Aku mengetatkan skaf merah di kepala. Aku tersenyum melihat penampilanku di hadapan cermin. Tshirt tangan tiga suku dan seluar jeans biru. Ringkas dan selesa. Sesuai dengan kerja yang akan aku lakukan sebentar lagi.
“Jasmin! Lambat lagi ke?”
Babah menjerit dari tingkat bawah. Aku pantas berlari ke pintu kamar.
“Min dah siap. Tunggu sekejap, Min nak turun lah ni.”
“Ala, anak babah ni. Bukannya nak ke mana-mana pun. Nak tolong babah berkebun di hadapan tu je. Nak bersiap apanya.”
Aku tersengih sewaktu menapak menuruni anak tangga. Ibu Darlynna tersenyum memandang ke arahku.
“Comelnya, anak ibu pakai skaf ni. Macam budak sekolah pula.”
“Ye ke? Min nampak muda ya?”
Babah mengalih pandangan ke arah kami. Lelaki itu menghampiri kami.
“Kenapa pakai skaf ni? Macam nak pergi mengaji muqaddam saja. Tengok ni banyak rambut terkeluar. Nampak aurat ni.”
Usik babah sambil menarik anak-anak rambut yang terkeluar di celah-celah skaf.
Aku menepis tangannya mengelak babah menarik lebih banyak rambutku agar kelihatan.
“Apa babah ni? Min dah masukkan elok-elok, babah kacau. Lagipun bukannya nak keluar jauh, kat depan tu sahaja,” ujarku sambil memuncungkan mulutku, tanda protes.
Ibu Darlynna tertawa kecil.
“Sudahlah abang ni. Kesian Jasmin. Jomlah kita ke depan. Min pergi betulkan balik skaf tu. Cepat tau. Kami tunggu di luar.”
Ibu Darlynna menarik tangan babah yang kelihatan masih tidak puas hati dengan pakaianku. Pelik. Selalunya dia tidak pernah menegur penampilanku. Apa sahaja yang ku pakai, tidak pernah diendahkannya.
Setelah siap membetulkan kembali skaf, aku menapak ke halaman luar rumah. Kelihatan ibu Darlynna sedang asyik mencabut rumput-rumput kecil yang tumbuh meliar di sekeliling pokok berpasu. Babah pula sedang tekun mencantas daun-daun kering yang masih terlekat pada batang pokok hiasan yang ditanam.
Tiba-tiba loceng rumah berbunyi. Ada orang datang. Aku menoleh ke arah babah dan ibu Darlynna.
“Min, pergi tengok. Siapa pula datang petang-petang ni?”
Aku menuruti arahan babah. Sambil menepuk-nepuk tangan yang bersarung bagi menghilangkan debu, aku melangkah menghampiri pintu pagar. Terkebil-kebil aku memandang sebuah Honda Civic berwarna hitam tersadai di hadapan rumahku. Mana pemandunya?
“Jasmin!”
Aku menoleh ke sebelah kanan. Seorang lelaki sedang duduk mencangkung di sebelah luar pintu pagar memandang ke arahku. Hah!
“Luqman! Buat apa kat sini?”
Lelaki itu tersengih.
“Luq, ada game kat gelanggang futsal kat kawasan dekat sini tadi. Alang-alang dah lalu, Luq singgah la ke mari.”
“Ooo..”
Aku memandang lelaki itu. Dia juga turut merenungku.
“Taknak ajak Luqman masuk?”
“Hah, err..”
“Siapa tu Min?”
Aku menoleh ke belakang. Ibu Darlynna!
“Oh, Luqman! Tercegat sahaja depan pintu, kenapa tak masuk?”
“Emm, tak apa puan. Saya sebenarnya cuma nak sampaikan hadiah ni. Maaflah kerana tak dapat hadir ke majlis puan hari tu. Saya ke Australia.”
“Tak apa, Man. Saya faham. Bila Man balik sini?”
“Pagi semalam sampai. Ni sebenarnya ada game tadi, kebetulan lalu, itu yang singgah.”
“Oo, eh, masuklah dahulu. Ni pun dah nak dekat maghrib ni. Tentu tak sempat sembahyang kalau awak nak balik sekarang pun.”
“Err, tak apalah puan. Badan saya ni kotor. Perlu bersihkan diri juga. Lagipun saya tak bawa pakaian salin.“
“Tak apa, masuklah Man. Baju tshirt tuan haji banyak. Boleh pinjam. Marilah. Hah, Jasmin, kenapalah tercegat sahaja depan tu. Tolong bukakan pintu untuk Luqman ni.”
***
Aku menghulurkan sehelai tuala bersih bersama-sama t-shirt dan kain pelikat kepada lelaki itu.
“Terima kasih.”
“Sama-sama. Dah selesai solat nanti, turunlah ke bawah. Babah ajak awak makan sama.”
Lelaki itu mengangguk sambil tersenyum. Aku terus beredar ke bilikku. Selepas membersihkan diri dan bersolat, aku menapak keluar. Hampir sahaja aku bertembung dengan Luqman yang juga baru keluar dari kamar tetamu. Aku mengundur sedikit ke belakang bagi memberi laluan untuk dia melangkah turun dahulu. Lelaki itu tersenyum.
“Min, cantiklah bila berskaf merah tadi. Itu skaf yang Luq pilih masa kita keluar ke pekan dulu kan?”
Aku tersentap. Dia masih ingat?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan