menangis. Mengongoi seperti anak kecil. Alan menepuk-nepuk bahunya. Cuba mententeramkan dirinya. Tatkala itu juga Miemey terus memeluk tubuhnya. Aku tersentak apabila melihat keadaan itu. Serasa seperti belati tajam menusuk ke hatiku. Jantungku kembali berdegup pantas. Nafasku terasa sesak tiba-tiba. Keadaan yang sama berlaku seperti 9 bulan lalu. Tatkala aku terlihat Alan berpelukan dengan lelaki yang berperwatakan wanita di hadapan pejabatnya. Kepedihan itu menular ke kawasan bawah perut. Pedih dan senak tiba-tiba. Aku tercungap-cungap. Tubuhku lembik dan pandanganku terus kelam.
"Alan, isteri kau..."
***
Alan menghulurkan sekeping gambar. Kelihatan seorang gadis berpakaian kebaya nyonya manis berdiri di tepi tangga batu rumah. Tiada yang apa pelik pada gambar itu sehinggalah Alan memberitahu gambar gadis itu adalah gambar dia 8 tahun yang lalu. Terkaku aku seketika. Kelu tanpa kata-kata. Pelbagai persoalan menerpa di mindaku.
”Alan tak kisah, kalau selepas ini Ain dah tak sayangkan Alan. Sekurang-kurangnya Alan dah beritahu tentang masa silam Alan pada Ain. Alan tak akan berada dalam serba salah lagi sekiranya suatu hari nanti rumahtangga kita tidak bahagia kerana kisah silam ini. Alan tak akan menyesal. Sebab itu Alan memilih hari ini sebagai hari untuk Alan menceritakan segala-galanya tentang diri Alan. Tentang siapa Alan sebenarnya.“
Aku masih terdiam. Tidak tahu bereaksi bagaimana.
“Ain. Cakaplah sesuatu. Luahkanlah apa yang Ain rasa selepas apa yang Alan ceritakan ini. Sekurang-kurangnya Alan tahu, sama ada Ain masih sayangkan Alan atau... atau jodoh kita hanya setakat ini.“
Aku menghela nafas, berat. Apa yang aku harus kata? Patutkah aku memarahinya kerana masa silamnya sedangkan dia langsung tidak bersalah? Bukan salah dia, hingga jadi seperti gadis di dalam gambar ini. Patutkah aku hanya sekadar mengasihaninya sedangkan aku begitu mencintainya? Dia yang aku kenal adalah seorang lelaki normal. Tiada cacat celanya. Berperwatakan baik, berbudi bahasa, menghormati kedua ibu bapaku, taat beribadah dan kacak serta tampan pada padangan mataku.
”Ain, jangan begini Ain. Kalau Ain marah sekalipun, Alan tak kisah. Marahlah Ain. Alan susah hati kalau Ain berterusan diam begini.“
”Ssyyy...“
Aku menutup mulutnya dengan jari telunjukku.
”Sebelum Ain membuat keputusan, boleh Ain tanya beberapa perkara?“
Lelaki itu mengangguk.
”Alan...Alan pernah buat pembedahan tukar jantina? Alan pernah tidur bersama-sama?“ soalku sambil tunduk memandang ke bawah. Tak mampu untuk aku memandang wajahnya kerana soalan itu. Aku malu, sebenarnya.
”Kedua-duanya, Alan pernah...“
Aku tersentap. Tatkala itu terasa air mataku mengalir laju. Putus sudah harapanku. Berkecai sudah cintaku.
”....berniat. Tapi belum pernah tercapai hajat sehinggalah Alan sendiri ingin berubah kembali kepada diri Alan yang asal.“
Ayat sambungannya membuatkan aku terus memeluk tubuhnya tanpa rasa segan silu. Aku menangis semahu-mahunya. Sungguh aku mencintainya walau pun dia adalah gadis di dalam gambar itu. Tapi itu dia yang dahulu. Bukan Alan yang aku kenal sekarang. Gadis itu dan Alan adalah dua orang yang berlainan walaupun dari tubuh yang sama.
***
”Ain, kita dah sampai rumah.“
Aku membuka mata. Alan tersenyum di sisiku.
”Nak Alan dukungkan ke dalam rumah?“
Wajahku merona seketika. Aku menggelengkan kepala.
“Ain boleh jalan sendiri. Alan pergilah kunci pintu pagar.“
“Ok. Tapi hati-hati jalan ya. Jangan sampai jatuh. Kasihan baby dalam perut tu. Mamanya lasak sangat.“
Aku tersenyum tatkala jemarinya nakal mencuit hidungku. Perlahan-lahan aku melangkah ke luar kereta. Sengaja aku berdiri di tepi pintu rumah kerana mahu masuk bersama-sama dengannya. Sebaik sahaja dia mengunci pintu pagar, dia menapak menghampiriku. Alan meraih tanganku.
“Kita ambil angin kat luar dulu.“ Aku mengangguk setuju.
Perlahan-lahan kami berjalan menuju ke arah buaian yang terletak di halaman rumah. Alan memeluk pinggangku dan kemudiannya menarik tubuhku merapatinya. Hangat.
Sebaik sahaja kami melabuhkan punggung di atas buaian besi itu, aku melentukkan kepala di bahunya. Tangannya melingkari bahuku. Dan tanganku mengusap-usap perutku beberapa kali sebelum beralih ke pinggangnya. Alan tersenyum.
”Ain pasti, Ain tak menyesal tarik balik dakwaan terhadap Miemey dan Fina?“
Aku mendongak. Perlahan-lahan aku menggelengkan kepala. Membiarkan dahiku menyentuh dagunya yang berjanggut halus.
”Mereka bukan lagi saingan Ain. Hidup Ain dah lengkap sekarang. Ain ada abang dan baby ini. Lagi 6 bulan, Ain akan jadi mama dan abang akan jadi abah.“
”Abang?“
Aku tergelak kecil mendengar soalannya. Dah lama aku ingin memanggilnya dengan gelaran itu. Tetapi selalu lidahku kelu. Tetapi tidak malam ini.
”Ain. Ain dan baby inilah pelengkap hidup abang. Abang bahagia kerana Ain sanggup berkorban untuk abang. Demi menjadikan abang seperti sekarang.“
Aku tersenyum mendengar kata-katanya. Manis pada pendengaranku.
”Pengorbanan Ain tidak sebesar pengorbanan abang. Bersyukurlah kerana abang cepat sedar. Kerana Allah telah memberi hidayah kepada abang agar abang tidak terus leka dalam dunia ciptaan manusia.“
Alan mencium ubun-ubunku. Aku bahagia. Terima kasih ya Allah di atas kurniaanmu ini. Semoga Allah terus melimpahi rahmat ke atas keluarga kami.
********Tamat ******
5 ulasan:
Good job kak ana..BEST..
best2...cayalah...
menarik .. tahniah !!!!!
nice!amat menarik!
cerite y mnarik..i like~..mga trus maju bkarya...
Catat Ulasan