Selasa, 16 Julai 2013

DCJ 40

Aku merungkai getah yang mengikat rambut. Membiarkan rambutku yang panjang melepasi bahu terurai bebas. Sesekali angin petang yang bertiup lembut menyebabkan rambutku menutupi wajah. Aku menguak dan menyelitnya ke belakang telinga. Setelah beberapa ketika, terasa rambut ini semakin kerap menutupi mataku. Bagi mengelakkan rambutku dari terus menutupi mata, aku mengikat kembali rambutku dan mengenakan skarf merah pemberian Luqman. Kaki yang tadi sibuk menghayun buaian terhenti. Pandanganku tertumpu kepada bait bait ayat yang dikarang dalam buku yang sedang ku baca. Aku membaca buku yang baru dibawa balik dari Muss Read Shop semalam. Selepas habis satu muka surat, aku selak ke helaian seterusnya. Inilah kelebihan bekerja di kedai buku. Apabila ada buku terbaru, akulah orang pertama yang akan mendapatkannya. Tiba-tiba kedengaran seperti bunyi kamera telefon. Aku menoleh. Luqman! Dia tangkap gambarku?

Lelaki itu tersenyum sambil menapak menghampiriku. Penampilannya yang segak walaupun hanya berbaju tshirt biru lembut dan berseluar jeans.

“Kenapa toleh? Cantik sangat scene tadi. Sayang. Luq sempat tangkap sekeping gambar sahaja,” pujinya sambil duduk di sebelahku.

Mencerlung mataku memandang tingkahnya. Dari mana dia datang? Kenapa aku tak mendengar bunyi keretanya. Mujur aku dah masukkan rambutku ke dalam skarf. kalau tidak tentu dia dapat melihat dan menangkap gambarku tanpa tudung

“Apa Luq buat kat sini?” soalku dalam nada yang sedikit marah.

“Nak datang melawat kekasih sendiri pun tak boleh ke?”

Kekasih? Hatiku tersentuh mendengar perkataan tersebut dari mulutnya. Namun aku masih belum dapat memaafkannya dengan kehadiran yang tiba-tiba.

“Datang tiba-tiba tanpa beritahu Min. Macam ni ke caranya datang melawat kekasih?” soalku lagi.

“Amboi, garangnya kekasih Luq ni! Luq dah call  Min hampir 10 kali. Tapi tak berjawab. Jadi Luq datang terus ke sini.”

Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Oh, ya ka? Aku baru teringat tentang telefon bimbitku yang berada di atas. Baterinya sedang dicaj di bilikku. Aku tersengih mengingati kesalahan sendiri.

“Ooo..maaf. Min terlupa. Telefon Min ada di bilik. Sedang dicaj. Tapi, macam mana Luq masuk ke sini? Siapa bukakan pintu pagar?”soalku kembali bagi menutup sedikit rasa malu akibat kecuaian sendiri.

“Ibu Darlynna. Dia nak keluar tadi sewaktu Luq sampai. Dia yang suruh Luq masuk.”

Apa? Kenapa ibu Darlynna benarkan lelaki ini masuk sedangkan aku sendirian di rumah?

“Baca buku apa tu? Hmm, 10 terminal syurga rumahtangga…” dia tersengih sambil mengambil buku tersebut dariku tanganku.

Buurrr! Terasa wajahku mula membahang. Malu. Ugghh! Aku pantas mencapai buku tersebut dari tangannya. Namun Luqman lagi pantas mengelak. Dia mengangkat buku tersebut di atas kepalanya dan terus berdiri. Dengan ketinggiannya itu, memang sukar untuk aku menggapainya.

“Luqman! Bagi balik buku tu!”

“Min baca untuk persediaan perkahwinan kita ke?” soalnya sambil tersenyum.

“Apa? Kahwin? Siapa yang nak kahwin dengan Luq? Tak! Min baca untuk isi masa terluang…  Sekarang, bagi balik buku tu pada Min,” jawabku sambil terlompat-lompat untuk mendapatkan buku tersebut.

Kahwin? Bertunang pun belum, dah sebut tentang kahwin. Lelaki ini banyak bermain tarik tali. Letih aku dengan perangainya.

“Tak nak! Kalau Min nak, cubalah dapatkan dari tangan Luq.”

Kenapa dengan lelaki ini?

“Luq! Janganlah main-main. Bagi balik buku tu,” pintaku. Tanganku masih cuba untuk menggapai buku tersebut darinya.

Aku cuba melompat lagi. Namun tak semena-mena kaki kiriku terpelecok sebaik sahaja mencecah ke tanah menyebabkan imbangan badanku goyah. Aku hampir-hampir terjatuh sekiranya lelaki itu tidak memaut tubuhku. Mataku terpejam. Risau sekiranya aku benar-benar jatuh. Tetapi ya, aku tidak jatuh kerana Luqman lebih pantas menahan tubuhku dari jatuh. Cuba mencari nafas yang hilang sebentar tadi. Terasa seperti tubuhku dipaut semakin erat sehinggakan aku boleh mendengar degupan jantungnya. Seminit… dua minit.. tiga minit…

“Alangkah ruginya  12 tahun Luq kerana membiarkan  wanita ini menjauhkan diri dari Luq sedangkan Luq benar-benar cintakan dia dan Luq tahu dia juga sukakan Luq..”

Aku membuka mata dan mendongak memandang ke arah wajahnya sebaik sahaja mendengar kata-katanya. Luqman juga sedang memandang ke arahku. Wajahnya begitu hampir dengan wajahku sehinggakan aku boleh terasa hembusan nafasnya. Jantungku berdegup pantas. Kenangan tubuhku dipeluknya sewaktu zaman persekolahan mula terbayang di ingatanku. Sekali lagi terasa pipiku membahang.

“Luq cakap apa ni?” soalku cuba menutup rasa malu yang menebal di wajahku.

12 tahun. Maknanya dia memang sukakan aku dari dahulu lagi ke?

“Kita kahwin. Rasanya Luq dah tak sanggup nak berjauhan dari Min lagi.”

“Hah! Kahwin?” soalku terkejut.

Lelaki itu mengangguk.

Ini memang benar-benar mengejutkan. Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba hujan.

“Boleh tak jangan nak buat lawak,” marahku tiba-tiba.

“Muka Luq ni seperti orang sedang buat lawak ke?”

Aku mencari kebenaran di sebalik kata-katanya.

“Tapi takkan macam ni sahaja lamaran Luq? Tak ada acara merisik ke bertunang dulu ke?”

“Nak merisik apa lagi? Kan kita sememangnya sedang bercinta. Kita bukan berada dalam tahun 70an, 80an atau 90an. Sekarang zaman moden. Lagipun semua tu adat sahaja. Yang pentingnya akad,” jawab Luqman selamba.

“Habis tu, bertunang pun tak?”

“Bertunang tu untuk memberi tempoh kepada kedua-dua pasangan membuat persediaan mental dan fizikal. Tetapi rasanya kita berdua dah lama bersedia ke arah itu,” ujarnya sambil mengunjukkan bukuku yang masih berada di tangannya sambil tersengih lebar.

Hatiku mula terasa sakit. Perasaanku mula terasa seperti hendak marah. Nampaknya dia masih belum memahami maksudku. Aku merentap tanganku, melepaskan diri dari pelukannya dan merampas semula bukuku itu. Lelaki itu kelihatan terkejut dengan tindakanku itu.

“Jasmin! Nak ke mana tu?” soalnya apabila melihat aku mula melangkah.

“Min nak masuk dalam rumah.”

“Habis tu, Luq? Takkan Min nak tinggal Luq sendirian di sini.”

“Luq boleh balik.”

“Hah! Jasmin… janganlah macam ni. Salah ke apa yang Luq cakap tadi?” soalnya sambil menarik lenganku.

“Min bukan janda. Dan kita bukannya kena tangkap basah untuk sebuah perkahwinan yang tergesa-gesa. Kalau Luq nak kita kahwin dengan cara yang Luq maksudkan tu, Luq boleh cari wanita lain,” marahku bertubi-tubi.

Tiba-tiba terasa ada air yang bertakung di tubir mataku. Semudah itukah taksiran sebuah perkahwinan baginya? Aku pun punya impian perkahwinan aku sendiri. Perasaan kecewa mengapung di dadaku. Terasa sedikit sesak dan sebak. Lelaki itu mengeluh.

“Maafkan Luq. Ok, Luq mengaku Luq  salah. Janganlah begini. Merajuk pula. Luq datang sebab nak ajak Min keluar cari barang. Please… temankan Luq,” pujuknya lembut.

“Min tak ada mood,” jawabku ringkas sambil memandang ke arah lain.

“Ok..ok..kita kahwin ikut seperti kehendak Min. Tetapi masa biar Luq yang pilih. Kita bertunang dulu. Tak perlu merisik sebab ia tak penting. Tempoh kita berkahwin seminggu selepas kita bertunang. Luq tak mahu kita bertunang lama-lama. Takut ada orang lain goda Min pula nanti,” sindirnya.

Huh! Aku mencebik. Dalam memujuk sempat lagi menyindirku. Aku rasa aku tahu siapa yang dimaksudkannya dengan ‘orang lain’.

***

“Luq singgah stesen minyak sekejap. Baru perasan minyak dah habis,” ujarnya seraya membelok masuk ke stesen minyak berhampiran.

Aku sekadar mengangguk. Sebaik sahaja kereta dimatikan, dia keluar dari kereta dan menapak ke dalam kedai untuk membuat bayaran. Sewaktu hendak menukar siaran radio, aku terperasan telefon bimbitnya di atas dashboard. Baru aku teringat, tentang gambar yang diambilnya tadi. Aku mengerling ke arah kedai stesen minyak itu. Luqman masih berada di dalam.

Hmm, kalau aku tengok apa salahnya kan? Lagipun gambar aku yang ditangkapnya. Teringin juga aku nak melihat scene yang dikatakan cantik itu. Aku membuka aplikasi gambar yang terdapat di dalam telefon bimbit Luqman. Benar seperti yang dikata, memang cantik gambar yang diambil. Aku terpegun seketika. Hatiku meluap-luap untuk melihat gambar-gambar lain yang terdapat dalam telefon bimbitnya. Aku menyentuh skrin itu sekali lagi. Hah! Banyaknya gambar aku yang diambilnya. Ada berpuluh-puluh gambar aku di dalam telefon bimbitnya. Bila masa dia tangkap gambar aku? Kenapa aku langsung tak sedar tentang ini?

Dari gambar ketika pertama kali kami berjumpa di Pameran Khat Islam, di pejabat sewaktu aku sedang menunggu ibu Darlynna dan babah, dalam keretanya sewaktu aku terjatuh basikal, sewaktu aku tidur di atas sofa di kedaiku, sewaktu aku berada di dusun, ketika aku sedang basuh pinggan mangkuk selepas kenduri babah di kampung. Banyaknya!

“Tak baik tau mencuri tengok privasi orang tanpa kebenaran tuannya,” sergah Luq di tepi tingkapku.

Dek kerana terkejut aku hampir-hampir terjatuhkan telefon bimbitnya ke bawah. Nasib baik sempat ku tahan dengan tangan.

“Luq! Terkejut Min,” marahku cuba menutup kesalahan.

“Belek apa?” soalnya sambil mengerling ke arah telefon bimbitnya.

Aku mengerling ke arahnya. Boleh lagi buat tak tau, gerutu hatiku geram. Aku mengunjuk telefon bimbitnya yang mengandungi gambar-gambarku.

“Ini apa? Curi tangkap gambar Min tanpa kebenaran Min,” marahku.

Berkerut dahinya melihat aku membuka satu persatu gambarku yang terdapat di dalam telefon bimbitnya. Namun kemudiannya dia tersenyum. Dia terus berlalu ke pintu sebelah pemandu dan masuk semula ke dalam kereta.

“Itu bukan curi. Itu menghargai keindahan yang diciptakan Allah. Setiap sudut gambar mempunyai riak dan gambaran perasaan yang berbeza. Luq nak kenal lebih dekat wajah wanita yang Luq cintai ini dari setiap sudut, setiap riak dan perasaan yang dimilikinya,” ujarnya sambil tidak lepas memandangku. Tangannya pantas mengenakan tali pinggang dan terus menghidupkan enjin.

Aku terkelu seketika. Tanganku masih tidak lepas membuka lagi gambar-gambar yang ada. Lelaki di sebelah ku itu langsung tidak menghalangnya.

“Masih marahkan Luq lagi tentang gambar tu?”

Aku memandang ke arahnya. Perlukah aku marah sekiranya lelaki yang aku puja selama ini sebenarnya turut memandang aku dari jauh? Pandangannya dan hatinya sebenarnya hanya untukku.

“Semua gambar-gambar ni… Luq ambil sebelum Luq datang menegur Min, betul tak?” soalku, inginkan kepastian.

“Emm.. kebanyakkannya. Sebenarnnya ada lagi. Tetapi Luq dah pindahkan ke dalam komputer. Banyak sangat sampai telefon Luq penuh. Kenapa?”

Sampai macam tu sekali?

“Jadi Luq dah perhatikan Min lama sebelum Luq datang marah-marah Min, sindir-sindir Min, perli-perli…”

“Luq tak tahu bagaimana cara yang terbaik untuk menarik perhatian Min. Min terlalu fokus apabila melakukan sesuatu. Waima Min sedang berkhayal sekalipun,”pintasnya.

Aku tersenyum. Jadinya sekarang kami seri. Sekiranya dahulu, aku yang sering cuba untuk menarik perhatiannya tetapi sekarang dia pula yang cuba berbuat demikian.

“Jadinya Min ni secrete admire Luq ya?” soalku tiba-tiba.

Luqman mengalih pandangannya. Dia berkerut tetapi kemudiannya tersenyum.

“Hmm, lebih kurang begitulah,”jawabnya sambil tertawa.

Gembira sungguh dia. Aku juga turut tersenyum senang. Sangat senang hati apabila masing-masing sudah meluahkan isi hati. Syukur Ya Rabbi, kerana memberi kasih lelaki ini kepada ku…

4 ulasan:

mona berkata...

salam TT,mmg sk sngt ngn ctr DCJ ni,lm sngt2 tnggu n3,at last ada gak,trimas banyak2,hrp ctr ni hbs kt blog,lps ni jgn hilang lm sngt na

Unknown berkata...

LAMA JUGA KAN X ADA N3 BARU LEPAS NI NAK LAGI BOLEH TQ. SELAMAT BERPUSA SEMUA.

Suhana Shahril berkata...

Terima kasih kerana meminati cerita saya...maaf ya kerana membiarkan anda ternanti-nanti sambungannya...kali ni keluar 2 siri serentak # 39 & #40...selamat membaca!

IVORYGINGER berkata...

ayaa... lama dah ku tinggalkan ceta ni. Ni br nk sambung blik. hope cik writer samb. lg ya. ;D