Selasa, 7 September 2010

DCJ22

“Sah?”
“Sah.”
“Alhamdulillah.”
Tok Kadi mengangkat tangan untuk berdoa dan dituruti oleh semua tetamu yang hadir. Hatiku yang sangat berdebar-debar seketika tadi berasa sungguh lega. Segalanya telah selesai. Kini fasa baru bermula dalam keluarga kami. Aku mengalih pandangan ke arah babah. Wajahnya yang putih bersih, bercahaya dan berseri-seri. Begitu juga Aunty Darlyna yang kini akan ku panggil ibu Darlyna. Dia yang duduk bersimpuh di sebelahku, tersenyum bahagia saat babah datang mengadapnya bagi upacara menyarungkan cincin.
“Min, cincin!”
Ujar Ummi sambil menguis lenganku. Aku bingkas merapati babah. Menghulurkan bekas berisi cincin khas untuk wanita yang bertakhta di hati babah kini.
“Terima kasih, sayang,” ucapnya seraya tersenyum.
Aku balas senyumannya. Babah menyarungkan cincin ke jari manis Ibu Darlynna. Wanita manis itu menyalami tangan babah sambil menciumnya. Sebaik Ibu Darlyna memanggungkan kepalanya, babah terus mengucupi dahinya. Alangkah syahdunya! Hati dua insan ini telah bersatu akhirnya. Air mataku menitis apabila menyaksikan suasana ini. Aku berasa sangat bahagia dan gembira serta bertuah kerana dapat menyaksikan peristiwa yang terlakar ini.
Selesai majlis pernikahan, babah mengadakan sedikit doa selamat bagi meraikan hari bahagia ini. Tiada majlis persandingan mahupun kenduri besar-besaran. Semuanya atas permintaan Ibu Darlyna sendiri. Tan Sri Khairilzan sendiri ingin menaja majlis persandingan babah dan ibu Darlyna, tetapi babah menolaknya atas permintaan ibu Darlyna sendiri.
Aku memerhati babah dan ibu Darlyna melayan para tetamu dari pintu dapur. Melihat senyuman yang tak pernah lekang dari wajah babah, membuatkan aku merasa sangat senang hati. Aku melangkah menuju ke singki. Tiba-tiba wajah Luqman melintas di kotak ingatanku. Aku termanggu seketika. Aku sememangnya tidak nampak kehadirannya dalam majlis tadi. Meskipun seluruh warga kerja Germuda Holdings dijemput, ternyata susuk tubuhnya tidak kelihatan. Barangkali dia merajuk dengan sikapku yang mula menjauhkan diri darinya. Aku mengeluh.
“Hai, orang lain bergembira, dia mengeluh sendirian di dapur ni?”
Aku tersentak seraya menoleh ke belakang. Abang Nain tegak berdiri sambil tersenyum ke arahku.
“Abang Nain ni, terkejut Min. Apa abang buat kat sini? Pergilah kat depan.”
“Min pula, apa Min buat kat dapur ni sendirian? Termenung panjang pula tu. Teringatkan abang ke?”
Soalan dibalas dengan soalan. Aku tergelak kecil.
“Perasan!”
“Seronoklah suasana kat kampung ni. Ini pertama kali abang datang kampung. Nanti, boleh Min bawa abang jalan-jalan dalam kampung ni?”
“Boleh. Sekarang ke?”
“Eh, bukan sekarang. Nanti-nantilah. Hari ni dah tak sempat sebab abang kena berangkat ke Vietnam dua hari lagi. Mungkin bila abang dah jadi orang sini. Tentu kena berkenal-kenalan dengan orang kampung ni juga kan?”
Aku tersentap. Abang Nain merenungku dengan pandangan yang penuh makna dan maksud yang tersirat.
“Di sini rupanya kamu. Papa ingatkan kamu di luar tadi. Papa dan mummy dah nak balik ni. Kamu tak nak balik lagi ke Nain?”
Pandangan kami sama-sama beralih ke arah Tan Sri Khairilzan yang berdiri di tangga penghubung antara dapur dan ruang tengah rumah.
“Dah nak balik ke? Alah, tak puas lagi lah. Seronok suasana di sini,” ujar abang Nain seraya menjeling ke arahku.
“Uncle Jan, dah nak balik ke? Tak nak bermalam di sini?” pintasku.
Tatkala itu, mummy datang menghampiri kami. Kami berbalas senyuman.
“Tak bolehlah, Min. Kami nak ke Vietnam. Ni pun tak kemas apa lagi. Min nak pesan apa-apa ke dari sana?”
Aku menghampiri wanita sebaya ummi itu sambil memeluk pinggangnya.
“Tak perlulah mummy. Min tak nak apa-apa. Yang penting mummy selamat pergi dan selamat pulang.”
“Mummy seorang jer? Abang?”
Huh!
“Habis, mummy jer yang tanya Min. Abang Nain tak pelawa Min pun. Cakap jer nak ke Vietnam.”
“Amboi, amboi. Sindir orang.”
Aku tersengih.
“Dah, dah. Jom. Papa nak jumpa pengantin baru pula ni.”
Kami sama-sama melangkah ke ruang hadapan rumah. Masih ada beberapa orang tetamu lagi yang sedang bersembang-sembang dengan ayah Long dan ummi. Babah dan ibu Darlyna pula berada di bawah khemah makan. Melayan beberapa orang kakitangan babah yang masih belum pulang.
“Terima kasih, Tan Sri,” ucap babah sambil berjabat tangan dengan Tan Sri Khairilzan.
“Sama-sama. Terima kasih juga bagi pihak kami kerana sudi menjemput kami datang ke majlis.”
“Alah, Tan Sri,Puan Sri ni. Kamilah yang sepatutnya ucap terima kasih kerana Tan Sri sekeluarga sudi datang ke majlis kami ni.”
“Emm, saya tak nampak jurutera baru abang datang pun. Dia tak tahu ke?” soal mummy.
“A’ah la. Saya pun tak nampak dia tadi,” sambut Ibu Darlynna pula.
Rupa-rupanya bukan aku seorang sahaja yang perasan. Namun bila aku mengangkat pandanganku ke hadapan, terasa Abang Nain merenungku tajam. Amat tajam.

Tiada ulasan: